Popcorn Air Fryer Mudah dan Jimat

Jumaat, Ogos 20, 2021

Salah satu cara mudah untuk menyediakan bertih jagung ialah dengan menggunakan air fryer. Bukan sahaja senang malah, saya anggap cara ini lebih jimat, lebih sihat. Kita boleh kawal bahan-bahan yang ingin kita guna sesuai selera dan pada masa yang sama, risiko popcorn hangit dapat dikurangkan.

Apa yang diperlukan untuk buat bertih jagung hanyalah biji jagung (corn kernel) dan air fryer. Untuk perisakan bertih jagung pula, bergantung kepada kalian. Saya akan ceritakan lebih lanjut di bawah.

Biji jagung ada dua jenis. Butterfly dan mushroom. Butterfly tu jenis popcorn yang biasa kita makan dari dulu-dulu manakala mushroom pula bertih jagung bulat yang pengeluar popcorn premium selalu guna untuk produk mereka. Ingat lagi saya pernah tulis mengenai Popcorn Eureka sebelum ini? Popcorn Eureka guna biji jagung mushroom.

Dari segi harga, mushroom lebih mahal berbanding butterfly. Jadi, jika hendak dapatkan biji jagung, pastikan betul-betul jenis apa yang ingin dibeli. Kadangkala di Lazada, keterangan produk tulis mushroom, harga pun harga mushroom tetapi apabila baca ulasan-ulasan yang ada - setelah jadi bertih jagung, yang terhasil rupa butterfly.

Saya jenis tak kisah bentuk apa. Jadi, saya pilih sahaja biji jagung yang paling murah. Kalau ikut range harga memang jenis butterfly tetapi ada juga terselit dua tiga biji mushroom.


Resepi Popcorn Air Fryer

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • beberapa sudu besar biji jagung
  • bahan-bahan untuk perisakan popcorn yang telah siap seperti mentega, gula halus atau gula perang, garam laut, serbuk keju, coklat gelap ... serbuk matcha pun sedap. Terserah selera.

Langkah-langkah penyediaan:
  1. Panaskan air fryer pada suhu tertinggi selama 3 - 5 minit jika anda memiliki air fryer Philips generasi pertama seperti saya.😅 Air fryer model lama memang kena panaskan terlebih dahulu. Yang model terkini sudah tidak perlu. Jadi, sila abaikan langkah ini dan pilih suhu tertinggi (200/220 darjah celcius bergantung kepada model produk masing-masing).
  2. Ratakan 2 - 3 sudu besar biji jagung ke permukaan raga air fryer. Tidak perlu guna sebarang minyak ya. Tutup raga dengan penutup. Kita tak mahu biji jagung yang 'pop' tersangkut pada lingkaran pemanas di bahagian atas air fryer.
  3. Setkan pemasa ke 7 - 8 minit dan bersedialah untuk dengar letusan biji jagung. Biji jagung akan mula meletus dengan rancak sekitar minit ke-5 atau 6.
  4. Setelah bunyi letupan berakhir, maknanya popcorn sudah sedia. Keluarkan dari air fryer dan masukkan ke dalam mangkuk.


Pada peringkat ini, popcorn sudah boleh dimakan. Ini versi paling sihat (tanpa garam, mentega atau gula) dan rendah kalori. Satu cawan popcorn kosong begini cuma 31 kalori. Sesuai untuk orang berdiet kunyah-kunyah namun rasanya agak bland

Jika ingin sesuatu yang enak, bolehlah perisakan popcorn ikut perasa kegemaran.

Paling mudah - gaul popcorn dengan lebih kurang beberapa titis minyak zaitun atau minyak sayuran (boleh juga guna vegetable spray) dan taburkan sedikit serbuk keju atau serbuk telur masin. Gaul sekata. Tujuan penggunaan sedikit minyak adalah untuk membolehkan bahan perasa melekat pada popcorn. Sekali-sekala, saya turut letakkan sedikit serbuk bawang putih bersama serbuk keju.

Kegemaran saya - Cairkan coklat gelap kemudian lelehkan ke dalam mangkuk yang berisi popcorn. Tambah sedikit garam laut sebelum gaul semua bahan sehingga menyaluti setiap butir popcorn. 


Saranan lain:
  • Salutan karamel. Panaskan beberapa sudu gula halus di dalam kuali pada suhu sederhana panas sehingga gula mencair. Masukkan satu sudu besar mentega dan kacau. Setelah larutan bertukar menjadi perang cair, masukkan popcorn dan gaul sehingga sekata.
  • Mentega kacang dan madu/sirap mapel.
    Campurkan dua sudu besar mentega kacang dengan dua sudu besar madu atau sirap mapel dan 1/2 sudu teh esen vanila. Panaskan seketika campuran tadi di dalam ketuhar gelombang mikro supaya mencair. Kacau hingga sebati. Sementara masih panas, tuangkan campuran ke dalam mangkuk berisi popcorn dan gaul sekata. 
  • Coklat kelapa
    Campurkan dua sudu teh serbuk koko, 1 sudu teh gula halus dan 1/2 sudu teh serbuk kayu manis. Gaulkan popcorn dengan 2 sudu teh minyak (minyak zaitun, jagung atau minyak sayuran), kemudian taburkan dengan campuran serbuk yang dibuat tadi. 

Apa yang seronoknya, kita boleh bereksperimen dengan macam-macam perasa. Suka lebih coklat, lebihkan. Kurang gemar rasa manis yang keterlaluan, kurangkan.

Selamat mencuba!

27 ulasan

  1. terbayang gurih dan manis popcorn bikin sendiri kak...aku catat resepnya..ingin mempraktikkan sembari bisa kumakan sambil nonton film ^^

    BalasPadam
    Balasan
    1. Silakan ... silakan. Nanti setelah dicoba resepnya, jangan lupa berbagi hasilnya sama saya 😊

      Padam
  2. Seronok kalau ada air fryer ni macam macam menu boleh buat. So far tak pernah buat popcorn sendiri. Lama juga tak makan popcorn. baru tahu ada jenis isi jagung juga. Terima kasih untuk penerangan tu. nanti takdelah silap membeli kalau first time nak buat. Saya suka yang disaluti karamel banyak macam garret popcorn.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ooohhh Garrett popcorn tu kan janganlah sekali-kali kasi lalu depan akak. Memang akan tumpas punya. Setiap butir mewah salutannya. Akak suka yang campur dengan nuts sekali. Yummehhh!

      Padam
    2. Kannn..kadang tu sayang nak habiskan. Kena makan sebiji dua sehari. Punyalah jimat makan tak nak habiskan cepat. Yang ada nuts sedap! Lupa dah nama nama menu dia sejak tak dapat merentas nak membeli.

      Padam
  3. Bagusnya idea ini. Terima kasih Farrah sudi kongsi tips!

    BalasPadam
  4. Sekarang dah mudah, boleh buat pop corn di rumah, dulu² nak makan pop corn kena beli..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul. Masa saya kecil dahulu, susah nak jumpa poporn. Kalau dapat beli popcorn memang rasa tak jejak dunia 😁

      Padam
  5. KUdapan ni sedap sangat . Tak pernah buat sendiri . Selalu nak makan beli yang dah siap

    BalasPadam
    Balasan
    1. Akak dalam fasa insaf... so buat sendiri. Kalau tak nampak kudap-kudap manis yummy begini asyik rasa nak beli hahaah

      Padam
  6. Nampak mudah! Saya selalu beli je popcorn sebab sejenis malas betul hahaha.
    Tapi macam seronok je bila buat popcorn sendiri ni, boleh eksperiman sendiri. Nak rasa macam mana macam mana, boleh tentukan sendiri.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bukan sebab malas... convenient dah lalu-lalang depan mata. Kita kena beli hahahah
      Tapi, bereksperimen dengan popcorn buatan sendiri seronok gak tau. Rasa macam berjaya bila jumpa flavour sedap yang kita suka 😂

      Padam
  7. Menarik juga untuk dicuba guna air fryer..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang menarik. Saya suka sebab tak perlu guna minyak langsung utk letupkan popcorn tu.

      Padam
  8. sedap ni layan smbil tngok movie. hehe

    BalasPadam
  9. Baru hari ni saya tahu biji jagung ada 2 jenis. Ingatkan sama sahaja. Kena la ada perasa sikit popcorn air fryer ni, kalau tak rasa macam makan kertas. Huhu

    BalasPadam
  10. walaupon sy diet tp nk mkn popcorn kosong camtu rsnya xsggup.. haha..

    paling suka caramel!

    BalasPadam
  11. boleh cuba nanti :)
    tq kak farrah ^_^

    BalasPadam
  12. Menarik...boleh la cuba buat nanti ni..Dania memang suka popcorn

    BalasPadam
  13. dah bertukar wajah blog Farrah. Cantik template ni

    BalasPadam
  14. Nak buat lah popcorn. Tapi tak ada air fyer. guna kuali je lah hehe

    BalasPadam
  15. Mudahnya buat pop corn, perasa pula bole tambah dan kurang. Baru tahu ada jenis bertih jagung.. Perasan juga pop corn modern ni bulat hehe..

    BalasPadam
  16. wahh boleh try ni sebab macam senang je nak buat...nak cuba perisa karamel

    BalasPadam
  17. Ekin ada air fryer yang Haier tu, ada ke teringin nak buat tapi xberani buat takut terlekat jagung telekat dekat besi atas tu huhuhu,

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.