Jumaat, Januari 29, 2021

Resepi Gulai Lemak Labu Kuning

Pergi beli barang dapur baru-baru ini, nampak labu kuning besar-besar, tergoda saya dibuatnya. Isi labu dengan warna yang cantik memang memanggil-manggil. Saya pun apa lagi, terus beli setengah biji yang bersaiz besar. Semangat betul labunya. Terjegil jugalah mata Bott tengok saya terkedek-kedek bawa labu besar dengan senyum lebar. Macam-macam dah terbayang kat kepala ni - gulai labu, cucur labu, kopi labu ... Paling penting, digulaikan dahulu.

Inilah rupa gulai lemak labu saya. Lebih tepat lagi gulai lemak labu cili api heheheh. Saya dan kepedasan mana mungkin berpisah! Jom intai resepi gulai lemak labu kuning di bawah.


Resepi Mudah Gulai Lemak Labu

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Potongan labu secukupnya (dalam 1/4 hingga 1/2 biji bergantung kepada saiz labu.) Kupas kulit dan kemudian potong kepada ketulan kecil.
  • 3 biji bawang merah, ditumbuk kasar
  • 2 ulas bawang putih, ditumbuk kasar
  • Sejemput kecil ikan bilis (lebih kurang 10 - 15 ekor) ditumbuk kasar. Jika ingin guna udang kering pun tiada masalah. Ikut cita rasa masing-masing ya.
  • 1 kotak santan. Saya guna santan M&S Kurang Lemak (kotak biru.)
  • sedikit serbuk kunyit. Jika ingin guna kunyit hidup dalam 2 - 2.5 cm.
  • 1 helai daun kunyit, dicarik dan disimpul
  • 2 cawan air
  • Garam secukup rasa.


Langkah-langkah penyediaan:
  1. Didihkan air. Kemudian, masukkan bawang merah, bawang putih dan ikan bilis yang telah ditumbuk kasar. 
  2. Seterusnya, masukkan santan, sedikit serbuk kunyit dan biarkan sehingga mendidih. Jangan lupa untuk kacau kuah dari masa ke masa. 
  3. Setelah itu, barulah dimasukkan potongan-potongan labu dan daun kunyit. Biar seketika buat beberapa minit sehingga labu lembut. Tidak perlu menunggu lama kerana labu memang cepat empuk.
  4. Perasakan dengan garam.
  5. Sedia untuk dihidangkan.

Jika ingin buat versi masak lemak labu cili api, jangan lupa masukkan beberapa tangkai cili api  yang ditumbuk kasar ke dalam kuah gulai. Selain itu, jika kalian ingin rasa masam-masam sedikit pada kuah, bolehlah gunakan sama ada asam keping, belahan buah tomato atau kurang lebih satu besar sos tomato. Hidangkan dengan nasi panas sebagai lauk utama. Boleh juga dijadikan kuah cicah untuk roti canai dan cucur bawang atau roti.


Labu Goreng

Pernah makan labu goreng? Ini kegemaran saya ni. Dahulu, semasa selalu ada kerja di sekitar Rawang, balik memang akan singgah ke Aeon Anggun, Rawang. Masuk food court semata-mata untuk beli goreng-gorengan di sana terutama sekali potongan labu goreng. Sedap!

Gambar lama - labu goreng food court Aeon Rawang.

Tetapi, bergantung pada orang juga. Bagi yang tidak suka labu memang tak hairan langsunglah hendak menikmati makanan ini. Tekstur luar yang rangup dan bahagian dalam labu yang lembut memang asyik! Saya kalau datang waktu lupa diri, memang boleh makan sampai 2-3 potong terus. Tulis ni pun dah terliur. Aihh ... nanti lebihan labu yang ada nak buat labu goreng untuk minum petanglah.


9 ulasan:

  1. Suka bingka labu.
    Masak lemak labu pun suka.

    BalasPadam
  2. Pernah makan sira labu ma buat. Rindunya masakan ma.. Huhuhu

    BalasPadam
  3. Suka masak lemak labu. manis-manis berlemak. Tambah pula dengan pucuk paku. Sedap!

    BalasPadam
  4. Sama pula labu masak lemak dengan Kak Amie. Kakak masak labu campur ikan masin.

    BalasPadam
  5. Sedapnya masak lemak labu.. bingka labu pun sedap.. sira labu lagi lah sedap.. ms anak² kecik dulu suka bg mereka mkn bubur campur labu lenyek

    BalasPadam
  6. Walaupun saya tak makan lagu tapi saya suka gulai labu.. hehehe.. saya amik kuahnya je kak..Manis campur lemak, makan pula dengan sambal atau ikan goreng.. pergh!!

    BalasPadam
  7. Teringin nak rasa labu goreng. Boleh bayangkan tu dia rangup di luar lembut di dalam

    BalasPadam
  8. perangai sy kalau mkn apa2 je masak lemak termsk laa lauk ni mesti ada ikan masin goreng... barulah mkn bertambah2 hehehe

    BalasPadam
  9. Favourite saya ni. Kadang suka ratah je :) Ada pedas pedas sikit baru sedap kan kak.

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.