Terima Kasih Daun Keladi, Cik Nur
Khamis, Ogos 11, 2022
Assalamualaikum. Apa khabar semua?
Ini entri penghargaan istimewa buat Cik Nur. Siapa lagi kalau bukan pemilik blog Dapur Cik-Nur. Sekitar bulan Jun yang lalu, Cik Nur ada buat teka-teka di blognya. Melalui entri Teka Harga, Cik Nur mahu kita teka berapa harga nasi bungkus yang telah dibeli.
Saya pun gatal-gatallah mencongak dan mengagak harga nasi bungkus tersebut. RM6. Tak sangka mengena! Entri bulan 6, harga nasi bungkus RM6 dan hari lahir Cik Nur yang juga jatuh dalam bulan 6 ... makanya, pembaca-pembaca yang berjaya meneka dengan betul dapat hadiah! Alhamdulillah, ada rezeki saya dan beberapa rakan blogger yang lain.
Tidak silap saya selepas raya haji hadiah ini sampai. Tetapi, disebabkan dalam dua tiga minggu juga saya tiada di rumah, hadiah ini duduk diam-diam di bawah jagaan jiran sebelah. Selepas itu, boleh pula saya terlupa. Saya ingat semua bungkusan yang saya terima merupakan pembelian atas talian saya. Tidak teringat langsung yang saya akan terima hadiah daripada Cik Nur. Jadi, ambil own sweet time buka satu per satu parcel apabila ada masa.
Kelmarin, sewaktu buka bungkusan, gelabah sekejap. 'Eh, bila aku beli kain batik? Ke salah buka parcel orang lain?' Setelah tengok butiran pengirim, barulah sel-sel otak berhubung. Terus sengih sampai telinga.
Kiriman hadiah daripada Cik Nur |
Inilah hadiah yang saya terima!
Batik Andika, Raifili |
Sepasang kain batik merah jambu keluaran Raifili. Maaf, sempat guna meja hitam ni je untuk hampar kain dan ambil gambar. Meja lain penuh. Saya belum habis mengemas lagi. 😅
Domo Arigato, Cik Nur!
Terima kasih banyak-banyak, Cik Nur atas pemberian ini. Teruja saya dapat hadiah kain batik cantik. Saya suka sangat rekaan kain batik Raifili ini. Bertambah sehelai lagi koleksi kain batik moden saya. Dah terbayang-bayang di kepala nanti nak mix and match dengan baju apa. 😁
Doa saya, semoga Cik Nur dan keluarga dikurniakan ganjaran rezeki berlipat ganda yang tidak akan pernah putus, dianugerahkan dengan kesihatan yang baik, umur dan kehidupan yang penuh barakah.
Jom! Alang-alang dah cerita tentang hadiah kiriman Cik Nur, marilah kita blogwalking ke blog Cik Nur sama-sama!