Egg untuk Ayah yang Eggcellent

Isnin, Julai 04, 2022

Assalamualaikum.

Ini sebenarnya aktiviti cuti sekolah awal bulan lepas untuk anak-anak cilik yang saya ajar. Kad telur mata sapi khusus buat ayah bersempena dengan sambutan hari bapa. Mereka hasilkan secara berperingkat. Setiap kali kelas bersama saya, 5 - 10 minit terakhir setelah kerja berjaya disiapkan, kami sambung dengan buat kad. Alhamdulillah, sempatlah kad masing-masing siap untuk diserahkan kepada ayah pada 19 Jun.

You’re An Excellent Father!

Lepat Pisang dan Ubi Kayu Rebus Pembuka Julai

Jumaat, Julai 01, 2022

Assalamualaikum. Salam 1 Julai. Selamat memulakan bulan baharu! Bab ke-7 untuk kisah 2022 kita. Moga Julai bulan yang indah, yang menyenangkan buat kita semua. Hari ini juga 1 Zulhijjah. Mudah-mudahan 30 hari yang mendatang dapat kita lalui dengan tenang, dipenuhi dengan melakukan perkara-perkara yang baik dan bermanfaat.

Sebenarnya, dua tiga hari ini saya dan Bott teringin hendak makan lepat pisang tetapi masing-masing malas keluar rumah pergi beli di gerai menjual sarapan di kawasan rumah kami. 

Kebetulan ada beberapa sisir pisang di dapur. Terdetiklah hati ini nak buat lepat pisang. Bukan main teruja lagi saya nak melepat. Pisang ada, tepung dan bahan-bahan lain ada, daun pisang boleh minta kat Nenek P, ambil kat pokok sebelah pagar ... eh, kepala parut? 

Saya nak makan lepat pisang yang adunannya letak kelapa parut banyak-banyak. Kelapa parut tiada. Jadi kena keluar pergi kedai. Lepas tu fikir yang kena keluarkan kukusan baharu. Alat pengukus masih berbalut rapi dalam kotak. Eh, makin banyak pula prosesnya! Makin berat malas kami. Last-last, saya dengan Bott ketawa terbahak-bahak. "Who are we kidding? Nak buat lepat konon! Kita bertahan sampai rajin kita sampai!" Setakat untuk kami berdua makan, nanti beli jelah di kedai.


Lepat Pisang Cukup Rasa

Alhamdulillah, tak sangka ada rezeki lepat pisang untuk kami di pagi Jumaat ini. Hari masih terang- terang tanah, jiran datang hantar lepat pisang panas-panas. Gembira tak terkata!

Lepat pisang idaman kalbu 😁

Wordless Wednesday - Durian Runtuh

Rabu, Jun 29, 2022

 

Dapat si raja buah, durian runtuh jiran bagi 😂

Secangkir Teh Pudina

Ahad, Jun 26, 2022

Semalam untuk makan tengah hari saya pesan makanan dari luar sahaja. Teringin nasi Arab. Hendak keluar cari makan malas, jadi kita Grab sahaja. Set nasi Arab yang saya beli siap ada minuman. Bott pilih teh lemon ais. Saya tak mahu air sebenarnya tetapi dah alang-alang termasuk sekali dalam set, saya pilih teh pudina panas.

Setelah makanan sampai, kami berdua terus makan tidak pandang kiri kanan. Kelaparan. Lupa terus tentang teh pudina saya. Minuman saya disediakan di dalam cawan kertas, cukup semua - teh uncang, gula dan daun pudina. Tinggal masukkan air panas sahaja. 

Disebabkan belum lagi dibancuh, saya letakkan cawan teh saya di sebelah mesin kopi. Ingat nak buat untuk minum petang. Lupa! 

Hari ini semasa hendak bancuh kopi baru perasan teh pudina saya yang belum dikacuk. Mujurlah daun pudinanya tidak berair. Masih ada rupa daun pudina. Saya keluarkan gula dari cawan, tambah beberapa biji bunga cengkih, tuang air panas dan biarkan teh dan bahan-bahan tu terendam buat seketika.

Inilah teh pudina saya! Bott kata teh Arab saya ni teh pandai sebab dah graduate! Tengok uncang teh tu ada gambar orang pakai jubah graduasi dan mortar board. 😂

Teh pudina