Memaparkan catatan dengan label Hidangan Ayam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hidangan Ayam. Papar semua catatan

Selasa, April 14, 2015

Resepi Bebola Ayam & Tauhu

Mari cuba resepi bebola ayam dan tauhu ni. Sesuai untuk hidangan minum petang. Nak buat lauk pun boleh. Selalunya saya makan bebola ini dengan sos cili Thai. Nak makan dengan apa-apa sos kegemaran kalian pun sedap - sos black pepper, cili kicap, mayonis, mustard...ikut cita rasa masing-masing ye :)

Oh, bebola ayam dan tauhu saya ni kurang serinya. Warna hijau tak ada sebab tak letak hirisan daun bawang dan daun sup. Last minute baru perasan 'hijau-hijau' tu tiada dalam stok. Tetapi, begini sahaja dah cukup enak dah. Yang pasti bebola ayam dan tauhu ini lebih sihat berbanding bebola cucuk-cucuk yang kita beli.

Bebola Ayam dan Tauhu

Ahad, Januari 18, 2015

Cara Paling Mudah Menyediakan Ayam Adobo (Chicken Adobo)

Resepi Mudah Ayam Adobo. Hari tu beri sneak peek untuk jamu mata je dalam entri sebelum ini. Sekadar tunjuk gambar hidangan tanpa diselitkan resepi. Hari ini saya kongsi resepi penuh ayam adobo yang sedap dan mudah disediakan.

Terdapat pelbagai cara dan resepi untuk menyediakan lauk ayam adobo. Antaranya adobo menggunakan resepi yang asas tanpa santan, adobo dengan santan malah adobo makanan laut juga ada!

Jom lihat resepi. Di bawah ini resepi asasnya, tidak pakai santan. 



Ayam Adobo


Resepi Ayam Adobo

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 300g - 400g ayam 
  • 1 cawan cuka
  • 3/4 cawan kicap (saya guna kicap lemak manis Jalen je. Bukan kicap pekat, bukan kicap cair.) 
  • 1/2 labu bawang putih (asingkan, titik dan buang kulitnya)
  • 1 - 2 sudu teh lada hitam biji - Tidak perlu ditumbuk/dihancurkan kerana kita mahu rasa lada hitam yang tidak terlalu kuat. Just nice.
  • 2 - 3 keping daun salam.
  • Garam (jika perlu)
  • Sedikit minyak untuk menggoreng ayam.

Cara penyediaan:
  1. Bersihkan ayam. Perap ayam bersama cuka, kicap, lada hitam, bawang putih (jangan lupa titik/tumbuk dulu untuk keluarkan rasa garlicky-nya) dan daun salam. Ada yang perap semalaman supaya perapannya lebih mesra. Saya perap 2 - 3 jam je. Dah cukup dah, insya-Allah.
  2. Setelah diperap, gunakan frying pan (kuali leper) dan panaskan sedikit minyak. Sedikit sahaja tau! Goreng ayam hingga masak dan bahagian luarnya crispy sedikit. Balik-balikkan ayam supaya gorengan sekata.
  3. Setelah ayam masak, masukkan kuah perapan tadi dan didihkan seketika sehingga liquidnya reduced dan memekat sedikit. Perasakan dengan garam (jika perlu). Jika mahu kerangupan bahagian ayam dikekalkan, keluarkan ayam dari kuali sebelum reneh dan pekatkan kuah. Apabila nak dihidangkan baru masukkan ayam ke dalam kuahnya. Dua-dua cara pun boleh.
  4. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat Mencuba!




Khamis, Januari 15, 2015

Ayam Adobo @ Chicken Adobo



Percubaan pertama saya memasak Ayam Adobo atau Chicken Adobo. A Pinoy dish. Hidangan ayam berkicap ini merupakan salah satu hidangan terkenal di Filipina. Kira signature dish merekalah and apabila sebut adobo, ramuan pentingnya (main ingredient) ialah cuka. Rasa hidangan inmasam-masam, manis-manis dan pedas berempah sedikit. 

Ada pelbagai cara dan resepi untuk menyediakan lauk ayam adobo. Antaranya adobo menggunakan resepi yang asas tanpa santan, adobo dengan santan malah adobo makanan laut juga ada! 

Usah bimbang. Tidak sesukar mana langkah-langkah untuk menyediakan masakan ini. Saya buat yang basic  pun dah dap dap dap! Bahan-bahan yang digunakan tidak banyak. Ayam, cuka, kicap, lada hitam, bawang putih dan daun salam. Perap, goreng dan reneh!

Jamu mata dahulu ye. Insya-Allah, saya akan sertakan resepinya kemudian.


Jumaat, Januari 02, 2015

Resepi Mudah - Ayam Sambal Cili Api

Siapa yang suka makan pedas? Ini resepi untuk anda. Ayam Sambal Cili Api. Berdesupppppp rasanya ;)

Ayam Sambal Cili Api

Resepi Ayam Sambal Cili Api

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 350g ayam (atau lebih mengikut keperluan hidangan) - lumurkan dengan garam dan kunyit, goreng dan ketepikan.
  • Segenggam cili api (kisar)
  • 5 batang cili hijau (kisar)
  • 1 biji bawang besar (potong dadu)
  • 2 - 3 sudu besar cuka
  • garam secukup rasa
  • minyak untuk menumis

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis bawang besar. Masukkan cili yang dikisar dan tumis hingga masak.
  2. Masukkan cuka. Rasa kemasamannya. Jika perlu, tambah lagi sedikit cuka.
  3. Perasakan dengan garam.
  4. Gaulkan dengan ayam yang telah digoreng. Sedia untuk dimakan.

Saya gunakan cili hijau untuk dapatkan elemen rasa sambal hijau dalam hidangan ini. Jika anda tidak mahu sambal yang pedas, boleh tukarkan penggunaan cili api kepada cili hijau sepenuhnya.


Rabu, September 24, 2014

Resepi Semur Ayam Mama Sastri

Saya dah lama teringin nak makan lauk semur ni. Kali terakhir makan rasanya dekat sebuah restoran yang menyajikan makanan Indonesia,..tak ingat di mana. Lama dah! Masa tu makan dengan nasi liwet. Sedapnya!

Minggu lepas, since saya ada banyak masa terluang, saya cuba juga buat lauk semur ni. Pada asalnya nak buat semur daging (yummmm yummmm....), tapi nanti Cekebon tak boleh makan. Penat saya jaga diet harian buah hati pengarang jantung yang seorang ini. Tak mahulah hanya kerana saya dengan food craving saya, tekanan darah tingginya naik mencanak!

Semur Ayam

So, kita buat semur ayamlah. Resepi diimport terus dari Bandung. Ini version Mama Sastri, salah seorang kenalan saya.  Bersungguh-sungguh dia cuba simplify resepi ni untuk saya. Maklumlah, saya ni bila resepi tu complicated sedikit, mula rasa nak angkat senduk dan melarikan diri. Orang 'pakar' la katakan. Hehehe. Makasih, Mama :)

Resepi Semur Ayam Mama Sastri

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 350 - 400g ayam
  • 200ml santan pekat (saya guna santan kotak tanpa kolestrol yang fat trimmed tuh)
  • 4 batang cili merah (belah dua, buang biji)
  • 5 sudu besar kicap manis
  • 2 sudu makan kicap pekat
  • 2 helai daun salam
  • 2 sudu besar bawang goreng
  • 2 sudu besar daun bawang
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Sedikit air
  • 2 butir bunga lawang
  • 5 butir bunga cengkih
  • 1 batang kayu manis

Bahan yang perlu dikisar:
  • 1 biji bawang besar
  • 5 siung bawang putih
  • 2 inci halia
  • 1 biji tomato besar
  • 1 butir buah keras
  • 1/2 butir pala
  • 1 sudu teh lada hitam


Langkah-langkah penyediaan:
  1. Bersihkan ayam. Gaul dengan kunyit dan garam. Goreng ayam hingga separuh masak. Ketepikan.
  2. Keluarkan minyak menggoreng ayam tadi dan tinggalkan hingga lebih kurang 2 - 3 sudu besar minyak.
  3. Tumis bunga lawang, bunga cengkih dan kayu manis buat seketika. Masukkan bahan yang dikisar. Tumis kesemuanya hingga naik bau.
  4. Setelah tumisan naik bau, masukkan kicap pekat, kicap manis. Tuangkan sedikit air supaya kuahnya tidak terlalu pekat. Masukkan ayam diikuti dengan santan, daun salam dan cili merah.
  5. Masak dengan api sederhana sehingga kuah memekat. Sekiranya inginkan lebih kuah, tambah sedikit lagi air.
  6. Tabur daun bawang dan bawang goreng sebelum juadah dihidangkan.


SELAMAT MENCUBA!


Rabu, September 17, 2014

Kepak Ayam BBQ Mudah


Untuk 'Treat For One', saya nak share resepi super simple Ayam BBQ Mudah. Hehehe,.. mana tak mudahnya, pakai sos BBQ yang ready made. OK, yang ini Hunt's Honey Hickory BBQ Sauce. A bit manis bagi saya tapi sedapppp!

So, apa yang perlu dilakukan,...lumur ayam yang hendak dipanggang dengan sos BBQ tadi. Then, masukkan dalam oven (Panaskan dahulu lebih kurang 15 minit pada suhu 210-230 darjah celcius - bergantung pada oven masing-masing ye). Panggang selama 10 minit. Kemudian, keluarkan dari oven. Terbalikkan ayam. Sapu satu lagi lapisan sos dan panggang selama sepuluh hingga lima belas minit. Sedia untuk dimakan!

Sos BBQ seperti ini ada macam-macam jenis dan perasa di pasaran. Julat harga antara RM8 - RM13 sebotol, bergantung pada jenama. Belilah sebotol buat stok. Time terasa nak makan tapi malas nak prepare meal yang proper,...boleh cuba kepak ayam BBQ ni :)


Jumaat, September 12, 2014

Resepi Mudah - Ayam Goreng Kari

Ayam Goreng Kari
Mari! Mari! Saya nak kongsi resepi ayam goreng kari. Juadah ni sangat senang nak disediakan. Apa yang penting, rasanya marvellous! Upin Ipin kalau tahu, diorang pun mesti suka! Hehehe. OK. Saiz hidangan untuk 4 - 6 orang makan. So, agak-agaklah portion ayamnya banyak mana ye. Selepas bersihkan ayam, perap dengan 1 sudu besar serbuk kari (ayam/daging), 1 sudu besar mayonis dan garam secukup rasa. Perap lebih kurang sejam. Then, goreng seperti biasa.

Sesudah tu, tumiskan hirisan bawang besar dan cili merah. Tuangkan ke atas ayam goreng tadi. Perahkan limau sebelum menikmati hidangan :)


Isnin, Ogos 11, 2014

Resepi Ayam Kari Tumis Bercili

Satu lagi resepi mudah untuk dicuba!

Ayam Kari Tumis Bercili


Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 1/2 ekor ayam (potong kecil, kunyit dan garamkan)
  • 4 siung bawang putih (cincang halus)
  • 1 biji bawang besar (potong bulat)
  • 5 batang cili merah (tumbuk kasar) *Tukar dengan cili hijau pun tak apa.
  • 5 batang cili padi (tumbuk kasar) *Jika tak mahu pedas, tidak perlu letak.
  • 7 biji belimbing buluh (belah dua)
  • 1 - 2 sudu besar serbuk kari
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 1/2 sudu teh gula
  • 100ml air
  • 100ml santan
  • 2 sudu besar minyak masak utk menumis

Cara Penyediaan:
  1. Panaskan minyak, goreng ayam hingga masak. Tetapi jangan sampai garing. Ketepikan.
  2. Tumis bawang besar, bawang putih diikuti dengan cili yang telah ditumbuk. Masukkan serbuk kari, serbuk lada hitam dan gula. Tumis seketika.
  3. Kemudian masukkan ayam. Kacau hingga semua bahan sekata.
  4. Masukkan air dan santan diikuti dengan belimbing buluh. Masak sampai meresap. 

Nota Senyum: Boleh juga buat lauk ni untuk makan dengan roti jala :)


Jumaat, Mei 09, 2014

Resepi Stew Ayam Bott

Ini hidangan kegemaran Bott. Stew ayam yang dimakan dengan nasi panas. Resepi stew ayam ni kami dah modified ikut citarasa kami. Mudah sahaja nak sediakan. Main campak-campak je. Berminat nak cuba? Ikut 3 langkah mudah di bawah (Err,..langkah-langkah tak termasuk penyediaan bahan-bahan tau!)

  1. Rebus ketulan ayam dan kaki ayam untuk buat stok. Masukkan hirisan bawang besar/merah, bawang putih, halia, lobak merah, ubi kentang, saderi dan asam keping. Biarkan hingga mendidih.
  2. Masukkan kicap tiram, kicap pekat, kicap manis, serbuk lada hitam. Letak sedikit dulu dan modify rasa ikut citarasa. Jika perlu perasakan dengan garam.
  3. Masukkan 1 - 2 sudu tepung jagung (larutkan dalam sedikit air) untuk pekatkan kuah. Sedia untuk dihidang!

Rabu, Mac 26, 2014

Ayam Masak Sambal Taucu

Mula-mula mohon maafkan cili tumbuk tak berapa nak lumat boleh buat tampal seluar berlubang tu. Biasalah, saya bab tumbuk-tumbuk sambal ni, jenuh sedikit! Tangan cepat lenguh hahaha Tapi, percayalah, sambal ini memang sedap! Ada pedas-pedas cilinya, masin taucu ... lawan dengan ayam goreng garing ... memang tak pandang kiri kanan dah!

Resepi Ayam Masak Sambal Taucu


Bahan-bahan:
  • potongan ayam (Lumur dengan kunyit dan garam, goreng sehingga masak. Ketepikan.)
  • 5-7 cili merah
  • 4 butir bawang putih
  • 2 sudu besar taucu
  • 1 - 2 sudu besar air perahan jus limau
  • gula secukup rasa 
  • sedikit air masak
  • 2 sudu besar minyak untuk menumis

Cara Penyediaan:
  1. Tumbuk cili merah dan bawang putih.
  2. Panaskan kuali. Tumis pes yang ditumbuk tadi.
  3. Masukkan sedikit air. Kemudian masukkan taucu.
  4. Perasakan dengan perahan jus limau dan gula.
  5. Gaulkan dengan ayam goreng. Sedia untuk disajikan.


Selamat Mencuba!

Sabtu, Mac 01, 2014

Kerabu Kaki Ayam

Ni menu beberapa hari lepas, time diri ni terasa malaaaasssss sangat nak masak. Kebetulan ada kenalan ibu hantar lauk yang boleh jadi main dish.So tanpa fikir panjang saya pun buatlah Kerabu Kaki Ayam :)


Mula-mula saya rebus kaki ayam dengan beberapa asam keping untuk buat stok. Sambil tu, potong dadu/hiris halus-halus bawang besar, cili api, tomato dan serai. Nak lagi sedap masukkan sekali kacang panjang dan bunga kantan. Saya tak letak sebab bahan-bahan tu tak ada dalam stok. 

Bila kaki ayam dah empuk, masukkan kaki ayam dan stoknya ke dalam mangkuk. Masukkan bahan-bahan yang dah didadu/dihiris. Perasakan dengan sedikit sos ikan (kalau tak ada dengan garam pun boleh) dan perahan limau kasturi. Once rasa dah OK, taburkan hirisan daun limau.

*Air rebusan stok yang lebih, jangan buang. Simpan dalam peti sejuk/freezer. Boleh guna untuk masak hidangan lain.

Rabu, Februari 26, 2014

Ayam Masak Cendawan ala Cina

Ok. Hari ni kita masak ala-ala Chinese food. Bahan-bahan yang diperlukan untuk hidangan ini ialah:
  • 300g ayam (potong kecil)
  • 1 pek cendawan shitake atau cendawan butang (belah dua)
  • 5 batang cili kering 
  • 5 butir bawang putih (hiris nipis)
  • halia lebih kurang sebesar ibu jari (hiris nipis)
  • 1 labu bawang besar (potong bulat)
  • 3 sudu sos tiram
  • 1 sudu besar minyak bijan
  • 2 sudu besar kicap pekat
  • 2 sudu besar kicap cair
  • lada putih secukup rasa
  • 1-2 cawan air
  • sedikit minyak untuk menumis

Langkah-langkah Penyediaan:
  1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih, halia dan cili kering sehingga naik bau.
  2. Masukkan sos tiram dan ayam. Masukkan air (ikut citarasa nak kuah banyak ke sikit) supaya ayam lebih cepat masak.
  3. Tunggu hingga ayam empuk dan kuahnya mendidih.
  4. Masukkan cendawan, kicap pekat, kicap cair dan bawang yang dipotong bulat. 
  5. Kemudian, masukkan lada putih dan minyak bijan. Gaul hidangan agar sekata. Sedia untuk dihidang.
Ayam masak cendawan ni saya tak letak garam sebab dah pakai sos tiram dan kicap. Hidangan saya kali ni warnanya gelap sikit sebab terlebih kicap pekat. Cili kering pula semua terbenam kat dasar mangkuk. Selamat mencuba!