Memaparkan catatan dengan label Variasi Kerabu | Salad. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Variasi Kerabu | Salad. Papar semua catatan

Salad Ringkas Baby Butterhead dan Kruton

Khamis, Oktober 27, 2022

Antara daun salad kegemaran saya ialah baby butterhead. Baru-baru ni semasa singgah Lotus’s untuk beli barang, jumpa daun salad ni di bahagian reduced to clear. Murah. Keadaan masih okey dan segar lagi. Saya pun ambil beberapa pek.

Sementara baby butterhead yang dibeli masih elok dan boleh dimakan, saya sediakan salad ringkas seperti bawah ini. Ada kruton yang saya buat beberapa hari lalu. Masuk sekali sebagai bahan tambahan untuk extra crunch

Baby butterhead salad with croutons

Kerabu Kulit Tembikai yang Rangup dan Mudah Disediakan

Sabtu, Januari 29, 2022

Minggu  lepas, Bott beli tembikai. Kulitnya awal-awal kami asingkan, tidak dibuang sebab teringin hendak buat kerabu kulit tembikai. Bahan-bahan untuk menyediakan kerabu kulit tembikai ini tak banyak pun. Nak buat pun mudah. Alhamdulillah, puas kami berdua makan. 


Jom intai resepi di bawah.


Hidangan Kerabu Kulit Tembikai


Resepi Kerabu Kulit Tembikai

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Kulit tembikai - dikupas kulit luarnya dan dihiris memanjang. 
  • 1 biji bawang besar dihiris
  • 5-6 biji cili padi dihiris
  • sebiji tomato dipotong dadu
  • beberapa helai daun limau diracik halus
  • sedikit perahan jus limau kasturi (*)
  • sedikit air asam jawa (*)
  • sedikit belacan (*)
  • sos ikan (*)
  • garam (hanya jika perlu)

Bahan-bahan bertanda (*) tiada sukatan khusus. Saya main agak-agak sahaja sesuai selera. Jika ingin rasa masam lebih, lebihkanlah penggunaan air asam jawa dan jus limau kasturi. Jika suka rasa belacan yang ketara, banyakkan kandungan belacan.

Selain itu, bahan lain yang boleh dimasukkan ke dalam kerabu kita ialah udang kering dan kacang tanah yang disudah disangai. Tetapi, untuk sajian kali ini saya memang tidak letak.


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Satukan hirisan kulit tembikai, bawang, cili padi dan tomato di dalam sebuah mangkuk.
  2. Masukkan perahan jus limau kasturi, air asam jawa, belacan, sos ikan dan racikan daun limau. Gaul sehingga semua bahan jadi sekata. Tambah garam hanya jika perlu kerana kita sudah guna belacan dan sos ikan.
  3. Sedia untuk dihidangkan.




Tips untuk kerabu tembikai yang rangup dan menyelerakan.

  1. Untuk kulit tembikai rangup krup krap krup krap apabila dimakan, rendamkan kulit tembikai dengan ais dan setengah sudu kapur makan buat beberapa ketika. Andai rasa renyah hendak guna air kapur, boleh sahaja langkau proses ini. Kulit tembikai tetap rangup tetapi tak bertahan lamalah. Akan soggy sedikit.
  2. Masukkan ke dalam peti sejuk selama beberapa jam sebelum dinikmati. Kerabu kulit tembikai ini lebih sedap dihidangkan dingin.

Selamat mencuba dan mengolah resepi kerabu kulit tembikai. Selain dibuat kerabu, kulit tembikai boleh juga dimasukkan ke dalam gulai lemak (pautannya saya kongsi di atas) atau lauk taucu. 

Kerabu Taugeh Kacang Botol

Selasa, Ogos 03, 2021

Kerabu taugeh kacang botol ini sebenarnya dah lama saya buat. Terperuk dalam draf. Hari ini kemas-kemas apa yang patut baru perasan ada beberapa entri resepi yang belum saya terbitkan lagi. Bagi penggemar kerabu atau urap, kalian akan suka hidangan ini. Dapat lauk kerabu sebegini, makan ratah begitu sahaja pun sedap! Kerangupan kacang botol dan taugeh segar memang akan buat suapan kita berulang.

Untuk kerabu ini, saya tidak menggunakan kerisik atau kelapa parut sangai. Sebaliknya, ramuan asas yang digunakan ialah ramuan untuk buat Sambal Matah Bali.


Lihat juga: Kerabu Jambu Batu


Resepi Kerabu Taugeh Kacang Botol

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 3-5 biji bawang merah atau 1 labu bawang besar dihiris halus. Jika suka guna banyak bawang, boleh lebihkan sesuai selera.
  • 5 ulas bawang putih dihiris halus.
  • + 2.5 cm belacan. 
  • 2 batang serai dihiris halus.
  • 5-7 helai daun limau, dibuang urat di tengah dan dihiris halus.
  • Cili api segenggam kecil, dihiris halus.
  • Segenggam taugeh
  • Beberapa batang kacang botol, dihiris.
  • 3-4 sudu besar minyak kelapa. Jika tiada, boleh sahaja digantikan dengan minyak canola, minyak bunga matahari atau minyak masak biasa.
  • Garam secukup rasa jika perlu.

Resepi Kerabu Kedondong

Selasa, Februari 11, 2020

Ini antara entri resepi peram saya. Buat resepi ni tahun lepas, baru sekarang dapat terbit sebagai entri. Susulan beli Kedondong Reduced to Clear dari Tesco (maaf, ini juga kisah 2019), banyak jugalah resepi berasaskan kedondong yang saya olah untuk santapan diri dan keluarga. Antaranya ialah kerabu kedondong.


Beginilah rupa paras kerabu kedondong saya.


Resepi Kerabu Kedondong

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 6-8 biji buah kedondong (isi dihiris memanjang). Jika nak guna lebih banyak pun boleh.
  • beberapa biji bawang merah atau sebiji bawang holland (dihiris halus) 
  • segenggam kecil ikan bilis (disangrai/disangai - goreng tanpa minyak). Kalau nak goreng seperti biasa dengan minyak pun boleh, asalkan ikan bilis tu garing.
  • beberapa helai daun limau (dihiris halus)
  • 2 batang serai (dihiris halus)
  • air perahan limau kasturi (secukupnya)
  • garam secukup rasa

Kedondong Reduced to Clear dari Tesco

Isnin, September 16, 2019

Ini kisah beberapa minggu lepas sebenarnya. Cuma baru sekarang berkesempatan nak buka cerita di sini. Saya memang suka makan kedondong. Pernah cerita mengenai kegemaran saya makan kedondong cicah dengan kuah cuka cili api di sini.

Bayangkan, pergi Tesco, jumpa kedondong batch reduced to clear dengan harga paling awesome. 60sen sahaja untuk satu pek yang beratnya sekitar 400g. Banyak jugalah satu pek tu. Dapat dalam 12-15 biji bergantung kepada saiz. Ini memang bargain paling berbaloi. Punyalah happy saya dapat kedondong-kedondong tu. Lazimnya, kalau reduced to clear harganya dalam RM1.++. Kali ni dapat 60sen je. Puas saya belek setiap buah kedondong dalam pek tu. Semua OK lagi. Keras-keras. Tak ada pula yang terlebih mushy atau yang dah tak elok. 


Apa lagi, saya grabbed dua bungkus terus. Kalau ikut tamak, nak ambil tiga pek. Tetapi, tak terhabis pula nanti. Dah bazir kan.... Selain dari simpan separuh untuk stok gatal gigi saya, sudah terlintas di kepala beberapa hidangan yang hendak dibuat menggunakan kedondong yang saya beli. Nak tahu saya lauk apa yang berjaya saya hasilkan?

Kerabu Jeruk Buah Pala Sagat

Jumaat, Jun 16, 2017

Kerabu Jeruk Buah Pala Sagat ini antara hidangan berbuka puasa saya dan keluarga beberapa hari lepas. Nak buat kerabu ni bukan pakai jeruk buah pala potong yang biasa tu tau. Kita guna jeruk buah pala kering atau yang orang biasa panggil jeruk pala sagat tu. Berjurai halus-halus je rupa jeruknya. Di rumah ni ada dua pek jeruk pala sagat Pak Ali yang Uje bawa balik dari Penang. Kalau jeruk lain, cepat je licin-licau. Jeruk pala kurang dapat sambutan. Saya seorang je yang sambil-sambil tengok TV makan seurat. Seurat lagi 😆

Kebetulan, hari tu tekak teringin nak makan something yang masam-masam. Jadi, saya olahlah supaya jeruk pala dapat dijadikan hidangan. Beginilah rupanya Kerabu Jeruk Buah Pala Sagat saya.

Kerabu Jeruk Buah Pala Sagat

Resepi Mudah - Kerabu Yee Mee Jejari Ketam

Selasa, September 29, 2015

Something simple to try. Buat tukar-tukar selera.

Kerabu Yee Mee Jejari Ketam

Kerabu Pilihan Saya ;)

Ahad, Jun 28, 2015

Petang ni nak masak apa untuk buka? Bolehlah intai resepi-resepi kerabu di bawah. Mana tahu boleh dijadikan salah satu hidangan untuk berbuka nanti. Klik pada gambar dan pautan di bawah ye.


Kerabu Kaki Ayam
Sedappppppp!

Resepi Mudah - Kerabu Jambu Batu

Khamis, Mac 26, 2015

Saya suka makan buah jambu batu. Kaya dengan serat, buah ini juga jatuh kategori rendah indeks glasemik. Jadi, apabila makan ikut portion yang betul, kandungan gula dalam darah tidak akan spike dan kita akan lambat rasa lapar.


Sebut tentang jambu batu, siapa pernah makan kerabu jambu batu? Jom cuba resepi mudah ni. Senang sahaja untuk membuatnya. Sedap ke tidak? Dap dap dap!

Kerabu Jambu Batu
Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 1 biji jambu batu (hiris nipis)
  • 1 biji bawang besar (potong dadu)
  • beberapa tangkai cili padi (hiris)
  • 1 ulas bawang putih
  • sedikit belacan
  • 3 - 4 sudu besar kerisik kering/kelapa goreng
  • garam dan gula secukup rasa
  • perahan jus air limau nipis secukupnya

Langkah-langkah penyediaan:
  1. Tumbuk cili api bersama bawang putih dan belacan.
  2. Satukan dengan bahan-bahan lain. Masukkan air limau nipis mengikut kemasaman yang dikehendaki. 
  3. Perasakan dengan garam dan gula. Gaul hingga semuanya sekata.
  4. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat Mencuba!


Urap Pegaga

Khamis, November 06, 2014

Assalamu'alaikum! Selamat Pagi Khamis! Cepat betul masa berlalu...sedar-sedar dah nak hujung minggu. Minggu pertama November pun dah nak habis. Bagaimana November kalian setakat ni? Oh, semalam 'tuai' pegaga dari taman herba saya. Banyak jugalah yang dapat! Ada kerisik kering dalam peti sejuk. Apa lagi,...saya buat urap! Jamu mata dulu ye...Insya Allah petang nanti saya sertakan resepinya.

Urap Pegaga
Kemas kini 5.07 petang. 
OK. Jom intai resepinya!

Resepi Urap Pegaga 

Bahan-bahan:
  • 2 - 3 genggam/ikat daun pegaga (dibersihkan)
  • 1/4 - 1/2 biji kelapa parut yang disangai terlebih dahulu (Saya gunakan stok kerisik kering yang ada.)
  • 3 biji bawang merah  (mayang)
  • Halia lebih kurang sebesar ibu jari (hiris halus memanjang)
  • 7 tangkai cili padi (hiris). Kalau tak makan pedas, boleh kurangkan atau tak perlu letak langsung.
  • sedikit serbuk kunyit
  • sedikit garam
  • sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara:
  1.  Tumiskan bawang merah, belacan dan halia hingga naik bau. Tambahkan sedikit serbuk kunyit.
  2. Masukkan daun pegaga. Masak hingga daunnya layu.
  3. Masukkan kelapa parut dan cili padi. Kacau hingga semuanya sebati. Perasakan dengan garam.
  4. Sedia untuk dihidang!




Kerabu Perut Campak-campak!

Isnin, September 08, 2014

Bersiaran dari dapur! Inilah Kerabu Perut Campak-campak!

Kerabu Perut
Tak ada resepi khusus. Semuanya ikut apa yang ada. Perut yang telah dibersihkan dan direbus hingga empuk, tauge, cili api, tomato, hirisan serai, jus limau kasturi, air asam jawa dan garam. Pandai-pandailah begakan rasa. Macam saya, yang penting masam dan pedasnya cukup!


Kerabu Taugeh dan Pegaga

Selasa, Ogos 19, 2014

Ni menu beberapa hari lepas. Kebetulan masih ada kerisik dalam peti sejuk. Pegaga 'tuai' dari kebun :) Pokok pegaga di taman herba saya dah bertambah jadi tiga pasu! Heheheh.

Kerabu Taugeh dan Pegaga

Maaf, kali ini tak boleh disertakan resepinya. Saya main campak-campak bahan ikut resepi kerabu taugeh yang terlintas di kepala. Then, tambahkan daun pegaga. Taugeh dan pegaga saya celur dalam air panas sekejap. Kemudian, tuskan dan cepat-cepat masukkan dalam air sejuk. Jadi, taugeh akan kekal rangup dan tidak terlalu lembik/lodoh. Since saya suka pedas, saya masukkan potongan cili api :) Ratah macam tu je pun sedappppp!





Resepi Kerabu Bihun ala Thai

Selasa, Julai 15, 2014

Dah lama tak buat kerabu bihun ni. Tiba-tiba teringin pula nak makan. Pergi kedai cari bunga kantan. Habislah pulak! Kalau time tak nak tu, bersusun-susun bunga kantan kat kedai. Boleh letak atas dulang hantaran! Hmmm, dah mengidam sangat ni,..tak de bunga kantan pun OK je lah!


Mari lihat apa bahan yang diperlukan:
  • Bihun lebih kurang 1/2 bungkus (celur tapi jangan sampai 'soggy', tuskan)
  • 1 biji timun sederhana besar (buang empulur dan potong memanjang)
  • 1 batang lobak merah (potong memanjang)
  • 2 batang bunga kantan (hiris halus)
  • 3 batang serai (hiris halus)
  • 1 - 2 kiub tomyam (hancurkan sedikit). Boleh juga digantikan dengan 1- 2 sudu pes tomyam.
  • 1 labu bawang besar (potong dadu)
  • 7 biji cili api (hiris halus)
  • beberapa helai daun limau (saya tukar selera, guna daun pudina)
  • jus limau kasturi secukupnya
  • garam (jika perlu)
  • 2 sudu besar minyak masak

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis bawang dan pes tomyam buat seketika hingga naik bau.
  2. Dalam sebuah mangkuk besar, masukkan bihun yang telah ditus, lobak merah, timun, bunga kantan, serai dan cili api.
  3. Tuangkan bahan tumis tadi ke dalam mangkuk. Gaul semua sehingga sekata.
  4. Perasakan dengan jus limau kasturi dan garam.
  5. Taburkan hirisan daun limau.
  6. Sedia untuk dihidang!

Portion hidangan ni agak besar tau. So, bolehlah beri jiran tetangga sikit. Basically, kerabu bihun ni lebih kurang macam bihun yang kita makan dengan nasi ambeng, cuma diberi sentuhan ala Thai. Masam-masam gitu! Sesuai jadi side dish untuk dihidang bersama lauk lain. Makan begitu sahaja pun sedap! 

Oh ya. Jangan terikat sangat dengan sukatan resepi di atas. Adjust ikut selera. Nak lebih pedas, tambah cili api. Nak lebih rasa tomyam, lebihkan pes...Rasa-rasa nak lebih meriah lagi, masukkan sebiji tomato yang dipotong dadu. Selamat Mencuba! Nanti, bila dah buat, jangan lupa share di sini best ke tidak, ye.




Resepi Salad Timun Mudah

Selasa, Jun 10, 2014

Cepat, mudah dan refreshing!

Salad timun yang crunchy :)

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 1 - 2 biji timun
  • 1 biji lemon (parut kulitnya dan perah 1/2 biji lemon untuk dapatkan jus)
  • 1 labu bawang besar (hiris)
  • 1 sudu besar Extra Virgin Olive Oil (kalau tak ada, minyak zaitun biasa pun OK)
  • 1 tangkai daun pudina
  • beberapa helai daun limau (hiris halus)
  • garam secukup rasa

Cara-cara penyediaan:
  •  Masukkan timun dan bawang yang telah dipotong ke dalam mangkuk sederhana besar. 
  • Masukkan pula minyak zaitun, jus lemon (Jangan masuk kesemuanya sekali gus. Takut nanti terlebih masam pula.), parutan kulit lemon, hirisan daun limau dan daun pudina.
  • Perasakan dengan garam. Gaul hingga sebati.
  • Sedia untuk dihidangkan :)

Saya suka serve salad timun ni dalam keadaaan sejuk. Jadi, saya akan sediakan lebih awal dan simpan di dalam peti sejuk. Bila nak makan, baru hidang. Salad timun dingin dengan rasa sitrus,...sangat menyegarkan!!! Cubalah!

Kerabu Kubis

Rabu, April 02, 2014

Sebenarnya dah lama sangat saya teringin nak makan kerabu kubis dan cuba buat sendiri juadah ni. Asyik tak jadi-jadi! Kelapa parut dalam freezer dah banyak kali keluar, then kena masuk balik. Ada sahajalah kekangannya. Tiba-tiba decide nak makan luar lah,...terfikir nak masak menu lainlah, lupa beli kubis...


Akhirnya,..my first attempt. Satu pinggan ni saya punya seorang :)

Kerabu Kaki Ayam

Sabtu, Mac 01, 2014

Ni menu beberapa hari lepas, time diri ni terasa malaaaasssss sangat nak masak. Kebetulan ada kenalan ibu hantar lauk yang boleh jadi main dish.So tanpa fikir panjang saya pun buatlah Kerabu Kaki Ayam :)


Mula-mula saya rebus kaki ayam dengan beberapa asam keping untuk buat stok. Sambil tu, potong dadu/hiris halus-halus bawang besar, cili api, tomato dan serai. Nak lagi sedap masukkan sekali kacang panjang dan bunga kantan. Saya tak letak sebab bahan-bahan tu tak ada dalam stok. 

Bila kaki ayam dah empuk, masukkan kaki ayam dan stoknya ke dalam mangkuk. Masukkan bahan-bahan yang dah didadu/dihiris. Perasakan dengan sedikit sos ikan (kalau tak ada dengan garam pun boleh) dan perahan limau kasturi. Once rasa dah OK, taburkan hirisan daun limau.

*Air rebusan stok yang lebih, jangan buang. Simpan dalam peti sejuk/freezer. Boleh guna untuk masak hidangan lain.

Kerabu Mangga oh Kerabu Mangga

Selasa, Januari 31, 2012

Dah lama aku buat kerabu ni tapi tak sempat nak update di blog. Barulah petang ni ada masa nak share resepi kerabu mangga mudah ini di sini. Selamat Buat Kerabu!


Bahan-bahan:
  • 4 biji mangga muda - hiris nipis memanjang (boleh guna 'peeler' khas)
  • 4 ulas bawang merah - hiris nipis
  • 5 biji cili api - hiris nipis atau tumbuk hingga hancur
  • 1 batang serai - hiris nipis
  • 1 sudu besar gula
  • 3 sudu besar sos ikan
  • 3 - 4 biji limau nipis - ambil jusnya
  • 3 - 4 sudu besar kacang tanah - goreng dan tumbuk kasar
  • Garam secukup rasa - tidak perlu terlalu banyak garam kerana sudah menggunakan sos ikan.

Cara-cara:
  1. Masukkan hirisan mangga, bawang merah, cili api dan serai ke dalam mangkuk sederhana besar.
  2. Kemudian masukkan gula, sos ikan dan jus limau nipis. Gaul sehingga semuanya sebati. Perasakan dengan garam jika kurang masin.
  3. Akhir sekali taburkan kacang tanah sebelum dihidangkan.

Kerabu Kubis Merah

Jumaat, Ogos 19, 2011


Senang saja nak buat kerabu ni. Rasanya pun sedap. Tapi sorryla, tak sempat nak capture gambarnya :)

Bahan-bahan:

  • 3 batang serai *
  • 1 batang bunga kantan *
  • 1 ikat daun ketumbar *
  • 1 ikat daun sup *
  • 1 biji bawang besar (dihiris bulat-bulat)
  • 1 inci halia (dipotong memanjang)
  • 5-7 biji cili padi (dipotong menyerong)
  • 2 - 3 sudu besar sos ikan (ikut citarasa)
  • sedikit jus perahan lemon (ikut citarasa)
  • satu sudu teh parutan kulit lemon
  • 100 - 150g ayam goreng/rebus/ nugget ayam
  • 1/2 biji kubis merah (hiris nipis)
  • garam secukup rasa


Cara-cara:

  1. Hiris nipis semua bahan yang bertanda (*). Masukkan ke dalam mangkuk salad.
  2. Masukkan semua bahan yang lain - bawang, halia, cili padi, ayam dan kubis.
  3. Tuangkan sos ikan, perahan jus lemon, parutan kulit lemon dan perisakan dengan garam.
  4. Gaul hingga semuanya sekata dan hidangkan.


Resepi Salad Cili Hijau Tumis Mudah

Selasa, Disember 29, 2009

Semalam Bott excited cerita dekat aku yang pokok cili hijau rumah jiran sebelah dah membuahkan hasil. Mewah jugak! Aku punyalah seronok pergi tengok cili 'life' dekat pokok. Aku suka kalau tengok rumah yang ada tanam daun kari, serai, lengkuas, cili dan macam-macamlah. Senang bila nak masak! Lagi seronok kalau ada tanam herba sedikit sebanyak!

Cili hijau sihat-sihat!
Sedia untuk dipetik.


Aku selalu main tunjuk dan beli dekat pasaraya je. Nama nak tanam sendiri, manalah area rumah aku tu ada tanah. Lagipun, belum tentu lagi aku ni 'green fingers'. Secara automatik, minat nak tanam-tanam ni luput begitu sahaja. Borak-borak masa makan dengan nenek, nenek beritahu yang pokok cili hijau tu pokok nenek. Yelah, duduk kat kampung ni mana pakai pagar-pagar. Bila pokok tu dah dekat sempadan antara rumah nenek dengan jiran sebelah, kitorang buat 'jangkaan selamat' yang pokok tu bukan nenek punya.

Dah tahu pokok tu nenek punya, apa lagi! Tak payah tunggu lama, aku dan Bott pergi petik cili-cili yang dah masak. Aku memang suka cili hijau. Selalu kalau buat ayam goreng kunyit atau ikan goreng, aku akan potong cili hijau dan tumis dengan bawang yang dah dipotong bulat-bulat. Hidangkan sekali dengan ayam goreng kunyit. Buat lauk masak taucu atau masukkan hirisannya dalam sandwich pun sedap!

Operasi memetik cili.

Di bawah ini ada satu resepi mudah yang aku biasa buat tetapi maaf tidak dapat nak sertakan gambar.

Resepi Salad Cili Hijau Tumis Mudah

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Cili hijau secukupnya (10-12 batang)
  • Lobak merah (dipotong halus-halus memanjang)
  • 2 sudu minyak zaitun atau kalau nak ubah cita rasa boleh letak minyak bijan
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk lada hitam
  • 3 - 4 ulas bawang putih dicincang halus

Cara-caranya:

  1. Mula-mula cili hijau dipotong serong. Keluarkan biji cili.
  2. Kemudian, panaskan minyak, tumis bawang putih yang dicincang halus.
  3. Masukkan cili hijau tadi dan tumis seketika sebelum masukkan lobak merah.
  4. Perasakan dengan garam dan lada hitam secukupnya.

Senang, bukan? Sedap! Jangan bimbang, salad cili hijau ini tidak pedas. Lagipun, kita dah buang biji kan... Selamat mencuba!