Projek DIY Pagi Sabtu

Sabtu, September 04, 2021

Assalamualaikum. Selamat hari Sabtu!
Selamat berhujung minggu.

Hari ini seawal pagi saya dah lengkapkan rutin senaman. Selesai semua terus masuk bilik kraf. Sekarang bersiaran dari bilik kraf. Rasanya dalam setengah hari juga akan berada di sini.

Sudak agak lama saya enggan terima sebarang tempahan kraf baik kad ucapan, scrap book atau hiasan untuk jurnal atau planner. Saja nak berehat konon-kononnya. Tetapi, apabila dah lama tak buat projek kraf dan DIY, terasa macam ada yang kosong… ada yang tak kena hahahah.

Jadi, saya mulalah ambil beberapa tempahan. Sebelum mula siapkan pesanan orang, panaskan enjin dengan buat projek DIY saya terlebih dahulu. 

Dah nak mula kerja 😊

Sarapan Selepas Lengkap 2 Dos Vaksin

Jumaat, September 03, 2021

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, semalam saya terima suntikan vaksin dos kedua. Lengkap sudah vaksinasi untuk tubuh ini. Saya terima vaksin di klinik kesihatan tempat saya dapatkan rawatan untuk asma dan hipertiroid. Jadi, tak kalut sangatlah. Dekat je dengan rumah.

Saya antara orang yang terawal dapat masuk ke dewan vaksinasi untuk sesi pagi. Tetapi, disebabkan keadaan kesihatan saya, lama sedikitlah kena luangkan masa di dalam bilik pantauan. Mana tahu ada kesan pada pernafasan atau degup jantung. Alhamdulillah, semua okey.

Balik rumah, masih kuat buat itu ini. Tetapi, lengan yang disuntik mula berat dan sengal. Menjelang malam, otot dan sendi sengal-sengal, macam nak demam.


Sarapan Pagi untuk Pulih Tenaga

Pagi ini apabila bangun, badan rasa macam kena rempuh dengan lori. Tak larat betul! Mata memang berat. Nak tutup je rasa. Bott periksa suhu, mujurlah saya tidak demam. 

Mulut saya pula payau semacam. Ada nasi lemak untuk sarapan tapi rasa tak lalu nak makan. Ini sesuatu yang jarang-jarang berlaku. 😂 Jadi, Bott buatkan puding biji chia sementara badan nak kuat. Kebetulan, semalam memang dah rendam biji chia dengan serbuk koko untuk buat puding. 


Peanut butter and jam chia seed pudding

Puding Biji Chia Mentega Kacang dan Jem Rasberi

Kakiage untuk Minum Petang

Khamis, September 02, 2021

Kelmarin, selepas Bott balik beli barang dapur dan keperluan rumah, saya kemas peti sejuk. Korek baki bahan masak yang lama supaya boleh dimasak terlebih dahulu berbanding stok bahan baru beli. 

Ada lebihan kobis, lobak merah dan cili hijau. Kebetulan untuk minum petang tak terfikir hendak sediakan juadah apa lagi. Jadi, masak kakiage sahajalah.

Kakiage merupakan sejenis hidangan sayuran digoreng rangup lebih kurang seperti tempura. Untuk buat kakiage kita hanya perlu ada bawang besar dan beberapa sayuran yang dihiris memanjang seperti lobak merah, cili benggala, keledek dan kobis.

Kakiage untuk Minum Petang

Kakiage saya kali ini banyak cacat celanya. Dah hiris bawang, tetapi selepas digoreng baru sedar yang bawang masih di atas papan pemotong. Kemudian, sewaktu potong kobis, entah apa yang saya fikirkan ... tahu-tahu dah jadi potongan dadu. Okey, jom tengok resepi.


Resepi Kakiage Mudah

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 labu bawang besar
  • 1/2 batang lobak merah
  • 1/4 - 1/2 biji kobis, terpulang hendak banyak mana
  • beberapa tangkai cili hijau.

* Secara asasnya, ada 2-3 jenis sayur dah cukup dah. Jika ingin lebih sedap, boleh juga tambah hirisan cendawan atau jejari ketam.

  • 1/4 - 1/2 cawan tepung
  • beberapa sudu tepung ubi
  • 1 biji telur


** Penggunaan tepung agak-agak sahaja. Sekadar untuk salut bahan-bahan yang kita hiris seadanya. Tidak perlu banyak macam hendak buat bater cucur. 

Adunan kakiage sedia untuk digoreng.


*** Tak ada tepung ubi? Apa salahnya kita derhaka resepi. 😅 Boleh tukar kepada tepung beras atau tepung jagung. Hasil akhir sedikit berbeza mengikut jenis tepung yang digunakan.


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Masukkan semua bahan  yang telah dihiris ke dalam sebuah mangkuk sederhana besar.
  2. Kemudian, masukkan tepung gandum, tepung ubi dan telur yang telah dipukul sedikit.
  3. Gaul sekata semua bahan.
  4. Panaskan minyak. Api biar sederhana besar. Apabila minyak dah betul-betul panas, sudukan adunan ke dalam kuali.
  5. Goreng sehingga kakiage bertukar keperangan. Balik-balikkan agar gorengan sekata.
  6. Angkat. Tuskan minyak. Sedia untuk dihidangkan bersama sos pilihan. 


Kakiage biasanya dihidangkan dengan sos khas dipanggil tentsuyu. Tetapi, saya tidak buat pun. 😊 


Pstt! Masih dalam proses blogwalking sambil berperang dengan masalah kotak komen. Kalau komen tak muncul, insya-Allah saya datang round lain kali dan komen bertubi-tubi 😂



Baru-baru ini, saya dan Bott manjakan tunas rasa kami dengan Biscoff Krunchee Soyeah Krunchee.

Sebenarnya Biscoff Krunchee ini pemberian Cekengah. Semasa dapat tu, memang sengaja sorok dalam pantri. Biar jauh dari pandangan mata. Benda-benda manis begini hanya boleh makan sekali-sekala. Masa cheat day ke... masa nak reward diri apabila berjaya sudahkan kerja ke... barulah berbaloi! 😁