Jumaat, Oktober 28, 2022

Tauhu Cabai Garam yang Enak dan Mudah Disediakan

Sajian masakan cabai garam atau cabe garam cukup popular di seberang kerana bukan sahaja enak, malah sangat mudah disediakan dan boleh diolah menggunakan aneka bahan makanan. Menu cabai garam sebenarnya terdiri daripada dua komponen - (i) bahan protein atau makanan laut yang disalut tepung, digoreng rangup dan (ii) tumisan cilinya.

Saya menggunakan tauhu untuk menu cabai garam kali ini.  Tauhu dipotong kepada beberapa bahagian, digaul rata dengan tepung salutan seterusnya digoreng. Setelah itu, sediakan pula cabai garam - hirisan cili, bawang putih, daun bawang, daun limau (ada sesetengah resepi tidak menggunakan daun limau) yang ditumis dan diperasakan dengan serbuk lada putih dan garam secukup rasa. Gaulkan tauhu dengan tumisan cabai garam hingga sekata ... 

... dan inilah hasilnya!

Tahu Cabe Garam

Resepi Tauhu Cabai Garam

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 4 keping tauhu dipotong kepada 6 atau 8 bahagian 
  • 5 - 7 ulas bawang putih. Saya memang lebihkan penggunaan bawang putih sebab bagi saya rasa bawang putih tu meningkatkan lagi rasa hidangan ini.
  • lebih kurang 10 tangkai cili api dihiris (boleh kurangkan atau lebihkan sesuai selera. Jika tidak mahu terlalu pedas, kalian boleh juga campur cili api dan cili merah)
  • 1 batang daun bawang dihiris (Saya tidak guna kali ini. Kehabisan daun bawang!)
  • 2 - 3 helai daun limau. Dibuang urat di tengah daun, hiris nipis.
  • 1 biji telur
  • beberapa sudu tepung jagung untuk salut potongan tauhu
  • serbuk lada putih
  • garam secukup rasa
  • minyak masak secukupnya untuk menggoreng


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Mula-mula, sediakan tepung untuk salut tauhu terlebih dahulu. Satukan beberapa sudu tepung jagung, sedikit lada putih, secubit garam dan gaul hingga sekata.
  2. Pecahkan telur di dalam mangkuk yang berasingan. Pukul sedikit.
  3. Celup potongan tauhu ke dalam telur, seterusnya salut tauhu dengan tepung. Ulang proses sehingga habis.
  4. Panaskan minyak masak. Goreng tauhu sehingga masak dan kulit luarnya garing. Angkat. Ketepikan.
  5. Tinggalkan sedikit minyak di dalam kuali untuk menumis. Tumis bawang putih sehingga naik bau, dan garing sedikit (warnanya bertukar keperangan). Jangan sampai hangit pula.
  6. Setelah itu, masukkan hirisan cili, hirisan daun bawang, daun limau dan tumis buat seketika.
  7. Perasakan dengan serbuk lada putih dan garam. Masukkan semula tauhu ke dalam kuali dan gaul sekata atau angkat tumisan cabai garam dan tuangkan ke atas tauhu yang telah digoreng.
  8. Sedia untuk dihidangkan!


Bayangkan tauhu goreng bersalut tepung yang rangup lawan pula denga tumisan cili dan bawang yang beraroma, dinikmati dengan nasi panas. Kecur air liur tak?

Menu cabai garam memang antara menu mudah tetapi rasanya tidak kalah. Bertambah-tambah sedap andai gunakan potongan ayam atau sotong. Guna tempe dan terung pun boleh tau.


Selamat mencuba!





12 ulasan:

  1. Terliur pagi-pagi ni baca resepi simple tapi sedap macam ni. sedap jugak kalau guna tempe kan. habis ratah gitu je

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yes, akak biasa juga buat pakai tempe. Ratah je dah setengah pinggan hahah

      Padam
  2. oohhhh simple tapi mesti sedap. ammi pinjam resepi untuk masak2 weekend ni ye

    BalasPadam
  3. menu baru ni, simple je..leh cuba nanti.. tq tq!

    BalasPadam
  4. Masakan yang simple dan sedap ni Kak Farrah. Tauhu bersalut tepung rangup dengan rasa bawang putih tumis dan sikit kepedasan. Nyum nyum...

    BalasPadam
  5. Terasa-rasa kelazatannya!
    Boleh dicuba ni. Terima kasih cadangkan kepelbagaian bahan lain.

    BalasPadam
  6. tetiba rs nk cicah dgn kicap sambal😁

    BalasPadam
  7. Cicah pula dengan cili kicap.. pergh!! Terliur dibuatnya.. hehehe

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.