Memaparkan catatan dengan label Treat for One. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Treat for One. Papar semua catatan

Peach Tatin

Selasa, Januari 24, 2023

Alhamdulillah, rezeki dapat makan pencuci mulut mewah dan sedap - peach tatin. Angin tak berapa baik ni sebenarnya. Tidak sangka pula dapat sesuatu yang manis untuk pujuk hati.

Peach Tarte Tartin

Aiskrim Pisang 3 Minit

Rabu, Ogos 24, 2022

Assalamualaikum. Selamat Hari Rabu! Moga-moga kalian semua sihat dan baik-baik sahaja. Cuaca sekarang tidak menentu. Kalau panas, panas sangat. Tiba-tiba boleh hujan lebat, pakej dengan ribut petir sekali. Apa yang penting jaga diri ya.

Hari ini di kawasan saya panas terik. Hendak memandang ke luar pun tidak larat lama-lama. Teriknya sampai menyilaukan mata. Waktu-waktu beginilah mula teringin hendak sesuatu yang dingin lalu di anak tekak. 😁 Saya buat aiskrim pisang tiga minit!

Betul. Aiskrim pisang ini paling mudah. Tiga minit sahaja siap. Dengan syarat, kalian ada pisang yang telah didinginbekukan terlebih dahulu. 

Di rumah ini, pisang memang antara makanan wajib beli setiap kali beli barang dapur. Sebahagian besar daripadanya dimakan begitu sahaja, dijadikan cucur pisang, buat baked oat, biskut oat sihat 3 bahan atau lempeng oat dan pisang. Selebihnya, memang saya akan kupas kulit, belah kepada beberapa bahagian supaya menjadi ketulan-ketulan kecil dan simpan di dalam peti dingin beku. Sangat berguna apabila kita hendak buat smoothie pisang atau aiskrim pisang.

Bukan sahaja mudah dan cepat disediakan, aiskrim pisang ini dikira rendah kalori. Bolehlah makan lebih sedikit tanpa rasa bersalah. 

Aiskrim pisang 3 minit rendah kalori saya 😄 

Wordless Wednesday - Terjebak Torku

Rabu, Jun 22, 2022

 

Torku 😋

Warna-warna Pastel yang Menggembirakan

Sabtu, Disember 25, 2021

Assalamualaikum. Apakah aktiviti kalian hari ini? Saya sepanjang hari ini di rumah Cekengah. Luangkan masa dengan Cekebon, tadah mulut rasa hidangan-hidangan yang Cekengah masak dan lepak santai di ruang menonton layan cerita-cerita Krismas dekat Netflix.

Cekebon sengal badan. Urutlah badan dan kaki bonda saya ni biar dia rasa selesa sedikit. Selesai mengurut, dapat ‘upah’ aiskrim kon UniCornetto. 

Cornetto Royale Unicornetto 🦄 

Kegirangan ialah ... Kopi dan Brownut

Jumaat, Disember 24, 2021

 


Hapiness is ... by lastlemon


Coffee and cupcakes? Memang gabungan terbaik, kan? Saya tidak akan kata TIDAK pada secawan kopi dan sebiji dua kek cawan. Bayangkanlah kita santai-santai, duduk lepak dengan kawan untuk catching up session. Gosip gosip sikit. Hirup kopi panas yang berasap tipis sambil makan kek cawan yang manis berperisa. Indahnya!

Popcorn Nise Kerek

Selasa, November 09, 2021

Assalamualaikum. Kali ini saya nak cerita tentang popcorn nise kerek. Belakangan ini makin berat tulang-temulang nak jenguk blog, tulis entri. Bilalah agaknya angin rajin nak datang. Banyak je perkara yang ingin dikongsi. Tetapi, apabila mula hendak mengarang ayat, terus jadi krik krik! Sudahnya tutup laptop dan beredar pergi buat kerja lain. 😅

Popcorn nise kerek ini projek petang Ahad. Saya tidak ke mana-mana. Setelah brunch dan bermanja-manja dengan Cekebon di rumah Cekengah, terus meluru balik. Tak larat hendak singgah ke mana-mana. Dengan orang ramainya... cuaca panasnya.... lebih baik duduk diam-diam bersantai di rumah.

Tengah menonton rancangan di TV, tiba-tiba teringin hendak makan popcorn karamel. Nak kunyah sesuatu yang manis. Tercetuslah idea untuk buat bertih jagung karamel guna nise kerek. Daripada guna gula putih biasa, lebih baik kita pakai nise kerek. Gula asli semula jadi gitu. Stok nise kerek yang saya beli dulu pun banyak lagi. Setakat guna untuk buat kuih, maniskan kopi dan kek dalam mug... banyak mana sangatlah pakai.


Kurang lebih lima belas minit kemudian.

Bertih jagung nise kerek sedia untuk dinikmati.


Buat satu mangkuk kecil sahaja. Benda manis begini kita cenderung untuk terlajak makan tanpa kita sedar. Jadi, cukuplah untuk saya dan Bott cicip-cicip setengah mangkuk seorang. Itu pun, puas tambah jumlah steps harian kasi bunuh kalori extra yang masuk 😅.


Cara menyediakan popcorn nise kerek.

Mula-mula saya buat popcorn menggunakan air fryer (cara-caranya di sini). Boleh sahaja jika nak pop pop bertih jagung di dalam kuali besar dengan sedikit minyak, marjerin atau mentega. Ikut cara yang kalian sukalah. Setelah popcorn siap, saya ketepikan. Kemudian, saya panaskan sedikit mentega dan parutan nise kerek di dalam kuali. 

*Nise kerek asli yang autentik, sedap, lembut rasanya saya beli di Lazada

Banyak mana nise kerek yang hendak digunakan? Agak-agak sahaja. Tetapi saya tak guna banyak pun. Sekadar cukup untuk dapatkan rasa lembut manis-manis manja nise tu je. Biarkan seketika sehingga nise kerek larut. Jaga api, jangan sampai mentega dan nise hangit pula. 

Apabila sudah sebati, masukkan popcorn. Cepat-cepat gaul biar salutannya sekata. Siap! Dah boleh masuk mulut!   



Pstt! Saya mungkin akan ambil masa untuk ziarah, tinggal komen dan balas komen kalian. Insya-Allah, akan tetap datang berkunjung jalan-jalan. Ada ramai ni yang blog mereka dah lama saya tak kunjungi. Kita jumpa nanti ya!




Air Jeruk Lepas Gian

Khamis, September 23, 2021

Kelmarin, saya perlu ke klinik kesihatan buat ujian darah untuk periksa tahap hormon tiroid. Dalam perjalanan balik, Bott berhenti di bahu jalan. Terdapat banyak gerai orang berjaja di situ. Saya ingat dia hendak beli goreng-gorengan. Ada jugalah makanan untuk dikunyah-kunyah petang nanti.

Terpinga-pinga saya apabila dia masuk semula ke kereta dengan hanya satu plastik kecil di tangan. Saya ulang, satu plastik kecil di tangan. Di dalam plastik tu, ada beberapa ketul jeruk kundang kecut dan selebihnya air rendaman jeruk.

Itu sahaja? Alahai ... Bott ... Bott. Tetapi, bagus juga. Kalau dapat saya yang turun kereta, mahu penuh tempat duduk belakang dengan makanan-makanan belian gerak hati (impulse purchase) saya.

Lagipun, dah tua-tua ni, tak boleh sembarangan beli jeruk. Tekak dia sensitif. Kalau nak puas makan jeruk, kena cari Jeruk Pak Ali atau yang segar 'diimport' dari Pasar Chowrasta. Kalau tak, tak perlulah pertaruhkan keadaan tekak main redah je. Kita tak pasti dah berapa lama jeruk tu dalam stok penjual. Tak pasal-pasal batuk kong kong kong nanti.


Tahu tak Bott hendak buat apa? Dia nak lepas gian. 

Dahulu masa kecil-kecil, setiap kali balik sekolah dia akan beli jeruk. Penjual jeruk tu masukkan sedikit ais dan air jeruk sekali. Siap letak straw. Tinggal srotttt minum dan menapaklah dia pulang ke rumah dengan gembira.

Jadi, itulah justifikasi Bott untuk beli hanya sejemput kecil jeruk dan dua tiga sudu airnya. Dia nak feeling-feeling gamit memori lama. 

Gelas comel di atas itulah jeruk yang dibeli setelah ditambah sedikit ais dan air sejuk. Saya tumpang sekaki. Selalu kalau makan jeruk, air jeruknya saya tidak minum apatah lagi hendak letak dalam cawan dan tambah ais begini. Sedap! Tetapi, sekadar untuk lepas rasa teringin tu bolehlah. Tak boleh minum selalu. Tinggi kandungan gula dan garamnya tu.

Ada tak dalam kalangan kalian yang suka buat begini juga?


Jus Timun yang Menyegarkan

Khamis, September 16, 2021

Semalam, semasa hendak makan tengah hari, Bott potong timun untuk dibuat ulam. Tetapi, timun tu pula dah lembik sedikit terutamanya pada bahagian empulur. Kami nak buat cecah sambal belacan. Tak kick sebab timunnya tak rangup.

Terpandang hirisan-hirisan timun di atas papan pemotong, terus saya minta kesemuanya daripada Bott. Suruh dia ambil dan potong timun lain. Saya hendak buat jus timun.

Jus Timun Mudah

Keju Atas Keju

Selasa, September 14, 2021

Seminggu dua ni saya perasan tabiat suka mengunyah saya semakin menjadi-jadi! Ni semua salah Yuri Van Houtten! Minggu lepas dia sakit sampai hilang selera makan, selera makan tuannya pula yang bertambah-tambah!

Tatkala keinginan untuk mengunyah tu sampai, saya pergilah selongkar pantri. Rumah saya memang tak ada stok jajan sangat sebab bahaya untuk tabiat suka mengunyah saya. Tetapi, di  pantri mungkin boleh jumpa sesuatu. Selalunya apabila adik-adik saya hantar barang atau makanan, akan ada terselit sepek dua jajanan seperti keropok, kerepek atau snek kering lain. Bott biasa simpan barang-barang tu di dalam kabinet.

Yes! Jumpa Ritz Toasted Chips Perasa Cheddar satu pek. Selongkar-selongkar lagi, jumpa Salim Triangle Cheese pula.  Keju tiga segi ini merupakan keju diproses produk Arab Saudi. OK, now we’re talking! Keenakan keju berganda!

Mi Goreng Spicylicious Mi Sedaap

Isnin, September 06, 2021

Sudah rasa Mi Goreng Spicy’licious dengan Sambal Hijau Mi Sedaap yang baharu? Baru tak baru, sudah sebulan lebih rasanya produk ni berada di pasaran. 

Saya sebenarnya tidak perasan pun yang di rumah ni ada Mi Sedaap Spicy’licious. 

Cuma baru-baru ini apabila lapar dan teringin hendak makan mi segera jenis goreng, selongkar pantri jumpa satu pek. Tak pasti dari mana dapat. Mungkin masa beli barang dapur di Econsave dapat hadiah percuma. Tak pun Cekengah yang bagi. Adik saya ni ada kecenderungan suka cuba produk baharu yang dia nampak sedap. Apabila dah makan, tak kena selera atau telinga berasap sebab tak tahan pedas, semua dihantar ke rumah saya. 

Inilah rupanya Mi Goreng Spicy’licious dengan Sambal Hijau.  

Biscoff Krunchee buat Penggemar Lotus Biscoff

Khamis, September 02, 2021

Baru-baru ini, saya dan Bott manjakan tunas rasa kami dengan Biscoff Krunchee Soyeah Krunchee.

Sebenarnya Biscoff Krunchee ini pemberian Cekengah. Semasa dapat tu, memang sengaja sorok dalam pantri. Biar jauh dari pandangan mata. Benda-benda manis begini hanya boleh makan sekali-sekala. Masa cheat day ke... masa nak reward diri apabila berjaya sudahkan kerja ke... barulah berbaloi! 😁


Puding Biji Chia untuk Sarapan dan Pencuci Mulut

Khamis, Ogos 26, 2021

Biji chia atau chia seed banyak manfaatnya untuk kesihatan. Mengandungi serat, antioksida, Omega-3, protein dan pelbagai vitamin dan mineral, pengambilan chia seed baik untuk jantung, sistem pencernaan, otot dan tulang, mengurangkan tanda-tanda penuaan dan membantu kita mendapatkan kulit yang lebih sihat.


Disebabkan khasiatnya, tidak hairanlah jika biji ini selalu dimasukkan ke dalam diet pemakanan harian.

Contoh hidangan mudah yang menggunakan biji chia:

  1. Air chia seed. Masukkan chia seed ke dalam minuman kalian. Air kosong, jus buah segar, air lemon, kopi atau teh tanpa gula dan biar seketika sehingga chia seed kembang. Saya suka buat teh dengan sedikit parutan halia atau hirisan lemon. Segar dinikmati dingin. Oh,  lagi satu, jadikan salah satu bahan untuk lai chi kang pun sesuai.
  2. Taburan di atas roti bakar atau salad. 
  3. Puding biji chia

Di bawah ini, chia seed pudding saya.

Satu Per Dua Pandan Kelapa

Isnin, Ogos 23, 2021

Assalamualaikum. Selamat memulakan minggu baharu.

Belakangan ini, banyak pula produk makanan dengan perasa pandan kelapa yang dijual di pasaran. Biasalah, ikut musim, kan? Waktu keju tengah 'in', semua produk makanan diolah dengan keju. Begitu juga dengan telur masin. Sana sini kita nampak salted egg.

Dua produk pandan kelapa yang tengah hangat sekarang dan benar-benar menarik perhatian saya ialah Cadbury Dairy Milk Pandan Coconut dan Gardenia Toastem Pandan Coconut. Memang semenjak nampak kedua-dua produk ini lalu-lalang di hadapan mata - di media sosial, di blog kawan-kawan, saya memang masukkan ke dalam senarai barang untuk dibeli. Siap lampirkan gambar sekali untuk Bott sebab dia yang keluar rumah beli barang. 

Baik roti mahupun coklat, dua-dua laku keras! Beberapa kali Bott keluar ke kedai, memang tak nampak bayang langsung. 

Alhamdulillah, baru-baru ini Cadbury Dairy Milk Pandan Coconut mendarat betul-betul di depan mata Bott. Bott dah bersedia hendak membuat pembayaran di kaunter. Kebetulan ada seorang pekerja kedai datang dengan beberapa kotak di tangan ke bahagian tepi kaunter untuk restock coklat-coklat di situ. Guess what? Kotak pertama yang dibuka ialah coklat pandan kelapa Cadbury. 😁

Cadbury Dairy Milk Pandan Coconut

Donut Holes untuk Minum Petang

Isnin, Julai 26, 2021

Ingat lagi mengenai Donat Maaf Aku Tak Sempurna saya sebelum ini? Semasa mengerjakan donat tersebut, saya memang sengaja asingkan donut holes (lebihan doh yang diambil dari bahagian donat yang dilubangkan) dan tidak gabung dengan baki doh yang ada. Saya biarkan donut holes ini mengembang sama-sama dengan donat yang lain, kemudian saya bakar sekejap di dalam penggoreng udara (air fryer). Cukup-cukup sahaja untuk bagi ketulan-ketulan kecil ini masak dan kekal bentuknya.

Setelah sejuk, saya simpan di dalam bekas dan dinginbekukan. Donat holes kita jadikan stok dan simpan untuk minum petang hari-hari kemudian.

Dua tiga hari belakangan ini 'kan memang cuaca panas. Mulalah mulut tu asyik mencari benda hendak dimakan. Jadi, kita gorenglah donat holes.

Baked Oat - Resepi Viral TikTok

Rabu, Jun 16, 2021

Sebenarnya, sejak mula-mula resepi baked oat ini viral di Tik Tok, saya hendak cuba buat. Teringin juga mahu pelbagaikan hidangan oat selain dibuat bubur dan overnight oat. Masalahnyasetiap kali beli pisang, pisang habis dahulu sebelum sempat jadi apa-apa juadah.

Baru-baru ini, beli sesisir pisang terus saya asingkan siap-siap. Enggan pisang berbuah dua kali hahaha 😂Alhamdulillah, dapat pun cuba resepi ini. Saya dan Bott menikmati baked oat untuk sarapan pagi.

Resepi Baked Oat

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1/2 cawan rolled oat
  • 1 biji pisang
  • 1 biji telur gred A
  • 1 sudu besar madu asli
  • 3 sudu besar susu
  • 1/2 sudu teh serbuk penaik 
  • secubit garam
  • coklat cip dan hirisan pisang secukupnya sesuai selera

Langkah-langkah penyediaan:

  1. Kisar semua bahan di dalam pengisar selama beberapa minit sehingga sekata.
  2. Tuangkan ke dalam ramekin, dulang mufin atau cawan kertas.
  3. Bakar di dalam ketuhar pembakar (oven) atau air fryer pada suhu 180 darjah celcius selama 15 - 18 minit atau sehingga benar-benar masak. Ambil lidi dan cucuk ke bahagian tengah kek. Jika lidi keluar dalam keadaan bersih, dah masaklah tu. Jika ada kesan bater, tambah lagi beberapa minit. 
  4. Sedia untuk dihidangkan.


Memandangkan kita guna oat, tidak digalakkan untuk bakar hidangan ini terlalu lama. Seelok-eloknya bawah 20 minit kerana dikhuatiri oat akan jadi terlebih kenyal atau keras.


Ini rupa setelah bahan-bahan dikisar. Saya guna pengisar smoothie je. 


Isi dalam paper cup. Beria-ia punggah barang cari ramekin, tak jumpa pula. Saya tambah hirisan pisang dan taburan cip coklat. Selain itu, boleh letak kekacang seperti gajus dan badam, kismis, beri biru atau beri goji. Satu adunan ini dapat 3 cawan. Kalau pakai ramekin dapat dua.

RASANYA? Sedap! Saya suka. Seolah-olah kita dapat makan kek untuk sarapan tetapi yang bagusnya, kek versi lebih sihat. Cuma disebabkan kita pakai tepung oat, teksturnya tidaklah ringan gebu gebas. Agak dense sedikit.

Ini cuma salah satu variasi resepi baked oat yang ada di luar sana. Ada banyak versi lain dengan cara olahan yang berbeza. Selamat mencuba! 


Piza Terung Bulat

Rabu, Mac 24, 2021

Buat piza terung air fryer lagi. Kali ini guna terung bulat. Menghabiskan stok terung di dalam peti ais. Kebetulan keju dan bahan-bahan lain yang hendak dijadikan toppings pun ada. 

Saya pernah kongsi resepi piza terung sebelum ini di sini. Terung dibakar sehingga isinya lembut. Kemudian, ketika masih panas, isi terung dicarik-carik untuk dijadikan base atau doh piza.

Langkah-langkah Penyediaan Piza Terung:

Mula-mula bersihkan terung. Tanpa perlu dipotong, masukkan terung ke dalam oven atau air fryer dan bakar dalam 5 - 10 minit sehingga terung bertukar lembut. Masa untuk membakar bergantung kepada saiz terung ya. Sekiranya, dalam 5 - 7 minit tu terung masih anjal apabila ditekan dari luar, tambahlah lagi 2 - 3 minit.

Setelah dikeluarkan, belah terung kepada dua bahagian. Disebabkan saya guna terung bulat, saya potong terung hingga terbelah habis. Tetapi, sekiranya saya guna terung biasa, saya tidak akan potong sampai habis. Cukup untuk kita belah dua dan ratakan permukaan terung supaya dapat jadi base piza yang lebih besar.

Resepi Air Fryer - Nuget Ikan Dory

Jumaat, Februari 05, 2021

Assalamualaikum. Hari ini entri edisi makanan cekut. Nuget ikan dory yang disediakan menggunakan air fryer. Cekengah beri saya ikan dory beku. Agak lama jugalah duduk diam dalam peti dingin beku. Konon nak masak apabila teringin nak makan fish and chips. Atau mungkin ayam sweet sour ke.... Tetapi, sampai ke sudah statusnya masih ikan dory beku. Tak bertukar jadi sebarang hidangan menyelerakan pun.

Kebetulan, baru-baru ini saya tinggal seorang. Jadi, rasa malas pula nak masak nasi dan lauk. Selalu apabila duduk seorang diri, saya suka masak satu meal yang simple je. Buatlah agak-agak untuk dua kali makan. Senang, makan tengah hari bawa sekali ke makan malam.

Selongkar freezer, ikan dory ni macam memanggil-manggil je. Maka, terhasillah menu ringkas nuget ikan dory saya. Saya menggunakan air fryer. Mudah dan tidak perlu guna minyak. Tetapi, jika tiada air fryer, deep fry macam biasa sahaja pun boleh. Rangup krup krap krup krap rasanya!

OK, jom tengok resepi!


Resepi Mudah - Piza Terung yang Sihat dan Sedap

Jumaat, April 10, 2020

*Resepi pizza terung berkeju ini boleh dimasak menggunakan air fryer, ketuhar gelombang mikro dan oven biasa. Masa memasak perlu dilaraskan mengikut kesesuaian.

Pernah dengar piza terung? Ya, kalian tak salah. Saya memang cerita tentang piza yang diperbuat daripada terung. Ini merupakan salah satu olahan piza untuk pilihan yang lebih sihat. Kita tidak guna doh piza seperti biasa sebaliknya isi terung yang akan jadi base untuk piza. Rendah kalori berbanding piza. Usah bimbang, rasanya tetap awesome.

Bagi yang sedang berdiet, kawal makan... tiba-tiba teringin nak makan piza, bolehlah cuba buat resepi ini to satisfy your craving. Failproof (confirm jadi punya) dan rasanya dijamin puas hati. Selain itu, emak-emak yang struggle nak ajar anak makan sayur, apa kata umpan mereka dengan piza terung ini. Selitlah potongan-potongan kecil brokoli atau lobak merah sekali.



Tengok ni piza terung saya. Terliur tak?

OK, jom kita tengok resepi. Bahan-bahan yang digunakan boleh diubah suai mengikut selera kalian. Lately, saya memang ambil kira berapa kalori makanan yang masuk tubuh. Jadi, bahan-bahan yang saya gunakan seboleh-bolehnya rendah kalori, rendah gula dan garam. Tetapi, andai kata ada bahan tertentu yang tiada dalam pantri kalian, tukar je ikut kesesuaian. Misalnya, saya guna keju keping Bega Super Slim. Kalian boleh sahaja guna keju jenama lain seperti Anchor atau Mother's Choice. Ingin guna keju parut pun tiada masalah. Kita yang buat kan....


Resepi Piza Terung (Saiz Hidangan - 2 orang)

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 2 biji terung bersaiz sederhana besar
  • 1 ketul tauhu dipotong dadu. Kalian boleh tukar dengan daging cincang, hirisan ayam atau hirisan sosej. 
  • 1 biji bawang besar dimayang
  • 1 biji tomato dipotong dadu
  • 3 - 4 keping keju Bega Super Slim
  • 2 - 3 tangkai cili api. Saya dan Bott, makan piza pun nak kena pedas!
  • Sedikit sos tomato/sos cili (Optional)
  • Sedikit taburan herba oregano dan parsley kering. (Tak guna pun tak apa)

Resepi Kek Coklat Kurma Dalam Mug 2 Minit

Jumaat, April 03, 2020

Ini memang dianggap resepi PKP. One of my go - to recipes saat saya tiba-tiba teringin nak makan kek atau sesuatu yang manis. Apa yang menariknya, kek ni ambil masa kurang daripada lima minit untuk disediakan. Dua minit untuk siapkan bahan-bahan dan sukat apa yang perlu. 30 saat untuk kacau adunan manakala antara satu hingga satu minit setengah untuk masak di dalam ketuhar gelombang mikro.

Kek coklat dalam mug saya ini ada perasa kurma. Cuba untuk kurangkan penggunaan gula dan berharap versi kek saya ini guilt-free (yang mana saya boleh nikmati tanpa rasa bersalah), saya guna kurma. Jadi, rasa manis kek coklat saya hanya daripada manis buah kurma. Beberapa biji kurma saya rendam dalam 1 - 2 sudu besar air panas untuk lembutkan isinya, kemudian saya lenyek-lenyek supaya menjadi pes kurma. Jika tidak mahu guna pes kurma, kalian boleh sahaja guna gula biasa, gula perang, madu atau sirap mapel. Ikut kesukaan masing-masing ye.

Lagi satu, tepung saya guna tepung badam. Tiada tepung badam? Guna tepung gandum biasa pun boleh.

Resepi Jagung Bakar

Khamis, Disember 14, 2017

Saya memang gemar sangat makan jagung. Tidak kiralah jagung rebus ke bakar atau panggang, corn in a cup (yummy yummmm),...atau yang dimasukkan dalam hidangan seperti cucur bilis dan jagung, coleslaw, lempeng jagung dan sayur asem - Semua saya suka!

Baru-baru ini, Cekengah bawa balik jagung manis. Beli daripada rakan sejawatnya. Cantik rupa paras jagung tu,...geram tengok! Harga pun berpatutan. Ada 3 bungkus, setiap satu bungkus ada 3 tongkol besar-besar. Puaslah untuk makan satu keluarga.

Kebiasaannya, saya suka rebus macam biasa untuk makan ketika minum petang. Jagung rebus lawan dengan kopi atau teh panas - nikmatnya! Tidakpun, kalau saya seorang and I want a quick simple corn treat, saya akan buat Jagung 4 Minit guna microwave.

Kita bersihkan jagung tu, tak perlu kupas pun kulitnya. Masukkan dalam microwave selama 4 minit. Cara ini lebih ringkas, lebih cepat sebab kulit jagung dan rerambutnya akan jadi mudah ditanggalkan. Sapu sedikit mmentega, tabur sedikit garam dan walllahhhhhhh,...sedia untuk dimakan. Ingin tahu lebih lanjut tentang Jagung 4 Minit, baca entrinya di sini. Ada panduan bergambar, senang untuk lebih faham cara-caranya.