Silicone beads for DIY Accessories | Manik Silicon untuk Aksesori DIY - Sudah lama sebenarnya saya ingin beli manik silikon untuk buat projek kraf baharu. Berkenan tengok manik-manik silikon yang dijadikan rantai kunci, gelang dan macam-macam aksesori.
Hujung bulan lepas, saya beli beberapa pek manik silikon. Biar banyak pilihan, mudah untuk dipadan-padankan.
Inilah pembelian saya 😊
|
Silicone beads | Manik silikon |
Beraneka warna, pelbagai bentuk. Ada yang bulat, leper, heksagon, bercetak corak… ada yang warna terang, warna pastel dan ada juga yang transparent. Teruja saya tengok! 😁
Apa itu manik silikon (silicone beads)?
Manik silikon, jelas dari namanya diperbuat daripada silikon. Secara kasar, maniknya akan kelihatan seperti manik lain tetapi teksturnya kenyal-kenyal seperti getah. Ala, lebih kurang seperti peralatan memasak silikon tu, bezanya yang ini dalam bentuk manik.
Manik silikon biasanya digunakan untuk membuat aksesori atau perhiasan DIY seperti rantai kunci, gelang manik dan landyard.
Antara kelebihan manik silikon ialah mudah dibersihkan dan tahan lama. Itulah sebabnya manik ini biasa digunakan untuk buat tali pemegang atau klip puting anak. Andai si kecil kemam-kemam atau gigit manik tu, tidak menjadi masalah.
Hendak tengok hasil pertama DIY saya menggunakan manik silikon?
Tadaaaaaa!
|
Rantai kunci manik silikon. |
Saya buat rantai kunci. Atau lebih tepat lagi, hiasan kepada rantai kunci. Susun-susun manik, masukkan getah elastik, ikat… siap! Letak tassel sebagai penambah seri. Comelnya!
Klipkan pada gelang kunci-kunci kita. Selain itu, benda ini boleh juga dijadikan zipper puller. Seperti di bawah ini.
|
Cantik tak? |
Baru-baru ini, saya cuba jual di pop-up market yang Bott dan saya sertai. Alhamdulillah. Not bad. Dapat sambutanlah juga. Ada potensi untuk jadi barang jualan tetap ni. 😊
Next project, ingin buat landyard pula. Setakat ini, tengah kumpul barang sedikit demi sedikit. Ada beberapa jenis manik silikon comel yang saya sudah beli, tetapi belum sampai lagi.