Cara Paling Mudah Menyediakan Ayam Adobo (Chicken Adobo)
Ahad, Januari 18, 2015
Resepi Mudah Ayam Adobo. Hari tu beri sneak peek untuk jamu mata je dalam entri sebelum ini. Sekadar tunjuk gambar hidangan tanpa diselitkan resepi. Hari ini saya kongsi resepi penuh ayam adobo yang sedap dan mudah disediakan.
Terdapat pelbagai cara dan resepi untuk menyediakan lauk ayam adobo. Antaranya adobo menggunakan resepi yang asas tanpa santan, adobo dengan santan malah adobo makanan laut juga ada!
Jom lihat resepi. Di bawah ini resepi asasnya, tidak pakai santan.
Ayam Adobo |
Resepi Ayam Adobo
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 300g - 400g ayam
- 1 cawan cuka
- 3/4 cawan kicap (saya guna kicap lemak manis Jalen je. Bukan kicap pekat, bukan kicap cair.)
- 1/2 labu bawang putih (asingkan, titik dan buang kulitnya)
- 1 - 2 sudu teh lada hitam biji - Tidak perlu ditumbuk/dihancurkan kerana kita mahu rasa lada hitam yang tidak terlalu kuat. Just nice.
- 2 - 3 keping daun salam.
- Garam (jika perlu)
- Sedikit minyak untuk menggoreng ayam.
Cara penyediaan:
- Bersihkan ayam. Perap ayam bersama cuka, kicap, lada hitam, bawang putih (jangan lupa titik/tumbuk dulu untuk keluarkan rasa garlicky-nya) dan daun salam. Ada yang perap semalaman supaya perapannya lebih mesra. Saya perap 2 - 3 jam je. Dah cukup dah, insya-Allah.
- Setelah diperap, gunakan frying pan (kuali leper) dan panaskan sedikit minyak. Sedikit sahaja tau! Goreng ayam hingga masak dan bahagian luarnya crispy sedikit. Balik-balikkan ayam supaya gorengan sekata.
- Setelah ayam masak, masukkan kuah perapan tadi dan didihkan seketika sehingga liquidnya reduced dan memekat sedikit. Perasakan dengan garam (jika perlu). Jika mahu kerangupan bahagian ayam dikekalkan, keluarkan ayam dari kuali sebelum reneh dan pekatkan kuah. Apabila nak dihidangkan baru masukkan ayam ke dalam kuahnya. Dua-dua cara pun boleh.
- Sedia untuk dihidangkan.
Selamat Mencuba!