Assalamualaikum. Salam Santai Ahad. Salam 1010. Cantik tarikh hari ini, kan?
Sudah beberapa hari tidak masuk blog. Pagi Ahad biasalah saya luangkan masa di bilik kraf. Hari ini kena jana idea untuk tunaikan permintaan seorang pelanggan dari Singapura. Ingat lagi Projek Soldadu saya yang menggunakan pembungkusan BTS Meal? Baca mengenainya di sini. Pelanggan ini berkenan dengan hasil kerja saya.
Jadi, bersempena dengan hari lahir puteri tunggalnya yang bakal tiba hujung Oktober nanti, dia hendak hadiahkan sesuatu yang BTS-related. Disebabkan BTS dan Coldplay baru lancarkan My Universe (ketika entri ini ditulis, klip video My Universe sudah mencecah 56 juta tontonan di Youtube), tentu-tentulah tema Semesta yang diinginkan.
Pada awalnya, saya terpaksa tolak kerana ada ada beberapa tugasan kerja + projek kraf tempahan orang yang perlu disiapkan. Bincang punya bincang, akhirnya saya setuju untuk bantu beri idea dan terlibat dalam proses-proses awal sahaja. Yang ini tidak menuntut komitmen sangat. Selebihnya, akan diserahkan kepada pihak perancang majlis yang diupah di sana.
Gara-gara BTS dan Semesta mereka, pagi-pagi saya dah memerah otak. Masalahnya, sudah agak lama saya di sini, idea yang dinanti tidak kunjung tiba. Entah mengapa hari ini bangun pagi macam tak ada mood. Sel-sel otak enggan berhubung! Dah macam-macam video BTS saya tengok. Iklan BTS jadi duta Coway pun dah banyak kali ulang. 😅
Lazimnya apabila mencari idea, saya akan pusing keliling bilik kraf, cari barang-barang yang sesuai dan boleh digunakan. Apa yang ada, apa yang perlu dibeli. Dari situ, baru pilih dan padan. Tengok kena atau tidak. Bertepatan dengan tema atau sebaliknya.
Kemajuan saya yang tak berapa nak maju setakat ini ... 🤪
|
Proses awal Semesta BTS |