Khamis, September 30, 2021

Kord Gitar Cinta - Marsha Milan OST Masih Ada Rindu

Dendangan Marsha Milan, Cinta merupakan lagu ciptaan Akim dan Stacy. Lagu ini menjadi salah sebuah lagu runut bunyi untuk drama Masih Ada Rindu, gandingan Farid Kamil dan Mimi Lana yang pernah ditayangkan di TV3. Saya rajin juga tonton beberapa episod apabila ada episod baharu tersedia di iFlix. Sudah hujung-hujung saya tak sambung sampai habis.

Ada siapa-siapa yang ikuti cerita ini? Saya rasa macam pernah baca novel Masih Ada Rindu suatu masa dahulu tetapi ingat-ingat lupa jalan ceritanya.

Kord Gitar From FAMF Tower

Kord Gitar dan Lirik Lagu Cinta - Marsha Milan (OST Masih Ada Rindu)

Ciptaan Bunga Cantik & Hang Nadim


[Intro]

Am F Dm E


Am           

Detik berganti

F              Dm

tak akan kembali sudah

          E      

walau darah air mata

Berlatih Seni Tulisan dan Kaligrafi Moden

Petang semalam hujan lebat di kawasan saya. Cuaca sejuk buat otak saya jammed untuk buat kerja. Jadi, letak tepi dahulu tugasan yang perlu fikir-fikir … buat secawan kopi panas dan terus masuk bilik kraf. Kemas-kemas apa yang patut. Saya kemas stok kertas dan kad, bersihkan clear stamps, buat embellishments untuk hias jurnal sedikit dan sempat uji semua pen warna saya sama ada masih berdakwat ataupun tidak. Kira dah cukup produktiflah tu, kan? 😊

Selesai kemas pen, ternampak kertas grid dan peralatan hand lettering saya. Sudah agak lama saya tak berlatih seni tulisan atau sebarang bentuk kaligrafi moden. Entah-entah tangan dah keras dah. Apa yang saya maksudkan ini bukan khat kaligrafi dan bukan juga kaligrafi tradisional yang pakai ancient scripts tu. Hand lettering dan kaligrafi moden konsepnya lebih fleksibel, tidak terlalu terikat pada kaligrafi asal.

Saya pun capailah kertas grid. Instead of ambil pen berus, tiba-tiba saya rasa hendak cuba guna pensel pula. Selain menggunakan pen berus, kaligrafi moden boleh  dihasilkan dengan pen marker seperti Crayola dan pensel. Cuma mata pensel keras, berbeza dengan mata pen berus yang boleh dilentur. Jadi, agak sukar untuk kita menghasilkan garis tulisan dan tekanan yang berbeza menggunakan pensel jika tidak kena caranya.

Setelah tulis padam tulis padam … inilah hasilnya.

Tauhu Marmite Ekspres

Hidangan tauhu marmite ini saya buat untuk makan tengah hari Rabu lepas. Bott ada urusan di luar jadi saya seorang di rumah. Mula-mula tu tak kalut nak masak sebab rasa macam tak lapar. Leka saya menonton drama Cina back-to-back sambil siapkan tempahan kad ucapan sehinggalah tiba-tiba perut memberontak. Bukan sikit-sikit punya tahap berkeroncong. Dah macam semboyan kapal bunyinya. 

Bergegaslah saya ke dapur untuk menyediakan makanan. Buka peti sejuk, keluarkan tauhu dan terus proses untuk buat Tauhu Marmite. Ala-ala menu ayam goreng Marmite lah. 😊

Isnin, September 27, 2021

Set Clear Stamps Baharu untuk Kraf Kertas

Assalamualaikum. Selamat memulakan minggu baharu! Semoga hari kalian baik-baik sahaja.

Saya mulakan hari Isnin dengan senyuman lebih lebar daripada biasa. Sebelum ini saya ada beli beberapa set clear stamps di Lazada. Memandangkan saya beli dari China, ambil masa sedikitlah untuk sampai. Ini sebahagian daripada pembelian saya yang sudah selamat tiba.

Dari kedai pertama. 3 pek clear stamps. Setiap satu pek ini saya beli sebanyak 2 atau 3 unit kerana  saya ingin hadiahkan kepada beberapa teman crafter yang turut gemar buat kad ucapan.

Clear stamps

Ahad, September 26, 2021

Lontong Pecal Khud Fully Vaccinated

Assalamualaikum. Semoga kalian baik-baik sahaja menghabiskan baki hari ini.

Semalam seawal pukul lapan pagi saya terima panggilan telefon. "Kak Long, saya dah ada depan rumah ni." Cepat-cepat saya intai pintu. Khudri, anak jiran lama saya dah tersengih di pintu pagar sambil menunjukkan plastik di tangannya.

Giliran saya pula yang tersengih sebab saya tahu apa kandungan plastik yang dibawa. Lontong pecal kegemaran saya. Punyalah teruja dapat rezeki sarapan sedap pagi Sabtu!

Lontong Pecal Saujana Utama

Sabtu, September 25, 2021

How Do You Face Setbacks in Life

Suatu masa dahulu, saya pernah ditanyakan satu soalan yang buat saya berfikir lama dan ambil masa yang lama juga untuk jawab.

How do you face setbacks in life?

Bagaimanakah anda berdepan dengan halangan dalam hidup? Dalam erti kata lain, jika ada dugaan atau masalah apa approach kita untuk menanganinya. Memanglah macam-macam yang kita boleh katakan. Saya ingat Tuhan ... saya berdamping dengan orang positif ... saya ada keluarga sebagai tulang belakang ... dan banyak lagi. 

Tetapi, ada tak satu jawapan ringkas, tepat dan benar-benar boleh sum up secara menyeluruh bagaimanakah cara terbaik untuk kita mendepani halangan dan cabaran hidup?

Photo by Lisa from Pexels

Jujur, sewaktu soalan itu ditanyakan kepada saya, saya bergeming. Lama saya kaku untuk fikir jawapan apa yang sesuai hendak diberikan pada si penanya. Dapat pula saya ini  jenis tak suka fikir banyak. I want to live peacefully, one day at a time. Itu sahaja. 

Saya dah tak ingat apa yang saya jawab ketika itu, tetapi rasanya okey. Boleh pakailah hujah temberang saya. Cuma di pihak saya, sampai sekarang saya macam tidak puas hati dan tertanya-tanya sendiri. 


How to respond when people ask you how do you face setbacks in life? 


Jika orang tanya kita, bagaimana you berdepan dengan dugaan ... what's your approach when dealing with setbacks in your life .... dan soalan-soalan lain yang seangkatan dengannya, apa jawapan paling padu yang boleh kita berikan? 


Jadi, saya ingin ajukan soalan yang sama kepada kalian.


How do you face setbacks in life?


Maaf, hujung minggu ni ajak kalian pening kepala berfikir dengan saya. Kongsi jawapan atau sebarang pandangan kalian di ruangan komen di bawah. Sesuatu yang kalian rasa on point and hit the right note. 😊


Selamat berhujung minggu!

Jumaat, September 24, 2021

Skon Kacang Walnat untuk Minum Petang

Sudah agak lama saya tidak bakar pastri atau biskut. Jadi, apabila ada kelapangan, terus masuk ke dapur lihat bahan-bahan apa yang ada. Saya putuskan untuk buat skon kacang walnat (walnut scones) sebab ada sepek kacang walnat yang lama tersimpan di dalam peti ais. 

Saya hanya menggunakan resepi asas skon Inggeris dalam simpanan saya dan tambahkan walnat ke dalam adunan.

Kopi dan skon walnat untuk minum petang. Biasanya, skon enak dinikmati bersama sapuan krim dan jem atau sapuan mentega. Saya makan begitu sahaja. Memadai sekadar rasa buttery pastri yang diperkaya dengan  kacang walnut.


Resepi Skon Kacang Walnat

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 450g tepung gandum
  • 5 sudu teh serbuk penaik. (Saya gunakan tepung gandum biasa, bukan tepung naik sendiri jadi memang agak banyak guna serbuk penaik.)
  • 50g gula halus
  • secubit garam
  • 125g mentega sejuk yang dipotong kepada kiub kecil
  • 1 biji telur Gred A
  • 250g susu
  • 100g kacang walnat yang telah dibakar selama 6-8 minit, disejukkan dan dicincang kasar. Jika mahu, tambah 20-30g kacang walnat lagi untuk diletakkan di atas permukaan skon.


Untuk sapuan di atas skon:

Telur yang dipukul sedikit dan dicampur dengan sedikit susu. Guna susu sahaja untuk glaze permukaan atas skon pun boleh kalau nak jimat telur. 😊


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Masukkan tepung, serbuk penaik, gula halus, garam dan mentega sejuk ke dalam sebuah mangkuk. 
  2. Dengan menggunakan hujung jari, ramas-ramaskan ketulan mentega dengan tepung sehingga menjadi serbuk kasar seakan-akan serbuk roti. Teknik ini dipanggil rubbing. Tidak perlu terlalu halus dan jika masih ada sedikit bahagian mentega yang berketul kecil juga tidak mengapa.
  3. Masakkan kacang walnat yang telah dicincang. Gaul sekata. 
  4. Seterusnya, buat lubang di tengah-tengah campuran tepung dan mentega. Pukul telur dengan susu dan tuangkan ke dalam campuran tepung.
  5. Kaup balikkan adunan, uli sehingga membentuk doh yang tidak melekat di tangan atau jari. Tidak perlu uli terlalu lama. Cukyp sampai doh tidak melekat di jari. Jika melekat, tambahkan sedikit tepung lagi.
  6. Canai doh sehingga mendapat ketebalan kurang lebih 2.5 cm. Terap menggunakan acuan biskut berbentuk bulat. Jika tiada, boleh guna gelas.
  7. Susun di atas dulang pembakar. Sapukan sapuan telur dan susu untuk dapatkan warna coklat keemasan pada permukaan atas skon setelah dibakar. Letak sebiji kacang walnat di atas permukaan skon.
  8. Bakar pada suhu 200 darjah celcius selama 15 - 20 minit. Pastikan oven dipanaskan terlebih dahulu.


Selamat mencuba!

Khamis, September 23, 2021

Air Jeruk Lepas Gian

Kelmarin, saya perlu ke klinik kesihatan buat ujian darah untuk periksa tahap hormon tiroid. Dalam perjalanan balik, Bott berhenti di bahu jalan. Terdapat banyak gerai orang berjaja di situ. Saya ingat dia hendak beli goreng-gorengan. Ada jugalah makanan untuk dikunyah-kunyah petang nanti.

Terpinga-pinga saya apabila dia masuk semula ke kereta dengan hanya satu plastik kecil di tangan. Saya ulang, satu plastik kecil di tangan. Di dalam plastik tu, ada beberapa ketul jeruk kundang kecut dan selebihnya air rendaman jeruk.

Itu sahaja? Alahai ... Bott ... Bott. Tetapi, bagus juga. Kalau dapat saya yang turun kereta, mahu penuh tempat duduk belakang dengan makanan-makanan belian gerak hati (impulse purchase) saya.

Lagipun, dah tua-tua ni, tak boleh sembarangan beli jeruk. Tekak dia sensitif. Kalau nak puas makan jeruk, kena cari Jeruk Pak Ali atau yang segar 'diimport' dari Pasar Chowrasta. Kalau tak, tak perlulah pertaruhkan keadaan tekak main redah je. Kita tak pasti dah berapa lama jeruk tu dalam stok penjual. Tak pasal-pasal batuk kong kong kong nanti.


Tahu tak Bott hendak buat apa? Dia nak lepas gian. 

Dahulu masa kecil-kecil, setiap kali balik sekolah dia akan beli jeruk. Penjual jeruk tu masukkan sedikit ais dan air jeruk sekali. Siap letak straw. Tinggal srotttt minum dan menapaklah dia pulang ke rumah dengan gembira.

Jadi, itulah justifikasi Bott untuk beli hanya sejemput kecil jeruk dan dua tiga sudu airnya. Dia nak feeling-feeling gamit memori lama. 

Gelas comel di atas itulah jeruk yang dibeli setelah ditambah sedikit ais dan air sejuk. Saya tumpang sekaki. Selalu kalau makan jeruk, air jeruknya saya tidak minum apatah lagi hendak letak dalam cawan dan tambah ais begini. Sedap! Tetapi, sekadar untuk lepas rasa teringin tu bolehlah. Tak boleh minum selalu. Tinggi kandungan gula dan garamnya tu.

Ada tak dalam kalangan kalian yang suka buat begini juga?


Kerepek Kulit Popia

Dua tiga hari ini, cuaca di kawasan saya punyalah terik. Lain macam bahangnya. Saya pula, apabila dah kepanasan, mula jadi serba tidak kena. Bila panas je, lapar. Bila panas je, tahu-tahu dah sampai dapur. Sedar-sedar dah selongkar peti ais. Mulut ni kan ...  rasa macam nak mengunyah je!

Dalam freezer ada kulit popia, makanya muncullah 'mentol kuning terang menyala di atas kepala'. Tengok barang kering dekat pantri, serbuk keju ada, Horlicks, serbuk Oreo dan Nestum pun ada. Boleh buat 'kekupo' (baca: kerepek kulit popia) beberapa perasa ni.

Proses pertama, keluarkan pek kulit popia dan biarkan berada pada suhu bilik sehinggalah kulit popia tidak lagi beku. Ini untuk memudahkan proses menggulung kulit popia.

Beginilah rupa kekupo keju saya. Ini perasa keju biasa (tak pedas.)

Terbeli Quaker Breakfast Pack Sebab Comel

Semasa mencari rolled oats di Lazada, saya jumpa pek promosi Quaker Oats. Lazimnya, disebabkan memang banyak guna oat, saya akan beli loose pack dari kedai menjual peralatan kek dan bakeri. Sekilo rolled oats boleh dapat dalam RM5.70 - RM7.00 (bergantung kepada kedai dan  promosi yang berlangsung). Lebih berbaloi jika dibandingkan dengan oat yang ada jenama. Paling murah sekitar RM8. ++, itu pun dalam 800g. Lagi satu, jika beli produk yang berjenama, saya jarang pertimbangkan Quaker Oats kerana lebih gemar jenama Captain.

Tetapi, Quaker Breakfast Pack ini benar-benar menarik perhatian saya. Didatangkan di dalam kotak comel, ada 800g rolled oats dan hadiah percuma - breakfast cup + heart scoop

Quaker Breakfast Pack

Selasa, September 21, 2021

Piza Arang

Dua tiga hari ini saya masih menghabiskan makanan yang dihantar oleh kawan saya pada hujung minggu lalu. Cerita lanjut di sini. Untuk fika hari ini, saya makan dua potong piza yang dibakar menggunakan ketuhar arang. 

Alhamdulillah. Saya makan dengan gembira. Yang sebelah atas tu pepperoni dengan keju. Satu lagi tidak pasti apa perasanya. Saya suka tekstur dan aroma asap-asap pada roti piza. Dua potong di atas sekejap sahaja saya habiskan. Ada beberapa potong lagi di dapur, tetapi cukuplah dulu. Nanti terlebih makan mengantuk, terus tak jadi kerja.

Isnin, September 20, 2021

Sumpah Semalam Sepi

Sumpah Semalam Sepi? Kenapa sepi? Sebenarnya saya ingin bercerita mengenai Aina Abdul. Dalam ramai-ramai artis muda, Aina Abdul antara penyanyi kegemaran saya. Selain berbakat menggubah lagu, nyanyian Aina punya kelas tersendiri. Saya selalu juga tonton video-video di saluran Youtubenya. Suka dengar lagu-lagu cover yang dinyanyikan, buat jadi teman masa buat kerja. Cuma kalau waktu tengah tertekan atau fikir banyak, tak boleh dengar Aina nyanyi lagu yang tinggi-tinggi. Makin stress saya dibuatnya 😂.

Terbaharu, Aina Abdul melancarkan sebuah single yang tajuknya juga Aina Abdul. Pelik? Memang sedikit berbeza dan unik. Kali ini Aina menggabungkan tiga lagu popularnya sebelum ini, Sumpah, Semalam dan Sepi di dalam satu lagu. Ala-ala macam mash-up song lah. Sumpah, Semalam  dan Sepi memang lagu yang sangat dekat dengan penyanyi ini sendiri, yang gambarkan susah senang dan pengalaman perjalanannya sebagai anak seni. Jadi, memang tepatlah gabungan Sumpah Semalam Sepi diberi judul Aina Abdul, simbol representasi dirinya. Nak dengar, cari di Youtube ya.

Photo by Lisa from Pexels

Ahad, September 19, 2021

Kord Gitar Till Jannah - Halim Ahmad (Easy Chords)

Saya pernah tulis mengenai lagu Till Jannah di sini. Di bawah ini, kord gitar lagu Till Jannah. Seperti biasa telah saya transposed ke versi mudah. 

Kord Gitar From FAMF Tower

 

Kord Gitar dan Lirik Lagu Till Jannah - Halim Ahmad (Easy Guitar Chord)

Lagu/Lirik: Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa


[Intro]

Am D G C

Am B7  Em


G

Kisah dukamu lukis di pasiran

Am 

tepian pantai

D

Ombak menghempas menghilang semua

G D

tanpa berbekas

Nasi Plonxbox Wawkawkaw Upah Buat Kerja

Assalamualaikum. Selamat pagi Ahad! Sudah bersarapan ke belum tu? Saya baru lepas. Ini tengah duduk berehat sebentar. Bolehlah jenguk blog sekejap.

Semalam seharian saya habiskan masa di bilik kerja, sibuk tugasan terjemahan. Saya cakap pada Bott, tak perlu susah-susah masak. Ingat hendak pesan nasi ambeng sahaja daripada seorang penjual berhampiran rumah saya ini. 

Belum sempat buat pesanan, kawan saya yang sedang saya terjemahkan dokumennya telefon, minta Bott tunggu di depan pagar. Faham sangat dah perangai kawan saya yang seorang ini. Kerja belum habis semak, belum finalize dia dah transfer duit siap-siap. Kemudian, kalau guna khidmat saya buat tugasan terjemahan atau suntingan, lagi-lagi pada hujung minggu, mesti akan hantar macam-macam makanan untuk saya dan Bott. Senang, kami sudah tidak perlu fikir soal cari makanan katanya. 

Apabila saya keluar bilik, terbuntang juga biji mata. Bukan sekadar untuk makan tengah hari, siap ada untuk minum petang dan makan malam sekali! Rasa-rasanya dalam perjalanan ke rumah saya, asal ada kedai je dia berhenti beli. 😂

Dalam banyak-banyak, saya senyum lebar apabila tengok sebuah kotak empat segi. Nasi Plonxbox wawkawkaw! Lamanya tak makan! Nasi Plonxbox ni kira popularlah di Sungai Buloh dan kawasan-kawasan sekitar. Ada banyak pilihan. Selain ayam bakar, ada kambing bakar dan daging. Ikan pun ada tidak silap saya. 

Nasi Plonxbox Ayam saya. Sedia untuk dimakan :)

Sabtu, September 18, 2021

Cara Mengatasi Masalah Bibir Kering

Pernah atau tidak alami masalah bibir kering? Saya rasa dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini, bibir kering (chapped lips) antara masalah yang akan biasa kita hadapi. Apa hendak buat kalau bibir mula kering dan mengelupas? Bolehkah bergantung kepada home remedy semata-mata atau kena beli produk khas? 

Jemput baca artikel baharu yang saya tulis di Thread by Zalora (diterbitkan pada 15 September 2021). Sebenarnya, dah lama tidak tulis artikel untuk Thread by Zalora. Asyik main tangguh-tangguh sahaja. 

Melalui artikel tersebut, saya ada kongsi beberapa tips yang boleh sama-sama kita praktikkan.

Klik sahaja pada gambar di bawah:


Selain daripada dapatkan balm bibir yang sesuai dan pastikan tubuh kita sentiasa berada dalam keadaan terhidrat, ada beberapa perkara yang kita perlu hindari. Haa … ada pantang-larang juga tau supaya keadaan bibir kering dan mengelupas tidak akan jadi bertambah teruk. 

Kebiasaannya, andai kalian alami masalah sebegini, apa kaedah rawatan atau pencegahan yang kalian amalkan? Ada petua tertentu tak?


Selamat membaca! Kalau sudi, jangan lupa tekan butang bentuk hati tu 😊


Pstt! Selamat menikmati hujung minggu! Maaf dua tiga hari ini tidak akan dapat kunjungi kalian. Ada deadline nak kena kejar.


Jumaat, September 17, 2021

Hingga ke Jannah atau Till Jannah

Seorang teman menghubungi saya meminta pertolongan buat kord piano untuk lagu Till Jannah. Dia bercadang hendak gunakan lagu tersebut sebagai latar klip video perkahwinan adiknya.

"Till Jannah tau! Bukan Hingga ke Jannah!" Pesanannya yang itu buat saya celik mata. Ada beza ke? Sebab saya memang ingat dia maksudkan lagu Hingga ke Jannah dendangan KRU. Itu kan kira lagu untuk orang kahwin juga.

"Till Jannah!” Ditekannya sekali lagi. "Bukan kau dengar nasyid ke, F?"

Ishh, mak cik sorang ni... dia ingat pagi petang siang malam ke telinga saya bersumbat muzik sampai boleh cover semua lagu. Saya pun mulalah menjejak 'Till Jannah' yang dimaksudkan.

Rupa-rupanya Till Jannah ialah sebuah lagu nyanyian Halim Ahmad. Saya biasa juga dengar lagu ni malam-malam kat IKIM tapi rasanya lagu gubahan Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa ini bertajuk Rumahtangga Syurgawi. Pernah popular sekitar setahun yang lalu.

Buka e-mel, tengok ada permintaan untuk kord gitar Till Jannah. Kali ini, yang meminta siap sertakan pautan Youtube  bagi memudahkan saya. Oh, kira ala-ala rebranding. Halim Ahmad baru sahaja keluarkan video lirik Till Jannah pada awal bulan ini.

Kredit Imej - Youtube Neurotic Studio

Khamis, September 16, 2021

Jus Timun yang Menyegarkan

Semalam, semasa hendak makan tengah hari, Bott potong timun untuk dibuat ulam. Tetapi, timun tu pula dah lembik sedikit terutamanya pada bahagian empulur. Kami nak buat cecah sambal belacan. Tak kick sebab timunnya tak rangup.

Terpandang hirisan-hirisan timun di atas papan pemotong, terus saya minta kesemuanya daripada Bott. Suruh dia ambil dan potong timun lain. Saya hendak buat jus timun.

Jus Timun Mudah

Pulut Pagi Hari Malaysia

Assalamualaikum. Selamat Hari Malaysia! Alhamdulillah, moga hari ini dapat kita manfaatkan sebaiknya untuk berehat. Ada yang punya sebarang rancangan untuk keluar jalan-jalan? Jika ada, jaga diri baik-baik. Patuhi SOP ya.

Kalian sudah bersarapan? Hari ini rezeki kami berdua makan pulut pagi. Kebetulan ada sedikit beras pulut yang berbaki di dalam balang. Seawal pagi Bott dah kukus pulut di dapur.

Selasa, September 14, 2021

Keju Atas Keju

Seminggu dua ni saya perasan tabiat suka mengunyah saya semakin menjadi-jadi! Ni semua salah Yuri Van Houtten! Minggu lepas dia sakit sampai hilang selera makan, selera makan tuannya pula yang bertambah-tambah!

Tatkala keinginan untuk mengunyah tu sampai, saya pergilah selongkar pantri. Rumah saya memang tak ada stok jajan sangat sebab bahaya untuk tabiat suka mengunyah saya. Tetapi, di  pantri mungkin boleh jumpa sesuatu. Selalunya apabila adik-adik saya hantar barang atau makanan, akan ada terselit sepek dua jajanan seperti keropok, kerepek atau snek kering lain. Bott biasa simpan barang-barang tu di dalam kabinet.

Yes! Jumpa Ritz Toasted Chips Perasa Cheddar satu pek. Selongkar-selongkar lagi, jumpa Salim Triangle Cheese pula.  Keju tiga segi ini merupakan keju diproses produk Arab Saudi. OK, now we’re talking! Keenakan keju berganda!

Adhesive Dots untuk Kerja yang Lebih Kemas

Hari ini saya ingin kongsi tentang sejenis pelekat atau gam yang saya beli di Mr. DIY.


Isnin, September 13, 2021

Canelé Burrow Sedap Sampai Teringat-ingat

Pengalaman pertama kali menikmati canelé dari kafe Burrow, saya terus jatuh cinta. Selama ini hanya berpeluang lihat gambar dan baca ulasan mengenai keenakannya sahaja. Hujung bulan lalu, adik-adik saya yang berdua tu tiba-tiba sahaja tekak mereka tukar warganegara. Teringin sangat hendak makan pastri Perancis ini. Gigih pergi borong canelé di Burrow, BSC. 

Alhamdulillah, ada juga terselit rezeki saya. Selepas makan tengah hari, sekotak canelé selamat sampai kepada saya.

9 biji canelé enak Burrow

Burrow memang terkenal dengan canelé mereka selain beberapa jenis kek, biskut dan pemanis mulut yang lain. Canelé di Burrow ada enam perasa - The OG (Original), Cocoa-Nut, Espresso Ganache, Matcha, Maple Pecan dan Lucky Marmalade.

Ahad, September 12, 2021

Kord Gitar Denting - Melly Goeslaw (Easy Chords)

Lagu Denting nyanyian Melly Goeslaw merupakan salah satu lagu runut bunyi Ada Apa Dengan Cinta (AADC), sebuah filem Indonesia yang popular sekitar 2002. Bukan main lagi fenomena Rangga dan Cinta pada masa itu. Semua anak gadis sibuk nak cari teman lelaki seperti Rangga. Semua tiba-tiba ada minat baca puisi. 

Saya ingat lagi, saya ada salinan filem ini dalam bentuk CD. Cekengah yang burn AADC untuk saya. Zaman ni memang zaman burn burn cerita pakai CD heheheh

Orang lain sibuk belajar untuk peperiksaan akhir, saya layan AADC sebab konon-konon otak dah tepu ingat case law. Bukan sekadar Denting, lagu-lagu lain dalam filem ini semua sedap belaka.

Lagu Denting kini kembali popular dan tular terutama sekali di aplikasi TikTok. Ramai juga yang buat cover, menyanyikan semula lagu ini.


Saya kongsikan kord gitar mudah Denting di bawah. Selamat berdendang!

Kord Gitar From FAMF Tower

Sabtu, September 11, 2021

Sambal Sardin | Sardin Gulung

Baru-baru ini, seorang kenalan saya telah bermurah hati hantar sebekas penuh ikan sardin berkuah tomato yang dia buat sendiri menggunakan pressure cooker. Punyalah saya dan Bott gembira. Kami berdua ni pantang jumpa sardin. Tetapi, tak adalah diikutkan sangat rasa suka tu. Makanan dalam tin, kan ... jarang masuk menu. Sekali-sekala, apabila teringin baru beli barang setin dua. 

Dah dapat versi homemade, mulalah laju fikir hendak masak apa. Pilihan pertama, tentunya sambal sardin dan kentang. 

Sambal Sardin dan Kentang

Jumaat, September 10, 2021

Kenko untuk Yuri

Assalamualaikum. Salam Sayyidul Ayyam!

Minggu ini memang jadual saya lari sedikit sebab memantau keadaan Yuri yang hampir seminggu tidak lalu makan. Seperti yang saya ceritakan sebelum ini, dari luaran dia sihat. Tiada sebarang simptom seperti demam, bengkak gusi atau hidung berair. 

Aksi maintain macho nak ke klinik 😊

Khamis, September 09, 2021

Putus atau Terus - Judika (Easy Chords)

Sebuah lagi lagu dari Judika yang menyentuh perasaan, Putus atau Terus. Lagu ini dicipta oleh Judika sendiri. Released tahun lepas tapi sampai sekarang masih tak jemu dengar. Dua tiga hari ni, saya asyik hum lagu ini sahaja. Alang-alang tu, kita petiklah gitar seround dua.

Suka lirik bahagian korusnya - 
mempertahankan hubungan atau menunda perpisahan?

Kord Gitar From FAMF Tower


Kord Gitar dan Lirik Lagu Putus atau Terus - Judika

Lagu/Lirik: Judika


C        G                    Am

Aku sedang bertanya-tanya

      Dm       A           G

tentang perasaan kita

    Em                                  Am

Benarkah kita saling mencinta

   Dm                                    G 

atau hanya pernah saling cinta

Roti Canai Kepah Berkuah Sos Mentega

Sebelum ini saya ada cerita yang teringin hendak makan kupang atau kepah Two Sons Bistro. Boleh baca mengenainya di sini. Alhamdulillah, berjaya beli kupang tetapi tak ada rezeki hendak masak sebab pada hari tersebut, saya dapat satu tugasan urgent yang perlu disiapkan. Sudah tentulah tiada masa untuk feeling-feeling jadi chef tersohor di dapur. Kupang-kupang segar tu sudahnya jadi orang lain. Projek kupang ala Two Sons Bistro ditangguh ke lain kali.

Tetapi, alhamdulillah. Dah tertulis ada rezeki saya nak makan apa yang diidamkan. Kan saya cerita, saya kenen-kenen adik saya si Cekengah tentang menu kupang ini. Bangun-bangun pagi, dapat gambar melalui Whatsapp.

Rabu, September 08, 2021

Hujan | Guntur | Ramen Panas

Assalamualaikum. 

Di kawasan saya belakangan ini, cuaca panas setengah hari sahaja. Menjelang petang ke malam memang hujan lebat. Angin kuat, guruh berdentam-dentum, semua cukuplah.

Dengan keadaan cuaca sebegini, pola pemakanan di rumah ini berubah secara tak langsung. Dah kurang masak nasi dan lauk. Asyik nak makan sup-sup …  sesuatu yang panas dan berkuah untuk panaskan badan. Mulalah segala bentuk mi, ramen dan bihun jadi pilihan.

Ini hidangan bersup kami untuk makan malam tempoh hari. Mula-mula tak rasa lapar, ingat nak makan roti je. Tetapi, bunyi hujan dan guntur yang saling bertingkah menjadikan perut cepat berlubang! 😂 Tak boleh jadi ni! We need something soupy

Terus capai mi kering dan korek apa ada di dalam peti sejuk untuk buat hidangan bersup ala-ala ramen.

Bott punya. 

Ramen Ayam

Yuri Van Tanpa Houtten

Kucing saya si Yuri Van Houtten bulan Oktober ini akan genaplah usianya 10 tahun. Dah masuk kategori kucing veteran dah. Jadi, saya kena sentiasa alert dengan sebarang perubahan sikap Yuri. Yalah, apabila masuk fasa ini, kucing ada kecenderungan untuk dapat macam-macam penyakit.

Dua tiga hari yang lalu saya perasan Yuri kurang makan. Semasa tengok bekas makanan, pelik pula sebab makanan masih berbaki. Luak sedikit sahaja. Saya perhatikan tingkah laku Yuri seperti biasa, masih aktif. Tak adalah murung, lemah dan mengasingkan diri. Periksa suhu badan pun tak panas.

Yuri Van Houtten nak pergi klinik.

Semalam dah tak makan langsung. Nampak juga sekali-sekala dia pergi dekat bekas makanan, hidu-hidu kemudian berlalu pergi. Mesti lapar tetapi tak ada selera. 

Selasa, September 07, 2021

Spageti Isi Ketam

Saya ada baki isi ketam dalam 1 cawan. Hendak disupkan macam alang-alang. Sedikit sahaja isi ketamnya, nanti tak naik rasa pula.  Benda paling mudah, jadikan rencah untuk spageti.

Spageti isi ketam berkrim. Manis dari isi ketam, lemak dari mentega dan susu (atau krim) dan sedikit kepedasan dari chili flakes.

Spageti Isi Ketam

Rehat Minda - Pure Evil

Assalamualaikum. Semoga hari ini baik-baik dan indah buat kita semua.

Biasalah, apabila tatal gambar-gambar di Instagram, banyak betul perkara melucukan yang kita akan jumpa. Ini yang ingin saya kongsikan dengan kalian.

Scar dan Mufasa

Isnin, September 06, 2021

5 Idea Hidangan Mudah untuk Minum Petang

Assalamualaikum. Tengah buat apa tu? Saya sedang berehat sekejap sambil isi perut. Hari ini agak lama duduk di hadapan komputer buat tugas suntingan, rasa penat pula. Berehat sebentar untuk coffee break. Sebelum ini, saya ada buat cakoi dan saya dinginbekukan. Panaskan semula beberapa ketul dengan air fryer, nikmati cakoi dengan secangkir kopi.

Resepi Mudah Cakoi di sini.

Gendang gendut tali kecapi. Kenyang perut senang hati! Bolehlah sambung kerja.

Mi Goreng Spicylicious Mi Sedaap

Sudah rasa Mi Goreng Spicy’licious dengan Sambal Hijau Mi Sedaap yang baharu? Baru tak baru, sudah sebulan lebih rasanya produk ni berada di pasaran. 

Saya sebenarnya tidak perasan pun yang di rumah ni ada Mi Sedaap Spicy’licious. 

Cuma baru-baru ini apabila lapar dan teringin hendak makan mi segera jenis goreng, selongkar pantri jumpa satu pek. Tak pasti dari mana dapat. Mungkin masa beli barang dapur di Econsave dapat hadiah percuma. Tak pun Cekengah yang bagi. Adik saya ni ada kecenderungan suka cuba produk baharu yang dia nampak sedap. Apabila dah makan, tak kena selera atau telinga berasap sebab tak tahan pedas, semua dihantar ke rumah saya. 

Inilah rupanya Mi Goreng Spicy’licious dengan Sambal Hijau.  

Ahad, September 05, 2021

Kord Gitar Kekasih Tak Dianggap - Armada (Easy)

Petang semalam saya luangkan masa sebentar dengan gitar saya. Tukar tali, gilap body, sapu lemon oil dekat fretboard. Kiranya semalam gitar saya buat treatment ala spa lah. Saya dapat beberapa tali gitar baharu untuk saya cuba dan review dalam masa beberapa bulan ni. Jadi, alang-alang dah sentuh gitar, ambil masa berehat sebentar dengan petik barang sebuah dua lagu.

Kekasih Tak Dianggap merupakan sebuah lagu lama nyanyian Kertas Band. Kemudian, lagu ini dinyanyikan semula oleh Armada. Sebenarnya, Kertas dan Armada kumpulan yang sama. Tukar nama je. Saya dengar Kekasih Tak Dianggap semasa menonton salah satu FTV Indonesia. Kemudian, baru-baru ini, beberapa teman kerja saya di seberang, sibuk buat cover Kekasih Tak Dianggap sambil berjaga melunaskan kerja mereka di studio. Mari kita tumpang sekaki!

Kord Gitar From FAMF Tower

Sabtu, September 04, 2021

Projek DIY Pagi Sabtu

Assalamualaikum. Selamat hari Sabtu!
Selamat berhujung minggu.

Hari ini seawal pagi saya dah lengkapkan rutin senaman. Selesai semua terus masuk bilik kraf. Sekarang bersiaran dari bilik kraf. Rasanya dalam setengah hari juga akan berada di sini.

Sudak agak lama saya enggan terima sebarang tempahan kraf baik kad ucapan, scrap book atau hiasan untuk jurnal atau planner. Saja nak berehat konon-kononnya. Tetapi, apabila dah lama tak buat projek kraf dan DIY, terasa macam ada yang kosong… ada yang tak kena hahahah.

Jadi, saya mulalah ambil beberapa tempahan. Sebelum mula siapkan pesanan orang, panaskan enjin dengan buat projek DIY saya terlebih dahulu. 

Dah nak mula kerja 😊

Jumaat, September 03, 2021

Sarapan Selepas Lengkap 2 Dos Vaksin

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, semalam saya terima suntikan vaksin dos kedua. Lengkap sudah vaksinasi untuk tubuh ini. Saya terima vaksin di klinik kesihatan tempat saya dapatkan rawatan untuk asma dan hipertiroid. Jadi, tak kalut sangatlah. Dekat je dengan rumah.

Saya antara orang yang terawal dapat masuk ke dewan vaksinasi untuk sesi pagi. Tetapi, disebabkan keadaan kesihatan saya, lama sedikitlah kena luangkan masa di dalam bilik pantauan. Mana tahu ada kesan pada pernafasan atau degup jantung. Alhamdulillah, semua okey.

Balik rumah, masih kuat buat itu ini. Tetapi, lengan yang disuntik mula berat dan sengal. Menjelang malam, otot dan sendi sengal-sengal, macam nak demam.


Sarapan Pagi untuk Pulih Tenaga

Pagi ini apabila bangun, badan rasa macam kena rempuh dengan lori. Tak larat betul! Mata memang berat. Nak tutup je rasa. Bott periksa suhu, mujurlah saya tidak demam. 

Mulut saya pula payau semacam. Ada nasi lemak untuk sarapan tapi rasa tak lalu nak makan. Ini sesuatu yang jarang-jarang berlaku. 😂 Jadi, Bott buatkan puding biji chia sementara badan nak kuat. Kebetulan, semalam memang dah rendam biji chia dengan serbuk koko untuk buat puding. 


Peanut butter and jam chia seed pudding

Puding Biji Chia Mentega Kacang dan Jem Rasberi

Khamis, September 02, 2021

Kakiage untuk Minum Petang

Kelmarin, selepas Bott balik beli barang dapur dan keperluan rumah, saya kemas peti sejuk. Korek baki bahan masak yang lama supaya boleh dimasak terlebih dahulu berbanding stok bahan baru beli. 

Ada lebihan kobis, lobak merah dan cili hijau. Kebetulan untuk minum petang tak terfikir hendak sediakan juadah apa lagi. Jadi, masak kakiage sahajalah.

Kakiage merupakan sejenis hidangan sayuran digoreng rangup lebih kurang seperti tempura. Untuk buat kakiage kita hanya perlu ada bawang besar dan beberapa sayuran yang dihiris memanjang seperti lobak merah, cili benggala, keledek dan kobis.

Kakiage untuk Minum Petang

Kakiage saya kali ini banyak cacat celanya. Dah hiris bawang, tetapi selepas digoreng baru sedar yang bawang masih di atas papan pemotong. Kemudian, sewaktu potong kobis, entah apa yang saya fikirkan ... tahu-tahu dah jadi potongan dadu. Okey, jom tengok resepi.


Resepi Kakiage Mudah

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 labu bawang besar
  • 1/2 batang lobak merah
  • 1/4 - 1/2 biji kobis, terpulang hendak banyak mana
  • beberapa tangkai cili hijau.

* Secara asasnya, ada 2-3 jenis sayur dah cukup dah. Jika ingin lebih sedap, boleh juga tambah hirisan cendawan atau jejari ketam.

  • 1/4 - 1/2 cawan tepung
  • beberapa sudu tepung ubi
  • 1 biji telur


** Penggunaan tepung agak-agak sahaja. Sekadar untuk salut bahan-bahan yang kita hiris seadanya. Tidak perlu banyak macam hendak buat bater cucur. 

Adunan kakiage sedia untuk digoreng.


*** Tak ada tepung ubi? Apa salahnya kita derhaka resepi. 😅 Boleh tukar kepada tepung beras atau tepung jagung. Hasil akhir sedikit berbeza mengikut jenis tepung yang digunakan.


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Masukkan semua bahan  yang telah dihiris ke dalam sebuah mangkuk sederhana besar.
  2. Kemudian, masukkan tepung gandum, tepung ubi dan telur yang telah dipukul sedikit.
  3. Gaul sekata semua bahan.
  4. Panaskan minyak. Api biar sederhana besar. Apabila minyak dah betul-betul panas, sudukan adunan ke dalam kuali.
  5. Goreng sehingga kakiage bertukar keperangan. Balik-balikkan agar gorengan sekata.
  6. Angkat. Tuskan minyak. Sedia untuk dihidangkan bersama sos pilihan. 


Kakiage biasanya dihidangkan dengan sos khas dipanggil tentsuyu. Tetapi, saya tidak buat pun. 😊 


Pstt! Masih dalam proses blogwalking sambil berperang dengan masalah kotak komen. Kalau komen tak muncul, insya-Allah saya datang round lain kali dan komen bertubi-tubi 😂



Biscoff Krunchee buat Penggemar Lotus Biscoff

Baru-baru ini, saya dan Bott manjakan tunas rasa kami dengan Biscoff Krunchee Soyeah Krunchee.

Sebenarnya Biscoff Krunchee ini pemberian Cekengah. Semasa dapat tu, memang sengaja sorok dalam pantri. Biar jauh dari pandangan mata. Benda-benda manis begini hanya boleh makan sekali-sekala. Masa cheat day ke... masa nak reward diri apabila berjaya sudahkan kerja ke... barulah berbaloi! 😁