Isnin, Oktober 19, 2020

Buat Puding Roti Mini

Baru-baru ini, semasa mengemas peti dingin beku, saya jumpa roti. Di rumah ini, mood makan roti ada pasang surutnya. Kalau time suka makan roti rasa macam baru je beli tetapi tahu-tahu dah habis. Bila time tak hendak, elok je roti tu tersadai atas meja sampai tarikh luput.

Untuk atasi masalah ini, memang selalu saya akan masukkan roti ke dalam freezer tanpa fikir panjang. Sekurang-kurangnya tidak membazir. Rasa nak makan roti, boleh bakar balik dalam oven atau toaster. Tidak pun, kita gunalah untuk buat puding roti :)

Inilah puding roti mini saya. Kenapa cenonet-cenonet? Alkisahnya, saya sudah lama tidak baking. Kebetulan awal tahun dahulu saya banyak jual barang-barang saya yang saya rasa saya tak akan guna termasuklah beberapa peralatan membakar kek dan kuih. Habis semua loyang kek saya kecil dan besar saya jual. Dalam fikiran tak terfikir langsung pun nak simpan barang sebiji dua.

Alih-alih apabila hendak membakar puding, barulah perasan yang loyang empat segi saya tiada. Mulalah muka terkulat-kulat. Mujur ada loyang mufin 20 lubang dan cawan kertasnya sekali. Jika tidak, jenuh pula nak melengser setiap lubang mufin tu. Makanya, jadilah puding roti mini! 

Jumaat, Oktober 16, 2020

Apa Itu Junk Journal | Bahagian 1

Assalamualaikum. Selamat Hari Jumaat. Harap kalian semua sihat-sihat sahaja hari ini. 

Pernah dengar tentang junk journal? Bagi yang biasa tulis jurnal atau planner, rasa-rasanya berminat tak hendak cuba buat dan guna junk journal?

Sebelum itu, biar saya jelaskan apa itu junk journal terlebih dahulu. Jika dilihat di luar sana, ada pelbagai jenis jurnal yang boleh kita pilih ikut kesesuaian cara kita. Baik dari segi format mahupun fungsi jurnal itu sendiri. Misalnya kita ada, bullet journal (semua catatan kita dalam bentuk senarai), travel journal, workout and weight loss journal ... macam-macam termasuklah junk journal.

Junk journal seperti namanya, self-explanatory. Diperbuat daripada material lama dan terpakai yang ada di sekeliling kita misalnya buku akaun lama, music sheet, tiket, resit, fabrik, kertas dan buku lama. Senang cerita 'all the junks'. Apabila bahan-bahan ini dikompilasikan menjadi satu buku, kita hias pula, maka jadi cantiklah dan ada efek rustic + vintage gitu. Sekarang ini pun, disebabkan permintaan tinggi terhadap material untuk junk journal, banyak dah paper pads, reben, washi tapes dan hiasan-hiasan lain yang sesuai digunakan dalam junk journal.

Saya mula terjebak dengan junk journal apabila saya sibuk menyaring kertas-kertas terpakai yang ada dalam simpanan saya. Ingat lagi tak saya dengan misi selamatkan dan guna semula kertas terpakai? Boleh baca entrinya di sini - Cabaran Upcycle 1, Cabaran Upcycle 2.

Selasa, Oktober 13, 2020

Penanda Buku Bermagnet Lagi....

Ini salah satu aktiviti kegemaran saya apabila saya tidak ada angin nak berbuat apa-apa. Masuk bilik kraf, cari sticker cantik-cantik, ambil magnet sheet dan kad atau kertas keras, buat penanda buku bermagnet.

Saya memang suka penanda buku bermagnet. Selain, dapat tandakan halaman pada buku yang kita baca, saya juga guna untuk tanda halaman-halaman penting pada journal dan planner saya. Kira macam hiasan dan aksesori journal-lah. Boleh pilih-pilih ikut tema layout/spread page. Makanya, bertambah berseri-serilah halaman jurnal kita nanti. Dapat juga beri pada kawan-kawan yang punya minat sama barang sekeping dua. 



Isnin, Oktober 12, 2020

Resepi Tempe Mendoan

Hari ini kita makan goreng-gorengan ya. Resepi yang ingin saya kongsi hari ini namanya Tempe Mendoan. Pada dasarnya, lebih kurang seperti tempe goreng biasa cuma salutan tepung tu yang buatkan hidangan ini lebih enak dan berbeza. 'Mendoan' berasal dari perkataan ‘mendo’ yang bermaksud setengah matang atau setengah masak. 

Kepingan tempe akan digoreng dalam minyak yang banyak dan panas dengan cepat, jadi tempe tidak masak sepenuhnya. Macam potongan tempe dalam hidangan ayam penyet tu, lembut-lembut ja. Tetapi, versi ini saya derhaka sedikit. Saya buat bahagian luarnya garing dan rangup manakala dalamnya kita biarkan lembut empuk.