Rabu, Ogos 24, 2022

Aiskrim Pisang 3 Minit

Assalamualaikum. Selamat Hari Rabu! Moga-moga kalian semua sihat dan baik-baik sahaja. Cuaca sekarang tidak menentu. Kalau panas, panas sangat. Tiba-tiba boleh hujan lebat, pakej dengan ribut petir sekali. Apa yang penting jaga diri ya.

Hari ini di kawasan saya panas terik. Hendak memandang ke luar pun tidak larat lama-lama. Teriknya sampai menyilaukan mata. Waktu-waktu beginilah mula teringin hendak sesuatu yang dingin lalu di anak tekak. 😁 Saya buat aiskrim pisang tiga minit!

Betul. Aiskrim pisang ini paling mudah. Tiga minit sahaja siap. Dengan syarat, kalian ada pisang yang telah didinginbekukan terlebih dahulu. 

Di rumah ini, pisang memang antara makanan wajib beli setiap kali beli barang dapur. Sebahagian besar daripadanya dimakan begitu sahaja, dijadikan cucur pisang, buat baked oat, biskut oat sihat 3 bahan atau lempeng oat dan pisang. Selebihnya, memang saya akan kupas kulit, belah kepada beberapa bahagian supaya menjadi ketulan-ketulan kecil dan simpan di dalam peti dingin beku. Sangat berguna apabila kita hendak buat smoothie pisang atau aiskrim pisang.

Bukan sahaja mudah dan cepat disediakan, aiskrim pisang ini dikira rendah kalori. Bolehlah makan lebih sedikit tanpa rasa bersalah. 

Aiskrim pisang 3 minit rendah kalori saya 😄 

Selasa, Ogos 16, 2022

Kord Gitar Jauh Darimu - Farra Ahmad (OST Risik Pada Hati)

Jauh Darimu nyanyian Farra Ahmad merupakan salah satu lagu runut bunyi untuk drama Risik Pada Hati. Ada tak yang ikuti kisah Hayfa, Adam dan Aishah? Mesti kalian familiar dengan Jauh Darimu. 

Saya suka lagu ini sebab ada vibe lagu balada dulu-dulu. Sewaktu tonton klip video Jauh Darimu, itulah pertama kali saya melihat tuan punya suara. Tetapi, mengapa wajahnya  macam pernah saya lihat? Di mana? 

Rupa-rupanya, Farra jadi talent yang berlakon dalam klip video Cinta Sejati, Aiman Sidek feat. Alin Sidek. Kebetulan saya menonton klip video berkenaan beberapa hari sebelum tengok klip Jauh Darimu. 😊 

Okey, kord gitar Jauh Darimu di bawah versi mudah. Selamat berdendang!

Kord Gitar From FAMF Tower

Isnin, Ogos 15, 2022

Nasi Beriani Udang, Mor Milagai dan Raita

Pernah atau tidak kalian makan beriani udang? Sebelum ini, saya kongsi gambar beriani udang melalui entri Wordless Wednesday. Baru sekarang berkesempatan tulis entri penuh.

Kebiasaannya, apabila berpeluang makan nasi beriani, pilihan saya hanya nasi beriani ayam, daging ataupun kambing. Tidak tergerak hati langsung untuk mencuba beriani udang atau makanan laut. Entah mengapa entah. Mungkin kerana saya ini bukan penggemar makanan laut. Tidak pun, hidangan tersebut tak nampak betul-betul menyelerakan, tak berjaya menggoda saya 🤣.

 

Tetapi yang ini…

Nasi Beriani Udang

Ahad, Ogos 14, 2022

Kord Gitar Akhir Yang Manis - Fabio Asher

 Sebuah lagi lagu yang sedap didengar oleh penyanyi lagu Rumah Singgah, Fabio Asher.

Kord Gitar From FAMF Tower


Kunci Gitar dan Lirik Akhir Yang Manis - Fabio Asher (Easy Chord0

*Capo 4th fret

[Intro]

C G Am

C G F


C            G      Am G

Banyak hal kita lewati

F      G           Em Am

saat sedih kau di sisi

Dm       G      Em

saat ku butuh dirimu

      Am     Dm

kau selalu jadi yang pertama

      G

dan satu satunya


Jumaat, Ogos 12, 2022

Bebola Keledek Viral yang Rangup dan Enak Dimakan

Assalamualaikum. 

Sebenarnya sudah beberapa hari asyik tergoda dan terliur tengok bebola keledek viral yang lalu lalang di Instagram dan TikTok. Tetapi, tidaklah tergerak hati untuk cuba masak. Pagi ini dalam tercari-cari apa yang hendak dibuat untuk sarapan, nampak pula beberapa keledek manis dalam bakul.

Apa lagi, teruslah kelentung-kelentang di dapur dengan harapan bebola keledek viral yang diimpikan berjaya jadi hidangan makan pagi.

Alhamdulillah, inilah bebola keledek viral saya. Panas-panas lagi dari kuali.

Bebola Keledek Viral

Resepi Bebola Keledek Manis

Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat bebola keledek manis ini tidak banyak. Langkah-langkah penyediaan pun tidaklah serumit mana. Jom tengok bahan-bahan yang diperlukan!

Bahan-bahan:

  • 400g keledek oren
  • 140 gram tepung ubi kayu
  • 140 gram gula
  • 1 - 2 sudu besar air (digunakan hanya jika perlu untuk melembutkan adunan)
  • minyak masak secukupnya untuk menggoreng jeluk (deep fry)


*Selain keledek oren, resepi bebola keledek ini juga boleh diolah dengan menggunakan keledek ungu atau keledek Jepun.


** Jika diikutkan, sukatan gula yang digunakan sama dengan sukatan tepung ubi. Tetapi, terpulanglah pada selera kalian. Andai tidak mahu bebola keledek kalian terlalu manis, kurangkanlah penggunaan gula sesuai selera.

Lihat juga: Resepi Cucur Keledek Kembung


Cara Buat Keledek Viral Rangup

Pertama sekali, bersihkan keledek. Kupas kulit, potong kepada beberapa bahagian supaya lebih mudah empuk dan kukus.

Keledek saya sedia untuk dikukus.

Setelah keledek empuk, lenyek keledek. Kemudian, masukkan tepung ubi kayu dan gula. Gaul sekata dan uli sehingga menjadi doh seperti di bawah ini. Saya tidak guna kesemua tepung ubi sekali gus. Masukkan secara berperingkat dan uli sampai dapat adunan yang tidak melekat di tangan.

Sekiranya doh agak berderai disebabkan terlebih tepung, masukkan satu ke dua sudu besar air. Jika doh lembik, tambahkan sedikit tepung.

Pucat pula doh saya dalam ni. Sebenarnya warnanya lebih oren :)


Setelah itu, gentel-gentel doh sehingga menjadi bebola kecil. Bulat-bulatkan asal jadi bebola sudah. Tidak perlu teliti sangat kerana semasa proses menggoreng nanti bebola keledek kita akan mengembang bulat dengan jayanya.

♫ Bulat kecil ... bulat kecil ... bebola keledek! 🎝🎜


Selesai proses buat bebola, panaskan minyak masak. Guna api sederhana. Minyak memang kena banyak supaya bebola boleh tenggelam. Kita nak deep fry, kan?

Setelah minyak panas, masukkan bebola dan goreng sehingga agak-agak separuh masak. Proses selepas ini yang penting. Jangan lupa buat! 

Apabila bebola keledek kita sudah separuh masak, gunakan sudip untuk tekan bebola di dalam kuali. Proses ini bertujuan untuk mendapatkan bebola yang ringan, rangup dan berlohong di dalamnya. Jika kita balik-balikkan seperti gorengan biasa, tidak dapat lubang kuih. Nanti tepung dalamnya jadi gooey.

Tekan-tekan seolah-olah kita hendak penyekkan bebola yang sedang digoreng. Jangan bimbang bebola tu jadi pipih ke ... kemik ke .... Bebola akan menjadi lebih ringan dan cantik terbentuk kembungnya. Terus tekan dan tekan lagi sambil menggoreng sehingga kulit luarnya mengeras.

Angkat bebola yang sudah masak cantik. Tuskan minyak. Biarkan sejuk seketika sebelum dihidang.

Maaf, gembira sangat bebola keledek viral saya menjadi sampai lupa untuk ambil gambar bahagian dalam bebola yang berlohong tu. Kalian dapat bayangkan bagaimana, kan?


Nikmatilah dengan senyuman. 😊


Bebola Keledek Viral Guna Air Fryer

Bolehkah bebola keledek ini dimasak menggunakan air fryer? Jadi tak lohong di bahagian dalam bebola? Saya betul-betul terlupa. Hasrat asal hendak cuba goreng sebahagian daripada bebola keledek ini menggunakan air fryer. Tetapi, disebabkan teruja tengok hasil gorengan cantik bulat-bulat guna kuali, tahu-tahu habis semua bebola saya goreng sekali.

Insya-Allah, ada kesempatan lain saya cuba bereksperimen masak bebola keledek viral guna air fryer. Kalau ada antara kalian yang sudah cuba resepi bebola keledek viral ini pakai air fryer, jangan lupa kongsi di sini! 

Turk Lokumu | Turkish Delight

Edisi Selongkar Pantri lagi. Kali ini kita makan lokum atau Turkish delight. Manisan dari Turki ini diperbuat daripada some kind of kanji, gula dan pelbagai jenis kacang (seperti kacang hazel, pistachio, kacang pine dan walnut) dan bahan-bahan lain yang lazat berperisa seperti lemon, oren dan hirisan kurma. 

Lazimnya, jika ingin cari pencuci mulut, manisan atau snek kunyah-kunyah, lokum tidak menjadi manisan pilihan saya. Sebelum ini, beberapa kali makan Turkish Delight saya  asyik terkena 🥴 Rezeku dapat yang rasanya terlalu manis buat saya.


Turk Lokumu

Khamis, Ogos 11, 2022

Terima Kasih Daun Keladi, Cik Nur

Assalamualaikum. Apa khabar semua?

Ini entri penghargaan istimewa buat Cik Nur. Siapa lagi kalau bukan pemilik blog Dapur Cik-Nur. Sekitar bulan Jun yang lalu, Cik Nur ada buat teka-teka di blognya. Melalui entri Teka Harga, Cik Nur mahu kita teka berapa harga nasi bungkus yang telah dibeli.

Saya pun gatal-gatallah mencongak dan mengagak harga nasi bungkus tersebut. RM6. Tak sangka mengena! Entri bulan 6, harga nasi bungkus RM6 dan hari lahir Cik Nur yang juga jatuh dalam bulan 6 ... makanya, pembaca-pembaca yang berjaya meneka dengan betul dapat hadiah! Alhamdulillah, ada rezeki saya dan beberapa rakan blogger yang lain.

Tidak silap saya selepas raya haji hadiah ini sampai. Tetapi, disebabkan dalam dua tiga minggu juga saya tiada di rumah, hadiah ini duduk diam-diam di bawah jagaan jiran sebelah. Selepas itu, boleh pula saya terlupa. Saya ingat semua bungkusan yang saya terima merupakan pembelian atas talian saya. Tidak teringat langsung yang saya akan terima hadiah daripada Cik Nur. Jadi, ambil own sweet time buka satu per satu parcel apabila ada masa.

Kelmarin, sewaktu buka bungkusan, gelabah sekejap. 'Eh, bila aku beli kain batik? Ke salah buka parcel orang lain?' Setelah tengok butiran pengirim, barulah sel-sel otak berhubung. Terus sengih sampai telinga.

Kiriman hadiah daripada Cik Nur

Inilah hadiah yang saya terima!

Batik Andika, Raifili


Sepasang kain batik merah jambu keluaran Raifili. Maaf, sempat guna meja hitam ni je untuk hampar kain dan ambil gambar. Meja lain penuh. Saya belum habis mengemas lagi. 😅

Domo Arigato, Cik Nur!

Terima kasih banyak-banyak, Cik Nur atas pemberian ini. Teruja saya dapat hadiah kain batik cantik. Saya suka sangat rekaan kain batik Raifili ini. Bertambah sehelai lagi koleksi kain batik moden saya. Dah terbayang-bayang di kepala nanti nak mix and match dengan baju apa. 😁

Doa saya, semoga Cik Nur dan keluarga dikurniakan ganjaran rezeki berlipat ganda yang tidak akan pernah putus, dianugerahkan dengan kesihatan yang baik, umur dan kehidupan yang penuh barakah.

Jom! Alang-alang dah cerita tentang hadiah kiriman Cik Nur, marilah kita blogwalking ke blog Cik Nur sama-sama!

Rabu, Ogos 10, 2022

Tiada Motivasi | Feeling Down

Dua bulan belakangan ini, sejak saya sibuk ulang alik ke hospital (untuk rawatan susulan hipertiroid dan asma), saya semakin ambil berat isu kesihatan minda. Doktor saya pun asyik tekankan hal yang sama. Selain rekodkan simptom biasa, beliau tidak lupa untuk bertanya tentang keadaan mental dan emosi. Sekadar perkongsian - ketidakstabilan hormon tiroid to certain extent boleh menyumbang ke arah anxiety dan kemurungan. Ini antara perkara utama yang tidak boleh saya ambil mudah sebenarnya.

Saya sentiasa pastikan saya dalam keadaan relaks. Saya ini cepat gelabah orangnya. Jadi, kalau tiba-tiba rasa macam down, tertekan seolah-olah tiada motivasi, saya akan berhenti lakukan perkara yang sedang saya buat dan alih tumpuan kepada sesuatu yang baharu. Tukar persepsi, tukar angin sedikit. Tak adalah otak tu tepu semacam.

Di bawah ini, ada grafik menarik mengenai aktiviti-aktiviti yang boleh kita lakukan apabila angin baik tidak menyebelahi kita. Maaf, tidak dapat kreditkan grafik ini kepada pemiliknya. Ini perkongsian melalui group Whatsapp kawan-kawan crafters.

Are you feeling down?

Sabtu, Ogos 06, 2022

Kerepek Paru Rangup

Assalamualaikum. Salam Santai Sabtu! Selamat berehat semua!

Baru-baru ini, ada kawan bertanya sama ada saya hendak paru atau tidak untuk dibuat masak? Maklumlah, sesetengah orang tak makan paru. Itu yang dia tanya dahulu sebelum beri.

Saya iyakan sahaja dengan syarat paru yang sampai kepada saya paru yang sudah siap direbus. Hahaha memang bunyi macam banyak cekadak tetapi saya tidak cukup gagah untuk proses paru yang belum direbus. Nak kena rendam, kena cuci darah beku semua tu. Saya tidak mampu.

Jadi, apabila paru rebus selamat mendarat di dapur, terus saya usahakan untuk buat kerepek paru rangup. Beberapa tahun dahulu, ada orang beri saya kerepek paru rangup. Sedap sangat! Krup krap krup krap apabila dikunyah. Paru rangup yang sepatutnya dijadikan hidangan standby kalau malas masak tidak ambil masa lama untuk saya habiskan. Licin-licau.

Setelah itu, hajat hendak beli kerepek paru yang sama tidak kesampaian kerana tuan punya badan yang buat kerepek paru dah berhijrah. Cari di Shopee dan Lazada, macam tak berkenan sangat sebab tidak ada yang betul-betul nipis seperti yang saya pernah makan.

Ini kerepek paru rangup saya.


Kerepek Paru Rangup

Selasa, Ogos 02, 2022

Oleh-oleh dari Kampung Jiran

Lama tiada di rumah, banyak juga surat dan bungkusan saya terpaksa menginap di rumah jiran. Bagi rider, adik kurier dan adik PosLaju yang sudah biasa dengan saya, mereka memang akan tinggalkan barang di dalam kotak khas di porch rumah. Selebihnya, jiran saya yang tolong ambilkan. Kami tinggal di lot yang sama. Jadi, surat dan parcel kami pusing-pusing antara rumah je. Kalau rider ketuk rumah jiran untuk hantar parcel saya, jiran saya ambilkan terus. Begitulah sebaliknya.

Kelmarin, selesai kemas-kemas barang, saya pergi tuntut parcel-parcel saya. Sebelum balik tu, jiran beri dua pek kopi. Oleh-oleh dari kampung katanya.

Kopi-O Kluang Coffee

Isnin, Ogos 01, 2022

Hantar Pelukan Kertas

Assalamualaikum.

Salam 1 Ogos! Semoga bulan Ogos lebih baik untuk kita semua. Ogos bulan untuk negara kita. Ada yang sudah mula kibar Jalur Gemilang di rumat atau tempat kerja? 

Hari ini cerita tentang explosion box lagi. Ini kisah beberapa bulan yang lalu. Baru sempat terbitkan sebagai entri. Kad kotak atau explosion box di bawah ini saya anggap istimewa sangat. Kenapa? Istimewa kerana ini kad yang saya buat setelah berbulan-bulan tidak hasilkan sebarang kad ucapan. 

Tidak tahulah mengapa ... nak kata sibuk sangat tu, tidaklah. Tetapi, memang sudah lama tidak berpeluang meluangkan masa di dalam bilik kraf untuk buat kad. Tempahan kad ucapan pun semua saya tolak. Nak buat untuk suka-suka jauh sekali. Mungkin sedikit tertekan dengan rutin kerja ... penat ... semua tulah bergabung jadi faktor penyebab. 😁

Satu hari, saya terima perkhabaran yang salah seorang kenalan crafter saya jatuh sakit. Kemudian, ada masalah lain pula menimpa dirinya. Walaupun pada mulanya kami kenal atas dasar sama-sama minat card making, selepas itu kami jadi kawan baik dan dia merupakan antara confidantes saya. She's one of my low-maintenance friends - kawan yang kita tidak perlu selalu jumpa, tidak payah call setiap hari, tapi kita tahu dia ada. 

Dengan dia, tidak perlu risau dia kecil hati ke apa kalau saya lambat balas Whatsapp. Lazimnya, saya baca Whatsapp melalui notifikasi di jam tangan, memang selalu lupa balas. Sebulan lepas tu baru balas pun tak ada hal. Kadang-kadang, Bott yang kena ingatkan saya, mesej A dah balas? Andai ada hari saya rancak berbual dengan A, mesti lepas tu dia akan tanya, dah berapa bulan korang tak sembang? Sebab memang betul-betul banyak bulan! 😂

Disebabkan hendak hantar titipan istimewa buat sahabat saya yang seorang ini, gigih saya siapkan explosion box di bawah. Lama tak main potong-potong tampal-tampal, sakit pinggang juga dibuatnya. 


A Paper Hug

Explosion Box - Sending A Hug