Jumaat, Januari 28, 2022

Pilih Kopi dan Lihat Gambaran Personaliti Anda

Assalamualaikum. Mudah-mudahan kalian semua baik-baik sahaja hari ini. Jom main pilih-pilih! Kalian jenis kopi yang mana?

Kredit Imej - Instagram Something's Brewing

Secara peribadi, saya suka semua kecuali decaf hahahah. Cita rasa kopi saya berbeza ikut hari, mood dan apa yang saya lakukan. Kalau pagi hendak workout, saya akan ambil kopi hitam. Jika ingin santai-santai beri ganjaran pada diri, saya akan pilih latte dengan suntikan perasa tertentu seperti kacang hazel, sos coklat, madu atau kayu manis. Waktu buat kerja depan komputer pula saya suka cappucino.

Kalau betul-betul suruh pilih satu, saya akan pilih latte. Yes, I am a comfort seeker. Sebanyak mana pun kecintaan dan kegilaan saya pada pahit kopi juga keasidannya, saya tetap gemar deria rasa dimanjakan dengan keenakan susu.


Kalian pula bagaimana?


Kopi Hitam dan Manfaat Kesihatan

Alang-alang dah bicara tentang kopi, rasanya ramai yang sedia maklum akan manfaat kopi hitam (black coffee) untuk kesihatan. Kebanyakan kopi (jangan ambil kira serbuk kopi campuran dan kopi pracampur) mempunyai nilai kalori rendah, hampir kosong jika dibandingkan dengan kopi bergula, bersusu dan berkrim. Jadi memang sesuai sangat untuk yang berdiet. Kita cakap tentang kopi kosong tanpa gula tau. Andai ada rasa manis pun, cuma menggunakan sedikit gula atau pemanis semula jadi. Kalau letak gula semewahnya secukup rasa, itu dah jadi kopi o peng! 😁

Kafein dalam kopi dapat membantu meningkatkan kadar metabolisme, merangsang pembakaran lemak dalam tubuh selain membantu meningkatkan tenaga dan daya tumpuan kita. Bukan itu sahaja, kopi juga boleh mengurangkan risiko kencing manis jenis 2 (Diabetes Type 2) dan penyakit berkaitan nyanyuk seperti Alzheimer atau Dementia.

Tetapi, sekali lagi saya ingatkan. Kopi kosong tau! Bukan kopi guna serbuk kopi campuran, bukan kopi 3-in-1, bukan Kopi Sally, kopi gantung atau kopi ikat tepi. 😆

Oleh itu, bagi yang hendak nikmati kebaikan kopi sepenuhnya, kenalah berjinak-jinak dengan kopi hitam tanpa gula.


Bukan Penggemar Kopi Hitam? Cuba tips di bawah.

Ingin peroleh manfaat kopi hitam tetapi tekak tidak boleh terima? Saya faham situasi kalian. Tidak semua boleh terima kopi kosong. Mungkin dek kerana ketajaman rasa pahitnya, kopi ini bukan pilihan kalian. Mari cuba tips dibawah:


Tips untuk Mula Menikmati Kopi Hitam dan Memperoleh Manfaat Kesihatan yang Ditawarkan


Kurangkan penggunaan gula secara berperingkat

Andai selama ini tunas rasa kalian sudah dimanjakan dengan kopi manis bergula, mula kurangkan penggunaan gula secara berperingkat. Jika biasa letak dua sudu teh gula, kurangkan kepada satu. Kemudian, kurangkan lagi kepada setengah dan suku. Dengan cara ini, dapatlah kita lentur tunas rasa secara perlahan-lahan agar dapat menerima kopi pahit tanpa gula.

Kepelbagaian cara panggang dan bru

Jangan terikat pada satu pilihan. Cuba beraneka jenis kopi yang ada di pasaran. Pilih kopi dengan tahap panggang (roast) yang berbeza agar boleh kenal pasti yang mana satu sesuai dengan selera. Selain itu, kalian boleh cuba kaedah bru sejuk kopi (cold brew coffee) untuk dapatkan rasa kopi yang lebih lembut dan kurang berasid. Baca lanjut mengenainya di sini.

Ingat pilihan kegemaran anda

Dalam pada bereksperimen dengan pelbagai jenis kopi, jangan lupa untuk ingat kopi yang berjaya menambat cita rasa kalian. Beli kopi tersebut untuk bancuh kopi hitam kalian. Jadi, apabila kalian perlukan kopi hitam, bru sahaja kopi kegemaran. Dengan cara ini, kalian akan lebih menikmati kopi hitam yang diminum.

Gunakan kopi yang segar

Hal ini agak penting. Gunakan serbuk kopi yang segar, bukannya kopi yang sudah lama menjadi penghuni pantri tanpa diusik. Kita minum kopi kosong tanpa gula, susu atau krim. Jadi, jika kopi yang digunakan tidak segar, tiada apa yang dapat sembunyikan rasa stale kopi tersebut. Yang pasti, kalian bakal terseksa dengan rasanya. 

Seeloknya, simpan biji kopi atau serbuk kopi yang dibeli di dalam bekas kedap udara di tempat yang kering dan terlindung daripada cahaya matahari. Kalau kalian jenis kisar biji kopi sendiri, jangan kisar dalam jumlah yang banyak sekali gus. Kita ingin kekalkan rasa, aroma dan kesegarannya semaksima mungkin.

Yang sedang-sedang panas

Tiada kopi yang dihidang dalam keadaan betul-betul panas. Biasanya suhu air di dalam pembuat kopi atau mesin kopi adalah sekitar 90 darjah celcius, suhu yang baik untuk air panas menyerap rasa dan aroma kopi. Menjelang tempoh dihidangkan, suhu akan turun sedikit lagi. Suhu kopi kalian patut yang sedang-sedang sahaja. Barulah dapat dinikmati keenakan kopi sebaiknya.  A scalding hot coffee is a BIG NO!


Mudah-mudahan tips mudah di atas dapat bantu kalian ubah fikiran tentang kopi hitam. Oh, jangan lupa kongsi tentang pilihan kopi kalian. Kena tak dengan personaliti.




"Kopi."

"Suka kopi apa?"

"Bergantung. Ikut selera apa yang teringin masa ... masa tu." Tepenggal-penggal jawaban lelaki itu dek kerana menahan sakit.

"Tahu tak ... ini sesuatu yang menarik! Melalui kopi, kita dapat menilai karakter seseorang. Apa kopi kegemaran kita, menggambarkan siapa diri kita." Qaira mula buka bicara soal kopi. Topik kesukaannya. Dalam pada itu, kedua-dua tangan masih kejap menekan luka Mujahid.

"Really?"

"Ya. Bila Encik Mo pesan kopi, pilihan kopi Encik Mo itu sedikit sebanyak dedahkan personaliti Encik Mo. Misalnya, peramah ke ... introvert, extrovert, berjiwa sensitif, mudah didekati atau perahsia."

"Semua tu ... boleh tahu melalui kopi?"

"Ha ah. Alah, macam kita dapat baca personaliti orang melalui tulisan atau tandatangan," jelas Qaira.

Encik Mo & Qaira


*Hari ini tulis entri mengenai kopi sebab sekarang tengah edit cerita separuh masak saya di Wattpad. Lama dah tertangguh! Konon-kononnya tahun ini hendak sambung menulis, hendak tingkatkan kemahiran berbahasa apabila ada masa terluang untuk aktiviti kuatkan minda. Otak pun kena berolahraga. 😆


16 ulasan:

  1. i always go for black coffee
    americano.. kalau rasa nak bersusu just tambah je susu kotak yg ada dlm fridge tu..takde brew sana brew sini...org kampungkan hahaha

    BalasPadam
  2. Saya pun tak tahu nak pilih mana satu. Ikut mood dan keadaan jugak. Tapi Decaf macam tak de feel minum kopi pulak. Sebenarnya macam suka machiato lagi lebih kopi dari susu. Tak ada dalam pilihan, saya pilih cappucinolah. balance susu dan kopi. Perfectionist kononnya lah :)

    BalasPadam
  3. eh sama lah kita. saya pun suka sangat2 latte. tapi lately ni suka juga cappucino dan cortado. saya salute betul yg boleh amik selalu black coffee. saya perlu satu keazaman yang tinggi kalau nak minum black coffee hahaha

    BalasPadam
  4. mine...cappucino of coz...kadang2 je go for caramel machiato. Perfectionist...xde la

    BalasPadam
  5. black coffee kalau dulu2 terpaksa minum ha haa sb kalau ke rumah arwah tok itu la hidangan penting
    tp skrg kadang2 la. minum yg light2 je cam nescafe 3 in 1.

    BalasPadam
  6. Kalau order di kedai tu latte, Baru ni cuba kopi campur dan kurang gula tapi letak susu tepung pula, betul kopi pure tu ada khasiatnya tersendiri, seakan minum herba ala jamu kan.. Thanks Farrah for sharing.

    BalasPadam
  7. Aku kalau bab kopi memang nescafe jerlah pun. Kopi lain tak berapa tahan.

    BalasPadam
  8. Alaa mocha takde ke dalan list hehee

    Cici tak minum kopi sangat. Sbb nanti susah tidur dan sakit kepala.

    Tapi zaman study dulu (dan buat last minute assignment) I'll choose coffee dari McD. Hitam pekat gitu.2 malam tak tidur hahahah

    BalasPadam
  9. Latte rasanya. Saya memang comfort seeker. minum juga kopi orang kampung macam 434 atau Hang Tuah, cuma kena ada gula. Teh takde gula takpe lagi, tai kopi tak sanggup. haha

    BalasPadam
    Balasan
    1. sal. terbalik dgn aida.
      teh tanpa gula = NO!
      kopi tanpa gula = ok ok saje :)

      Padam
  10. Saya selalu acah2 order kopi itu kopi ini. Di akhir cerita tetap pilih latte haha.
    Teringat Encik Mo & Qaira + kopi. Kena baca balik BSN ke apa ni? :)

    BalasPadam
  11. Mrs. A suka latte am a comfort seeker too kadang-kadang pilih mocha juga.
    Semalam pegi Mydin tengok nescafe dah ada decaf pulak tutup biru tu sajalah cuba nescafe decaf pulak tapi harga lebih sikit. Okaylah boleh layan.

    BalasPadam
  12. Farrah...
    Kak Amie suka kopi hitam : Black.
    Alahai, nampak betul orang kampung kan hahahaaa!

    BalasPadam
  13. Sama macam kak farah, saya minum kopi ikut mood.. hehehe.. Tapi latte memang paling bestlah..

    BalasPadam
  14. kopi kurang gula.
    yes. awal2 tu tak sedap.
    bila da terbiasa, ok je.
    nice :)
    kesihatan pun terjaga.

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.