Jumaat, Julai 30, 2021

Sarapan Telur Hancur Cendawan Shitake Kering

Assalamualaikum. Salam Penghulu Hari.

Hidangan sarapan saya kelmarin. Telur hancur dengan sedikit kailan dan hirisan cendawan shitake. Cendawan shitake yang saya gunakan ini cendawan shitake kering yang saya beli ketika jualan 7.7 di Lazada awal bulan dahulu.

Telur Hancur Cendawan Shitake

Saya ada baucar Lazada yang hendak tamat tempoh. Stok cendawan kering di pantri tinggal dua tiga tongkol sahaja. Kebetulan, ada penurunan harga dan peroduk ini tergolong dalam item yang akan dapat cashback. Jadi, saya pun belilah satu pek.

Khamis, Julai 29, 2021

Rehat Minda - Berapa Wajah

Assalamualaikum. 

Bagaimanakah hari kalian setakat ini? Sedang sibukkah? Andai ada masa terluang, marilah rehat-rehatkan minda dengan saya sebentar.

Perhatikan gambar di bawah. Sekali pandang memang kita akan nampak sepohon pokok yang hanya tinggal ranting-ranting tanpa dedaun. Tetapi, andai diteliti akan terpapar imej beberapa wajah yang terbentuk melalui jalinan ranting-ranting tersebut. 

Cuba lihat betul-betul.

Rabu, Julai 28, 2021

Kenangan Terindah - Setia Band (Easy Chords)

Pernah dengar atau lagu Kenangan Terindah dendangan Samsons yang popular sekitar tahun 2005? Lagu putus cinta. 😁 Ingat lagi, dahulu petang-petang saya duduk depan TV layan Sinetron Puteri Yang Terbuang. Lagu Kenangan Terindahlah yang jadi runut bunyi untuk sinetron tersebut. 

Kali ini lagu tersebut dinyanyikan semula oleh Setia Band (dahulu mereka merupakan ahli ST12). Saya memang penggemar muzik ST12 suatu masa dahulu. Banyak lagu mereka yang hits dan sedap didengar! Apabila ST12 berpecah, saya ikuti juga lagu-lagu Setia Band.

Kenangan Terindah dirakamkan pada tahun 2019 dengan susunan muzik pop Melayu, genre yang cukup sinonim dengan ST12 dan Setia Band. Lambat release mungkin kerana menunggu masa yang sesuai. Setelah beberapa tahun diperam, akhirnya lagu ini dilancarkan bersempena dengan penamatan kerjasama antara Setia Band dengan label Trinity Optima Production.

Nak dengar boleh cari dan tonton video muziknya di Youtube. Kemudian, kalian putuskanlah sama ada suka versi asal nyanyian Samsons (pop) atau Setia Band. 😊

Kredit Imej - Youtube Trinity Optima Production

Selasa, Julai 27, 2021

Rempah Kerutuk dari Kelantan

Rempah Kerutuk Kelantan | Sebenarnya sudah lama saya dapat rempah kerutuk ini. Ada kenalan dari Kelantan yang beri pada awal tahun dahulu. Sebelum ini saya memang tidak pernah masak hidangan kerutuk. Selalu jika nampak rempah kerutuk Adabi di kedai pun tak terlintas untuk beli.

Jadi, apabila ada rezeki dapat rempah kerutuk dari Kelantan, punyalah gembira. Boleh belajar masak kerutuk. Selama ini hanya tahu makan sahaja.


Ramuan Rempah Kari Masak Kelantan - Kerutuk Ayam
1 pek ini untuk hidangan 1/2 kilo ayam.

Masalahnya apabila dah pasang niat untuk masak, kerisik pula tiada. Tangguh hajat. Adalah dalam beberapa bulan lepas tu baru beli kerisik. Dah ada kerisik pula, lupa langsung untuk masukkan hidangan kerutuk ke dalam menu. 

Isnin, Julai 26, 2021

Donut Holes untuk Minum Petang

Ingat lagi mengenai Donat Maaf Aku Tak Sempurna saya sebelum ini? Semasa mengerjakan donat tersebut, saya memang sengaja asingkan donut holes (lebihan doh yang diambil dari bahagian donat yang dilubangkan) dan tidak gabung dengan baki doh yang ada. Saya biarkan donut holes ini mengembang sama-sama dengan donat yang lain, kemudian saya bakar sekejap di dalam penggoreng udara (air fryer). Cukup-cukup sahaja untuk bagi ketulan-ketulan kecil ini masak dan kekal bentuknya.

Setelah sejuk, saya simpan di dalam bekas dan dinginbekukan. Donat holes kita jadikan stok dan simpan untuk minum petang hari-hari kemudian.

Dua tiga hari belakangan ini 'kan memang cuaca panas. Mulalah mulut tu asyik mencari benda hendak dimakan. Jadi, kita gorenglah donat holes.

Sabtu, Julai 24, 2021

Tak Beli Double-Sided Tape, Tapi ...

Ini kisah dua minggu yang lalu. Saya sedang sibuk menguruskan material untuk kelas di bilik kerja. Tiba-tiba Bott masuk tanya kenapa saya beli double sided tape lagi sedangkan masih ada banyak pita tersebut dalam stok barang kraf saya. Ketika itu dia sedang buka bungkusan-bungkusan pembelian online kami yang baru sampai.

Double-sided tape? Pelik. Saya tidak beli sebarang bentuk gam atau pita pelekat pun. Setelah dibuka bungkusan berkenaan betul-betul dan diteliti, ini yang saya terima.

Memang double-sided tape. Tapi, bukan yang baharu. Ini gelung double-sided tape yang telah digunakan.


Di dalam gelungan itu baru barang yang saya beli. 😎

Saya beli satu tiub kecil Advocate Cat Flea & Tick Spot-On Solution untuk Yuri. Yuri pakai ubat kutu ni tiap-tiap bulan untuk perlindungan jangkitan kutu dan earmites. Sebenarnya, dalam simpanan kami ada satu kotak yang mengandungi 3 tiub ubat kutu. Malangnya, simpan punya simpan, sampai tak jumpa letak di mana.

Mujur ada kedai pet online yang jual satu tiub secara berasingan. Jadi, saya belilah satu unit sementara hendak menjejak kotak ubat kutu yang terlampau disimpan itu. 

Kreatif penjual ini, kan? Sedaya upaya lindungi produk yang kecil cenonet dengan menggunakan bahan terpakai. Boleh beri markah lebih di situ. Barang selamat sampai tanpa cela. Dah selamat calit pada tengkuk Yuri pun.

Tuan punya badan tengah terkedang, seronok tinggalkan DNA atas permaidani.

Tengok gelung double-sided tape teringat pada satu cerita yang saya baca sebelum ini. Seorang pelanggan ni beli alat sparepart secara online. Apa yang menariknya, penjual telah bungkus sparepart yang dibeli menggunakan sabut kelapa. Memang kalahlah bubble wrap, inflatable air packaging tu semua. Betul-betul berfikir di luar kotak. 😂

Terhibur saya dapat barang dibungkus unik sebegini. Penjual-penjual macam ni layak untuk dapat ulasan yang baik kerana mereka berusaha cuba untuk pastikan barang sampai kepada kita dalam keadaan sempurna. 

Ada juga segelintir penjual yang bikin panas hati, bungkus produk tanpa ambil sebarang langkah berjaga-jaga. Asal boleh sahaja. 

Saya pernah beli chia seeds. Pek chia seeds diletakkan di dalam sebuah kotak yang dibuat sendiri (ada lubang di sana sini dan tidak dibungkus dengan sebarang plastik tambahan atau bubble wrap). Hendak dijadikan cerita, plastik chia seeds itu sendiri tidak di-seal dengan betul. Bayangkan, menjelang sampai kepada saya produk yang beratnya 250g dah tinggal 80g! Selebihnya, buat jejak dari kedai - fasiliti logistik - kereta adik Ninja - rumah saya.

Bila saya hubungi penjual, hanya sebaris sahaja ayat - So sorry dear. Lepas tu, siap lampirkan dasar tak boleh return atau refund. Saya pun kalau ikutkan memang tak adalah nak bersusah-payah keluar rumah semata-mata nak refund barang. Lagi-lagi chia seeds tu harganya sekitar RM6 - 7. Cuma geram dengan sikap tak bertanggungjawab si penjual. Paling tidak, boleh je dia guna plastik flyer biasa tu. Sekurang-kurangnya, apabila seal plastik chia seeds terbuka, biji-biji chia kekal dalam flyer.

Kalian pula bagaimana? Ada pengalaman menarik (atau yang kurang baik) tak dari segi pembungkusan melalui sebarang pembelian online? Kongsi-kongsilah di sini.










Khamis, Julai 22, 2021

Klip Besar untuk Hiasan Jurnal dan Planner

Bulan lalu, sewaktu saya sibuk beli barang untuk Projek Soldadu saya, saya terjumpa klip kertas besar berwarna bronze. Saiz  klip lebih kurang 12 x 2.5 cm. Tidak pernah saya jumpa klip kertas sebesar ini. Apabila dilihat keterangan produk, produk merupakan clearance item dan harganya cuma RM1.95 sepek. Satu pek ada 4 klip kertas. 

Terus saya beli. Dalam kepala memang fikir untuk buat hiasan jurnal dan planner. Sempatlah guna satu klip dalam bullet journal saya. Puas hati dapat tanda muka surat pakai klip besar.

Baru-baru ini saya kemas bilik kraf. Nampak baki klip kertas terus tergerak hendak hias sedikit apa yang perlu. Kebetulan saya memang ada crafts charms lama-lama yang tidak digunakan. Sesuai dijadikan hiasan juntai-juntai letak pada klip kertas.

Rabu, Julai 21, 2021

Salam Aidiladha 1442H

Assalamualaikum. 

Salam 10 Zulhijjah.

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha buat semua teman blogger. Diharap kalian diberkati dengan kesihatan yang baik dan keceriaan dalam meraikan hari penting ini.

Jangan sedih-sedih jika tidak dapat balik kampung. Situasi semasa tidak mengizinkan. Insya-Allah, selepas keadaan pulih kelak, bolehlah kita beraya seperti dahulu. 


Isnin, Julai 19, 2021

Biskut Jawatis untuk Raya

Petang semalam, tengah bosan-bosan duduk rumah, tiba-tiba terasa hendak buat biskut raya. Biskut raya yang mudah-mudah sahaja. Bolehlah nanti feel raya lebih sedikit. Setakat kami berdua memang tak rancang nak masak-masak sangat untuk Aidiladha. Cekebon dah cakap nanti ada orang hantar santapan raya untuk anaknya yang terpisah daerah ini. Nenek jiran sebelah rumah saya pun dah pesan awal-awal jangan masak pagi raya, lauk raya dia sponsor

Makanya, kita bakar kuih jelah untuk raya. 

Pergi pantri intai bahan-bahan kering. Si Bott baru kemas bahan baking saya. Seronok sedikit nak bersilat di dapur. Nampak apa yang ada apa yang tak ada untuk buat kuih.


Lihat: Cara Mengurus Stok Barang Dapur dan Baking


Biskut Jawatis

Ahad, Julai 18, 2021

Si Bujur Sireh yang Menyentuh Hati

Pernah dengar atau tidak lagu Si Bujur Sireh dendangan Ustaz 3 Beradik?

Lagu-lagu Ustaz 3 Beradik biasanya padat dengan mesej yang mengangkat tema kekeluargaan. Sebelum ini, lagu Terakhir menceritakan tentang harapan sang ibu agar tidak dikasari anak apabila mencecah usia tua. Touching sangat. 

Lagu Si Bujur Sireh pula berkisar tentang penerimaan seorang bapa terhadap anak istimewa anugerah Allah sebagai amanah yang perlu dijaga sebaiknya. 

Lirik lagu ini sangat menyentuh hati. Bermula dengan ungkapan perasaan si ayah yang seperti ibu bapa lain mahukan cahaya mata yang sempurna, sebaliknya dititip anugerah paling istimewa. Kemudian, si ayah mengubah persepsi dan akur yang kurniaan Allah itu merupakan rencana yang terbaik buat diri.

Si ayah juga berharap agar orang keliling turut menerima dan memahami keadaan si anak. Cuba memandang si anak dari lensa pandangan yang sama sepertinya. 

Kredit Imej - Youtube Ustaz 3 Beradik

Ikan Pekasam Hulu Perak Sedap dan Berbaloi

Assalamualaikum. Selamat berhujung minggu. 

Hari ini saya mulakan hari dengan senyum lebar sedikit. Dah  digugurkan dari PKPD di Selangor. Jadi, sekarang balik semula ke fasa PKP. Syukur. Mudah-mudahan keadaan bertambah baik. Apa yang penting, kita tetap kena terus jaga diri baik-baik. Lagi-lagi adanya varian Delta yang kian mengganas dengan kadar jangkitan lebih tinggi. Jangan keluar rumah jalan-jalan sana sini melainkan jika ada urusan penting. 

Sepanjang tempoh PKPD baru-baru ini, Bott yang akan keluar beli barang-barang keperluan dapur di kedai runcit berdekatan. Saya in charge beli barang online. Kelmarin, balik dari beli barang runcit, Bott hulurkan satu bungkusan kepada saya. Satu pek ikan pekasam.

Pekasam Hulu Perak
Resepi Warisan Ayah dan Ibu
Dijamin Bersih dan Suci

Khamis, Julai 15, 2021

Donat Maaf Aku Tak Sempurna

Sabtu lepas, saya groggy sebab makan ubat alahan. Malam sebelumnya entah salah makan apa, tahu-tahu dah tergaru-garu. Bila makan ubat, sepanjang hari berat mata. 

“Hidup lagi ke dah mati?”

Sayup-sayup je dengar suara Bott. Siapa yang hidup siapa yang mati? Buka mata baru perasan, saya terkelap di meja dapur. Waktu ini sebenarnya niat baik nak temankan Bott kemas dapur. Tetapi, Bott jelah yang mengemas. Saya tersengguk-sengguk kat situ.

Dekat tangan Bott ada dua paket yis segera. Bott tengah periksa tarikh luput bahan-bahan kering di dalam pantri. Rasanya yis dalam paket tu saya beli masa mula-mula kita PKP tahun lepas. Kononnya nak meroti. Sampai sudah tak guna. Tarikh luputnya pun tak nampak kat mana.

Saya sempat cakap dekat Bott, kalau nak tahu yis tu hidup lagi ke tidak, pergi bagi yis makan gula. Sesudah tu saya selamat belayar ke ‘Mimpiland’.

"Hidup lagi! Ni hidup lagi, kan?" 

Cintai Aku Chord - Adi 6ixth Sense OST Kekasih Hati Mr. Bodyguard

Semasa pertama kali dengar lagu ini diputarkan di radio, saya senyum sendiri. Ada juga lagu baharu Adi 6ixth Sense yang kena dengan saya. Beberapa lagu yang released sebelum ini tidak berjaya memancing telinga.

Cintai Aku merupakan lagu runut bunyi untuk drama Kekasih Hati Mr. Bodyguard. Drama ni saya belum tengok lagi. Lagunya dah cari chords. Transposed version tunggu nanti ya.

Jika ingin dengar, boleh cari video lirik Cintai Aku di Youtube. 

Kord Gitar From FAMF Tower

Kord Gitar dan Lirik Lagu Cintai Aku -Adi 6ixthsense 

(OST  Kekasih Hati Mr Bodyguard)


(Intro)

Am Em Am B7 


Em

Saat jauh darimu

Am B7

Kurasa hampa ini

Em

di dalam keramaian

Am B7

tetapku rasa sepi

Isnin, Julai 12, 2021

Fika dengan Homebaker@Clover Cinnamon Rolls

Khamis lepas, Cekengah hubungi saya untuk maklumkan akan ada orang datang hantar cinnamon rolls. Adik saya yang seorang ni, dia memang ada satu perangai. Setiap kali makan kek atau desserts yang sedap, dia mesti akan teringat pada adik-beradik. Makan benda lain macam sate ke … stik ke … udang galah ke … dia tak ingat sangat pada kami hahaha. 😂 

Lazimnya, apabila dah teringat kami tu, dia akan buat pesanan tambahan untuk dihantar ke rumah saya dan adik bongsu. Jadi, kami tinggal bersedia untuk terima kiriman kasih sayangnya di muka pintu dengan senyuman gembira dan ruang perut yang agak kosong.

Kali ini Cekengah belanja cinnamon rolls dari Homebaker@Clover.

Ahad, Julai 11, 2021

Teringin Sambal Berlada Kentang

Beberapa hari yang lepas, saya masak lauk sambal berlada kentang untuk makan tengah hari. Rasa teringin sangat hendak makan juadah Minang yang satu ini. Apabila difikir-fikir, memang sudah lama saya tidak masak hidangan sambal berlada. Saya dan Bott asyik suka makan lauk berasaskan kicap je. Entah kenapa entah, kami jadi hantu kicap tiba-tiba. 😂

Kentang  ada ...  cili merah ada ... ikan bilis ada (ikan bilis dekat tapi jauh saya tu 😆), marilah buat lauk legend ini!

Jumaat, Julai 09, 2021

Resepi Bendi Goreng Pedas

Bendi. Lady's Finger. Okra. Setiap kali jumpa sayur banyak nama ini yang segar dan masih muda ketika membeli barang basah, saya memang tidak akan lepaskan peluang untuk beli barang sepek dua. 

Selain daripada dijadikan bahan utama untuk masak asam pedas mudah (resepi boleh lihat di sini), dimasukkan ke dalam kari sayur-sayuran dan juga singgang, biasanya saya akan masak bendi goreng pedas. Malah, hidangan ini antara yang sering diulang-ulang dalam menu.


Lihat juga: Tips Memilih Bendi

Bukan sahaja mudah disediakan, malah hidangan ini memang menyelerakan buat penggemar bendi.

Rabu, Julai 07, 2021

Wak Garmin Sudah Habis Nyawa

Minggu lepas, kurang pasti hari apa ... dalam pada saya sibuk merampungkan urusan harian, saya perasan juga yang jam penjejak aktiviti kecergasan agak senyap berbanding biasa.

Lazimnya, banyak notifikasi yang masuk. Saya baca Whatsapp pun selalu melalui jam sahaja. Hari tu memang hening sehening-heningnya. Tetapi, saya tidak syak apa-apa sehinggalah saya terdetik untuk periksa jumlah tapak saya.

Kosong! Langsung tiada paparan skrin. Bateri habis? Peliklah juga sebab baru beberapa hari sebelumnya saya caj jam saya. Apasal tiba-tiba jam mati ni? Cuba caj semula, tiada apa-apa perubahan. Skrin masih hitam. 

Lama jugalah sel-sel otak ni ambil masa nak hantar input yang jam saya sudah rosak. Oh, sedih! Wak Garmin saya sudah kehabisan nyawa rupanya.

Inilah Wak Garmin saya (Garmin Fenix 3 HR). Hadiah hari jadi pemberian adik lelaki saya. Sudah kurang lebih empat tahun Wak Garmin ni berbakti.

Selasa, Julai 06, 2021

Andaikan - Sarah Suhairi OST Hatimu Sedingin Salju

Pertama kali dengar lagu Andaikan nyanyian Sarah Suhairi ini sewaktu saya menonton salah satu episod drama Hatimu Sedingin Salju, lakonan Hisyam Hamid dan Aprena Manrose. Merdu dan lembut je lenggok suaranya. Selepas itu, seperti biasalah, terus tuju Youtube. Setakat ini hanya ada video lirik sahaja yang dikeluarkan.

Chords di bawah telah ditukar menjadi kord mudah. Saya cuba sekali harung sahaja, tak sempat nak bersantai lama-lama dengan Si Kapok. Jadi, andai ada bahagian yang tidak kena tolong maklumkan ya.


Kord Gitar dan Lirik Lagu Andaikan - Sarah Suhairi (Easy Chords)

OST Hatimu Sedingin Salju 

Kord Gitar FAMF Tower


[Intro]

F Em Am

Dm Bm E


Am

Andaikan kita masih lagi bersama

Dm

bayangkan masa depan kita berdua

G                                  C

pastikan saat indah pada waktunya

F-E                            Am

tapi sayang hanyalah kenangan silam

        C                 Dm          E

aku masih lagi di sini keseorangan


[Chorus]

Dm                       C     

Andai kau dan aku bertahan

F                   Dm            G

bayangkan apa mampu kita

                A           

kecapi bahagia bersama

Projek Soldadu Selesai

 Entri-entri terdahulu mengenai Projek Soldadu di sini:


Alhamdulillah. Meskipun perancangan untuk siapkan tempahan yang satu ini agak tersasar disebabkan saya lupa beli kad gambar BTS, Projek Soldadu saya berjaya dilunaskan pada minggu seterusnya. Tercapailah target saya untuk sudahkan semua sebelum bulan Jun berakhir.

Final touch. Letak bling bling sikit. Jangan tanya ini siapa itu siapa … (bab ini boleh tanya Atiqah Najihah) 😊 Untuk saya pangkat acik tua ni, nampak mereka macam seiras dan akan-akan je 😂


The final look.

Isnin, Julai 05, 2021

Cili Kiub untuk Memasak

Assalamualaikum. Selamat memulakan minggu baharu.

Hari ini cerita pasal cili kiub saya. 😊 Kebiasaannya apabila beli cili kering, Bott akan proses cili tersebut sekali harung untuk dibuat pes cili kisar atau cili giling. 

Pes cili itu kemudiannya akan dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama, cili kisar yang akan digunakan dalam masa terdekat, diletakkan di dalam balang atau bekas sederhana besar dan disimpan di dalam peti sejuk. 

Kedua, sebahagian lagi cili kisar dimasukkan ke dalam beberapa plastik dan didinginbekukan (masuk freezer). Setiap plastik agak-agak saiz hidangan sambal tumis sekali masak. Jadi, apabila teringin  hendak masak sambal (dan stok cili dalam balang habis), kami akan guna cili kisar frozen. Biarkan pada suhu bilik untuk dinyahbeku, kemudian masaklah sambal seperti biasa.

Akhir sekali, baki cili kisar akan dimasukkan ke dalam kiub ais (ice tray). Dingin bekukan. Dapatkan kiub ais atau kiub pes makanan bayi yang bertutup seperti di bawah. 

Ahad, Julai 04, 2021

Julai yang Baik-baik Sahaja

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Dah beberapa hari kita melangkah ke bulan Julai, barulah hari ini saya sempat menjengah blog.

Minggu lepas memang sibuk sangat. Saya ada dua artikel yang perlu disunting dan diserahkan sebelum akhir bulan. Selain itu, saya siapkan Projek Soldadu dan satu lagi tempahan kraf yang saya gatal terima pada saat-saat akhir. 😅 Pada masa yang sama, sibuk kemas rumah, ubah susun atur perabot sedikit, buat beberapa diy untuk dapur dan tidak lupa, penuhi temujanji doktor untuk pemeriksaan rutin kesihatan.

Menjelang malam saya dah kepenatan, hendak angkat jari pun tak larat. Jadi, blog memang terabai. Beberapa hari tiada entri baharu. Blogwalking, tinggal komen dan balas komen jauh sekali.

Ini baru hendak menapak kembali.

Salam Julai yang ceria buat kalian semua! Mudah-mudahan Julai ini jadi bulan yang baik-baik sahaja buat kita semua.