Skon Kacang Walnat untuk Minum Petang

Jumaat, September 24, 2021

Sudah agak lama saya tidak bakar pastri atau biskut. Jadi, apabila ada kelapangan, terus masuk ke dapur lihat bahan-bahan apa yang ada. Saya putuskan untuk buat skon kacang walnat (walnut scones) sebab ada sepek kacang walnat yang lama tersimpan di dalam peti ais. 

Saya hanya menggunakan resepi asas skon Inggeris dalam simpanan saya dan tambahkan walnat ke dalam adunan.

Kopi dan skon walnat untuk minum petang. Biasanya, skon enak dinikmati bersama sapuan krim dan jem atau sapuan mentega. Saya makan begitu sahaja. Memadai sekadar rasa buttery pastri yang diperkaya dengan  kacang walnut.


Resepi Skon Kacang Walnat

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 450g tepung gandum
  • 5 sudu teh serbuk penaik. (Saya gunakan tepung gandum biasa, bukan tepung naik sendiri jadi memang agak banyak guna serbuk penaik.)
  • 50g gula halus
  • secubit garam
  • 125g mentega sejuk yang dipotong kepada kiub kecil
  • 1 biji telur Gred A
  • 250g susu
  • 100g kacang walnat yang telah dibakar selama 6-8 minit, disejukkan dan dicincang kasar. Jika mahu, tambah 20-30g kacang walnat lagi untuk diletakkan di atas permukaan skon.


Untuk sapuan di atas skon:

Telur yang dipukul sedikit dan dicampur dengan sedikit susu. Guna susu sahaja untuk glaze permukaan atas skon pun boleh kalau nak jimat telur. 😊


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Masukkan tepung, serbuk penaik, gula halus, garam dan mentega sejuk ke dalam sebuah mangkuk. 
  2. Dengan menggunakan hujung jari, ramas-ramaskan ketulan mentega dengan tepung sehingga menjadi serbuk kasar seakan-akan serbuk roti. Teknik ini dipanggil rubbing. Tidak perlu terlalu halus dan jika masih ada sedikit bahagian mentega yang berketul kecil juga tidak mengapa.
  3. Masakkan kacang walnat yang telah dicincang. Gaul sekata. 
  4. Seterusnya, buat lubang di tengah-tengah campuran tepung dan mentega. Pukul telur dengan susu dan tuangkan ke dalam campuran tepung.
  5. Kaup balikkan adunan, uli sehingga membentuk doh yang tidak melekat di tangan atau jari. Tidak perlu uli terlalu lama. Cukyp sampai doh tidak melekat di jari. Jika melekat, tambahkan sedikit tepung lagi.
  6. Canai doh sehingga mendapat ketebalan kurang lebih 2.5 cm. Terap menggunakan acuan biskut berbentuk bulat. Jika tiada, boleh guna gelas.
  7. Susun di atas dulang pembakar. Sapukan sapuan telur dan susu untuk dapatkan warna coklat keemasan pada permukaan atas skon setelah dibakar. Letak sebiji kacang walnat di atas permukaan skon.
  8. Bakar pada suhu 200 darjah celcius selama 15 - 20 minit. Pastikan oven dipanaskan terlebih dahulu.


Selamat mencuba!

Air Jeruk Lepas Gian

Khamis, September 23, 2021

Kelmarin, saya perlu ke klinik kesihatan buat ujian darah untuk periksa tahap hormon tiroid. Dalam perjalanan balik, Bott berhenti di bahu jalan. Terdapat banyak gerai orang berjaja di situ. Saya ingat dia hendak beli goreng-gorengan. Ada jugalah makanan untuk dikunyah-kunyah petang nanti.

Terpinga-pinga saya apabila dia masuk semula ke kereta dengan hanya satu plastik kecil di tangan. Saya ulang, satu plastik kecil di tangan. Di dalam plastik tu, ada beberapa ketul jeruk kundang kecut dan selebihnya air rendaman jeruk.

Itu sahaja? Alahai ... Bott ... Bott. Tetapi, bagus juga. Kalau dapat saya yang turun kereta, mahu penuh tempat duduk belakang dengan makanan-makanan belian gerak hati (impulse purchase) saya.

Lagipun, dah tua-tua ni, tak boleh sembarangan beli jeruk. Tekak dia sensitif. Kalau nak puas makan jeruk, kena cari Jeruk Pak Ali atau yang segar 'diimport' dari Pasar Chowrasta. Kalau tak, tak perlulah pertaruhkan keadaan tekak main redah je. Kita tak pasti dah berapa lama jeruk tu dalam stok penjual. Tak pasal-pasal batuk kong kong kong nanti.


Tahu tak Bott hendak buat apa? Dia nak lepas gian. 

Dahulu masa kecil-kecil, setiap kali balik sekolah dia akan beli jeruk. Penjual jeruk tu masukkan sedikit ais dan air jeruk sekali. Siap letak straw. Tinggal srotttt minum dan menapaklah dia pulang ke rumah dengan gembira.

Jadi, itulah justifikasi Bott untuk beli hanya sejemput kecil jeruk dan dua tiga sudu airnya. Dia nak feeling-feeling gamit memori lama. 

Gelas comel di atas itulah jeruk yang dibeli setelah ditambah sedikit ais dan air sejuk. Saya tumpang sekaki. Selalu kalau makan jeruk, air jeruknya saya tidak minum apatah lagi hendak letak dalam cawan dan tambah ais begini. Sedap! Tetapi, sekadar untuk lepas rasa teringin tu bolehlah. Tak boleh minum selalu. Tinggi kandungan gula dan garamnya tu.

Ada tak dalam kalangan kalian yang suka buat begini juga?


Kerepek Kulit Popia

Dua tiga hari ini, cuaca di kawasan saya punyalah terik. Lain macam bahangnya. Saya pula, apabila dah kepanasan, mula jadi serba tidak kena. Bila panas je, lapar. Bila panas je, tahu-tahu dah sampai dapur. Sedar-sedar dah selongkar peti ais. Mulut ni kan ...  rasa macam nak mengunyah je!

Dalam freezer ada kulit popia, makanya muncullah 'mentol kuning terang menyala di atas kepala'. Tengok barang kering dekat pantri, serbuk keju ada, Horlicks, serbuk Oreo dan Nestum pun ada. Boleh buat 'kekupo' (baca: kerepek kulit popia) beberapa perasa ni.

Proses pertama, keluarkan pek kulit popia dan biarkan berada pada suhu bilik sehinggalah kulit popia tidak lagi beku. Ini untuk memudahkan proses menggulung kulit popia.

Beginilah rupa kekupo keju saya. Ini perasa keju biasa (tak pedas.)

Terbeli Quaker Breakfast Pack Sebab Comel

Semasa mencari rolled oats di Lazada, saya jumpa pek promosi Quaker Oats. Lazimnya, disebabkan memang banyak guna oat, saya akan beli loose pack dari kedai menjual peralatan kek dan bakeri. Sekilo rolled oats boleh dapat dalam RM5.70 - RM7.00 (bergantung kepada kedai dan  promosi yang berlangsung). Lebih berbaloi jika dibandingkan dengan oat yang ada jenama. Paling murah sekitar RM8. ++, itu pun dalam 800g. Lagi satu, jika beli produk yang berjenama, saya jarang pertimbangkan Quaker Oats kerana lebih gemar jenama Captain.

Tetapi, Quaker Breakfast Pack ini benar-benar menarik perhatian saya. Didatangkan di dalam kotak comel, ada 800g rolled oats dan hadiah percuma - breakfast cup + heart scoop

Quaker Breakfast Pack