Ingin Jadi 'Ikhwan' yang Dirindui oleh Rasulullah
Sabtu, Januari 03, 2015
Assalamu'alaikum,
Selamat berhujung minggu.
Kita bertuah di minggu pertama tahun ini. Selain dapat berehat, kita juga berpeluang meraikan sambutan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Ada yang terlibat dengan perarakan tak hari ini?
Semoga dengan ada sambutan sebegini saban tahun, kita sebagai satu ummah dapat terus mengenang baginda, menyanjungi baginda dan menjadikan baginda Rasulullah sebagai role model kita. Bukan pada hari ini sahaja kita perlu mengingati baginda, malah tiap-tiap hari.
Saya terpanggil untuk kongsi petikan kisah menarik ini.
Pernah suatu hari, ketika Nabi Muhammad s.a.w. berbual-bual dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan beberapa sahabat yang lain, baginda menyuarakan hasratnya.
“Wahai Abu Bakar, aku amat rindu untuk bertemu dengan saudara-saudaraku (ikhwan).”
“Wahai Rasulullah, bukankah kami ini saudara-saudaramu?” soal Saidina Abu Bakar kepada baginda.
“Bukan,” jawab Rasulullah. “Kamu adalah sahabat-sahabatku."
Kemudian, baginda menerangkan, "Saudara-saudaraku (ikhwan) ialah mereka yang belum pernah melihat aku, tetapi mereka beriman dengan aku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku lebih daripada kecintaannya kepada anak dan orang-orang tua."
Bertuahnya kita menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w. Saya ingin berada dalam kalangan ikhwan (or ikhwah) yang dirindui oleh Rasulullah. Kalau boleh biarlah ahli keluarga, saudara mara, kenalan dan sahabat handai juga tergolong dalam kumpulan yang sama. Bagaimana? Kita mulakan dengan sesuatu yang berskala kecil tetapi dengan istiqamah. Antaranya:
- Biasakan lidah mengucapkan 'Sallallahu 'alaihi wassalam' setiap kali mendengar nama baginda. Lentur kelaziman ini pada anak-anak sejak mereka kecil lagi.
- Banyakkan berselawat ke atas nabi.
- Adakan perhiasan atau objek (Contohnya bingkai nama Nabi Muhammad, carta salasilah keluarga baginda) di rumah/sekolah/pejabat yang boleh mengingatkan kita kepada Rasulullah. Setiap kali terpandang perhiasan atau objek ini, berselawatlah sebagai tanda ingatan kepada baginda.
- Amalkan sunnah-sunnah Rasulullah. Saya ada seorang teman yang meletakkan target untuk belajar satu sunnah Rasulullah setiap hari. Kemudian cuba mengamalkannya bersama amalan sunnah lain yang telah diketahui.
- Baca buku-buku mengenai riwayat hidup Rasulullah dan perjuangan baginda. Terapkan sifat-sifat mulia baginda dalam diri kita, anak-anak dan ahli keluarga.
Harap perkongsian tidak seberapa ini bermanfaat buat kita semua :)