Wordless Wednesday - Monopoly x Duck

Rabu, September 18, 2024

 

Monopoly x Duck


Kek Coklat Tanpa Tepung | The Bread Bar

Selasa, September 17, 2024

Assalamualaikum.

Selamat Hari Selasa! Selamat memulakan minggu baharu setelah cuti hujung minggu yang panjang. Harap keraian Hari Malaysia dan Maulud Nabi kalian telah dimanfaatkan sebaiknya.

Masih terbawa-bawa mood cuti, hari saya dimulakan dengan makan kek coklat! Layan selera tekak yang tiba-tiba mahukan dessert sebagai sarapan. Lagipun, jika sudah singgah di The Bread Bar, sukar menahan godaan Flourless Chocolate Cake yang memanggil-manggil dari bar roti dan pastri.

Inilah kek coklat tanpa tepung yang saya maksudkan. 😊

Flourless Chocolate Cake

Sepotong kek coklat mewah ini akan dipanaskan terlebih dahulu sebelum dihidangkan kepada kita. Bayangkanlah, sewaktu kek ini sampai ke meja, semerbak aromanya menyapa deria. Asyiknya!

Sebaik sahaja satu suapan masuk ke mulut, kita akan lupa diri! 😂 Tekstur kek yang lembut, kaya rasa coklat,   dinikmati suam-suam… so comforting! Kek ini mengingatkan saya kepada Chocolate Lava Muffin Starb***s, but this is way better! Puas hatilah makan. 

Boleh baca entri lain saya mengenai The Bread Bar di sini:

Selesai makan kek, minum kopi, (kopi saya pagi ini kopi air kelapa - saya pernah tulis entri mengenainya di sini) dan beli roti sourdough untuk stok makan di rumah, barulah boleh mula melunaskan urusan-urusan untuk hari ini.

Okey, jumpa lagi nanti! Semoga hari kalian indah dan menyenangkan.


Set Hadiah Monstera

Khamis, September 12, 2024

Set Hadiah Monstera | Monstera Gift Set - Item-item di bawah ini, knot bag, coffee cup holder dan rantai kunci, kesemuanya bekas tangan Bott.

Semenjak Bott aktif menjahit dan menjual hasil jahitannya, kalau hendak cari hadiah atau cenderahati untuk orang, saya akan pergi punggah stok barang jualan Bott terlebih dahulu. 🤣

Selongkar punya selongkar, jumpa tiga item yang guna fabrik serupa. Boleh jadi satu set.

Knot bag untuk letak barang-barang peribadi atau dijadikan beg telekung. Coffee cup holder supaya mudah bawa kopi yang dibeli dan wristlet key fob (rantai kunci) agar kunci-kunci tidak hilang lagi. 😊

Knot bag, cup holder and wristlet key fob

Padang Golf | Shakshuka | Roti Sourdough

Rabu, September 11, 2024

Assalamualaikum. 

Baru-baru ini, saya berpeluang menikmati dua menu sarapan kegemaran saya - shakshuka dan roti sourdough.

Saya memang enjoy makan shakshuka. Dari versi shakshuka yang ringkas dan mudah sehinggalah ke shakshuka mewah yang ada krim atau keju, semua saya suka. Resepi shakshuka simple pun pernah saya kongsi di sini.

Kali ini, saya bersarapan bertemankan keindahan pemandangan hijau padang golf Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara. Kebetulan ada urusan di sana.


My morning view

Terung Masak Sambal

Isnin, September 09, 2024

Assalamualaikum. Selamat memulakan minggu baharu.

Sudah makan tengah hari atau belum? Hari ini, pada asalnya saya tidak merancang untuk masak. Ada lauk yang saya beli semalam semasa keluar, tetapi belum berusik lagi.

Kemas-kemas peti sejuk, jumpa sepek terung. Dah nak lembik dah. Baiklah dimasak sebelum terung rosak.

Alhamdulillah. Lauk tambahan untuk hari ini - terung masak sambal.


Terung masak sambal

Wordless Wednesday - Benang Raja

Rabu, September 04, 2024

 

Benang raja | Kg. Selamat, Sungai Buloh


Sarapan Pagi di Alora Spices

Ini kisah sekitar pertengahan Julai yang lalu. Saya bersarapan di Alora Spices, Taman Tun Dr. Ismail, sebuah restoran yang menyajikan makanan India.  

Alora Spices

Keropok Labu Krup Krap Krup Krap

Selasa, September 03, 2024

Assalamualaikum. Apa khabar? Sudah minum petang?

Hari ni saya di rumah sahaja. Sejak tengah hari tadi asyik dok mengunyah keropok labu. Geng-geng suka mengunyah, korang suka tak makan keropok labu?

Bagi yang belum pernah jumpa, beginilah rupanya keropok labu.

Keropok labu

Lebih kurang seperti keropok dal sahaja. Tekstur dan kerangupan pun lebih kurang sama. Cuma keropok labu ni sedikit manis dek kerana rasa labunya.


Lihat juga: Kopi Labu | Labu Goreng


Pagi tadi, semasa mengemas pantri, jumpa sebungkus keropok labu mentah. Lama dah tak makan keropok labu. Dahulu, saya rajin beli berpek-pek dekat Eco Shop, simpan buat stok kunyah-kunyah.

Tidak pasti keropok labu yang ini saya beli di mana … ke ada orang bagi. Saya pun tidak tunggu lama, terus goreng. Dapat dalam tiga balang besar. 

Sedapnya! Dari sekeping, capai lagi sekeping… sejeping lagi… sudahnya sekejap-sekejap dok capai balang, mengulang keropok labu. Krup krap krup krap krup krap! Addictive sungguh! 🤣


Keropok Labu Vs Kerepek Labu

Saya memang penggemar labu. Selain labu goreng, roti labu, cucur labu dan keropok labu, kerepek labu pun saya suka.

Ada beza ke antara keropok dengan kerepek labu?

Kalau keropok labu, labu yang telah direbus digaul bersama tepung membentuk adunan keropok yang kemudiannya diproses, dibentuk dan dipotong keping-keping. Apabila digoreng, kepingan-kepingan ini akan mengembang seperti keropok-keropok lain yang biasa kita makan tu.

Kerepek pula, buah labu tu sendiri dihiris nipis-nipis, dicelup dengan saduran bater cair lalu digoreng. Macam kerepek pisang Bandung. Boleh bayangkan tak?


Dua-dua rangup tetapi tekstur berbeza. Dua-dua saya suka! 

Sudah alang-alang cerita tentang keropok dan kerepek ni, kongsilah sikit… korang suka kerepek atau keropok apa. Tengah tulis entri ni, tiba-tiba saya terfikir kerepek sukun pula.

Tapau Woodfire Smoked Beef Burger

Isnin, September 02, 2024

Woodfire Burger | Pernah makan Woodfire Burger tak? Sejak mula burger ni tular beberapa tahun dahulu, saya memang terliur tengok ‘rupa paras’ burger-burger yang dijual. Nampak tempting sangat! Tetapi, saya bukan jenis yang rajin jalan-jalan merata pergi food hunting cari makanan viral. Kalau jumpa, kira rezeki… tak jumpa… atau andai lokasi tempat tu jauh, kita diam-diam sahaja. 


Alhamdulillah, baru sekarang ada rezeki untuk merasa makan Woodfire Burger. Adik-adik saya pergi makan di salah satu cawangan Woodfire Burger di TTDI. Saya tidak turut serta. Jadi, mereka tapaukan untuk saya dan Bott seorang satu.

Woodfire Gourmet Burger

Laura - Raissa Ramadhani | OST Laura Movie

Lagu Laura nyanyian Raissa Ramadhani ini merupakan lagu runut bunyi untuk filem Laura yang sekarang sedang ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia. Dalam beberapa hari ni, lagu ini asyik lalu-lalang di FYP TikTok saya. Dengar lagu versi penuh di Youtube, eh… memang boleh layan. Peminat lagu mellow pasti akan suka. 

Sekarang saya agak sibuk. Hendak buat chords Laura, mungkin akan ambil masa sedikit. Sementara itu, kita parking lirik di sini dahulu.

Kord Gitar From FAMF Tower

Kopi Pagi - Honey Oat Latte

Assalamualaikum. Selamat pagi!

Selamat memulakan minggu baharu. Sudah bersarapan ke belum tu? Jangan lupa isi perut ya.


Kopi pagi saya hari ini - Honey Oat Latte.

My honey oat latte.

Kyū

Ahad, September 01, 2024

Assalamualaikum. Salam 1 September.

Seperti biasa, ucapan awal bulan untuk kalian … Semoga 30 hari yang bakal kita semua lalui lancar dan baik-baik sahaja.

Moga bulan ini kerja-kerja kita dapat dilunaskan dengan sempurna. Hari-hari dapat dilalui dengan ceria dan bahagia. Moga ketenangan, kelapangan fikiran dan kesihatan yang unggul berpihak pada kita.


It’s September!

Sertai Pop-Up Market di KWSP

Khamis, Ogos 29, 2024

Hari ini bersiaran dari Menara KWSP, Kwasa Damansara. Saya menyibuk temankan Bott sertai pop-up market anjuran Puspanita KWSP. Acara ini berlangsung dari 26 - 29 Ogos. Kami berniaga dua hari sahaja semalam dan hari ini.


Pop-up Market Puspanita KWSP

Haruman Segar Via Pinky Scented Diffuser

Assalamualaikum. Selamat pagi!

Hari ini cerita tentang scented diffuser. Sebenarnya, saya bukan jenis yang suka beli diffuser untuk rumah. Tetapi, baru-baru ini si Cekengah rambang mata beli blind bags. Adik saya ni memang cepat rambang mata. Dia kalau tonton ‘live’ di Shopee atau TikTok, laju je tangan buat purchase

Saya tak pasti dia beli blind bags di mana tetapi antara item-item yang diperoleh ialah minyak wangi, losen badan, scented hand sanitiser dan Via Pinky Scented Diffuser.

Alhamdulillah, tiga-tiga jadi milik saya. 


Via Pinky Scented Diffuser

Semua Lapan Belas Sen Satu

Selasa, Ogos 27, 2024

Assalamualaikum. 

Awal bulan yang lalu, sepanjang tempoh jualan 8.8, saya rajin mengintai barang-barang di Shopee dan Lazada. Mana tahu ada good deals yang boleh disambar. Kebetulan waktu tu saya memang sedang cari manik silikon untuk projek kraf saya. 

Biasanya di Shopee, saya akan explore Shopee Choice terlebih dahulu. Lebih murah dan berbaloi.

Dalam pada mencari tu, saya perasan ada banyak pek sticker ditanda dengan harga RM0.18 bermula pada pukul 8 malam. Kena grab ni, buat stok untuk hias jurnal dan scrapbook.

Saya add to cart pek-pek sticker yang berkenan di hati. Tak pasti sama ada ada had pembelian untuk barangan RM0.18 ini ataupun tidak, saya tumpang guna akaun Bott sekali. Pukul 8 malam nanti baru check out.


Dipendekkan cerita, inilah hasil tangkapan lapan belas sen saya!

My 8.8 Shopee haul 😊

Susyi untuk Sarapan

Rabu, Ogos 14, 2024

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Selamat hari Rabu!

Setelah berminggu-minggu tanpa sebarang entri baharu di tower, baru hari ini ada peluang muncul kembali di sini. Aishhh… macam manalah nak konsisten berblogging ni… kejap muncul, kejap tenggelam… kejap ada, kejap masuk gua… 😂 

Kalian sudah bersarapan? Hari ini rezeki saya makan susyi untuk sarapan. Malam semalam makan ramai-ramai di sebuah restoran Jepun di Petaling Jaya. Orang belanja. Catching up, tukar-tukar cerita memandangkan agak lama tidak berjumpa.

Alhamdulillah, tukang belanja bermurah hati tapaukan susyi untuk saya. Kebetulan, total kami semua makan tidak sampai kuota pakej yang diambil. Jadi, dipesannya empat kotak susyi untuk saya bawa pulang. 

Dalam ramai-ramai tu, saya seorang je yang tak keluar bekerja hari ini. Jadi, food untuk saya dah ada. Tak perlu susah-susah nak fikir untuk masak atau beli. Sweet, kan? So thoughtful. Ada kenalan yang baik-baik dan pemurah ni kira satu bentuk rezeki juga.


Inilah juadah sarapan negara matahari terbit saya. 😊

Susyi, anyone?

Kord Gitar Cinta Tak Pernah Tepat Waktu - Aina Abdul ft. Fabio Asher

Isnin, Julai 22, 2024



Kord Gitar From FAMF Tower

Wordless Wednesday - Dahi Puri

Rabu, Julai 17, 2024

 

Dahi Puri & Chai Masala
Alora Spices, TTDI


Roti Labu Lembut dan Gebu

Jumaat, Julai 12, 2024

Assalamualaikum. Salam Penghulu Hari. 

Sudah makan tengah hari ke belum tu? Saya ambil heavy breakfast pagi tadi. Untuk tengah hari, hanya makan sepotong roti labu. Itupun sebab roti gebu ni macam dok ‘memanggil-manggil’ dari atas meja makan.

Pumpkin Loaf Bread History

Roti labu ini saya beli di Bread History, IPC. Pertama kali cuba ketika saya dan Cekengah pergi cari kek pada bulan Mei lepas. Waktu tu kedai ni baru tiga hari dibuka di sana.

Dalam banyak-banyak roti dan pastri yang ada, saya tertarik dengan Pumpkin Loaf. Saya ni kalau makanan berasaskan pisang, jagung atau labu… memang saya akan teruja untuk cuba.

Beginilah rupa roti labu saya. 😊

Roti labu

Gym, Kopi Butterscotch dan Junk Journal

Khamis, Julai 11, 2024

Assalamualaikum. Selamat hari Khamis!

Hari ini seawal pagi saya dah bersiap. Hendak turun ke gymnasium, nak exercise keluarkan peluh. Punyalah semangat!

Malangnya, semangat mula memudar sebaik sahaja keluar pintu rumah. Angin sejuk yang bertiup buat saya pertimbangkan semula niat saya. 

Kena kuat semangat… kena kuat semangat… saya gerak turun ke tingkat facilities. Lalu kawasan kolam, angin makin kuat. Berjeda sebentar di sana ambil mood. Cuci mata tengok pokok-pokok di kawasan sekeliling. 

Sampai depan pintu gym, belum sempat saya tap pass card, tahu-tahu saya pesong arah, tekan butang lif untuk turun ke kedai-kedai. 😂

Sejuk sangat! Saya perlukan kopi!

Kopi Butterscotch

Plan asal beli kopi selepas workout bertukar kepada ‘beli kopi tak jadi workout’.

Butterscotch coffee

Kopi butterscotch. Pilihan kopi saya pagi ini dipengaruhi keadaan cuaca. Suasana yang dingin dan berangin buat saya teringin something aromatic, sweet and creamy. 

Gym? Tak apa. Esok kita cuba lagi! Hari ni kira okeylah, dah pasang niat dan bersiap. Berpeluh je tak. 😂

Biar Sampai Esok Cemburu

Selepas bersarapan, luang masa buat journal page sebentar.

Another spread on my junk journal.

Sedikit mesej kasih sayang buat kalian,

Be awesome today!
Make today so awesome, yesterday gets jealous! 😎


Selamat menikmati hari!

Wordless Wednesday - Ahli Muzik

Rabu, Julai 10, 2024

 

Rhea - Prelude in C Major 😸


Rantai Kunci Manik DIY

Selasa, Julai 09, 2024

Rantai Kunci DIY | Sewaktu kemas barang-barang kraf saya, terjumpa satu bekas frosted beads. Sudah lama sangat dalam simpanan, saya tidak ingat saya guna untuk buat apa dahulu. 😅

Banyak juga manik-manik pastel ini yang berbaki. Pada mulanya, saya fikir mahu dijadikan gelang. Tetapi, memandangkan barang-barang untuk buat rantai kunci ada dan mencukupi, saya buat rantai kunci manik.

Inilah sebahagian daripada rantai kunci yang telah dihasilkan.

Frosted beads keychains



Kord Gitar From FAMF Tower

Coklat Pistachio Royce

Isnin, Julai 08, 2024

ROYCE Pistache Chocolat | Minggu lepas, tengah bosan di rumah, tiba-tiba mulut terasa sunyi. 🤣 Apa lagi, selongkar pantrilah jawabnya. Tengok apa yang ada, buat teman mulut sunyi. Nampak kotak hijau, terus saya senyum lebar. 

Coklat pistachio ROYCE ini coklat bermusim. Tidak silap saya bulan enam sahaja coklat ni buat kemunculan istimewa. Sempena keraian hari bapa. Semasa pertama kali rasa coklat ni tahun lepas, saya terus jatuh cinta. 

Saya bukan penggemar tegar pistachio. Senang cakap, pistachio bukan perasa pilihan utama saya kalau beli aiskrim, coklat atau pencuci mulut. Ada, saya makan. Tiada, saya tidak cari. 

Tetapi, kalau coklat pistachio ROYCE ni memang saya tidak akan tolak! Suka sangat. Dalam banyak-banyak produk pistachio, inilah yang paling saya suka… yang akan saya grab kalau lalu depan mata.

Beginilah rupa coklatnya. Kecil sahaja. Dalam bentuk bar memanjang. Bahagian luar ialah salutan coklat susu, coklat pistachionya di tengah.

Pistache Chocolat

Shakshuka | Sarapan Tahun Baharu

Ahad, Julai 07, 2024

Assalamualaikum. Salam Maal Hijrah 1446!

Selamat tahun baharu ya. Mudah-mudahan, 1446 ini bakal menjadi tahun yang baik buat kita semua.

Alhamdulillah, rezeki bercuti panjang hujung minggu ini buat kita semua. Ada yang pergi jalan-jalan ke? Healing dengan keluarga atau peruntukkan masa untuk ME-timeApapun, selamat beristirahat! Have fun!

Hari ini saya tiada sebarang plan. Mahu keluar rumah, tengok cuaca macam tak cantik. Jadi, santai-santai sahaja, binge-watch TV shows sambil buat jurnal.

Yuri tengah bobok.

Menikmati Braised Lamb Shank di Alwi’s Food

Sabtu, Julai 06, 2024

Braised Lamb Shank di Alwi’s Food | Cerita makan lamb shank sedap ini sudah agak lama. Waktu itu saya teman Cekengah bawa anak kucingnya, Rhea pergi vet di Pusat Komersial TSB, Sungai Buloh. Alang-alang sudah berada di sana, Cekengah ajak makan di Alwi’s Food.

Restoran ini milik Chef Alwi. Pernah jugalah saya tengok Chef Alwi dalam salah satu rancangan di televisyen. Kali ini dapat jumpa chef in person dan nikmati masakannya.

Kami pelanggan pertama untuk pagi itu. Memang sampai ngam-ngam time mereka baru buka kedai. Kami disambut mesra oleh Chef Alwi sendiri dan pekerja-pekerjanya. Cekengah pernah datang makan tengah hari di restoran ini bersama rakan-rakan sejawatnya. Rezeki Cekengah dapat complimentary drink of her own choice. Kira minuman pilihan Cekengah hari itu percumalah. Alhamdulillah. 

Tidak silap saya, Cekengah pesan Cream Custard Strawberry Frappe Zass. Ini pula minuman saya, Iced Hazelnut Latte.

My hazelnut latte

Resepi Telur Dadar Terung Bakar

Khamis, Julai 04, 2024

Assalamualaikum. 

Hari ini saya ingin kongsi resepi telur dadar terung bakar. Juadah telur yang ini sesuai dijadikan menu sarapan atau makan tengah hari. 

Telur dadar terung bakar

Penyediaan Terung Bakar

Sebelum kita mendadar telur, perlu sediakan terung bakar terlebih dahulu. 

Biasanya, terung dibakar terus di atas api dapur sehingga kulit luarnya bertukar kehitaman dan isinya menjadi lembik. Setelah itu, siat bahagian kulit yang hitam (hangit) dan hancur atau lenyekkan isi terung.

Boleh juga bakar guna alat pemanggang begini. Apa yang penting, kita hendak dapatkan rasa smokey pada terung.


Bakar Terung Menggunakan Air Fryer

Mula-mula bersihkan terung. Tidak perlu dipotong, tetapi gunakan garpu untuk cucuk-cucuk bahagian luar terung. Kemudian, masukkan terung ke dalam air fryer dan bakar sekitar 5 - 10 minit sehingga terung bertukar lembut. Masa untuk membakar bergantung kepada saiz terung ya. Sekiranya, dalam 5 - 7 minit tu terung masih anjal apabila ditekan dari luar, tambahlah lagi 2 - 3 minit.

Setelah dikeluarkan, belah terung. Gunakan garpu untuk siat atau carik isi terung. Hati-hati ya. Terung ni panas.


Isi terung yang sedia digunakan.


Lihat juga: Resepi Terung Bakar Bersantan | Piza Terung


Okey, terung bakar dah siap! Jom kita dadarkan.

Resepi Telur Dadar Terung Bakar

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 3 - 4 biji telur ayam. Jika mahu portion telur dadar yang lebih besar dan tebal, gunakan 6 biji telur.
  • Isi terung yang telah dibakar
  • Satu sudu kecil mayones (optional)
  • Sedikit serbuk lada sulah
  • Garam secukup rasa. Boleh juga guna sedikit kicap sotong (sos ikan) untuk perasakan telur.
  • Sedikit mentega atau minyak masak


Langkah penyediaan:

  1. Pukul telur bersama mayones, lada sulah dan garam sehingga semuanya sebati.
  2. Panaskan kuali leper. Masukkan sedikit mentega atau minyak. 
  3. Tuangkan bancuhan telur tadi dan biar bahagian bawah telur masak sedikit. Setelah itu, taburkan isi terung di atas permukaan telur.
  4. Biarkan seketika sehingga telur masak.
  5. Sedia untuk dihidangkan.

Untuk sarapan, telur boleh dimakan begitu sahaja atau dengan roti. Boleh buat sandwic juga. Terserah selera kalian. 

Untuk makan tengah hari, sajikan telur dadar dengan kicap cair dan hirisan cili api. Makan dengan sambal belacan atau sambal penyet pun sesuai sangat! Yummehhh! 

Selamat mencuba!


Kord Gitar From FAMF Tower

Tembosa Daging untuk Minum Petang

Rabu, Julai 03, 2024

Tembosa Daging untuk Minum Petang | Selama ini, saya tidak tahu ada nama yang spesifik untuk karipap berbentuk bulat sebegini. Memang saya panggil karipap bulat sahaja. Tidak kiralah apapun intinya. Apabila Aunty D, ibu saudara adik ipar saya hantar kuih-muih frozen, barulah saya tahu karipap bulat ini dipanggil tembosa. 

Di pantai timur, tembosa atau temosa berintikan isi ikan, bawang dan kelapa. Di Johor pula popular dengan tembosa daging. Selain dua jenis inti ini, ada juga yang berintikan sardin atau ayam. Inti cendawan pun ada.

Alhamdulillah, rezeki saya dapat makan tembosa daging (intinya daging kisar dan kentang) untuk minum petang. Tembosa frozen all the way from Johor. 😊

Tembosa daging

Kiwi Panna Cotta untuk Permulaan Julai

Assalamualaikum. Salam 3 Julai!

Moga kalian semua baik-baik sahaja. Kita sudah masuk second half of 2024. Mudah-mudahan Julai menjadi bulan yang menyenangkan, lancar dan lebih baik buat kita semua. Aamiin.


My Kiwi Panna Cotta

Panna Cotta

Nasi Goreng Petai Jeruk

Khamis, Jun 27, 2024

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Baru hari ini berpeluang masuk blog. Beberapa minggu ni saya agak sibuk. Dari sebelum raya haji lagi tak sempat langsung nak menulis sebarang entri.

Kawan-kawan sarapan apa pagi ini? Saya buat nasi goreng petai jeruk. Kebetulan ada baki jeruk petai di dalam peti sejuk yang sudah agak lama tak berusik, saya ambil petainya jadikan rencah nasi goreng.


Nasi goreng petai jeruk.

Terpikat dengan Auura Eau De Parfum

Jumaat, Jun 14, 2024

Auura Eau De Parfum | Saya jarang beli minyak wangi. We’ll get back to that after this. Tetapi, hujung bulan lepas, ketika saya teman Bott meniaga di pop-up event di Menara KWSP, saya beli satu minyak wangi yang best baunya di booth Auura Fragrance.

Auura EDP - In Love

Tiramisu Latte Buat Hilang Penat

Dua tiga hari ini saya agak sibuk dan banyak urusan di luar. Selesai urusan, cari kopi dahulu sebelum gerak balik. Saya cuba Tiramisu Latte.

Tiramisu Latte | The Bread Bar, TTDI

Rantai Kunci Scrunchie | Scrunchie Key Chain

Khamis, Jun 13, 2024

Sebelum ini, saya telah kongsi tentang projek DIY saya menggunakan manik silikon. Baca mengenainya di sini. Hari ini, cerita pasal rantai kunci scrunchie (scrunchie keychain) pula.

Bott memang jual dan ambil tempahan scrunchie. Dia pandai menjahit tapi tak suka jahit baju. Jadi, macam-macam bendalah yang dijahitnya apabila ada masa lapang. 

Selain getah rambut, ada juga beberapa produk lain yang dia suka jahit dan jual seperti book sleeve, wristlet key fob, scrunchie key fob dan tote bag.

Saya ni pula pantang tengok benda berwarna-warni. Kertas ke kain ke… semua saya suka! Memang keraplah saya selongkar bakul berisi perca kain Bott. Intai-intai, mana tahu ada yang boleh digunakan untuk junk journal atau projek kraf saya.


Scrunchie Keychain

Sewaktu menyelongkar dan membelek-belek kain, saya jumpa jalur-jalur kain yang cantik warna dan rekaan coraknya. Bott kata kain-kain tu terlalu kecil dan pendek untuk buat scrunchie biasa dia.

Saya pilih-pilih jalur kain, kemudian minta tolong dia buatkan scrunchie mini untuk saya. 

Dalam pada itu, saya beli gelung rantai kunci yang satu set dengan swivel hook dan aksesori hiasan ala-ala mutiara. Item-item ni boleh cari di Shopee.

Inilah hasilnya…
Mini scrunchie keychain

Wordless Wednesday - Asagohan

Rabu, Jun 12, 2024

 

Nasi Kerabu | Kenny Hills Bakers, TTDI


Beli Manik Silikon untuk Kraf DIY

Selasa, Jun 11, 2024

Silicone beads for DIY Accessories | Manik Silicon untuk Aksesori DIY - Sudah lama sebenarnya saya ingin beli manik silikon untuk buat projek kraf baharu. Berkenan tengok manik-manik silikon yang dijadikan rantai kunci, gelang dan macam-macam aksesori. 

Hujung bulan lepas, saya beli beberapa pek manik silikon. Biar banyak pilihan, mudah untuk dipadan-padankan. 

Inilah pembelian saya 😊

Silicone beads | Manik silikon

Beraneka warna, pelbagai bentuk. Ada yang bulat, leper, heksagon, bercetak corak… ada yang warna terang, warna pastel dan ada juga yang transparent. Teruja saya tengok! 😁


Apa itu manik silikon (silicone beads)?

Manik silikon, jelas dari namanya diperbuat daripada silikon. Secara kasar, maniknya akan kelihatan seperti manik lain tetapi teksturnya kenyal-kenyal seperti getah. Ala, lebih kurang seperti peralatan memasak silikon tu, bezanya yang ini dalam bentuk manik.

Manik silikon biasanya digunakan untuk membuat aksesori atau perhiasan DIY seperti rantai kunci, gelang manik dan landyard.

Antara kelebihan manik silikon ialah mudah dibersihkan dan tahan lama. Itulah sebabnya manik ini biasa digunakan untuk buat tali pemegang atau klip puting anak. Andai si kecil kemam-kemam atau gigit manik tu, tidak menjadi masalah. 


Hendak tengok hasil pertama DIY saya menggunakan manik silikon?











Tadaaaaaa!

Rantai kunci manik silikon.

Saya buat rantai kunci. Atau lebih tepat lagi, hiasan kepada rantai kunci. Susun-susun manik, masukkan getah elastik, ikat… siap! Letak tassel sebagai penambah seri. Comelnya! 


Klipkan pada gelang kunci-kunci kita. Selain itu, benda ini boleh juga dijadikan zipper puller. Seperti di bawah ini.

Cantik tak?

Baru-baru ini, saya cuba jual di pop-up market yang Bott dan saya sertai. Alhamdulillah. Not bad. Dapat sambutanlah juga. Ada potensi untuk jadi barang jualan tetap ni. 😊

Next project, ingin buat landyard pula. Setakat ini, tengah kumpul barang sedikit demi sedikit. Ada beberapa jenis manik silikon comel yang saya sudah beli, tetapi belum sampai lagi.

Sudah dengar buah tangan terbaharu daripada Judika? Lagu Bukan Karena Tak Cinta merupakan sebuah lagu duet Judika bersama seorang penyanyi wanita bersuara merdu, Lesti Kejora. Memang mendayu-dayu, boleh buat layan perasaan.

Kord gitar lagu ini telah  transposed ke versi mudah ya. Selamat berdendang! 


Kord Gitar From FAMF Tower

Minggu Baharu | Hold On to What Keeps You Warm

Isnin, Jun 10, 2024

Assalamualaikum.
Selamat memulakan hari dan minggu baharu!
Semoga semuanya lancar dan baik-baik sahaja untuk kita semua.

Hold On To What Keeps You Warm

Hold on to what keeps you warm. Saya suka kata-kata ini. Sebenarnya, saya jumpa scrapbook paper di Spotlight yang ada banyak quotes. Salah satu daripadanya quote inilah. Jadi, saya potong-potong dan buat penanda buku. 

This one is my favourite. Penanda buku untuk kegunaan junk journal saya.

Hold on to what keeps you warm

Kudus Palestin - Lah Ahmad x Inteam

Hari ini, seawal pagi hati sudah sayu mendengar lagu Kudus Palestin, kolaborasi antara Lah Ahmad dan InTeam. Lirik ditulis oleh Ito Lara manakala gubahan lagunya oleh ahli Inteam sendiri, Syah. Lagu dan klip videonya boleh ditonton di saluran Youtube Inteam Digital. Baru sahaja released petang semalam. Boleh juga dengar di platform muzik digital seperti Spotify.

Teruskan berdoa untuk mereka di sana ya kawan-kawan. 
Insya-Allah, ada dalam kalangan kita yang Allah angkat doanya.

Kredit Imej - Saluran Youtube Inteam Digital

Resepi Mudah Ubi Rebus Goreng Berempah

Jumaat, Jun 07, 2024

Assalamualaikum.
Salam Jumaat. Apa khabar, semua?

Sebelum ini, saya pernah tulis mengenai menu sarapan ubi rebus goreng saya. Saya memang suka benar makan ubi kayu goreng. 

Ubi rebus goreng berempah

Stainless Steel Litter Box untuk Rhea

Khamis, Jun 06, 2024

Stainless Steel Litter Box | Bekas Keluli Tahan Karat untuk Najis Haiwan Peliharaan | Sepanjang 13 tahun bela Yuri, saya memang tidak pernah ada masalah dalam menguruskan najisnya. Bekas najis Yuri kecil sahaja, tidak makan ruang. Beberapa kali tukar pun, bekasnya bekas plastik biasa. Tidak silap saya, bekas najis sekarang ini, Bott beli di Eco Shop sahaja.

Yuri pula jenis kucing tertib. Tiap kali melepaskan hajat, dia memang akan kambus habis-habisan. Jadi, bau hancing kencing dan bau najis jarang-jarang jadi isu di rumah. Kiranya, setakat untuk Yuri, tidak perlulah saya melabur beli litter box yang mahal-mahal tu.

Rhea 😺

Beli Material untuk Jurnal dan Scrapbook

Rabu, Jun 05, 2024

Saya ni, kalau scroll TikTok, tidak sah kalau tidak teracun. Cadang hendak cuci-cuci mata sahaja. Tahu-tahu dah rambang mata, tersangkut beli beberapa item. 

Jumpa satu seller yang jual paper packs dan sticker cantik-cantik yang saya berkenan. Harga berpatutan pula tu. Setelah berperang dan rukyahkan diri sendiri supaya tidak terlalu galak masukkan item ke dalam ‘troli’, alhamdulillah, barang-barang yang saya beli masih boleh dikira dengan jari. 🤣

Inilah material baharu yang saya beli buat hias jurnal dan scrapbook.

Total 6 item sahaja 😊

Terima Kasih, Tetamu Hebat Mei

Selasa, Jun 04, 2024

Assalamualaikum. Entri ini merupakan entri penghargaan buat kawan-kawan blogger yang aktif tinggalkan komen sepanjang bulan lepas. Dulu-dulu, masa aktif berblogging, rajin juga buat entri tukang komen paling banyak saban bulan. Kemudian, apabila blog jadi sendu, bersawang… habis semua terabai.

Alang-alang sekarang ini sudah mula dapat rentak untuk tulis blog semula (bulan lepas berjaya tulis 24 entri. Yeayyy!), entri Tetamu Hebat perlu kembali! Tidak dapat beri hadiah besar-besar, belanja jajan pun jadilah, kan? Dari awal tahun lagi saya sudah pasang niat tetapi tertangguh dari bulan ke bulan. Maklumlah, sekejap muncul sekejap tenggelam.


Terima kasih, Tetamu Hebat Mei! 

Terima kasih banyak-banyak buat kawan-kawan semua yang masih sudi datang bertandang, baca entri-entri di blog From FAMF Tower dan meriah tinggalkan jejak. Saya amat hargainya. 

Okey, tanpa melengahkan masa lagi, jom berkenalan dengan tujuh pemilik nama yang paling banyak meninggalkan komen sepanjang Mei 2024.


Tetamu Hebat Bulan Mei

Bersemayam di puncak takhta, penyokong tegar Liverpool kita. Siapa lagi kalau bukan Anies. Anies ni memang tak tahulah dia pakai enjin apa untuk blogwalking. Kagum saya! Tulis entri blog rajin, buat siri jelajah blog kawan-kawan pun rajin! Bilalah kita ada peluang nak ngopi bersama ni?

Bagi yang belum mengenali Anies, harus terjah blog Anies segera. Sekarang, Anies tengah cover cerita-cerita kembaranya ke Jepun dan Thailand. Rasa-rasa nak melanglang buana, pergilah menelaah entri-entri Anies yang lama. Banyak tempat kalian boleh sampai. 😊

Anies, nanti tolong hantar alamat terkini untuk surat-menyurat ya. Insya-Allah, saya hendak kirim sesuatu.


Selain Anies, saya bertuah ada rakan-rakan blogger lain seperti Mummy Ayu, Si Cantik dari Seberang yang suka berkembara keliling dunia - Adik Fanny, Azhafizah (adinda pencinta merah jambu), anamizu, LadyBird dan Cik Cappuccino Latte (CCL). Domo arigato! Terima kasih kerana menghidupkan suasana di FAMF Tower.

Tidak lupa buat rakan-rakan lain yang datang ke mari, walaupun nama kalian tidak tersenarai di sini, saya tetap hargai kehadiran kalian. Rajin-rajinlah datang lepak sini lagi ya. 

Kentang Ikan Bilis Air Asam

Hari ini memasak edisi menghabiskan apa bahan-bahan yang ada di dapur sebelum pergi shopping barang basah. Mula-mula ingat hendak buat lauk kentang berlada. Tetapi, macam tiada angin nak makan sambal berlada pula. Lebih kepada teringin lauk berkuah yang masam-masam.

Jadi, saya sediakan kentang ikan bilis air asam. Mudah, yang penting sedap! Kentang dan ikan bilis goreng, disimbah dengan air asam. Nikmati dengan nasi panas dan ulam-ulaman. Tentu-tentu bertambah nasi. 😂


Kentang Ikan Bilis Air Asam

Resepi Kentang Ikan Bilis Air Asam

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 2 - 3 biji kentang. (Kupas kulit, bersihkan, potong dan goreng sehingga empuk.) 
  • Segenggam atau dua ikan bilis (buang kepala dan bersihkan)
  • 1 labu bawang besar (dimayang atau dipotong bulat)
  • 5 ulas bawang putih (dihiris) Saya suka lebihkan bawang putih.
  • 7 batang cili api (dihiris). Saya belah dua sahaja cilinya. Andai tidak makan pedas, tidak perlu guna cili api.
  • 1 cawan air asam jawa (Asam jawa dilarutkan dengan air.) Banyak mana kuantiti yang hendak digunakan bergantung kepada tahap kemasaman yang kalian inginkan.
  • garam jika perlu
  • minyak masak secukupnya


Langkah-langkah:

  1. Panaskan minyak, goreng potongan kentang dan ikan bilis. Angkat dan ketepikan.
  2. Tinggalkan dalam lebih kurang dua sudu minyak. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili api.
  3. Masukkan air asam jawa. Jangan terus tuang semua. Agak-agaklah kemasamannya. Biarkan seketika hingga mendidih. Perasakan dengan garam jika perlu.
  4. Untuk kekalkan kerangupan ikan bilis, tuangkan kuah asam ke atas ikan bilis dan kentang hanya apabila lauk sedia untuk dihidangkan.

Siap! Jemput makan 😊

Pstt! Saya belum sempat balas kunjungan kawan-kawan semua. Tunggu ya. Insya-Allah, saya sampai juga nanti.