SOCIAL MEDIA

Tauhu Pop Cecah Kuah Pecal

Jumaat, Mac 14, 2025

Pada asalnya, saya rancang mahu buat kuih getas sebagai pencuci mulut untuk berbuka. Tetapi, apabila buka peti ais, nampak tauhu… terus terbayang Tauhu Pop. Bulan-bulan puasa ni, aktif betul otak menghantar input tentang makanan. 🤣

Tauhu goreng yang teksturnya rangup krup krap krup krap di luar, lembut di dalam. Dinikmati pula dengan kuah sambal kicap yang pekat dan pedas. Fuhhh, terangkat! Yummehh!

Okey, kita lupakan kuih getas buat sementara waktu. Itu masuk menu untuk esok atau lusalah. 😊


Tauhu Pop siap! Jom intai resepi!

Tauhu Pop untuk berbuka puasa. 😊

Resepi Mudah Tauhu Pop 

Bahan-bahan yang diperlukan:

Untuk bater gorengan
  • 5 sudu makan tepung gandum
  • 1 sudu makan tepung jagung atau tepung ubi kayu
  • secubit garam
  • 1/2 sudu teh serbuk penaik (baking powder)
  • Air (lebih kurang satu cawan)
  • 1 kiub pati ayam dilarutkan dengan sedikit air panas supaya menjadi cecair) 
  • Sedikit serbuk lada hitam atau lada putih sesuai selera.

Bahan-bahan lain:
  • 4 - 6 ketul tauhu, dipotong kepada 4 bahagian
  • Minyak masak secukupnya untuk menggoreng
  • Beberapa tangkai cili padi untuk dihidangkan bersama tauhu.


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Bancuh dan adun sebati semua bahan bater gorengan sehingga menjadi adunan bater yang cair.
  2. Setelah itu, masukkan ketulan tauhu yang telah dipotong. Perlahan-lahan, gaul balikkan tauhu sehingga bater menyalut nipis bahagian luar tauhu.
  3. Panaskan minyak, goreng tauhu sehingga warnanya mula bertukar kekuningan. 
  4. Kemudian, tuang sedikit baki adunan bater ke dalam kuali. Kacau-kacau tauhu supaya bater yang dituang tadi melekat pada tauhu membentuk lapisan kriuk-kriuk yang rangup.
  5. Ulang langkah yang sama buat kali kedua dan ketiga. Jangan lupa untuk terus kaup balikkan tauhu yang sedang digoreng.
  6. Sesudah tauhu garing, angkat dan tuskan minyak. Sedia untuk dihidangkan.

Lazimnya, tauhu ini memang dimakan dengan sambal kicap. Sambil makan tu, hendak lagi terangkat, gigit cili api sikit. Asyikk! 

Tetapi, kali ini saya tukar selera. Tidak guna sambal kicap, saya cecah dengan kuah pecal (kuah kacang).

Sebelum puasa, saya ada buat sambal pecal kering, simpan di dalam peti sejuk. Hendak makan, tinggal ambil beberapa sudu sambal pecal kemudian larutkan di dalam air panas. Insya-Allah, ada kesempatan akan saya kongsikan resepi kuah pecal dalam entri lain.

Alhamdulillah, enak tauhunya. 😊 Bagi yang ingin mengolah hidangan tauhu, bolehlah cuba resepi mudah ini.

4 ulasan

  1. rajennya buat kuah pecal kering tu..linda selalunya beli je..hihihi

    BalasPadam
  2. Langsung teringin. Dan kebetulan tahu saya masih ada. Hrs cepat dimasak sebelum rasanya berubah. Nampaknya nak buat ini juga lah 😉😄

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.