Yuri dan Bilik Abang Bedak

Selasa, Julai 05, 2022

Assalamualaikum. Ini kisah Yuri kurang sihat. Cerita awal bulan lepas, baru berhasil dijadikan entri hari ini hahaha.

Pagi 1 haribulan tu, saya berat mata sangat nak bangun. Cuaca sejuk dari malam, memang syoklah kalau dilayankan tidur. Tengah berperang dengan diri lagi lima minit ... lima minit lagi ... sikit lagi ... kejap lagi ... tiba-tiba saya terkejut sebab ada orang bersin kuat. Pembetulan. Bukan orang, kucing! 

Dalam mamai-mamai cuba untuk locate di mana Yuri, dia bersin lagi! Sekali lagi! Bersepai-sepai bunyinya. By the time saya jumpa Yuri, dia dah menjilat-jilat. Hidung dah berlemuih. Tengok muka Yuri saya dah tak sedap hati. Aisey, demam ke kucing aku ni? Yuri ni kalau kurang sihat muka dia ada iras-iras Amitabh Bachan tengah marah. 😆 

Pegang telinga, pegang badan ... lebih panas daripada biasa. Telinga kiri pun macam basah sedikit. Kemungkinan ada infection. Menggagaulah tuan Yuri ni cari telefon. Klinik haiwan yang Yuri selalu pergi ada dua - Zul Erwan Cat Clinic (ZECC) di Pusat Komersial TSB dan Damai Veterinary Clinic di Damansara Damai. Alang-alang Klinik Zul Erwan ada sistem tetapkan temu janji menggunakan Qmed, saya pun log masuk untuk tengok kalau-kalau ada slot kosong sebelah pagi. Malas nak main terjah takut ramai orang (dan kucing!).

Alhamdulillah, ada slot kosong pukul 10 sebaik sahaja klinik dibuka. Saya pun apa lagi, sudahkan urusan-urusan yang perlu terlebih dahulu, lepas isi perut seadanya terus berangkat pergi klinik. Masa ni Yuri dah lembik tak ada mood. Tapi tetap degil, tak mahu duduk dalam carrier bag.

Mere naam Yuri Van Houtten

Seawal 9.45 pagi kami sudah tercokoh di depan klinik. Pelik juga kerana hanya kami di situ. Mana orang lain? Nasiblah mata ni rajin juga menerawang baca itu ini. Klinik dah berpindah lokasi dan beroperasi di klinik baharu bermula 25 Mei 2022. Masih di lorong yang sama tetapi di lot hujung.

Sampai di lokasi sebenar, ada tukang teman. Masa ambil gambar kucing ni ingat nama kat leher dia, balik terus lupa. Kucing-kucing yang dibela di ZECC ni glamour dalam kalangan cat parents yang datang ke sana. Jinak-jinak dan manja.

Layan blues 😊

Selesai daftar, kami menunggu di hadapan bilik rawatan sambil mengagumi hiasan dalaman klinik. Bukan main cantik lagi. Apa yang menarik, ada empat bilik rawatan yang dinamakan mengikut nama-nama kucing legend dan popular Dr. Zul.  Bilik 1 - Tobina, Bilik 2 - Abang Bedak, Bilik 3 - Togo dan Bilik 4 - err... yang ini saya lupa. Bilik Abang Bear tak ada.

Nak masuk Bilik Abang Bedak, ended up masuk bilik Togo 😁

Selesai dapatkan rawatan dan ambil ubat, kami pun baliklah. Si Yuri seperti biasa, tiap kali lepas jumpa doktor, bergelut dengan doktor, bergelut bercakaran dengan saya, dia akan mogok. Sepanjang perjalanan balik tu kena pangku. Dia nak tengok view.

Seperti biasa, tangan terima calar baharu courtesy of Diva Yuri.


Muka nampak lori 😂

Begitulah kisah Yuri pergi vet. Syukur, sakit Yuri tak lama dan tiada apa yang serius. Esok tu dah kebah demam, bertambah-tambah pula selera makan. Selepas ini, saya kena lebih konsisten beri Yuri makan multivitamin. Yuri dah tua. Kena pastikan badan dan sistem imun dia kuat sikit.

10 ulasan

  1. haha. terbayang filem Mohabbatein bila cakap Amitabh Bachan marah tu. nampak macam behave la duduk diam dalam kereta, tapi orang yang memegang jelah tahu. Untung kucing demam terus dibawak ke klinik. Kita kalau demam makan panadol je pastu tidur.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Untung jadi kucing kan... makan pakai, medication semua tuan dahulukan hahahah

      Padam
    2. itulah. Tuan kalau demam pun ignore je, ubat diri sendiri

      Padam
    3. Huhuhu betul. Buat-buat tak tahu je... kalau tak larat, telan panadol... bobok! Kucing kena dapat layanan diraja.

      Padam
  2. perangai yuri macam kucing I lah, suka betul cakar. Nak peluk je pun kedekut kemain.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kan... kucing lain siap boleh duduk atas paha, boleh gomol-gomol tidur sama... kucing kita ni eksyen :D

      Padam
  3. Alhamdulillah, comel Yuri. Bagus mama Yuri, cepat bawa ke klinik.

    BalasPadam
  4. alahai sayang, demam jugak ek.
    kat sini abg ijat pun demam. kak syuhada baru baik demam.
    aduhai Yuri, musim la kan :(

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.