Selamat Hari OKU Sedunia

Jumaat, Disember 03, 2021

Assalamualaikum. Salam Hari Jumaat. Hari ini, 3 Disember merupakan sambutan Hari OKU Sedunia. Sebagai ahli masyarakat, kita perlu buka mata, iktiraf keistimewaan golongan ini dan beri mereka peluang seadilnya untuk membuktikan diri. Ada banyak kategori orang kelainan upaya - OKU fizikal, mental, penglihatan, pendengaran dan pembelajaran. Setiap seorang punya hak yang sama dengan kita yang biasa ini cuma kitalah kena sentiasa beri sokongan dan tahu cara yang betul untuk berinteraksi dengan mereka. 

Mudah-mudahan, dengan ada sambutan sebegini saban tahun, kita akan lebih peka dan prihatin terhadap keadaan mereka. Dapat beri pendedahan dan didikan yang baik kepada ahli keluarga terutama anak-anak agar tidak mengabaikan golongan OKU atau merendah-rendahkan keterbatasan mereka. Perlu jadi lebih empati.


Photo by Eren Li from Pexels


Panduan Membantu OKU Penglihatan

Hari ini saya ingin kongsi sesuatu yang saya kira penting dengan kalian. Kadangkala, apabila terserempak dengan golongan OKU, pasti ramai yang tergerak hati untuk menghulurkan bantuan. Lebih-lebih lagi, seandainya insan istimewa tersebut tunanetra yang mahu melintas jalan atau memerlukan bantuan tunjuk arah. 

Tetapi, sebelum membantu ada beberapa perkara yang perlu kita titikberatkan. Gunakan kaedah interaksi yang betul. Utamakan keselamatan dan keselesaan mereka terlebih dahulu sebelum menghulurkan pertolongan. 

  • Jika mahu menuntun mereka, usah semberono mengangkat atau menyentuh fizikal mereka. Sebaiknya tegur, beri salam dan maklumkan yang kalian berniat untuk membantu. Berkomunikasilah supaya kalian dapat tahu cara terbaik untuk membantu mengikut keselesaannya. 
  • Jangan sekali-kali mengambil atau menarik tongkat mereka. Segelintir daripada kita beranggapan bahawa cara paling mudah untuk menunjukkan jalan kepada golongan ini adalah dengan menarik atau memegang mana-mana bahagian tongkat supaya mereka lebih senang menurut langkah anda. Sebenarnya, tindakan ini akan 'melemaskan' mereka. Tidak keterlaluan jika saya katakan akan membuatkan mereka panik. 

Kita kena ingat, tongkat umpama mata buat orang tunanetra. Jika kita gunakan mata untuk lihat lubang, tunggul, batu atau kayu ... OKU penglihatan guna tongkat untuk kenal pasti semua objek ini. Jadi, apabila kita tarik tongkatnya (tongkat tidak lagi mencecah bumi), dia sudah hilang panduan dan tidak dapat rasa apa-apa. Secara tidak langsung, kita dah buat dia bimbang kerana tidak pasti dengan apa yang ada di sekeliling dunia gelapnya.


Photo by MART PRODUCTION from Pexels

  • Pimpin dengan memegang bahagian siku atau lengan dengan lembut.

  • Jangan sesekali heret atau tarik OKU penghilatan yang dipimpin. Langkah kita orang biasa tidak sama dengan langkah individu ini yang semestinya lebih berjaga-jaga. Jadi, sebaiknya, jalan beriringan dan biarkan individu yang anda tuntun itu mengikut rentak langkah yang dirasakan selesa. 
  • Jika perlu, berikan arahan dengan jelas. Seandainya mahu belok ke kiri, nyatakan yang kita perlu belok ke kiri sekarang ... selepas langkah longkang ini, kita akan belok ke kanan ... Ingat, yang ada mata untuk melihat itu kita dan jangan fikir orang yang pimpin tu tahu apa yang bermain di fikiran kita. Elok-elok jalan lurus, tiba-tiba kena heret ke kiri. Nanti tidak pasal-pasal kita buat dia tersentak.
  • Setelah selesai membantu, maklumkan padanya. Sebelum kalian beredar pergi, seeloknya beritahu kepada OKU tersebut. Ini bagi menghindarkan situasi OKU penglihatan tersebut terpinga-pinga atau bercakap bersendirian kerana menyangka kalian masih ada. 


Mudah, bukan? Membantu golongan ini memang amalan yang terpuji, tetapi biarlah kena dengan gayanya. Jangan pula disebabkan niat kita yang nak menolong tetapi kurang ilmu akhirnya memudaratkan mereka. Panduan ini sekadar perkongsian berdasarkan pemerhatian dan pergaulan saya dengan insan-insan istimewa. Semoga bermanfaat buat kita semua.


Pstt! ... dan hari ini juga Hari Batik Malaysia! 😁 PM baru umum.

7 ulasan

  1. Pertama kali saya dengar istilah tunanetra. Terima kasih berkongsi. Respek dengan golongan OKU ni sebab mereka dipilih Tuhan untuk diuji. Kita yang cukup sifat ni pun selalu komplen macam-macam

    BalasPadam
    Balasan
    1. Setuju. Memang kagum dengan mereka. Kadang-kadang kekuatan dan kecekalan mereka ni di luar batas imaginasi...

      Padam
  2. terima kasih kak farrah berkongsi maklumat ini
    setakat ni blm bpeluang nk bantu oku kalau ada saya pasti bantu :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Insya-Allah, lepas ni sekurang-kurangnya apabila nak bantu kita dah tahu asas apa yang nak dibuat kan...

      Padam
  3. Ammi pernah offer seorang yg buta..
    Katanya dia tak perlukan bantuan sbb itu laluan harian dia.. Tapi kalau nak teman dia berborak sepanjang laluan dia tak ada halangan. Jadi berborak lah ammi sambil jalan slow2 dgn dia

    BalasPadam
  4. Selamat hari OKU sedunia. Semoga mereka terus kuat dan sabar dalam menjalani hidup. Kita yang sempurna terus berikan sokongan.
    Bergaduh hari batik dan hari OKU sedunia ni. huhu...

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.