Selasa, Februari 22, 2022

Gaji-Namul - Masakan Korea yang Mudah Disediakan

Bagi peggemar masakan dari Korea, pasti kalian pernah cuba satu hidangan bernama Gaji-Namul. Gaji-Namul ialah terung kukus yang diperasakan dengan kicap dan beberapa bahan beraroma lain, merupakan hidangan banchan (side dish) yang biasa disediakan pada musim panas. 

Siapa-siapa yang suka makan terung atau tercari-cari idea untuk masak lauk apa ... saya sarankan kalian cuba Gaji-Namul. Hari ini saya akan kongsikan resepinya. Usah bimbang. Mudah sahaja cara penyediaannya.

Terung dikukus sehingga lembut tetapi tidaklah sampai mushy atau terlalu lembik. Masih mengekalkan tekstur dan rasanya.  Bahan perasa yang digunakan pun sedang-sedang sahaja dan tidak akan overpower rasa terung. Sedap dihidangkan dengan nasi panas, dijadikan salad atau diratah begitu sahaja sebagai appetizer

Tertarik tak? Tunggu apa lagi, jom kita tengok resepi!



Resepi Gaji-Namul (Terung Kukus Berkicap)


Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Beberapa biji terung. Hendak guna terung panjang atau terung bulat terserah pada selera masing-masing
  • 3 ulas bawang putih
  • Beberapa tangkai daun bawang
  • 1 sudu besar kicap
  • 1 sudu teh sos ikan (Jika tiada pun tidak mengapa.)
  • 1 sudu teh cili flakes
  • 2 sudu teh minyak bijan
  • 2 sudu teh bijan yang telah disangai


Langkah-langkah Penyediaan:

  1. Potong terung kepada beberapa bahagian. Basuh dan bersihkan. Setelah itu, kukus terung sehingga lembut. Tetapi, jangan sampai terlalu mushy. Nanti tak sedap pula. Biarkan seketika terung yang telah dikukus supaya sejuk.
  2. Hiris halus bawang putih dan daun bawang. Masukkan ke dalam sebuah mangkuk sederhana besar.
  3. Kemudian, masukkan kicap, sos ikan, cili flakes dan minyak bijan. 
  4. Siat-siat atau hiris terung kukus dan masukkan ke dalam mangkuk berisi bahan-bahan tadi.
  5. Gaul sekata semua bahan. Akhir sekali tabur bijan yang telah disangai sebelum juadah dihidangkan.

Jika tiada sos ikan atau tidak mahu guna sos ikan, guna kicap sepenuhnya pun boleh. Apa yang penting, kita kena pandai-pandailah seimbangkan rasa.

Biasanya jika sediakan menu ini, saya jadikan sebagai hidangan utama. Makan dengan nasi panas-panas. Kalau rasa tidak cukup pedas, taburkan hirisan cili api. Memang terangkat!

Selamat mencuba!


Pstt! Insya-Allah nanti perlahan-lahan saya datang blogwalking! Tungguuu!


4 ulasan:

  1. sempoi banget ni...
    semua bahan ammi ada kecuali bijan

    BalasPadam
  2. suka masakan terung..boleh ratah2 je ni..

    BalasPadam
  3. Tak pernah makan Gaji-Namul ni. Suka makan terung tapi suka masakan terung dibakar atau digoreng :)

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.