Memaparkan catatan dengan label Gifts & Mementos. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gifts & Mementos. Papar semua catatan

Omiyage dari Negara Matahari Terbit

Isnin, Mei 06, 2024

Assalamualaikum. Selamat memulakan minggu baharu.

Saya mulakan hari dengan senyuman lebar. Terima omiyage (oleh-oleh) dari Jepun. Alhamdulillah, orang pergi bercuti ke negara matahari terbit, ada rezeki saya dapat oleh-oleh dari sana.

Inilah yang saya terima.

Nihon kara

Terima Kasih Daun Keladi, Anies

Rabu, Mac 22, 2023

Assalamualaikum. Apa khabar semua?

Ini entri penghargaan tertunggak khusus buat seorang rakan blogger yang peramah dan pemurah. Siapa lagi kalau bukan Anies, mem besar blog Anies and You. Haa... mesti kalian semua kenal, kan? Kalau belum kenal, pergi follow Anies cepat-cepat!

Saya terima kiriman hadiah penghargaan daripada Anies. Sudah lama sebenarnya. Dari hujung bulan satu atau awal Februari, jika tidak silap. Tetapi, memandangkan saya lama tiada di rumah, lambatlah saya pergi 'tuntut' hadiah di peti surat. Seperti biasa, kiriman hadiah Anies memang meriah. Lihatlah apa yang saya dapat!


Semua comel!

Dapat Baucar GrabFood RM100 Sebab Kopi

Khamis, Oktober 06, 2022

Semalam sewaktu saring-saring e-mel, baru perasan yang saya terlepas pandang satu e-emel ini. Pada awalnya saya ingat sekadar e-mel promosi produk atau neswletter. Tetapi, setelah dibaca terus senyum lebar sampai telinga!

Saya dapat baucar GrabFood RM100 lah!

GrabFood RM100 Value eGift

Terima Nestle Omega Plus Gift Pack daripada Shopee

Isnin, Oktober 03, 2022

Assalamualaikum. Ini kisah awal September sebenarnya. Dah tuan punya blog sibuk memanjang tak sempat berblogging, banyak cerita terperam tak jadi entri. 😅 

Hari itu, selepas minum petang sambil-sambil merehatkan diri saya masuk aplikasi Shopee. Tonton Live. Selain cari tawaran menarik produk melalui sesi Live, dapatlah juga kumpul coins, kan?

Tertarik dengan sesi Live Nestle (Sold by Shopee). Saya pun tontonlah si Bella promosikan produk-produk Nestle Omega Plus. Kebetulan ketika itu ada giveaway sedang berlangsung. Kena jawab soalan apakah bahan dalam susu Nestle Omega Plus yang membantu menurunkan paras kolestrol. 

Saya yang sebelum ini tidak pernah sertai mana-mana giveaway Shopee suka-suka taip ActiCol di ruangan komen. Sepatah itu sahaja. Tidak lebih tidak kurang. Saya tengok komen-komen orang lain siap buat ayat, letak emoticon cantik-cantik, spam komen banyak-banyak. Terus saya cakap, tak ada harapanlah nak terpilih sebagai pemenang. Dah 'malas berusaha'. 

Sekali, semasa pengumuman pemenang dibuat ...

Nestle Omega Plus Walk A Million Miles 2022

Terima Kasih Daun Keladi, Cik Nur

Khamis, Ogos 11, 2022

Assalamualaikum. Apa khabar semua?

Ini entri penghargaan istimewa buat Cik Nur. Siapa lagi kalau bukan pemilik blog Dapur Cik-Nur. Sekitar bulan Jun yang lalu, Cik Nur ada buat teka-teka di blognya. Melalui entri Teka Harga, Cik Nur mahu kita teka berapa harga nasi bungkus yang telah dibeli.

Saya pun gatal-gatallah mencongak dan mengagak harga nasi bungkus tersebut. RM6. Tak sangka mengena! Entri bulan 6, harga nasi bungkus RM6 dan hari lahir Cik Nur yang juga jatuh dalam bulan 6 ... makanya, pembaca-pembaca yang berjaya meneka dengan betul dapat hadiah! Alhamdulillah, ada rezeki saya dan beberapa rakan blogger yang lain.

Tidak silap saya selepas raya haji hadiah ini sampai. Tetapi, disebabkan dalam dua tiga minggu juga saya tiada di rumah, hadiah ini duduk diam-diam di bawah jagaan jiran sebelah. Selepas itu, boleh pula saya terlupa. Saya ingat semua bungkusan yang saya terima merupakan pembelian atas talian saya. Tidak teringat langsung yang saya akan terima hadiah daripada Cik Nur. Jadi, ambil own sweet time buka satu per satu parcel apabila ada masa.

Kelmarin, sewaktu buka bungkusan, gelabah sekejap. 'Eh, bila aku beli kain batik? Ke salah buka parcel orang lain?' Setelah tengok butiran pengirim, barulah sel-sel otak berhubung. Terus sengih sampai telinga.

Kiriman hadiah daripada Cik Nur

Inilah hadiah yang saya terima!

Batik Andika, Raifili


Sepasang kain batik merah jambu keluaran Raifili. Maaf, sempat guna meja hitam ni je untuk hampar kain dan ambil gambar. Meja lain penuh. Saya belum habis mengemas lagi. 😅

Domo Arigato, Cik Nur!

Terima kasih banyak-banyak, Cik Nur atas pemberian ini. Teruja saya dapat hadiah kain batik cantik. Saya suka sangat rekaan kain batik Raifili ini. Bertambah sehelai lagi koleksi kain batik moden saya. Dah terbayang-bayang di kepala nanti nak mix and match dengan baju apa. 😁

Doa saya, semoga Cik Nur dan keluarga dikurniakan ganjaran rezeki berlipat ganda yang tidak akan pernah putus, dianugerahkan dengan kesihatan yang baik, umur dan kehidupan yang penuh barakah.

Jom! Alang-alang dah cerita tentang hadiah kiriman Cik Nur, marilah kita blogwalking ke blog Cik Nur sama-sama!

You Made My Day, Sha Mohamed

Khamis, Jun 23, 2022

Assalamualaikum. Apa khabar semua?

Hari ini gigihkan juga masuk blog yang sekian lama terabai. Dua bulan belakangan ini memang agak stressful bagi saya. Selain sibuk dengan rutin harian, banyak perkara tidak terduga berlaku. Dah stress tak cukup rehat, hormon tiroid saya pun tiba-tiba buat keputusan nak mengganas. Disebabkan saya hidap penyakit ini dah lama, doktor bimbang banyak kesan sampingan lain pada tubuh. Kenalah pantau rapat-rapat. 😁

Maka, Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) jadi playground saya semenjak dua menjak ni. Bulan 6 nilah paling busy. Setiap Selasa dan hampir setiap Khamis kena ke hospital. Kena buat ujian ini, kena buat ujian itu. Saya ada asma, tambah lagi test ini, tambah lagi scan itu, ambil sampel darah, ambil sampel tisu.... Sampai rumah, selalu jadi cendawan benyeh sebab kepenatan. Mana ada masa nak intai blog!

Alhamdulillah, things are getting better! Sepatutnya saya gembiralah, kan? Tetapi, kelmarin di PKKN  punyalah ramai orang. Kelelahan menunggu giliran jadi gembira tertangguh sebab badan dan minda penat (Nervous tau tunggu doktor review keputusan ujian tu semua 😂). Sampai rumah bersihkan diri terus naik katil dan Zzz ... Zzz. 


Terima Kiriman Istimewa daripada Sha Mohamed

Bangun tidur, periksa telefon ada Whatsapp daripada nombor yang tidak dikenali. Dalam mamai tu, jenuh juga saya nak memahami apa yang ditulis. Bla bla bla bli blu ... Sha Mohamed ... Akta .... bla bla bla ... tindakan bakal diambil.



Eh, Sha? Saya yang tadi kemamar, terus celik mata! Sengih sampai telinga! Rupa-rupanya penulis Ayumi (atau wakilnya) hantar e-book yang Sha belikan untuk saya. Tidak lama kemudian, menyusul mesej daripada Sha. 

A gift to brighten your day.. 😘😘 Happy Reading..

Allahu Rabbi, you really made my day! Hilang terus penat akak dapat buku. Bukan setakat brighten my day, duniaku bertukar indah berwarna-warni gitu! Ingin tahu buku apa yang Sha hadiahkan?


When The Clock Strikes Midnight - Ayumi Syafiqah

When The Clock Strikes Midnight karya Ayumi Syafiqah


Terima kasih banyak-banyak, Sha! Akak gembira sangat terima hadiah kiriman Sha ni. To be honest, akak dah lama tak membaca karya baharu. Sibuk ke hulu ke hilir. Tak sempat nak ber-Me Time! Dapat When The Clock Strikes Midnight buah pena Ayumi Syafiqah rasa macam nak lompat bintang! Terima kasih sebab selalu ingat akak. 😘 Buku-buku pemberian Sha sebelum ini memang jadi koleksi peribadi istimewa. Antaranya, Himpunan Puisi Sofa Biru Nadhira Brundage, Kisah Seram Siri 1 dan Evasif.

Akak doakan semoga Sha, suami dan anak-anak sentiada berada dalam dakapan kasih Allah. Moga kalian sentiasa sihat, terhindar dari wabak dan penyakit. Moga rezeki kalian sentiasa mencurah-curah. Suatu hari nanti, kita rancang betul-betul ya supaya dapat jumpa.

Haa, siapa-siapa yang sedang mencari bahan bacaan baharu, bolehlah dapatkan When The Clock Strikes Midnight oleh Ayumi Syafiqah. Saya belum mula baca, jadi tak boleh nak share apa-apa lagi hehehe.


Pstt! Jeritan ceria Amani dan Imani ucap Selamat Hari Raya, Acik malam raya dulu akak masih simpan tau. Too adorable and cute untuk dipadam. 😄

Wordless Wednesday - Hadiah

Rabu, Mac 23, 2022

 

Domo arigato 🥰


Babydoll Gel Sanitizer daripada Blogger Ako Retna

Khamis, Februari 03, 2022

Assalamualaikum.

Jumaat lepas, ketika saya sedang leka buat kerja di hadapan komputer, kedengaran bunyi hon yang sangat familiar. Hon motosikal adik Poslaju. 

Kelam-kabut saya dibuatnya. Mana nak cari tudung, mana nak ambil air mineral. Dalam pada tu, sempat juga berfikir-fikir barang apa? Saya tidak menjangkakan sebarang penghantaran pada hari tersebut. 

Sampai sahaja di pintu gelangsar, saya terkejut sebab selain adik Poslaju, ada adik Ninja datang menghulurkan satu bungkusan pada saya. Kebetulan pula dua-dua datang pada masa yang sama. 😂 Tak cukup tanah saya berlari balik ke dapur ambil satu lagi air mineral untuk beri pada mereka.

Selesai kalut-kalut, saya masuk dalam rumah sambung kerja. Bertanggapan yang bungkusan-bungkusan tu barang saya beli secara online (dan saya lupa hendak periksa notifikasi tentang penghantaran), saya letakkan di atas meja. Biar Bott yang buka nanti.


Beli Tudung Fazura

Dua tiga hari ini kami berdua banyak urusan di luar. Jadi, semalam baru ada masa hendak duduk dan buka parcel. Sambil pegang bungkusan yang tertera label Fazura, Bott tanya saya beli tudung Fazura untuk siapa? Tudung Fazura? Aik, salah hantarkah? Periksa nama, nama penerima memang nama saya... 

Bungkusan yang diterima 😊

Senyum Lebar Terima Hadiah Mummy Ayu’s Birthday Giveaway

Jumaat, November 26, 2021

Assalamualaikum. Makin hari makin tenggelam timbul saya di blog ini. Ada ni haaa… baru hendak panas enjin balik. 

Okey, jom buka cerita best! Sebelum basi, baiklah tulis dan simpan memori di sini. Petang Jumaat lepas sebelum saya bertolak balik kampung, ada adik Ninja datang hantar barang. Tertanya-tanya juga sebab saya tidak beli apa-apa sepanjang minggu dan tidak jangka untuk terima sebarang bungkusan.

Sebaik sahaja tengok butiran bungkusan dari mana, sel-sel otak terus berhubung dan buat saya senyum lebar. Yeayyy! Hadiah giveaway daripada Mummy Ayu! Alhamdulillah, saya telah terpilih sebagai salah seorang pemenang Mummy Ayu’s Birthday Giveaway yang diadakan sekitar awal bulan dahulu. 

Ini memang sesuatu yang saya tunggu-tunggu. Sebab apa? Hadiahnya benda yang saya suka - Planner! Tahu sahajalah, saya kalau bab-bab planner, jurnal, buku catatan, buku nota ni memang tidak akan pernah cukup. 

🥰

Kejutan Ramadan Syawal Sha Mohamed

Rabu, Mei 05, 2021

Assalamualaikum w.b.t.

Petang semalam angin saya memang tak baik. Tengah sibuk hendak siapkan kerja, masa tulah komputer buat hal. Saya pun rehat sekejap, cuba nak blogwalking guna phone. Dua tiga hari belakangan ini, in fact dah nak dekat seminggu dah … saya sukar nak tinggal komen di blog rakan-rakan kalau guna phone. Penat-penat taip tak lepas pun. Keluar error page. Biasanya kalau clear cache akan okey balik tapi kali ni tak! Adalah yang tak kena kat mana-mana tu. 

Malas nak fikir banyak, saya sibukkan diri di bilik kraf sambil layan lagu raya. Tengah-tengah tekun pegang brush pen sambil mencemarkan alam sekitar dengan suara saya 🤣, ada notifikasi Whatsapp masuk. Nombor tak dikenali bagi salam. Saya sambung kerja dulu sambil kerling-kerling skrin dan nampak ‘Happy Reading’. Happy Reading

Apabila buka Whatsapp dan baca betul-betul terus senyum teruja seorang diri. Nak tahu kenapa? Kita dapat kiriman hadiah Ramadan dan Syawal lah. 😊🥰


Jika tadi keadaan saya dah separa murung, muka muram mengalahkan langit mendung, tiba-tiba terus rasa macam dunia saya indah bercahaya! Chewahhh! Kita dapat buku baru! Kalian tentu kenal siapa ‘adik blogger Kasihku Amani’ ini. Betul! Tak lain tak bukan, Dinda Sha Mohamed.

Terkejut, terharu, gembira, teruja … semua perasaan jadi berbaur. Kebetulan, saya memang sudah lama tidak berpeluang membaca karya baharu. Terus muat turun dan simpan cepat-cepat.

EVASIF

Tak sabar nak mula baca. Empat penulis dengan empat karya berbeza berkolaborasi membentuk EVASIF.


Terima kasih banyak-banyak, Sha.

Terima kasih banyak-banyak, Sha. Terima kasih untuk naskhah e-book ini, terima kasih untuk ingatan. 😘 Gembira tak terkata akak menerimanya. Bolehlah nanti baca buku ni untuk lengkapkan book challenge

Semoga Allah sentiasa meluaskan ruang rezeki buat Sha dan keluarga, merahmati kalian dengan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan kebahagiaan berpanjangan. Buku-buku yang Sha beri selama ini pun semua akak sayang dan jadikan koleksi peribadi.


Bagi yang masih belum mengenali Sha, ringankan langkah berkunjung ke Blog Kasihku Amani sekarang. Buat yang dah kenal dan dah follow, jomlah ngabuburit ke sana!


*ngabuburit (Indo)  - aktiviti santai yang dilakukan sementara menunggu azan Maghrib (waktu berbuka puasa). 😁



Titipan Manis daripada Uyum

Khamis, April 29, 2021

Petang semalam masa mata tengah berat buat kerja depan komputer, tiba-tiba kedengaran suara jiran sebelah laung-laung nama saya. Baru pukul 3.30 petang, tak kan Nenek P dah nak beri hidangan berbuka? 

Teringatkan yang mungkin Nenek P hendak beri parcel saya, meloncat saya pergi siap dan buka pintu. Kebetulan dari semalam, saya sudah dimaklumkan yang ada sesuatu ‘on the way’ untuk saya.

Benar jangkaan saya, buat sekelian kalinya parcel saya sesat di rumah Nenek P. Memang kalau guna J&T, alamat rumah saya seolah-olah tak diiktiraf. 😅 Adik kurier tu tetap akan hantar barang ke rumah sebelah.

Setelah sembang-sembang sekejap dengan Nek P, saya bergegas masuk. Bungkusan ini saya terima daripada seseorang yang istimewa 😊 Nak tahu siapa?

Terima Kasih, Shida Radzuan

Khamis, April 22, 2021

Assalamualaikum w.b.t.

Menulis entri ini dengan senyuman lebar hingga ke telinga. Gembira sebab dapat hadiah. Hadiah apa? Haa ... baru-baru ini saya ada sertai Giveaway Raya Bersama Shida Radzuan Blog. Alhamdulillah, apabila Shida umumkan pemenang giveaway, saya merupakan salah seorang daripada 7 pemenang hadiah cabutan bertuah. 

Rezeki Ramadan kali ini, saya dapat sebiji bantal kusyen Leyna dan sekeping kad raya SRB. ♪♩ Riang hatiku badan bertuah! ♪ ♪  Eh, ternyanyi pula!

Kejutan Istimewa daripada Anies

Isnin, Mac 15, 2021

Assalamu'alaikum w.b.t.

Sekejap je dah masuk pertengahan Mac. Seperti biasa, hujung minggu saya balik rumah lama untuk kemas apa-apa yang patut. Seperti biasa juga, inilah masanya mengumpul surat-surat dan bungkusan-bungkusan yang dialamatkan kepada saya.

Dalam pada belek-belek surat dan bungkusan tu, ada satu yang memang saya tidak jangka langsung. Teman blogger yang seorang ini memang suka betul buat kejutan. Baru sahaja rasanya menerima kiriman daripada tuan punya badan. Tup tup ada titipan lagi!

Dapat agak tak siapa teman blogger yang saya maksudkan? Minggu lalu, ketika blogwalking ke blog kawan-kawan, adalah nampak beberapa entri mereka bercerita tentang kiriman yang sama. Tidak sangka, ada rezeki untuk saya juga.

Inilah isi kandungan bungkusan saya.

Lawak Kampus daripada Anies

Ahad, Januari 24, 2021

Assalamu'alaikum,

Entri ini merupakan entri penghargaan khusus buat teman blogger saya, Anies.

Saya terima kiriman daripada Anies yang berupa senaskhah Lawak Kampus. Tidak silap saya, ini merupakan hadiah kerana berkunjung dan meninggalkan komen di Blog Anies and You. Anies merupakan antara rakan blogger yang awal-awal saya kenal semasa mula aktif berblogging dahulu. Seorang yang peramah dan sangat pemurah. Rajin benar hargai rakan-rakan blogger dengan titipan istimewa. Saya sendiri sudah hilang jejak berapa banyak kiriman tanda ingatan daripada Anies yang telah saya terima.

Lawak Kampus milik saya. Bertambah bahan bacaan ringan dan santai. 


Terima kasih banyak-banyak, Anies. Jika dilihat dari tarikh pengeposan, mungkin saya terima kiriman ini sekitar minggu lepas lagi. Cuma disebabkan saya masih menggunakan alamat surat-menyurat di kampung, dan saya lambat balik untuk ambil surat-surat, baru minggu inilah kiriman tersebut selamat sampai ke tangan saya.

Thanks So Much, Sha Mohamed!

Sabtu, Mac 09, 2019

Assalamu'alaikum,
Selamat berhujung minggu.

OK. Ini merupakan entri penghargaan istimewa buat Sha Mohamed. Entri terima kasih tertunggak. Inilah masalahnya bila dah tak kerap berblogging. Kiriman selamat diterima dah berkurun lama, baru saya terhegeh-hegeh nak tulis entri. Tak apalah ye, Sha. Omputih kata, it's better late than never. Yang penting, the thought that counts.

Adinda yang seorang ini selalu buat kejutan hantar titipan gembira. Sebelum ini saya pernah terima sebuah zine seram daripada Sha. Boleh baca mengenainya di sini.

Pada awal Januari yang lalu, Sha hantar satu lagi 'bungkusan senyum'. Tidak silap saya, pemberian kali ini adalah disebabkan giliran saya terpilih untuk terima buku/hadiah. Sebelum ini Sha pernah adakan giveaway. Saya bukan antara pemenang yang bertuah. Tetapi, apa yang menarik, peserta-peserta giveaway tersebut akan berpeluang untuk turut terima hadiah daripada Sha. Antara cepat dengan lambat je. Pemurah adinda yang seorang ini. Moga Allah kurniakan dengan ganjaran rezeki yang berlipat ganda buat Sha sekeluarga.

OK. Di bawah ini kiriman daripada Sha.



Pineapple Cake - Lepas Rindu pada Tart Nanas

Khamis, Januari 10, 2019

Siapa di sini penggemar tart nanas seperti saya? Saya ni memang suka tart nanas. Tidak kiralah yang tart bunga ke, tart gulung ke atau tart sekundang. Jenis bongkah ke, kiub ke, bentuk macam nanas, macam daun, macam labu, asalkan inti di dalamnya jem nanas, saya suka.

Secara peribadi, saya suka tart nanas yang berbentuk bunga. Style orang dulu-dulu buat yang jemnya digentel dan diletak di tengah-tengah. Suka nikmati rasa jam yang caramelized dan agak kering sebab dibakar lama dalam oven.

Bila dah besar dan tunas rasa sudah pandai memilih, saya gemar cari tart nanas berkeju pula. Bayangkanlah apabila dimakan, bau tart yang beraroma keju, rasa lemak masin dan manis jam nanas bergabung ... memang lupa dunia kejap! Boleh intai Resepi Tart Nanas Cheddar di sini.

Lama dah tak makan tart nanas sebenarnya. Raya tahun lepas, saya dalam misi jaga berat badan.  Disebabkan dah terlajak makan bukan-bukan, bajet kalori untuk tart nanas terpaksa dikorbankan. Berjayalah saya halang diri dari menelan butir demi butir tat nanas. Lepas tu menyesal sebab selalu craving nak mamam tart!

Baru-baru ini, ada rezeki dapat Pineapple Cake, ole-ole dari Taiwan. Comel je packagingnya. Kek nanas berbentuk segi empat leper. 


Tertunggak - Terima Kasih, Siqah

Isnin, Oktober 29, 2018

Assalamu'alaikum.
Apa khabar semua?
Selamat memulakan minggu baru.

Hari ini, satu lagi entri penghargaan yang tertunggak. Kali ini khusus untuk Siqah. Kenal kan? Jika belum kenal, silalah terjah segera ye. You won't regret. Personally, jika teringat Siqah, automatik saya akan terfikirkan 3 perkara:
 i. A booklover 
ii. Peminat tegar Duck Scarves 
iii. Great and stunning flat lays. 

Kunjungi blog Siqah dan kalian akan tahu apa yang saya maksudkan.

Siqah juga rajin anjurkan giveaway. Alhamdulillah, saya terpilih untuk jadi salah seorang pemenang GA yang dianjurkan oleh Siqah sekitar Julai yang lalu. Dah lama kan?

Seperti biasa, apabila saya nyatakan entri penghargaan tertunggak, maknanya hadiah dah lama sampai,..tetapi saya yang tak pandai curi masa untuk terbitkan entri terima kasih. Benda dah basi baru nak kongsi. Tak mengapalah. The thought that counts, right? Sekarang ni makin lama masa untuk berbloging makin terhad.

OK, ini yang saya terima daripada Siqah.


Kejutan Istimewa daripada Sha Mohamed

Jumaat, Ogos 17, 2018

Kelmarin saya dapat notifikasi melalui sms yang menyatakan parcel saya sudah berada 'dalam perjalanan'. Terpinga-pinga saya dibuatnya sebab saya memang tidak expect sebarang parcel. Baik penghantaran barangan yang dibeli secara online ataupun dokumen kerja. Lagipun alamat surat-menyurat yang saya gunakan sekarang, saya tahu saya beri pada siapa.

Semalam, seawal pagi adik kurier hubungi saya bertanyakan lokasi rumah. Sepanjang menunggu kedatangan mereka, puas jugalah saya berfikir. Kebetulan saya memang ada di rumah, jadi sayalah yang menyambut parcel tu. Tengok nama pengirim - Tulip Press. Nama tu dah familiar tapi tak berjaya recall apa-apa. 


Buka je bungkusan,...



Kisah Seram?! OK, joining the dots...saya tahu ini zine terbaharu keluaran Tulip Press. Tetapi saya tak beli! Terus saya teringat pada Sha Mohamed. Tak silap saya Sha ada berkongsi mengenai pre-order zine ni di Facebook. Plus, baru-baru ini Sha memang ada minta alamat saya.

Apa lagi, terus saya Whatsapp adinda yang seorang ini. Sah, memang 'angkara' ShaSha kata nak buat suprise. Menurutnya, dia selalu pilih kawan-kawan blogger secara rawak untuk hadiahkan buku. Alhamdulillah, kali ini rezeki saya. Amalan Sha ni menarik kan? Nanti saya nak buat projek beri buku macam Sha jugalah!

Terima Kasih Tertunggak - Hadiah Math Challenge Izzeyda

Isnin, April 10, 2017

Satu lagi entri penghargaan tertunggak. Kali ini khusus buat Izzeyda, teman blogger dari utara yang sebaya dengan saya. Sekitar bulan Februari, asal ada kesempatan, saya paksa diri untuk blogwalking. Jengah rakan-rakan blogger. Semenjak saya terikat dengan komitmen di Kota B, dah tak dapat nak berblogging, blogwalking dan saling berbalas komen seperti dahulu. Jika dapat tinggal satu dua komen per blog tu dah kira capai targetlah!

Ketika berkunjung ke blog Izzeyda, ada entri Math Challenge. Entri Uji Mindanya di sini. Saja jelah suka-suka saya mengira sama. Playar campur playar,.. playar campur gerudi,...gerudi tolak pemutar skru,...

Rupa-rupanya, jawapan saya betul! Entri keputusan Math Challenge  di sini. Heheheh dan Izzeyda beri ganjaran buat peneka-peneka yang berjaya! Wahhhhh! Tak sangka! Ini rezeki blogwalking terpijak namanya! 😃😃😃

Thanks so much, Eyda. Hadiah wang tunai pemberian Eyda telah selamat akaun saya terima. Moga Eyda dan anak-anak sentiasa berada dalam lindungan-Nya dan dikurniakan rezeki berlipat ganda! Jom terjah blog Izzeyda ramai-ramai! Ada banyak kisah Eyda bersama dua puteranya, reviews tentang tempat dan aktiviti-aktiviti menarik khususnya di belah utara dan macam-macam lagilah. Eyda ni sekarang aktif sertai run tau! Respect betullah! Kalau saya, setakat lari kejar si Yuri tu, mampulah 😆


Terima Kasih Tertunggak - Hadiah GA Dylla Rezan

Isnin, April 03, 2017

Hujung tahun lepas saya ada joined Yindia Segmen untuk Bloggers & Instagrammers anjuran adinda Dylla Rezan. Segmen ini diadakan setelah Dylla pulang dari trip kembaranya ke India. Alhamdulillah, ada rezeki terpilih sebagai salah seorang pemenang. Hadiah ini pun saya terima sekitar bulan Februari, tak silap. Lebih kurang sama masa dengan ole-ole London Anies. Cuma lambat update di blog ;)

Ini yang saya terima. Sebuah bekas cantik berwarna hijau, rantai kunci dan sekeping poskad Taj Mahal. Terima kasih banyak-banyak, Dylla for the gifts. Merasa dapat sayup-sayup angin India.  😆Suka sangat! Bertambah koleksi poskad, bertambah koleksi rantai kunci dan bekas hijau tu pula,... dah terletak cantik depan meja cermin jadi bekas kerongsang :)