Dalam pada sekarang ini sibuk tular, sana sini orang bercakap tentang Daging Harimau Menangis Aunty Tini Kitchen, produk keluaran ibu kepada Neelofa, saya tiba-tiba teringin hendak makan daging salai. Ada antara kalian yang sudah cuba produk daging harimau menangis tu? Disebabkan saya dalam fasa mengidam daging salai, saya tak pandang dah harimau menangis ke singa menangis ke... hahaha.
Adalah beberapa teman yang sudah cuba. Cekengah dan Cekebon pun dah merasa. Tempoh hari sewaktu berbual dengan mereka di telefon, bukan main lagi Cekengah bercerita mengenai menu daging harimau menangis yang disediakan. Baca review di internet, ramai yang berpendapat daging harimau menangis tu biasa-biasa saja. Selera orang lain-lain. Lagi pun, itu dikira produk frozen yang dihasilkan dalam skala besar. Mana hendak sama autentiknya dengan hidangan segar yang disediakan from the scratch, kan?
Eh, panjang pula membebel tentang daging harimau menangis! Balik kepada cerita daging salai saya. Dalam pada teringin daging salai, saya tak berusaha pun pergi cari. Jauh lagi nak pergi menyalai daging. Huhuhu... Kali terakhir menyalai daging adalah dalam lima tahun dahulu, sewaktu saya belajar buat acar buah daging salai. Cara mudah membuat daging salai (non-traditional ways) saya kongsi di bawah.
Alhamdulillah, ada seorang kenalan menelefon dan tanya saya makan daging salai tak. Dia nak bagi. Pucuk dicita ulam mendatang. Rezeki saya dapat satu bekas besar. Buka je bekas tu, semerbak aroma daging salai terjah deria bau. Yum yumms! Hidangan pertama yang dibuat tentunya gulai lemak cili api daging salai. Puas saya dan Bott makan. Siap ada lebih lagi.
Lebihan gulai lemak daging salai saya dimanfaatkan sebaiknya. Buat hidangan minum petang. Bakar roti, kemudian cicah dengan kuah gulai. Sedap! Tekstur garing roti yang soggy sedikit selepas kena rendam dalam kuah memang mengancam!