Isnin, Januari 23, 2023

Resepi Air Fryer - Cendawan Enoki Bakar yang Sedap dan Rendah Kalori

Ini bukan resepi cendawan enoki mentega yang viral di TikTok tu ya. Ini resepi cendawan enoki bakar yang rendah kalori. Tetapi, apa yang pasti, sedapnya tidak kalah! Kalau makan sekali, mesti nak makan lagi.

Cendawan enoki antara makanan yang mempunyai nilai kalori yang rendah. Satu pek cendawan enoki 100g hanya mempuyai kalori sekitar 60g. Kaya dengan serat pula tu. Sesuai sangat untuk yang hendak berdiet. Kita boleh pelbagaikan hidangan dengan buat sup atau masak dengan sayur. 

Berbalik kepada resepi cendawan enoki versi lebih sihat, sebenarnya sudah banyak kali saya buat menu ini. Memang kena sangat dengan cita rasa. Lazimnya, saya jadikan sebagai snek ringan semasa minum petang atau sesuatu yang boleh dimakan sebagai alas perut sebelum waktu makan makanan berat. 

Proses penyediaan mudah. Boleh guna ketuhar pembakar (oven) biasa atau jika hendak lebih mudah, boleh guna air fryer. Saya telah cuba masak menggunakan kedua-duanya. Dua-dua menjadi. Dua-dua sedap! Rasa cendawan bakar lebih ketara dan berperisa. Ngam sangat dengan sos yang disediakan.

Cendawan Enoki Oven

Versi ketuhar pembakar (oven)
Ini versi basah-basah sebab sosnya saya buat terbanyak. Kemudian, saya tidak panjangkan tempoh membakar. Kalau buat begini, tekstur cendawannya jadi lembut dan berkuah.

Sewaktu itu, Bott tengah pantang makanan pedas. Saya tabur hirisan cili hanya setelah cendawan dikeluarkan dari ketuhar pembakar. Bahagian bercili untuk saya, yang kosong untuk Bott.

*Hirisan cili sepatutnya dimasukkan sekali ke dalam bancuhan sos.

Cendawan Enoki Air Fryer

Versi air fryer

Secara peribadi, saya lebih gemar cendawan enoki bakar menggunakan air fryer. Kuah atau sosnya saya letak sedikit sahaja dan gaul-gaulkan supaya cendawan tidak soggy.  Cendawan lebih kering malah ada bahagian-bahagian tertentu akan jadi rangup. Sedap sangat! 

Jom tengok resepi!

Resepi Cendawan Enoki Bakar

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 2 - 3 pek cendawan enoki
  • 3 - 4 ulas bawang putih dicincang halus*
  • 1/2 tangkai cili merah atau 3 tangkai cili api dihiris halus (Tidak perlu letak jika tidak makan pedas.)
  • 1 sudu besar sos tiram*
  • 2 sudu besar cuka hitam*
  • 2 sudu besar air*
  • 1 sudu teh minyak bijan*


Cara penyediaan:

  1. Potong akar cendawan, bersihkan dan lerai-leraikan sedikit.
  2. Bakar seketika di dalam oven atau air fryer selama 3 - 5 minit (bergantung kepada kepanasan ketuhar pembakar dan air fryer masing-masing) sehingga cendawan mengering, bertukar kecoklatan. 
  3. Sementara itu, sediakan sosnya. Masukkan semua bahan bertanda (*) dan kacau sehingga sebati.
  4. Keluarkan cendawan, tuangkan sos ke atas cendawan. Balik-balikkan supaya sos sekata menyaluti cendawan yang separa dibakar tadi.
  5. Bakar lagi selama 3 - 5 minit. Sedia untuk dihidangkan.


Nikmati cendawan enoki bakar dengan senyuman! 

5 ulasan:

  1. sy kurang gemar cendawan enoki ni. tp kalau cendawan tiran, yes! suka yakmat. boleh ke guna resepi ni utk cendawan tiram?

    BalasPadam
  2. Anak Sha sangat sukakan cendawan enoki ini.. Selalunya Sha masukkan dalam tomyam atau goreng dengan tepung bestari.. Nanti nak cuba stail Kak Farah pula..

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.