Selasa, Februari 13, 2024

Buat Sardin Gulung Rangup | Sardine Roll

Sardin gulung atau sardine rolls ni memang saya suka makan. Dahulu, kalau jiran ada open order untuk sardin gulung frozen, mesti saya beli. 

Sejak berpindah pada hujung 2022 (dan pindah sekali lagi Oktober 2023 😅),  belum ada rezeki lagi nak makan sardin gulung. Tak jumpa pula kat area rumah saya ni. Teringinnya!

Disebabkan dah teringin sangat, terpaksa rajinkan diri untuk buat sardin gulung. Gigih tengok video cara nak gulung dan kelar-kelar kulit luarnya tu. Setakat inti sardin, boleh ikut cita rasa kita sendiri. 

Inilah hasil kejayaannya.

Sardin gulung rangup.

Alhamdulillah. Percubaan pertama yang boleh dikira berjaya. Lepas ni bolehlah buat banyak-banyak kemudian didinginbekukan. Dapat jadikan stok kuih frozen untuk bulan puasa.

Resepi Kuih Sardin Gulung

Untuk bahagian kulit, saya ikut resepi pastri Che Nom. Guna air sejuk, mentega sejuk dan teknik rubbing untuk jadikan tepung tu seperti tekstur serbuk roti. Ada juga resepi kulit yang guna minyak masak, mentega atau marjerin yang dipanaskan. Jadi, terserah pilihan kalian nak ikut resepi dan cara yang mana. Apa yang penting, kuih kita jadi. 😊

Bahan-bahan untuk kulit atau pastri:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 70 gram mentega sejuk, potong kiub
  • Secubit garam halus
  • 40 ml air sejuk
  • 1 biji telur, dikacau sedikit untuk gamkan bahagaian hujung gulungan pastri.


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Tepung gandum, garam dan mentega diramas-ramas dengan hujung jari sehingga sebati dan menjadi tekstur kasar seperti serbuk roti. Tidak mengapa jika ada sedikit ketulan-ketulan kecil mentega.
  2. Tuangkan air sejuk sedikit demi sedikit dan uli sehingga menjadi doh yang lembut. 
  3. Balut doh dengan plastik pembalut makanan dan sejukkan di dalam peti ais sekitar 15-30 minit.
  4. Keluarkan doh yang telah direhatkan, bahagikan kepada 12 bahagian yang sama besar, uli doh kepada bentuk bebola.
  5. Gunakan rolling pin dan uli doh sehingga menjadi nipis. Sudukan inti sardin secara memanjang dan gulung pastri. Gamkan bahagian hujung dengan sapuan telur dan picit di bahagian hujung supaya doh lebih melekat, tidak terbuka ketika digoreng kelak.

Bahan-bahan untuk inti:

Untuk inti, saya lebih kepada campak-campak ikut sedap tekak. Saya suka intinya pedas-pedas sedikit, ada rasa dan aroma rempah kari.
  • 1 tin besar sardin, diasingkan ikan dari kuahnya
  • 1 biji bawang besar, dipotong dadu
  • 3 - 5 ulas bawang putih, dicincang halus
  • 1/2 - 1 sudu besar serbuk kari
  • 2 sudu besar cili kisar
  • garam secukup rasa

Langkah-langkah penyediaan:

  1. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili kisar sehingga naik bau.
  2. Masukkan serbuk kari dan isi ikan sardin yang telah dihancurkan. Tumis seketika sehingga rempah betul-betul masak. Boleh juga masukkan sedikit kuah tomato jika inti kelihatan agak kering.
  3. Perasakan dengan garam. Biarkan inti yang telah masak sejuk.


Sesudah inti sardin sejuk, bolehlah mula proses menggulung. Selesai menggulung, goreng kuih sehingga warnanya bertukar keperang-perangan. Nikmati dengan senyuman.

*Batch kuih yang ini saya goreng seperti biasa di dalam kuali. Jika hendak guna air fryer, semburkan sedikit minyak pada kuih (boleh juga titiskan beberapa titis minyak dan ratakan di atas permukaan kulit kuih) sebelum dibakar di dalam air fryer. Barulah lebih cantik kejadiannya.


Psstt! Entah kenapa dari pagi tadi, saya tak boleh nak tinggal komen di blog kawan-kawan yang saya kunjungi. Nak balas komen di blog sendiri pun tak lepas. Apalah agaknya masalahnya. Tunggu saya masuk pakai laptop pula ya.


7 ulasan:

  1. sedapnyaaaa mama yuri buatttt
    nak seketui?
    hehehee

    BalasPadam
    Balasan
    1. Meh la datang sini. Jangankan seketul, sebungkus dua pun Yuri boleh kasi 😊

      Padam
  2. pindah mana tu?
    tak duduk sg buloh lagi ke?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Duduk area situ jugak, Anies. Pindah ke blok lain pula. Tahun lepas duduk sementara je kat rumah tu.

      Padam
  3. Teringin juga nak buat tapi tula malas. Buat guna roti jela senang. Hihi

    BalasPadam
  4. Rajinnya!
    PH pun suka kuih sardin gulung ni, tapi dah lama tak jumpa org jual kan...

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.