Assalamualaikum.
Ada lebihan buah labu di dapur. Pada mulanya saya ingin sediakan jejari labu (pumpkin fries) untuk minum petang semalam. Biasa buat labu goreng atau cucur labu jadi kali ini ingin tukar selera.
Lihat juga: Resepi Labu Goreng
Masalahnya, sewaktu memotong buah labu saya rasa sukar pula hendak dapatkan potongan lurus memanjang yang cantik seperti fries. Sudahnya, saya hiris nipis sahaja labu tersebut.
Sesudah kulit labu dikopek dan dibelah, saya bersihkan labu dan rendam di dalam air. Saya cuma rendam sekitar tiga hingga ke empat jam. Proses ini bertujuan untuk membuang kanji pada labu supaya bahagian luar labu yang dibakar atau digoreng akan jadi rangup. Jika hendak buat fries menggunakan ubi kentang atau keledek pun disarankan rendam potongan ubi terlebih dahulu untuk mendapatkan hasil terbaik.
Setelah direndam, tuskan air dan keringkan potongan labu menggunakan tisu atau tuala dapur. Seterusnya, apabila labu sudah betul-betul kering, lumurkan labu dengan bahan-bahan berikut:
Bahan-bahan perasa untuk labu bakar atau labu panggang
- 1 - 2 sudu besar minyak sayuran
- 1/2 - 1 sudu teh oregano kering
- 1/2 - 1 sudu teh chilli flakes sesuai selera
- sedikit serbuk lada putih
- garam secukup rasa
Saya hanya guna lima bahan di atas. Kiranya hidangan ini bergantung kepada kekuatan herba oregano, chilli flakes dan rasa asli labu itu sendiri. Sukatan bahan-bahannya agak-agak sahaja. Tengoklah banyak mana labu yang kita gunakan. Rasa tak cukup, tambah lagi apa yang perlu. Bimbang terlebih, kurangkan atau letak sedikit dahulu.
Selain itu, boleh pelbagaikan perasa labu bakar ikut cita rasa masing-masing. Antara pilihan lain yang boleh saya sarankan ialah serbuk bawang putih, serbuk buah pala, serbuk kayu manis dan herba lain seperti thyme atau parsley. Ada sesetengah orang turut gaulkan labu dengan sedikit gula untuk rasa yang lebih manis. Bagi saya tidak perlu kerana kemanisan labu itu sendiri sudah memadai.
Masa untuk membakar labu
Sesudah kedua-dua sisi labu dilumurkan dengan bahan-bahan perasa seratanya, susun hirisan labu di atas dulang pembakar. Waktu untuk membakar!
|
Beratur hendak masuk oven 😊 |