Sabtu, Disember 11, 2021

Apam Gebu Tak Cukup Satu

Sebelum ini saya pernah kongsi resepi Apam Bakar Kelantan. Memang sedap apam tersebut tetapi ada sesetengah orang kurang gemar kerana terganggu dengan rasa halia dan lada hitam. Jadi, hari ini saya kongsikan satu lagi versi resepi apam bakar yang lebih ringkas tetapi tetap enak, gebu dan lembut teksturnya.


Begini Cara Menyediakan Apam Tepung Gandum yang Gebu

Jika apam bakar Kelantan menggunakan tepung beras dan pisang sebagai asas dohnya, apam gebu ini menggunakan tepung gandum sahaja. Tidak perlu masukkan pisang.


Apam bakar gebu sedia untuk dinikmati.


Resepi Apam Bakar Tepung Gandum

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 cawan tepung gandum
  • 1/3 sudu teh garam
  • Bancuhan yis (1/3 sudu teh yis + 2 sudu teh gula + 1/4 cawan air suam)
  • 3/4 cawan air


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Satukan bahan bancuhan yis dan perap sehingga berbuih (lebih kurang 30 minit).
  2. Tuangkan bancuhan yis ke dalam mangkuk berisi tepung gandum dan garam. Masukkan air. Gaul sehingga menjadi aduan yang sebati dan tepung tidak berketul-ketul.
  3. Setelah itu, rehatkan adunan selama sekurang-kurangnya satu jam.
  4. Panaskan kuali leper. Saya lengserkan dengan sedikit minyak masak. Guna mentega atau marjerin pun boleh. Tidak mahu guna minyak pun tiada masalah tetapi pastikan kuali leper yang digunakan jenis tidak melekat ya.
  5. Sendukkan adunan apam ke atas kuali. Biar seketika sehingga lubang-lubang kecil muncul di atas permukaan apam. Terbalikkan dan biar sehingga sisi satu lagi masak sempurna. Ulang proses membakar sehingga adunan habis.
  6. Hidangkan bersama pencecah pilihan.


Untuk 1 adunan, biasanya saya dapat dalam 4 - 5 saiz sederhana. Kalau rasa tidak cukup untuk jamu keluarga di rumah, gandakan adunan ya. 

Jom kita close-up. Gambar di atas tu dekat dapur. Lighting lari sikit.

Apam bakar lembut dan gebu.


Apa yang penting, kena ada pencecah buat lawan apam bakar. Sambal tumis ke … kari atau gulai lemak …. pasti terangkat! Saya makan apam bakar dengan sambal ijo. Sambal ijo ni jenis yang ada ikan bilis (ikan teri) sekali. Memang syok! Nanti ada kesempatan saya kongsi resepi sambal ijo ikan teri pula.

14 ulasan:

  1. apam ni orang panggil lempeng juga kan? nampak mudah resepi dia :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Haah. Ada yang panggil lempeng ada yang panggil apam :)

      Padam
  2. Sedap ni ada garing garing sikit. Lebih kurang lempeng rupa dia cuma beza dia tebal dan nipis je. Memang kena ada pencicah baru sedap kan :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu, Fiza. Bahagian yang garing-garing tu yang aduhai... dap dap dap! Memang kena cecah dengan sambal atau kari. Barulah ngam!

      Padam
  3. simple je tapi sedap. yang penting pencecah tu kena padu

    BalasPadam
  4. mcm lempeng rupa dia.. cicah sambal bilis msti paduuuu! hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tak cukup satu. Kena makan sekurang-kurangnya dua atau tiga 😀

      Padam
  5. Balasan
    1. Memang dap dap dap, Busyra. Lawan dengan kopi atau teh panas 😊

      Padam
  6. Bayangkan sahaja boleh terliur.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau dekat dah ketuk pintu rumah NA dah hantar barang sekeping dua 😊

      Padam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.