Dua Kali Lontong Darat

Jumaat, Mei 17, 2024

Assalamualaikum. Salam Penghulu Hari. 

Rasa macam baru sahaja hari Isnin, tahu-tahu dah nak hujung minggu. Hari ini, bangun-bangun rasa teringin hendak makan lontong darat. Padahal petang Isnin sudah kenyang makan lontong darat sepinggan.

Makanya, marilah kita ke tempat makan demi menunaikan hasrat anak tekak! 😂

Lontong darat lauk rendang daging.

Spanish Caffe Latte HWC Coffee

Khamis, Mei 16, 2024

Penggemar-penggemar kopi, mari merapat! Ada Spanish Latte ni! Spanish Caffe Latte dari HWC Coffee. Tak mahu kopi beli? Nak bancuh kopi sendiri di rumah? Jangan risau, ada resepi Spanish Latte saya sertakan di hujung entri ini. 

Jom cerita tentang kopi HWC Coffee ni dahulu!


Satu botol Spanish Caffe Latte

Sebenarnya, saya belum pernah pergi ke mana-mana cawangan HWC Coffee. Tetapi, sudah beberapa kali berpeluang merasa kopi kedai ni. Tidak ingat pula kopi apa. Si Cekengah yang rajin tapaukan untuk saya. Dia tahu kakaknya hantu kopi. 🤣

Kali ini dia hantar sebotol terus! Spanish Caffe Latte a.k.a. Spanish Latte. Sedap membelai tunas rasa. Kopinya cukup pekat, manis just nice.

Sesuai untuk penggemar kopi manis. Yang suka kopi pahit seperti saya pun boleh enjoy. Yang tidak biasa minum kopi juga boleh turut sama nikmati kerana kopi ini tidak ‘keras’ sangat. 😊 

Tiga elemen dalam Spanish Latte - susu pekat, susu dan espresso. Itu yang kopi ini lebih manis berbanding cappuccino atau caffe latte sebab guna susu pekat sekali.


Spanish Latte HWC Coffee, Zus Coffee dan San Francisco Coffee

Biarpun Spanish Latte jarang menjadi pilihan utama saya ketika membeli kopi di luar, sudah beberapa kali jugalah saya minum sebelum ini.

Saya pernah rasa Spanish Latte Zus Coffee, San Francisco Coffee dan kali ini HWC Coffee. Antara ketiga-ketiganya, saya suka HWC Coffee dan San Francisco Coffee. 

Spanish Latte Zus Coffee bukan tak sedap… sedap… tetapi agak terlalu manis buat saya. Mungkin sukatan susu pekat yang digunakan lebih banyak berbanding kopi HWC dan San Francisco.


Resepi Spanish Latte

Ingin buat sendiri Spanish Latte di rumah? Jom! Saya kongsikan 2 versi resepi Spanish Latte di sini. Satu menggunakan espresso shot, buat yang ada mesin kopi/espresso. Satu lagi, guna serbuk kopi segera (instant coffee powder).


Resepi Spanish Latte Menggunakan Espresso

  • 4 sudu teh (20ml) susu pekat
  • 140ml susu segar/susu krim penuh
  • Satu espresso shot
Panaskan susu segar dan susu pekat. Kacau sebati. Kemudian, masukkan susu yang telah dipanaskan ke dalam cawan yang berisi espresso shot. Hot Spanish Latte siap! 

Jika mahu buat Iced Spanish Latte, gunakan resepi yang sama cuma susu tidak perlu dipanaskan. Cukup kacau sehingga kedua-dua susu sebati. Masukkan air ke dalam gelas, masukkan susu dan akhir sekali espresso shot. Nikmati dengan senyuman.


Resepi Spanish Latte Menggunakan Instant Coffee Powder


Hot Spanish Latte


  • 1 sudu teh serbuk kopi segera + 2 sudu besar air panas
  • 2 sudu teh (10ml) susu pekat
  • 90ml susu segar atau susu krim penuh
Mula-mula, panaskan kedua-dua susu. Sambil itu, sebatikan serbuk kopi dengan air panas. Gunakan milk frother sehingga tekstur kopi memekat dan warnanya bertukar coklat karamel.

 *Tiada milk frother pun tidak mengapa. Pukul campuran kopi buat seketika sehingga kembang.

Masukkan susu yang dipanaskan ke dalam cawan berisi kopi.


Iced Spanish Latte


  • 120ml susu segar atau susu krim penuh
  • 2 sudu besar (30ml) susu pekat 
  • 2 sudu teh serbuk kopi segera
  • 60ml air panas
Satukan susu segar dan susu pekat. Gunakan milk frother untuk froth susu. Setelah itu, larutkan kopi dalam air. Kacau sebati.

Masukkan ais ke dalam gelas. Tuang susu diikuti dengan kopi.

Siap!

Selamat mencuba! 😊

Nasi Goreng Dabai Masin

Rabu, Mei 15, 2024

Assalamualaikum.

Kelmarin, saya dapat buah dabai frozen. Punyalah teruja. Cepat-cepat simpan di dalam peti dingin beku. Nanti apabila hendak makan, boleh rendam dalam air panas sekejap supaya lembut, kemudian cicah dengan kicap. Dap dap dap! 

Banyak juga buah dabai yang saya dapat. Mulalah otak ni merencana macam-macam. Nak buat dabai jeruk la… nak buat nasi aruk la… Insya-Allah, bakal diusahakan nanti. 

Baru rancang-rancang je pun, belum sempat sentuh dabai yang saya dapat, alhamdulillah hari ini saya terima rezeki tidak terduga. Saya dapat nasi goreng dabai masin untuk makan tengah hari. Susah nak jumpa ni!

Adik saya tapaukan makan tengah hari dan hantar pada kakaknya yang dah dua hari terperuk, tidak keluar rumah. 😂

Nasi Goreng Dabai Masin

Nasi goreng dabai masin

Taucu Ikan Bilis Kulit Tembikai

Selasa, Mei 14, 2024

Assalamualaaikum. 

Sekarang ini, kami di rumah kerap beli buah tembikai. Maklum sahajalah, musim cuaca panas membahang, memang ideal sangat kalau potongan buah tembikai dingin masuk ke tekak. Menyegarkan!

Sudah ada tembikai tu, mestilah ada kulitnya, kan? Alang-alang, saya simpan sedikit untuk dibuat lauk. Jika sebelum ini saya pernah kongsi resepi Kerabu Kulit Tembikai dan Gulai Lemak Tempe Kulit Tembikai, hari ini saya kongsikan pula resepi masakan taucu ikan bilis dengan kulit tembikai.


Inilah lauk taucu ikan bilis saya. 

Taucu Ikan Bilis dengan Kulit Tembikai