Sunshine Hokkaido Milk Bread
Ahad, Jun 02, 2024
Assalamualaikum. Salam santai Ahad!
Hari ini, pagi-pagi lagi saya ke My News mencari roti buku untuk sarapan. Sekarang saya suka makan roti Sunshine Bakeries - Australian Oat Soft Grain Wholemeal. Di tempat saya, roti ini hanya ada dijual di My News.
Sudah jumpa roti yang diinginkan, ternampak pula adik-beradiknya - Hokkaido Milk Bread. Terus senyum sampai telinga! Roti susu! Selalu susah nak jumpa sebab asyik habis. Sewaktu roti buku ini viral suatu ketika dahulu, lagilah payah nak nampak bayangnya. Kali ini ada rezeki untuk bawa balik sebuku.
Sunshine Hokkaido Milk Bread |
Dah pernah rasa roti Hokkaido Milk? Rotinya lembut dan gebu, lemak bersusu. Tidak perlu sapuan jem atau lepa kacang, makan kosong begitu sahaja pun boleh habis sekeping dua.
Kalau ingin lebih sedap, boleh cuba cara saya. Kita buat sandwic keju bakar.
Ambil dua keping roti Hokkaido Milk, sapukan kedua-dua belah sisi roti dengan mentega. Masak kedua-dua sisi di atas kuali leper sehingga roti jadi garing sedikit. Setelah itu, satukan roti, letakkan hirisan keju potong dan taburan daun bawang di antara dua roti tersebut.
Biarkan lagi di atas kuali leper dalam beberapa minit supaya kejunya mencair. Agak-agak keju dah cair dan tekstur roti menjadi garing-garing ikut tahap yang kalian suka, bolehlah diangkat rotinya.
Sedap sangat!
Eh, sibuk cerita tentang Hokkaido Milk Bread, lupa pula tentang roti Australian Oat saya. Ini rotinya. Lupa nak ambil gambar tadi. Import gambar dari Sunshine Bakeries jelah.
Australian Oat Soft Grain |