Minggu lepas, Bott beli tembikai. Kulitnya awal-awal kami asingkan, tidak dibuang sebab teringin hendak buat kerabu kulit tembikai. Bahan-bahan untuk menyediakan kerabu kulit tembikai ini tak banyak pun. Nak buat pun mudah. Alhamdulillah, puas kami berdua makan.
Jom intai resepi di bawah.
|
Hidangan Kerabu Kulit Tembikai |
Resepi Kerabu Kulit Tembikai
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Kulit tembikai - dikupas kulit luarnya dan dihiris memanjang.
- 1 biji bawang besar dihiris
- 5-6 biji cili padi dihiris
- sebiji tomato dipotong dadu
- beberapa helai daun limau diracik halus
- sedikit perahan jus limau kasturi (*)
- sedikit air asam jawa (*)
- sedikit belacan (*)
- sos ikan (*)
- garam (hanya jika perlu)
Bahan-bahan bertanda (*) tiada sukatan khusus. Saya main agak-agak sahaja sesuai selera. Jika ingin rasa masam lebih, lebihkanlah penggunaan air asam jawa dan jus limau kasturi. Jika suka rasa belacan yang ketara, banyakkan kandungan belacan.
Selain itu, bahan lain yang boleh dimasukkan ke dalam kerabu kita ialah udang kering dan kacang tanah yang disudah disangai. Tetapi, untuk sajian kali ini saya memang tidak letak.
Langkah-langkah penyediaan:
- Satukan hirisan kulit tembikai, bawang, cili padi dan tomato di dalam sebuah mangkuk.
- Masukkan perahan jus limau kasturi, air asam jawa, belacan, sos ikan dan racikan daun limau. Gaul sehingga semua bahan jadi sekata. Tambah garam hanya jika perlu kerana kita sudah guna belacan dan sos ikan.
- Sedia untuk dihidangkan.
Tips untuk kerabu tembikai yang rangup dan menyelerakan.
- Untuk kulit tembikai rangup krup krap krup krap apabila dimakan, rendamkan kulit tembikai dengan ais dan setengah sudu kapur makan buat beberapa ketika. Andai rasa renyah hendak guna air kapur, boleh sahaja langkau proses ini. Kulit tembikai tetap rangup tetapi tak bertahan lamalah. Akan soggy sedikit.
- Masukkan ke dalam peti sejuk selama beberapa jam sebelum dinikmati. Kerabu kulit tembikai ini lebih sedap dihidangkan dingin.
Selamat mencuba dan mengolah resepi kerabu kulit tembikai. Selain dibuat kerabu, kulit tembikai boleh juga dimasukkan ke dalam gulai lemak (pautannya saya kongsi di atas) atau lauk taucu.