Kad Birthday Tema Hitam Putih

Jumaat, Oktober 09, 2020

Assalamu’alaikum. Hai! Selamat Hari Jumaat! Hari ini entri berkenaan card making. Sekitar bulan Ogos yang lalu saya terima tempahan kad hari lahir bertemakan hitam putih. Kebetulan, bakal penerimanya seorang wanita, jadi terus saya pilih tema bunga. Klise memang klise tetapi saya hendak ambil peluang ini untuk guna background stamp yang saya baru beli ketika itu.

Inginkan kelainan, bahagian hadapan panel kad saya potong sedikit dan cantum semula dengan menggunakan plastik jernih. Kemudian, barulah diletakkan dengan sentimen 'Happy Birthday' secara melintang. Sekali pandang, nampak seolah-olah tulisan 'Happy Birthday' tu yang 'memegang' bahagian hadapan kad.

Sentimen 'Happy Birthday' saya guna rub-on sticker yang dibeli di Mr. DIY. Ingin tahu lebih lanjut tentang rub-on sticker, boleh baca mengenainya di sini

Gembira betul saya melihat cetakan yang terhasil menggunakan background stamp baharu saya. Tidak smudge. Kadang-kadang, sesetengah stamp tidak cantik dan jelas imejnya. Siap bersememeh lagi! Saya cuma menggunakan dakwat hitam biasa untuk stamping. Jelas nampak setiap garis dan titik dengan jelas. Untuk stamp yang berharga RM5.++, saya rasa dah cukup berbaloi!

Bahulu Sandwich Maker

Khamis, Oktober 08, 2020

Dahulu, setiap kali pergi beli barang basah dan keperluan dapur di Tesco Kepong, saya pasti akan singgah beli bahulu depan KFC. Bahulu dekat situ best. Gebu. Harganya cuma RM4 untuk sepuluh biji. Sekarang ini, tidak silap saya dah naik harga sedikit. RM5 untuk 12. Ada dua bentuk - bahulu cermai dan bahulu ikan. Saya sanggup bersidailah tepi kiosk tu untuk tunggu trip bahulu yang baru dibakar. Syok makan panas-panas!

Sebenarnya sejak awal tahun 2020 lagi, saya berhenti sekejap makan bahulu. Konon-konon ketika itu saya on gluten free diet. Tak makan tepung. Jika lalu di hadapan kiosk bahulu, gigih toleh tempat lain, sekadar ambil bau je untuk lepas rasa teringin.

Hendak dijadikan cerita, selepas itu kita mula PKP pula. Lagilah tidak jejak langsung ke sana. Mana nak dapat bahulu! Hari demi hari keinginan pada bahulu makin menggunung. Kerja saya asyik mengomel pada Bott nak bahulu nak bahulu. Bayangkanlah, jika dahulu seminggu sekali memang akan beli bahulu. Masuk bulan Mac dan April tu dah lebih setengah tahun saya tak makan! Bagi saya dah cukup tragis dah!

Memang hendak tidak hendak kena buat sendirilah jawabnya. Nasib baiklah Bott ada mentol menyala dekat kepala dan suruh saya buat bahulu guna sandwich maker. Mujur juga sandwich maker saya di rumah masih boleh digunakan. Maka, terhasillah bahulu sandwich maker dengan jayanya.


Sedia untuk dinikmati!

Pertama kali saya dengar lagu Tok Ti 'Kuasa Cintamu' ini sewaktu dipersembahkan dalam Konsert Manifestival Siti Nurhaliza x HotKool sekitar bulan September yang lalu. Sekali dengar terus jatuh cinta pada gubahan melodinya. Saya suka. Mendayu-dayu!

Lagu ini ditulis oleh Tok Ti sendiri dan Melly Goeslow. Didekasikan buat puteri sulongnya, si comel cheeky Aafiyah. Bagi yang belum dengar, carilah di Youtube atau strim di platform digital kegemaran kalian ya.

Petang tadi saya tukar tali gitar. Kebetulan hujan lebat, tercari-cari aktiviti yang boleh dilakukan selain meruyupkan mata. Hahaha takkan setiap kali hujan nak bobok dan berselimut je kan? Makanya, Bott bancuh kopi panas, kami berdua lepak di ruang depan. Dia baca buku, saya pula buat pencemaran bunyi, petik gitar hasilkan easy chords lagu ‘Kuasa Cintamu’.

Chords di bawah ini ikut sedap telinga saya je tau. Saya ikut lenggok nyanyian Tok Ti. Saya tak sempat nak jenguk Chordify atau pergi transpose chord. Jadi, kalau ada yang tidak kena atau mungkin ada kord yang missing, maafkan saya ya. Nanti, ada kesempatan saya semak balik.

Kord Gitar From FAMF Tower

Kord Gitar dan Lirik Lagu Kuasa Cintamu - Siti Nurhaliza (Easy Guitar Chords)

OST Seandainya Kau Ada


(Intro)

Em Em


Em B7

Ku mengkhabarkan pada awan

E Am 

Jangan terus jadikan mendung

B7 Em

Kerna alam ingin cahaya

Am D

Untuk terus hidupkan terang


Em B7

Semenjak aku menatapmu

E Am 

Hilang padam hatiku galau

B7 Em

Tak pernah lagi lelap tidurku

Am D

Tanpamu mengiring pejamku

Itik Berenang Pulang pada Senja

Rabu, Oktober 07, 2020

Assalamu'alaikum. Saya sedang kemas kini folder gambar di telefon dan komputer riba. Terjumpa kembali gambar ini. Tidak silap saya, ini gambar lebih kurang tiga tahun lepas. Tahun itu, saya masih ambil students sekolah menengah di kelas tuisyen saya. 

Kes itik berenang pulang pada senja ini berlaku semasa sesi ulang kaji menjelang peperiksaan dengan para pelajar. Kami buat latihan peribahasa bergambar. Sebenarnya, soalan peribahasa bentuk ini sangat mudah. Kita akan diberi bayangan melalui gambar. Bukan tanya maksud, bukan suruh buat ayat. Tetapi, hendak tidak hendak kenalah tahu peribahasa yang asas. Jika tidak, jenuh hendak meneka. Waktu-waktu beginilah akan ada sebahagian daripada anak didik saya yang mula mengarang tajuk novel atau drama Akasia dan Samarinda.

Saya letakkan syarat, fikir betul-betul sebelum jawab! Jangan serampangan sahaja main teka-teka. Try recall peribahasa yang telah dipelajari sebelum ini. Cuba jawab semua. Tengok gambar dan relate dengan peribahasa yang bersesuaian.

... dan ini yang saya dapat.


 😆😝😁

Jawaban yang tepat ialah bagai/ibarat itik pulang petang. Maksudnya, seseorang yang berjalan lambat.

Hahahah ini kira dapat markah untuk mencubalah. Mungkin disebabkan gambar tu agak gelap, daripada ‘petang’ terus diletaknya ‘senja’.

Susah payah itik tu berenang pulang pada waktu senja! Lepas ni cikgu kena lebih gigih lagi 'implan' peribahasa-peribahasa dalam fikiran kalian.