Buat Puding Roti Mini
Isnin, Oktober 19, 2020
Baru-baru ini, semasa mengemas peti dingin beku, saya jumpa roti. Di rumah ini, mood makan roti ada pasang surutnya. Kalau time suka makan roti rasa macam baru je beli tetapi tahu-tahu dah habis. Bila time tak hendak, elok je roti tu tersadai atas meja sampai tarikh luput.
Untuk atasi masalah ini, memang selalu saya akan masukkan roti ke dalam freezer tanpa fikir panjang. Sekurang-kurangnya tidak membazir. Rasa nak makan roti, boleh bakar balik dalam oven atau toaster. Tidak pun, kita gunalah untuk buat puding roti :)
Inilah puding roti mini saya. Kenapa cenonet-cenonet? Alkisahnya, saya sudah lama tidak baking. Kebetulan awal tahun dahulu saya banyak jual barang-barang saya yang saya rasa saya tak akan guna termasuklah beberapa peralatan membakar kek dan kuih. Habis semua loyang kek saya kecil dan besar saya jual. Dalam fikiran tak terfikir langsung pun nak simpan barang sebiji dua.
Alih-alih apabila hendak membakar puding, barulah perasan yang loyang empat segi saya tiada. Mulalah muka terkulat-kulat. Mujur ada loyang mufin 20 lubang dan cawan kertasnya sekali. Jika tidak, jenuh pula nak melengser setiap lubang mufin tu. Makanya, jadilah puding roti mini!