Wordless Wednesday - Otorinolaringologi

Rabu, Ogos 20, 2025

 

Periksa peti suara 😊


Bib untuk Si Coffee Si Chai

Selasa, Julai 29, 2025

Ingat lagi tak sebelum ini saya kongsi cerita tentang set hadiah book sleeve, cup carrier dan rantai kunci bertemakan Star Wars? Boleh baca mengenainya di sini

Memandangkan ada banyak kain lebih, Bott buat 2 helai bib. Ini bib bukan sebarang bib tau…bib ada ropol-ropol, tali tu panjang siap boleh simpul reben. 🤣


Bib Star Wars

Nasi Goreng Kecombrang

Isnin, Julai 21, 2025

Pagi semalam, saya temankan Cekengah bawa anak kucing baharunya untuk suntikan vaksin susulan. Sementara tunggu adik saya sampai, saya masak sarapan siap-siap. Bolehlah bersarapan sekali sebelum gerak pergi vet.

Tengok dalam peti ais, ada setangkai kecombrang (bunga kantan) yang sudah hendak lisut. Lama dah saya beli. Konon-konon nak buat Sambal Matah Bali. Walaupun resepi asal sambal matah tidak guna kecombrang, entah kenapa saya teringin. Dok terbayang-bayang dalam fikiran, mesti sedap dan bertambah wangi sambal matah tu nanti…ada serai, daun limau, belacan dan bunga kantan.

Dari hari ke hari, sambalnya tak jadi-jadi! Saya asyik terlupa. Waktu teringat, lauk lain dah banyak atas meja. Tangguh esok, tunda lusa… mujurlah tidak rosak. Lain kalilah buat sambal matah.

Kecombrang nan setangkai tu saya jadikan ramuan nasi goreng. Kebetulan ada lebihan isi ayam panggang. Campak-campak sahaja bahan yang ada - bawang sikit, cili sikit… it’s done!


Inilah nasi goreng kecombrang saya untuk sarapan pagi. Tiada sayur di dalam nasi, makan dengan hirisan timun Jepun dan lobak merah.

Nasi Goreng Bunga Kantan

Beg Telur Sepapan

Jumaat, Julai 18, 2025

Saya cemerkap orangnya. Kalau pergi beli telur, tidak pernah cukup kuantiti telur yang selamat sampai rumah dengan sempurna. Mesti ada sebiji (atau dua) yang pecah.

Tidak kiralah beli sama ada yang sepuluh biji ataupun sepapan, ada sahaja kemalangan kecil yang akan cederakan telur-telur saya. 😭

Pernah sekali tu, sementara nak pindahkan sepapan telur dari troli ke bonet kereta… boleh pula sebiji tercampak keluar dari bekas telur. Telur pecah dalam troli, menjejer ke atas tar kawasan parkir. Tak pasal-pasal selepas tu saya kena terbongkok-bongkok bersihkan troli, sisa telur dan kulitnya.

Jadi, apabila awal tahun lepas saya terserempak dengan beg yang boleh isi telur sepapan di Pinterest, saya bodek Bott agar buatkan untuk saya. 

Saya memang perlukan beg telur!


Beg Bawa Telur

Beg Bawa Telur | Kredit Gambar - Anana Deco