Cili Kiub untuk Memasak

Isnin, Julai 05, 2021

Assalamualaikum. Selamat memulakan minggu baharu.

Hari ini cerita pasal cili kiub saya. 😊 Kebiasaannya apabila beli cili kering, Bott akan proses cili tersebut sekali harung untuk dibuat pes cili kisar atau cili giling. 

Pes cili itu kemudiannya akan dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama, cili kisar yang akan digunakan dalam masa terdekat, diletakkan di dalam balang atau bekas sederhana besar dan disimpan di dalam peti sejuk. 

Kedua, sebahagian lagi cili kisar dimasukkan ke dalam beberapa plastik dan didinginbekukan (masuk freezer). Setiap plastik agak-agak saiz hidangan sambal tumis sekali masak. Jadi, apabila teringin  hendak masak sambal (dan stok cili dalam balang habis), kami akan guna cili kisar frozen. Biarkan pada suhu bilik untuk dinyahbeku, kemudian masaklah sambal seperti biasa.

Akhir sekali, baki cili kisar akan dimasukkan ke dalam kiub ais (ice tray). Dingin bekukan. Dapatkan kiub ais atau kiub pes makanan bayi yang bertutup seperti di bawah. 

Julai yang Baik-baik Sahaja

Ahad, Julai 04, 2021

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Dah beberapa hari kita melangkah ke bulan Julai, barulah hari ini saya sempat menjengah blog.

Minggu lepas memang sibuk sangat. Saya ada dua artikel yang perlu disunting dan diserahkan sebelum akhir bulan. Selain itu, saya siapkan Projek Soldadu dan satu lagi tempahan kraf yang saya gatal terima pada saat-saat akhir. 😅 Pada masa yang sama, sibuk kemas rumah, ubah susun atur perabot sedikit, buat beberapa diy untuk dapur dan tidak lupa, penuhi temujanji doktor untuk pemeriksaan rutin kesihatan.

Menjelang malam saya dah kepenatan, hendak angkat jari pun tak larat. Jadi, blog memang terabai. Beberapa hari tiada entri baharu. Blogwalking, tinggal komen dan balas komen jauh sekali.

Ini baru hendak menapak kembali.

Salam Julai yang ceria buat kalian semua! Mudah-mudahan Julai ini jadi bulan yang baik-baik sahaja buat kita semua.


Nasi Goreng Petai dan Mangga

Isnin, Jun 28, 2021

Kadangkala apabila rasa macam malas atau tiada idea hendak masak apa untuk makan malam, saya akan buat nasi goreng. Mudah sebab tak perlu fikir banyak. Buka peti ais, tengok bahan apa yang ada untuk dijadikan ramuan nasi goreng.

Kali ini saya buat nasi goreng petai. Kebetulan masih ada stok petai di dalam peti dingin beku. Kami di rumah ni memang suka makan petai. Belum pun siap masak, masing-masing dah teruja hendak makan nasi goreng apabila memikirkan petai sebagai hidangan. 🤤


Masih dan Kekal Begitu

Ahad, Jun 27, 2021

 

Credit - Grammarly Cards


Please and thank you are still magic words.



Setuju tak? Bagi saya, 'Tolong' dan 'Terima Kasih' memang masih 'magic words' dan akan kekal begitu. Sepantas mana pun gaya hidup sekarang, sepesat mana pun kemajuan teknologi mengubah dunia, dua frasa ini akan tetap relevan dan sesuai diguna pakai sampai bila-bila. 

Cuma terpulang pada kita untuk amalkan atau tidak. Saya kurang setuju dengan pendapat sesetengah pihak yang mengatakan tidak perlu berbasa-basi guna perkataan tolong atau ucap terima kasih kerana dengan masa sekarang yang terlalu pantas bergerak, orang akan faham jika kita tidak menuturkannya.