Roti Malabar Kawan

Rabu, Januari 27, 2021

Ini semua pengaruh iklan! Saya nampak iklan Roti Malabar jenama Kawan ini masa main game. Dua tiga hari jugalah iklan yang sama asyik bersiar layar depan mata. Jujur, iklan tu betul-betul menggoda! Cara roti naik menggelembung ketika digoreng atas kuali, betapa flakynya cebisan roti apabila disiat dan dikunyah ... siap ada gambar teh tarik lagi!

Memang tergerak hati nak beli dibuatnya. Puas cakap kat diri sendiri, kalau teringin kan boleh buat. Sia-sia je belajar buat roti canai tanpa perlu tebar. OK, konon-kononnya berjayalah jinakkan nafsu. 😂

Nak dijadikan cerita, saya ke Econsave untuk beli barang dapur. Masa tengah memilih-milih barang, nampaklah kelibat seorang pekerja Econsave bawa troli penuh dengan produk dingin beku Kawan dan dapat teka tak produk apa yang melintas betul-betul depan mata? Ya, Roti Malabar!

Saya dah mula goyah dah. Kemudian, saya pergi ke bahagian dingin beku hendak ambil mixed vege. Dan dan dekat sebelah tulah pekerja tengah punggah dan susun pek-pek Roti Malabar. Aishhh! Tak boleh elak dah! Terus rembat satu pek.

Inilah rupa pembungkusan Roti Malabar Kawan. Roti Canai Mamak Style. Maaf, gambar produk sebelum dimasak tak ada sebab roti dah habis baru teringat nak ambil gambar. 😉

Semalam baru ada masa untuk tonton drama Takdir yang Tertulis di iflix. Drama ini sedang ditayangkan di  TV3 melalui slot Samarinda, menggantikan Bougainvillea. Tengah syok layan cerita, terberkenan pula dengan lagu yang dimainkan. Pattern lagu macam lagu ciptaan Amylea dan Farouk tapi suara penyanyinya bukan suara Amylea. Macam iras-iras suara Marsha pun ada. Tapi, bukan! 

Apa lagi, laju sahaja jari meminta khidmat Encik Google. Kaka Azraff? Wowww! Selama ini Kaka Azraff tidak pernah bawa lagu balada. Not bad at all! Oh ya, tekaan saya separuh tepat. Lagu ini memang ada sentuhan Farouk pun.

Sebab dah jatuh cinta dengan lagu ini, apa lagi ... berdendanglah dengan si Kapok. Kord gitar di bawah saya belum sempat transpose. Jadi, buat masa ini tiada versi easy chords.

Kord Gitar From FAMF Tower

Kord Gitar dan Lirik Lagu Karma - Jaz | Kaka Azraff

OST Takdir Yang Tertulis 

Komposer : Farouk Roman

Lirik : Aisha Retno


(Intro)

Ebm Bb Ebm Ebm 


(Kaka)

   Ebm            Bm

Sejenak ku melukiskan dirimu

     Db             Bbm

yang terukir di hatiku

   B                  Abm       Bb

namun memang benarkah jiwa ini untukmu

Dark Roasted Coffee Almond Butter

Isnin, Januari 25, 2021

Assalamu'alaikum. Hai semua!

Hari ini saya nak bercerita sedikit tentang almond butter. Sebelum ini saya biasa makan almond butter yang kosong sahaja. Tukar-tukar dengan peanut butter. Makan dengan toast, overnight oat, timun jeruk. Macam-macamlah. 

Saya biasa beli peanut butter yang tiada campuran garam dan gula. Memang ada satu produk ni yang saya suka sangat. Selalu beli online sahaja. Melalui kedai online inilah saya berjinak-jinak cuba almond butter dan hazelnut butter. Saja buat tukar-tukar selera. 

Sebelum PKP, ketika pergi rumah Cekengah, dia beri sebotol almond butter. Katanya dia beli untuk saya sebab yakin saya akan suka punyalah. Masa baca label, terus muka happy tak boleh nak cover. Ini bukan almond butter biasa. Almond butter ini ada campuran kopi!

Lawak Kampus daripada Anies

Ahad, Januari 24, 2021

Assalamu'alaikum,

Entri ini merupakan entri penghargaan khusus buat teman blogger saya, Anies.

Saya terima kiriman daripada Anies yang berupa senaskhah Lawak Kampus. Tidak silap saya, ini merupakan hadiah kerana berkunjung dan meninggalkan komen di Blog Anies and You. Anies merupakan antara rakan blogger yang awal-awal saya kenal semasa mula aktif berblogging dahulu. Seorang yang peramah dan sangat pemurah. Rajin benar hargai rakan-rakan blogger dengan titipan istimewa. Saya sendiri sudah hilang jejak berapa banyak kiriman tanda ingatan daripada Anies yang telah saya terima.

Lawak Kampus milik saya. Bertambah bahan bacaan ringan dan santai. 


Terima kasih banyak-banyak, Anies. Jika dilihat dari tarikh pengeposan, mungkin saya terima kiriman ini sekitar minggu lepas lagi. Cuma disebabkan saya masih menggunakan alamat surat-menyurat di kampung, dan saya lambat balik untuk ambil surat-surat, baru minggu inilah kiriman tersebut selamat sampai ke tangan saya.

Dua tiga hari lepas saya baru tukar tali gitar. Seronoklah memetik bunyi. Kali ini layan jiwang dengan lagu Azzam Shah, Cinta Jangan Pergi. Anak muda ini antara bakat cilik yang lahir melalui program Idola Kecil suatu masa dahulu. Dah besar panjang dah si Azzam ni. 

Lagu Cinta Jangan Pergi merupakan OST Rahimah Tanpa Rahim yang ditayangkan di Slot Akasia, TV3. Kord gitar di bawah bukan original key ya. Sudah transposed kepada easy chords. Selamat berdendang!

Kord Gitar From FAMF Tower

Kord Gitar dan Lirik Lagu Cinta Jangan Pergi - Azzam Sham (Easy Chords)

OST Rahimah Tanpa Rahim

(Intro)

Am E Am E


Dm Am

Adakah dirimu mahkota nyawaku

Dm Am

setelah harum dibawa angin yang lalu

Dm Am

Adakah diriku pencinta matimu

Dm Am

yang selalu membisikkan indah syairmu


F E

Haruskah aku hanya berdiri sepi

F E

menggengam ranting pelangi yang hampir mati


(Chorus)


Am Dm

Cinta jangan kau pergi

G C

tinggal aku sendiri

F E

Ku takut kehilangan dirimu

Beli Kertas Pelekat untuk Projek Kraf

Khamis, Januari 21, 2021

Assalamu'alaikum. Salam sejahtera.

Baru-baru ini saya beli kertas pelekat di Lazada. Bersaiz A4, kemasan matte (bukan jenis kilat yang mirrorcote or glossy tu), ditawarkan dalam tiga variasi - putih, coklat cair dan kertas kraf. Disebabkan penyakit saya yang memang tidak boleh nampak kertas cantik dan apa jua yang seangkatan dengannya, saya beli tiga-tiga sekali.

Hendak buat apa dengan kertas pelekat ini? Saya nak buat DIY stickers. Belakangan ini, apabila ada masa terluang saya memang super duper rajin buat hiasan kraf (crafts embellishments). Nanti bolehlah saya gunakan untuk hias jurnal dan planner saya.

Untuk 10 keping kertas pelekat bersaiz A4 dengan harga RM2.60, bagi saya amat berbaloi. Malah, lebih murah jika dibandingkan dengan kertas pelekat yang lebih kurang sama, yang saya pernah beli di POPULAR dahulu (di bawah range produk alat tulis keluaran POPULAR sendiri).

Resepi Air Fryer - Biskut Oat Tiga Bahan

Rabu, Januari 20, 2021

Hari ini saya ingin kongsi resepi biskut oat kegemaran saya yang disediakan menggunakan air fryer. Resepi ini versi sihat dan rendah kalori. Boleh dijadikan sarapan ringkas malah sesuai sangat sebagai snek buat yang suka mengunyah macam saya.

Apa yang menarik ialah biskut ini hanya menggunakan 3 bahan. Ya, 3 bahan. Bagi yang mengamalkan diet eat clean, ketiga-tiga bahannya lulus untuk kalian 👍🏼. Okey, mari kita tengok apa tiga bahan yang saya maksudkan.


Resepi Biskut Oat Sihat 3 Bahan

Biskut Oat Rendah Kalori

Hidangan Sarapan Mudah Ala Shakshuka

Isnin, Januari 18, 2021

Assalamualaikum semua. Apa khabar? 

Hari ini saya ingin kongsi hidangan sarapan ala shakshuka saya. Apakah itu shakshuka? Shakshuka yang bermaksud 'campuran' merupakan hidangan telur dalam kuah tomato dari timur tengah.Campuran pelbagai ramuan seperti hirisan bawang, tomato, lada benggala, kombinasi rempah seperti paprika dan jintan yang dimasak dalam skillet bukan sahaja sesuai dinikmati semasa sarapan, malah untuk makan tengah hari atau makan malam.

Saya biasa buat untuk sarapan. Breakfast skillet-lah konon-kononnya. Jika resepi shakshuka asal mewah dibanjiri kuah tomato, versi shakshuka saya cuma menggunakan buah tomato yang dipotong dadu dan ditumis hingga layu, lembut serta mengeluarkan air.

Ini hidangan sarapan saya semalam. Saya letak hirisan lapisan ayam belanda yang saya goreng dengan sedikit mentega terlebih dahulu. Lebihan minyak gorengan tu akan memberikan lebih rasa kepada telur. 😊

Resepi Berasaskan Pasta Bahagian 2

Sabtu, Januari 16, 2021

Assalamualaikum. Hari ini kita sambung entri resepi berasaskan pasta lagi. Seperti yang pernah saya nyatakan sebelum ini, pasta memang antara bahan kering yang sentiasa saya pastikan ada stok di rumah. Rasa-rasa malas hendak masak lauk dan makan nasi, kita beralih selera pada hidangan pasta. 

Jika dalam entri Bahagian 1, ada resepi penne bakar berempah, makaroni goreng mudah, makaroni Marmite dan spageti aglio olio, dalam entri kali ini ada tiga lagi resepi mudah menggunakan pasta. Kebanyakan bahan-bahan yang digunakan memang ada dalam dapur kita. Ini bukan pasta yang perlu tiga macam keju, krim pekat dan pelbagai jenis rempah dan herba.

Menu-menu di bawah merupakan juadah pasta yang diolah menggunakan bahan-bahan yang minimum.

Jom tengok! Mana tahu ada yang boleh kalian cuba.

   

Resepi Spageti Goreng Mudah 

Spageti Goreng Mudah


Resepi yang satu ini memang sangatlah mudah. Sebab saya guna perencah Mi Goreng Adabi. Bahan-bahan yang diperlukan pun tidak banyak. Protein saya cuma telur. Hirisan tomato, lobak merah dan cili hijau sebagai pelengkap rasa. Kalian boleh pelbagaikan hidangan ini dengan menggunakan makanan laut, ayam, bebola ikan atau hirisan tauhu. Sudahi dengan taburan chilli flakes

Resepi Mudah Kuih Getas

Khamis, Januari 14, 2021

Saya memang suka kuih-muih tradisional yang menggunakan kelapa seperti kuih dangai dan kuih getas. Disebabkan dah lama tidak makan, tiba-tiba tergerak hati pula hendak buat dua kuih ni. Malangnya, saya tiada acuan khas untuk bentuk kuih dangai tu. Mana nak cari time-time begini. Jadi, kita buatlah kuih getas sahaja. 

Sebelum ini, ada lalu lalang di timeline Facebook, orang kongsi resepi kuih getas kurang manis. Kiranya, setelah kuih getas digoreng, kuih berkenaan tidak disalut dengan sira gula. Sebaliknya hanya disalut manja-manja dengan gula pasir halus. Ala-ala macam kita golek-golek donut tuh. 

Menarik juga, kan? Memanglah orang kata kalau tak bersira gula (macam kuih keria tu) bukan kuih getas namanya. Tak autentik. Tapi, tekak kita yang nak makan. Saya lebih bimbangkan diri. Kalau dah buat sendiri, saya tak jamin saya akan makan hanya satu atau dua kuih getas sahaja. Confirm terlajak makan. Dah nama pun teringin. 🤤

Jadi, dekat mana boleh kurangkan kalori dan manis, saya kurangkanlah. Walaupun hakikatnya bila dah guna tepung pulut dan kelapa parut, kalorinya banyak nombor hehehe

Gift Ideas - Coffee Mini Gift Box

Selasa, Januari 12, 2021

Assalamualaikum. Hari ini saya ingin kongsi idea mini gift box yang saya buat untuk seseorang bersempena dengan hari lahirnya. Maklum sahajalah, dengan situasi semasa kita yang masih diancam wabak ini, tidak boleh ambil ringan hendak bersuka ria berkumpul dan adakan sambutan di luar. Sementelahan, esok dah nak PKP semula di 6 negeri.


Coffee mini gift box ini memang saya buat untuk seorang penggemar kopi. Hari lahirnya hujung tahun lalu. Rancangan untuk bertemu dan makan-makan terpaksa ditunda sehingga keadaan mengizinkan. Sementara itu, saya hantarlah mini gift box ini sebagai tanda ingatan. 

Mula-mula, saya buat pembelian kopi di Lazada. Boncafe memang merupakan antara jenama kegemaran saya. Jadi, apa salahnya kita kongsi kesukaan kita dengan penggemar kopi lain. 😊 Saya pilih Boncafe Premium Freeze-dried Coffee Stick ini sebab secara peribadi, saya suka akan rasanya yang lembut seolah-olah kopi dibru sejuk (cold brew). Sayangnya produk kopi segera atau freeze-dried Boncafe yang ini tiada dalam bentuk pek besar seperti pek biji kopi (coffee beans) dan kopi kisar (ground coffee). Hanya ada dalam bentuk coffee stick begini. 

Lagu Munajat Daqmie untuk Renungan Kita

Ahad, Januari 10, 2021

Lagu Munajat nyanyian Daqmie ini merupakan lagu yang betul-betul 'menangkap' bagi saya. Pertama kali saya dengar lagu ini, seawal verse pertama saya sudah tersentuh. Lagu ini released sekitar bulan puasa tahun lepas tidak silap saya. Jika ingin dengar, cari di Youtube ya.


Kau Ya 'Alim

lagi tahu apa yang ku

mampu rangkul dan kupikul

sebelumnya terkesima 

tak berdaya


Garapan lirik penuh makna dengan gubahan melodi yang indah membuatkan lagu ini berjaya membibitkan syahdu di hati dan halwa telinga pendengar. Tidak keterlaluan jika saya katakan, ini antara lagu nasyid terbaik buat masa ini. Punya mesej yang kuat. Penulis liriknya mengangkat ayat terakhir Surah al-Baqarah (Ayat 286), mengajak kita agar reda dengan setiap dugaan yang Allah turunkan kerana Allah tidak akan menduga hamba-Nya dengan sesuatu yang di luar batas daya hamba itu.

Terlalu banyak perkara buruk yang berlaku di sekeliling kita sekarang ini. Ada yang menimpa kita, ada yang menimpa orang yang kita sayang, kita kenal. Walau apapun, kita sama-sama tabah dan bertahan ya. Jangan putus berdoa, bermunajat kepada Allah. Stay strong! Jangan persoalkan itu ini. Ingat, setelah sukar, akan mudah. 😊

Buat Terung Wrap

Khamis, Januari 07, 2021

Assalamu'alaikum. Hari ini entri tentang makanan. Saya buat terung wrap. Ini antara menu pilihan saya apabila saya putus idea hendak makan apa. Kadang-kadang tekak teringin makan sesuatu yang berbeza, jadi kita olahlah buat wrap ikut cita rasa.



Wrap terung saya. Abaikan plating feeling-feeling perasan masuk Masterchef itu. Untuk bahagian inti wrap terung, saya ada beberapa cara. 

Cara pertama - Inti ringkas

Inti terung yang ini memang mudah dan ringkas penyediaannya. Saya guna resepi inti untuk sandwic terung saya. Cuma instead of guna roti bakar, saya gulung inti terung di dalam wrap.


Bahan-bahan (agak-agak ya ikut banyak mana yang hendak disediakan):
  • hirisan terung secukupnya
  • hirisan tomato mengikut cita rasa
  • hirisan bawang besar mengikut cita rasa
  • keju keping atau parutan keju
  • daun salad
  • sedikit mayones
  • sedikit minyak zaitun
  • garam secukup rasa
  • serbuk lada hitam secukup rasa

Dapat Jurnal Libresse Percuma

Rabu, Januari 06, 2021

Antara entri hujung tahun saya sebelum ini ada cerita tentang planner dan jurnal untuk 2021. Hari ini masuk cerita jurnal lagi. 🤗 Saya dapat sebuah jurnal cantik melalui pembelian Libresse hujung tahun lalu. Saya beli ketika flash sale untuk produk berkenaan di Lazada. 

Saya selalu barang-barang pakai dan keperluan harian akan masukkan dalam cart siap-siap. Mudah sedikit hendak dapatkan good bargain sambil jaga kelangsungan stok hehehe. Kebetulan saya masih miliki baucar penghantaran percuma yang belum digunakan. Lancar sahajalah jari jemari ini menekan butang 'Check Out'. Masa tu tak perasan pun ada hadiah percuma dengan pembelian. 

Barang dah sampai baru saya perasan ada extra item as free gift. Senyum sampai telinga tengok jurnal baharu. Cantik pula tu! Bertambah stok buku contengan saya. 

Libresse keluarkan tiga rekaan berbeza. Saya dapat yang ini.

Countdown 2021 - Book Challenge

Selasa, Disember 29, 2020

Bagi kalian yang gemar membaca, apa kata untuk 2021, kita buat Book Challenge? Saya suka juga buat Book Challenge atau turut dikenali sebagai Reading Challenge ini. Tetapi, disebabkan sibuk yang entah apa-apa, sudah beberapa kali cabaran ini terkandas di tengah jalan. Tahun lepas tak buat langsung! Tahun sebelumnya, saya cuba buat Goodreads Reading Challenge, konon-konon hendak ikut jejak dinda Sha Mohamed. Baca buku tu baca. Masalahnya, satu buku pun saya tak log dekat Goodreads. Akaun Goodreads saya pun dah berkurun saya tak masuk. Maka, sampai ke sudah saya masih di titik mula.

Jadi, tahun ini pasang tekad untuk melaksanakan Book Challenge dengan jayanya. Saya akan cuba baca sebanyak buku yang boleh mengikut senarai cabaran yang ditetapkan. Senarai mana? Terpulang. Ada banyak book challenge dan reading challenge yang kalian boleh ikut. Seperti beberapa tahun dahulu, saya selesa memilih cabaran yang dianjurkan oleh POPSUGAR. 

2021 POPSUGAR Reading Challenge.


Di bawah ini senarai buku yang perlu dibaca untuk melengkapkan cabaran ini. In case gambar di atas kurang jelas.

Countdown 2021 - Jadual Qadha Solat

Isnin, Disember 28, 2020

2021 tinggal beberapa hari sahaja lagi. Tik tok tik tok. Dari kelmarin saya sibuk hias planner untuk digunakan. Memandangkan saya lebih gemar guna planner yang kosong  (berbanding yang ada banyak ciri-ciri tambahan seperti monthly cashflow, goals, inspiring quotes and etc), sekaranglah masanya untuk set up planner supaya boleh digunakan ikut kesesuaian saya. 

Selain ruang To Do List, saya juga ada cetak beberapa lembaran sebagai inserts tambahan seperti Fitness Journal, Gifts Tracker, To Blog List dan yang paling penting, satu ni - Jadual Qadha Solat.

Ini Jadual Qadha Solat bulanan. Saya tidak pasti siapa/pihak mana yang hasilkan jadual ini tetapi saya peroleh jadual ini melalui perkongsian di Facebook beberapa tahun lepas. Credit goes to the original owner. Moga Allah memberikan ganjaran yang berlipat ganda atas perkongsiannya ini.


Gift Ideas - Memo Board Frames

Assalamu'alaikum,

Hari ini saya nak kongsi gift ideas menggunakan bingkai gambar. Bingkai gambar sebegini, yang ada banyak bingkai yang dicantum sekali, boleh didapati di Ikea dan Mr. DIY. Harga agak berpatutan bergantung kepada jenis dan design. Tidak silap saya, Bott beli bingkai ini bawah RM30.00 di Ikea.



Buat apa dengan bingkai gambar ini? OK, bingkai gambar di atas sebenarnya bukan saya yang buat. Ini hasil kerja tangan Bott. Bersungguh-sungguh dia menyelongkar barang-barang saya dalam bilik kraf untuk siapkan benda ni. Dia nak hadiahkan kepada seseorang sebagai hadiah hari lahir. Jadi, dia beli bingkai, hias dengan Japanese theme untuk dijadikan sebagai memo board. Kiranya ini hadiah 2-in-1. Birthday card a.k.a birthday frame dan memo board sekali untuk tulis peringatan, to do list atau to buy list. Oh, jika nak tengok DIY Birthday Frame - Bingkai Hari Lahir, klik di sini.

Countdown 2021 - Balang Kegembiraan

Rabu, Disember 23, 2020

Balang kegembiraan? Sebenarnya ini memang aktiviti saya saban tahun sejak 2018 lagi. Pada permulaan tahun, saya akan sediakan satu balang atau bekas bertutup dan jadikan sebagai 'Happiness Jar'. Selain itu, sediakan juga kertas catatan kecil dan pen untuk memudahkan kita mencoret. 

Sebuah balang kegembiraan yang dibuat pada bulan Januari adalah untuk  catat semua memori manis, kenangan bermakna atau perkara baik yang dialami sepanjang 12 bulan berikutnya. Saya peroleh inspirasi balang kegembiraan ini melalui Pinterest. Boleh baca entri 'Happiness Jardi sini

Apa yang penting dan lebih menyeronokkan ialah penglibatan seluruh ahli keluarga atau isi rumah. Sesuatu yang indah berlaku dalam hari kalian; sesuatu yang kalian rasa berbaloi untuk dikenang atau disyukuri ... catatkan momen tersebut dan masukkan ke dalam balang kegembiraan.

Nanti, malam tahun baharu duduk ramai-ramai dan buka balik setiap catatan satu per satu. Kadang-kadang kita terlalu sibuk sehingga lupa hendak hargai detik-detik gembira yang pernah kita lalui. Inilah masanya untuk kenang balik semua itu bersama-sama.

Countdown 2021 - Planner dan Jurnal 2021

Isnin, Disember 21, 2020

Tinggal kurang lebih sepuluh hari lagi kita akan sambut ketibaan tahun baharu. Teruja tak nak melangkah ke 2021? Yelah, 2020 banyak perkara yang tidak terduga berlaku, banyak aspek kehidupan kita berubah dan perancangan-perancangan yang tertunda atau terpaksa dibatalkan. Tentulah tahun baharu ini kita harapkan sinar yang lebih baik dan menjanjikan sesuatu yang positif. 

Secara peribadi, saya memang tidak sabar nak tutup 2020 dan mulakan 2021 dengan lebih tenang, lebih bersedia. Seperti biasa, apabila sebut pasal tahun baharu, tentu akan terfikir  tentang planner, buku catatan, jurnal atau diari.

Siapa yang sudah miliki planner untuk 2021? Tidak kiralah jenis apa, berjenama atau tidak. Ada segelintir teman-teman saya yang kononnya hendak mogok. Tahun ini tak mahu ada planner sebab selagi ada wabak Covid-19 di sekeliling kita, keadaan tetap tidak terduga. Jadi, tiada gunanya merancang apa-apa. Buat bazir ada planner kata mereka 😁

Di pihak saya, keterujaannya tetap sama seperti tahun-tahun terdahulu. Tetapi saya tidak beli planner baharu, sebaliknya saya akan gunakan buku catatan yang ada dalam simpanan untuk dijadikan jurnal dan planner 2021.

Resepi Mudah Daging Lada Hitam

Jumaat, Disember 18, 2020

Siapa penggemar hidangan daging lada hitam? Hari ini saya ada resepi mudah untuk menyediakan hidangan ini. Saya kalau buat daging lada hitam, memang akan letak hirisan cili api. Pedas pijar lada hitam lawan pula dengan hirisan cili api, memang berasap hidung dan telinga dibuatnya. Cili api ini sekadar pilihan ya. Jika tidak tahan pedas, tidak perlu letak.

Biasanya jika masak hidangan daging lada hitam ini, saya akan padankan dengan menu pak choy celur sahaja. Sedap berganda!

OK, mari intai resepinya di bawah.


Resepi Daging Lada Hitam

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 1/2 kilogram daging, dihiris nipis
  • 1 biji bawang besar atau 3-5 biji bawang merah dihiris
  • 3 ulas bawang putih dihiris
  • 2.5 cm halia dihiris atau diparut (Saya biasanya parut kerana saya simpan halia di dalam peti dingin beku untuk elakkan cepat rosak. Baca mengenainya di sini.)
  • 1/2 batang lobak merah dihiris bulat
  • 1 - 2 sudu besar kicap pekat
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 1/2 - 2 sudu besar serbuk lada hitam
  • sedikit air untuk kuah 
  • 1 sudu besar tepung jagung yang dilarutkan dengan sedikit air
  • minyak masak secukupnya untuk menumis
  • garam jika perlu

Roti Bakar Gulai Lemak Cili Api Daging Salai

Rabu, Disember 16, 2020

Dalam pada sekarang ini sibuk tular, sana sini orang bercakap tentang Daging Harimau Menangis Aunty Tini Kitchen, produk keluaran ibu kepada Neelofa, saya tiba-tiba teringin hendak makan daging salai. Ada antara kalian yang sudah cuba produk daging harimau menangis tu? Disebabkan saya dalam fasa mengidam daging salai, saya tak pandang dah harimau menangis ke singa menangis ke... hahaha. 

Adalah beberapa teman yang sudah cuba. Cekengah dan Cekebon pun dah merasa. Tempoh hari sewaktu berbual dengan mereka di telefon, bukan main lagi Cekengah bercerita mengenai menu daging harimau menangis yang disediakan. Baca review di internet, ramai yang berpendapat daging harimau menangis tu biasa-biasa saja. Selera orang lain-lain. Lagi pun, itu dikira produk frozen yang dihasilkan dalam skala besar. Mana hendak sama autentiknya dengan hidangan segar yang disediakan from the scratch, kan?

Eh, panjang pula membebel tentang daging harimau menangis! Balik kepada cerita daging salai saya. Dalam pada teringin daging salai, saya tak berusaha pun pergi cari. Jauh lagi nak pergi menyalai daging. Huhuhu... Kali terakhir menyalai daging adalah dalam lima tahun dahulu, sewaktu saya belajar buat acar buah daging salai. Cara mudah membuat daging salai (non-traditional ways) saya kongsi di bawah.

Alhamdulillah, ada seorang kenalan menelefon dan tanya saya makan daging salai tak. Dia nak bagi. Pucuk dicita ulam mendatang. Rezeki saya dapat satu bekas besar. Buka je bekas tu, semerbak aroma daging salai terjah deria bau. Yum yumms! Hidangan pertama yang dibuat tentunya gulai lemak cili api daging salai. Puas saya dan Bott makan. Siap ada lebih lagi.

Lebihan gulai lemak daging salai saya dimanfaatkan sebaiknya. Buat hidangan minum petang. Bakar roti, kemudian cicah dengan kuah gulai. Sedap! Tekstur garing roti yang soggy sedikit selepas kena rendam dalam kuah memang mengancam! 


Sandwic Cendawan Roti Parmesan Oregano

Isnin, Disember 14, 2020

Assalamualaikum. 

Hari ini entri resipi mudah tetapi miliki keenakan berganda! Sandwic Cendawan. Apa yang istimewanya hidangan sandwic saya kali ini ialah bahan tambahan yang digunakan seperti hirisan ayam dan hirisan saderi. Selalu jika buat sandwic cendawan, saya hanya guna cendawan shitake, bawang besar dan lada benggala sahaja. Kemudian, tambah perasa seperti sos tiram dan lada hitam. Boleh intai resepi di sini.


Selain daripada itu, pilihan roti saya juga berbeza. Kebiasaannya, saya akan guna roti fibre atau baguette yang dipotong serong memanjang. Tetapi, kali ini saya guna roti parmesan oregano yang dibeli di La Boheme Bakery. Memang jatuh cinta dengan roti ini. Dahlah lembut, wangi je bau parmesan dan oregano menyapa hidung 😉



Resepi Sandwic Cendawan yang Sedap dan Mudah Disediakan


Inti sandwic cendawan

Kad Tahniah untuk Orang Kahwin Bahagian 2

Dalam entri sebelum ini (Kad Tahniah untuk Orang Kahwin Bahagian 1), saya telah tunjukkan beberapa kad ucapan tahniah yang saya buat untuk mempelai yang diraikan. Ada yang berbentuk kotak (explosion box); ada yang bertema damask, hitam putih, reben-reben ... flamingo in love pun ada. Kad-kad berkenaan, jika hendak dibuat sendiri memang kena ada material dan peralatan asas untuk kraf kertas seperti border punch, adhesive diamentes, fonts stickers, reben dan macam-macam lagi. 

Untuk bahagian 2 ini, saya ingin kongsikan dua contoh kad tahniah yang boleh dihasilkan sendiri hanya dengan menggunakan bahan-bahan yang minimal. Jadi, sekiranya kalian hendak buat kad DIY, lebih mudah dan praktik kerana tidak perlu membazir beli bahan-bahan tambahan semata-mata untuk hasilkan sekeping kad.


#1

Kad yang pertama ini saya siapkan tidak sampai lima minit. Dua benda penting yang diperlukan ialah kertas keras/kad untuk dijadikan base kad kita dan kertas bercorak. Saya pilih kertas corak berbunga merah jambu dengan latar biru dan potong menjadi bentuk hati. Kemudian, tampal pada bahagian hadapan kad.

Resepi Berasaskan Pasta Bahagian 1

Rabu, Disember 09, 2020

Assalamu'alaikum. Salam sejahtera.

Selamat hari Rabu! Saya masih ber-PKPB. Siapa yang sama seperti saya? Apa pun, semoga kita semua terus tenang, terus kuat dan tidak leka untuk jaga diri dan keluarga masing-masing.

Hari ini saya luangkan lebih masa kemas blog. Update entri baharu, gali-gali entri lama, blasa komen dan blogwalking perlahan-lahan. Sudah alang-alang meluangkan masa di tower ini, saya buat entri kompilasi resepilah ye. Resepi-resepi pasta dalam Bahagian 1 ini kebanyakannya merupakan entri-entri awal saya ketika mula aktif berbloging.

Baiklah, di bawah ada beberapa resepi berasaskan pasta yang pernah diterbitkan di blog ini. Jom intai-intai. Mana tahu kalian bisa peroleh inspirasi.


Penne Bakar Berempah

Penne Bakar Berempah

Asalnya hidangan ini ialah Makaroni Bakar Berempah. Satu-satunya hidangan pasta yang Cekebon suka. Cekebon tekak orang Minang. Manalah masuk pasta-pasta ini semua dengan seleranya. Tetapi, Makaroni Bakar Berempah is an exception. Masa Cekebon requested hendak makan makaroni bakar, stok pasta yang ada di rumah hanya penne. Makanya, jadilah Penne Bakar Berempah. Resepi ni kira balance. Not too cheesy and not too spicyJust nice untuk orang yang tekak macam Cekebon. Pada masa yang sama penggemar pasta dan keju tetap boleh enjoy this dish :) Resepi? Klik sini.

Lembaran Juzuk Cinta - Halim Ahmad & Furqan Fawwaz Zayne

Isnin, Disember 07, 2020

Lagu ini merupakan antara lagu yang berada dalam tangga teratas playlist saya. Lama dah tak dengar nasyid best yang kena dengan selera. 'Lembaran Juzuk Cinta' didendangkan oleh Halim Ahmad yang berkolaborasi dengan Furqan Fawwaz, salah seorang anggota kumpulan Zayne. 

Apa yang saya suka tentang lagu ini? Semua. Gubahan melodinya, liriknya. Sedap je masuk telinga. Saya ingat lagi, pertama kali dengar lagu ini saya sedang tidur dalam keadaan radio terpasang. Dalam kemamar tu, sempat cakap pada diri sendiri bestnya lagu ni. Siap gigih hafal dua tiga baris liriknya supaya keesokan hari boleh google. 😆

Untuk makluman, Lagu dan lirik  'Lembaran Juzuk Cinta' dihasilkan oleh Halim Ahmad sendiri. Belum pernah dengar? Nanti cuba tonton di Youtube ya. Saya kongsikan kord gitar lagu ini. Seperti biasa, easy guitar chords.

Kord Gitar From FAMF Tower

Kord Gitar dan Lirik Lagu Lembaran Juzuk Cinta - Halim Ahmad & Furqan Fawwaz Zayne (Easy Chords)

(Intro)

Am 


Am Dm

Tuhan aku tak punya kudrat

E Am

Bila dia mendatangiku

Am Dm

Hanya pada-Mu 'kan kutambat

E Am

Pelihara hatiku



Am Dm

Bisikannya terus ke jantung

E Am

Seolah mengalir dalam darah

Am Dm

Kadang membuatku termenung

E F

Kerana memikirkannya

Cincau Ayraa Super Lembut

Ahad, Disember 06, 2020

Assalamu'alaikum. Salam Jumaat!

Hari ini kita borak pasal cincau ya.

Saya sebenarnya seorang penggemar cincau. Cincau dalam ABC, cincau dalam sirap bandung atau soda gembira, cincau dalam air soya, semua saya suka! Paling suka tentulah cincau dalam kopi saya! 

Tetapi, saya agak cerewet bab hendak memilih cincau sebab ragu-ragu akan kebersihan produk dan tempat produk itu dihasilkan. Maklum sahajalah, kerap sangat disogokkan dengan berita kilang tauhu, tempe, kilang itu, kilang ini yang ditutup kerana tahap kebersihan yang sangat teruk. Jadi loya dan kembang tekak dibuatnya.

Selalu kalau pergi kedai runcit, nampak cincau pun akan berkalau-kalau hendak beli. Makanya, hasrat nak menikmati minuman menyegarkan dengan cincau asyik tertangguh.

Rezeki saya, balik kampung ada dalam kalangan saudara saya, adinda Ann Izuani yang menjual cincau homemade. Cincau Ayraa nama produknya. Selama ini dah banyak kali lalu lalang di siaran Facebook saya tetapi saya tak sempat balik Kuang. 

Ada peluang balik sana, terus saya beli dua bekas. Puaslah saya ber-coffee moment dengan Cincau Ayraa ini. 

Satu bekas penuh ini cuma RM6. Beratnya lebih kurang 700g. Maaf, teruja lebih masa dapat cincau ni. Lupa nak ambil gambar penuh.

Snickers White Limited Edition

Sabtu, Disember 05, 2020

Assalamu'alaikum. Salam hujung minggu!

Penggemar coklat putih dan coklat perasa kelapa mari merapat! Ada benda baik mahu dikongsi ni. Kalian sudah berpeluang rasa Snickers White Limited Edition? Pertama kali tahu tentang coklat ini adalah melalui blog Siti Humairah. Kes terpengaruh dengan entri Siti Yang Menaip lah kiranya.

Bila baca Snickers keluarkan coklat putih baharu, pada mulanya saya tidaklah terpancing sangat. Saya kurang gemar coklat putih. Tetapi, bab perasa kelapa tu yang buat saya tertarik. Terus kecur air liur sebab dah terbayang coklat ala-ala Bounty sedang berfiesta di dalam mulut. Tak boleh jadi ni. Kena beli.

Lagi-lagi baca review Siti yang tidak suka perasa kelapa pun boleh approved coklat ini. Oh my, I want my Snickers White!

Makanya, baru-baru ini sewaktu pergi beli barang basah dan keperluan rumah dengan Bott, Snickers White menjadi item pertama dalam senarai barang yang hendak dibeli. Masuk je pasar raya, si Bott pergi bahagian barang basah, saya tak menyempat tanpa lengah pergi serbu aisle coklat. 


Nampak je Snickers White ini, terus rasa nak grab dua tiga ketul. Konon nak lepas gian sebab lama dah tak makan BountyMujurlah saya cepat insaf. Tak ikutkan sangat rasa tamak haloba tu. Nanti terlebih makan, terlebih calorie intake, diri sendiri yang bising nak kena tambah daily steps. 

Tukar Baju 11 Saat Depan Kamera

Rabu, Disember 02, 2020

Haa hari ini kita cerita tentang video muzik terbaharu penyanyi tersohor Malaysia, Dato' Sri Siti Nurhaliza untuk lagu 'Kuasa Cintamu'. Saya memang suka lagu ini. Sebelum ini dah buat kord gitarnya di sini.

Apabila dapat tahu video muziknya akan disiarkan di Youtube pada 1 Disember, saya punyalah teruja. Yelah, hendak tengok apa kelainan yang akan ditonjolkan. Sementelahan lagu ini didedikasikan buat puteri sulungnya, Aafiyah. Mana tahu si comel tu buat special appearance.

Apakah yang menarik tentang video muzik 'Kuasa Cintamu' ini? 


Well, selain kemunculan si cheeky Aafiyah sebagai penyeri video muzik ini, 'Kuasa Cintamu' menggunakan teknik one shot one take. Bermaksud, keseluruhan klip video ini dirakam sekali harung dari mula sampai habis. Tiada istilah cut, tukar baju, rehat sekejap, tukar babak dan sambung balik. Mula lagu, terus shoot sampailah ke akhirnya.

Kord Gitar Purnama - Naim Daniel

Sebenarnya saya tidak perasan pun bila lagu terbaharu Naim Daniel ni released. Sedikit masa dahulu, adalah kerap melintas di paparan media sosial klip pendek Naim ni nyanyi lagu Purnama bahagian reff. Terdetik juga kat hati, best lagu ni. 

Sebelum ini dalam banyak-banyak lagu Naim, saya tetap suka Sumpah. Sembah, walaupun ada sentuhan magis Man Kidal, bagi saya so-so je. Tak cukup kick-lah konon-kononnya. Lagu rancak dia, lagilah tak kena dengan selera tua saya. 🤣

Semalam, semasa sedang siapkan kerja, saya perasan Bott dok ulang-ulang lagu Purnama. Baru tahu dah keluar full version. Pelik pula, si Bott ni mana dengar lagu-lagu jiwang. Dah tu dia tak berkenan dengan Naim, lagi-lagi dengan potongan rambut sekarang. Dia kata sakit mata tengok. Dah kenapa dia dok galur lagu tu?

Rupa-rupanya, dia layan video muzik Purnama. Sudah boleh ditonton di Youtube. Ralit si Bott tengok sebab dia kata Naim berlakon dalam klip video tu real. Dah memang budak tu pelakon, kan? Hahaha dah alang-alang telinga ni kena dengar Bott ulang tonton lagu Sumpah, saya pun cari chords mudah untuk Purnama. As usual, the transposed version.

Siapa yang sudah dengar Purnama? Sudah tonton klip videonya? Jangan lupa kongsi pandangan kalian di ruangan komen di bawah.

Kord Gitar From FAMF Tower

Kord Gitar dan Lirik Lagu Purnama - Naim Daniel (Easy Chords)

(Intro)

Am F Dm E 

Am

Tak terungkap kata

F

menyedari masa

G                         

ke mana perginya dia

Disember Dua Kosong Dua Kosong

Selasa, Disember 01, 2020


Assalamu'alaikum.

Salam 1 Disember. Sedar tidak sedar kita dah betul-betul berada di hujung tahun. Ini bab terakhir kita untuk 2020. Bagaimana? Semangat atau lemau?

Saya seawal pagi dah semangat hias planner. Berkobar-kobar semangat tulis perkataan 'December'. Meskipun kita masih disuguhkan dengan angka melebihi satu ribu saban hari, kena pandai-pandailah hiburkan dan sejukkan hati. Hendak buat macam mana, kan? Saya rasa by this time, kita kena terima hakikat yang semua 'norma baharu' - pakai pelitup muka, pakai sanitizer, scan suhu, scan My Sejahtera, jaga jarak, kerja dari rumah, sudah menjadi sebahagian daripada aspek kehidupan biasa. Jangan asyik in denial anggap benda ni sekejap je ... sementara je ....

Maklumlah, kita dah berdepan dengan ancaman wabak ini dah nak dekat setahun! Mustahil masih tak boleh nak adapt. Saya sedikit kecewa dengan sikap segelintir manusia yang masih ambil mudah perkara-perkara ini. Masih tidak pakai mask apabila keluar ke tempat awam. Masih bawa satu keluarga, anak kecil, warga tua berduyun-duyun pergi makan di luar. Masih hendak berhimpit-himpit di tempat sesak. Kesedaran tu kurang. Frustrating, kan?

Apa pun, tolonglah jaga diri baik-baik ya. Moga Allah terus lindungi kita semua.


Apa perancangan kalian Disember ini? December is going to be a busy month for me. Banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum melangkah ke 2021. Tak boleh relaks sangat dah. Dah puas berpoya-poya dua tiga bulan ni, Disember kena kerja hahaha.

Kelabu YonnyBoii Feat Azlan Typewriter (Easy Chords)

Isnin, November 30, 2020

Saya biasa dengar lagu-lagu YonnyBoii dan kolaborasi penyanyi ini dengan beberapa penyanyi lain. Tetapi, dalam banyak-banyak lagu, secara peribadi saya suka lagu Kelabu. Bagi saya gandingan YonniBoii bersama Azalan Typewriter sangat kena. Pertama kali dengae je terus woww! Best!

Dari segi lirik, semua tahu lirik-lirik lagu YonnyBoii ni macam mana, kan? So, tak perlu diulas lagi. Selain mesej yang hendak disampaikan, saya rasa kekuatan lagu ini turut terletak pada melodinya. Terutama sekali bahagian korus.

Alang-alang lagu dah best, kenalah nyanyi sambil petik gitar. Guitar chords Kelabu ini sudah ditransposed ke bentuk yang lebih mudah. Bukan saya buat. Kebetulan adik-adik di sini sedang sibuk cari chords lagu-lagu yang masuk Separuh Akhir Muzik-muzik 35 hendak buat mash-up, saya tumpanglah sekaki.

Selamat berdendang!

Kord Gitar From FAMF Tower


Kord Gitar dan Lirik Kelabu YonnyBoii Feat Azlan Typewriter (Easy Guitar Chords)


(Intro)

Am G F E

Ooh-ooh-ooh-hmm


Am 

Ku tidak mahu hanya

G

kata-kata di buku

F

kutakut akan janji

E

jadi lidahku kelu

Am

ku hanya mahu rasai

G

diriku diperlu

F

kusediakan payung

E

untuk engkau berteduh

Pasta Fusilli Sup Ayam

Salam minggu baharu! Saya mulakan minggu dengan mood serba lemau. Malas hendak berbuat apa-apa. Berat je rasa badan tu nak bergerak. Alang-alang tak mahu bergerak tu, kita duduklah menghadap komputer tulis entri blog. Sekurang-kurangnya, bolehlah rasa diri ni produktif juga. 

Hari ini entri resepi. Satu lagi resepi olahan pasta yang tersimpan lama dalam draf, asyik bertangguh dan tidak sempat saya hendak kongsi. Fusilli sup ayam. Haa ... kali ini hidangan pasta saya berkuah dan dinikmati dalam keadaan panas-panas.

Fusilli dengan sup ayam ni sebenarnya lebih kepada leftover recipe. Saya gunakan lebihan sup ayam hari sebelumnya. Tiba-tiba tekak terasa teringin nak makan something hot and soupy. Jadi, saya panaskan sup, masukkan daun limau dan hirisan cili api. Basically, cara penyediaan hidangan ini, kita hanya perlukan sup ayam (ikutlah resepi internet ke, resepi turun-temurun ke) dan pasta.

Sementara sup dipanaskan, rebus fusilli (boleh ikut cara mudah, cepat dan jimat ni) sehingga masak. Jika hendak pakai spageti atau makaroni pun tiada masalah sebenarnya. Pasta juga. Kebetulan ketika itu,  ada baki fusilli suku pek dalam balang. Saya capai apa yang convenient.

Apabila fusilli dah ready, masukkan ke dalam periuk sup dan biarkan masak seketika. Setelah itu, ambil satu sudu kecil tepung jagung, larutkan dengan sedikit air (saya gunakan air rebusan pasta) dan masukkan ke dalam sup untuk pekatkan kuahnya. Biar tekstur sup ada body, likat sedikit ala-ala stew gitu.


Siap!
Fusilli Sup Ayam

Jualan Black Friday & Cyber Monday di E-Sentral

Jumaat, November 27, 2020

 Assalamualaikum. Hai semua! 👋

Kalian gemar membaca? Ingin dapatkan e-book menarik dengan harga terbaik? Kunjungi portal e-book E-Sentral segera. Bermula hari ini, Jumaat, 27 November sehinggalah Isnin, 30 November 2020, E-Sentral mengadakan Jualan Black Friday & Cyber Monday. Banyak buku yang ditawarkan dengan potongan harga antara 10% sehingga 30%.

Bersempena dengan jualan ini, ada potongan 10% untuk pembelian ‘Lelaki Langit Bumi’ saya di E-Sentral. Bagi penggemar novel romantik, bolehlah cuba baca LLB. Di sini saya sertakan sedikit cuplikan khusus buat kalian.



Tunggu apa lagi? Selain ‘Lelaki Langit Bumi', ada banyak buku pelbagai genre dengan potongan harga hebat di sana. Inilah masanya untuk tambah koleksi peribadi dan dapatkan karya penulis kegemaran kalian.

Jika tidak beli untuk diri sendiri, kalian boleh juga hadiahkan e-book ini kepada yang tersayang atau teman-teman ulat buku. Mudah sahaja. Di bawah ini saya tunjukkan caranya.

Resepi Sandwic Kacang Kuda

Khamis, November 26, 2020

Assalamualaikum. 

Tercari-cari menu menarik untuk dicuba? Apa kata kalian pertimbangkan sandwic kacang kuda saya ini. 

Sebut tentang kacang kuda (turut dikenali dengan nama chickpeas dan garbanzo beans), ini merupakan antara bahan yang tidak putus bekalannya dalam pantri saya. Macam-macam resepi yang boleh diolah dengan kacang ini. Hidangan India, Timur Tengah, Mexico, bergantung pada selera.

Selain itu, kacang kuda sangat sesuai untuk yang sedang berdiet atau jaga pemakanan. Terutama sekali bagi yang amalkan diet suku suku separuh atau clean eating. Kandungan indeks glisemiknya rendah, jadi tidak akan spike kandungan gula dalam darah malah buat kita rasa lebih kenyang. 

Saya selalu rebus kacang kuda untuk dijadikan snek antara waktu makan. Daripada kita makan chips dan jajan yang bukan-bukan, baiklah nikmati kacang kuda rebus. Craving satisfied, pengambilan kalori harian pun tidak terbabas 😆.

Resepi sandwic kacang kuda di bawah ini lazimnya jadi menu sarapan saya. Saya buat yang simple sahaja. Cuma sesekali jika inginkan kelainan, barulah ditambah rempah dan ramuan tertentu untuk imitate rasa ala ala mexican food.


Buat Roti Canai Tanpa Perlu Tebar

Rabu, November 25, 2020

Assalamu'alaikum. Hai semua! 

Hari ini bersiaran dari dapur. Kita buat roti canai. Saya tidak pandai bab tebar-tebar roti ini. Jika kalian seperti saya, usah bimbang. Kita buat versi roti canai tanpa perlu tebar. Mudah dan hasilnya tetap umphh! Melalui entri ini, saya kongsikan secara ringkas ya bahan dan cara pembuatannya. 

Resepi Roti Canai

Bahan-bahan yang diperlukan:

300g tepung gandum

1 biji telur gred A

50ml minyak masak

150ml air suam

1 sudu teh gula

1/2 sudu teh garam

mentega/marjerin/mentega bawang putih secukupnya

parutan keju secukupnya


1 sudu besar tepung gandum (untuk digunakan ketika menguli doh)

minyak masak secukupnya (untuk rendam dan rehatkan doh)




Langkah-langkah penyediaan:
  1. Satukan tepung gandum, gula dan garam di dalam sebuah mangkuk sederhana besar. Gaul rata.
  2. Pukul telur bersama air suam dan minyak. Tuangkan ke dalam tepung.
  3. Gaul dengan spatula atau tangan sehingga menjadi doh. 
  4. Pindahkan doh ke atas permukaan rata yang telah ditabur dengan sedikit tepung gandum. Uli doh menggunakan bahagian bawah telapak tangan hingga tekstur doh tidak lagi melekat di tangan.
  5. Bahagikan doh kepada bahagian-bahagian kecil.
  6. Masukkan minyak masak ke dalam mangkuk, agak-agak sahaja biar cukup untuk saluti doh.
  7. Rendam doh di dalam minyak dan rehatkan selama satu jam.
Saya suka roti canai yang nipis. Jadi, satu adunan ini saya bahagikan kepada dua belas bahagian. Jika kalian ingin portion yang lebih besar dan tebal, bahagikan doh kepada 8 bahagian. 

Nasi Goreng Sardin Cili Api

Isnin, November 23, 2020

Nasi Goreng Sardin Cili Api ini merupakan hidangan yang saya buat menggunakan leftover meal malam sebelumnya. Ada dua ketul ikan sardin lebihan sambal yang dimakan dengan nasi lemak. Nasi lemak dan sambal dah habis, jadi ikannya kita proses jadi juadah lain.

Kebetulan ada nasi dingin kelmarin. Tiba-tiba terlintas di kepala nak makan nasi goreng sardin. Di rumah ni, jarang masak sardin. Buat apabila teringin sahaja. Jadi, alang-alang bahan-bahan dah ada tu, mari kita goreng!


Nasi goreng ikan sardin saya. Nampak tak cebisan-cebisan ikan sardin yang meriah ‘berdakap mesra’ dengan nasi tu? 😂 Lebih terangkat apabila suapan tu ada hirisan cili api sekali.

Apa Itu Puisi Padam | Blackout Poetry

Jumaat, November 20, 2020

Pernah dengar puisi padam? Blackout poetry? Well, puisi padam atau blackout poetry ini satu seni puisi yang terhasil daripada tindakan kita memilih perkataan-perkataan tertentu daripada satu halaman buku dan menyisih atau memadamkan perkataan yang selebihnya. Perkataan-perkataan yang tinggal (tidak dipadamkan) akan membentuk sebuah puisi.


Contoh seperti di bawah:


A flawless sky
sunk in the sand
a mind clouded with 
shooting flames.

Kad Tahniah untuk Orang Kahwin Bahagian 1

Khamis, November 19, 2020

Assalamu'alaikum,

Bilakah kali terakhir kalian hadiri majlis perkahwinan? Maklumlah, musim PKPB ini majlis yang dibuat untuk meraikan mempelai tidak boleh semeriah dahulu. Kita kena terus beringat dan berjaga-jaga.

Sebut pasal majlis dan kenduri kahwin, hari ini entri kraf kertas tentang kad tahniah. Bukan kad tahniah biasa, tapi kad tahniah untuk orang kahwin.

Di bawah ini merupakan sebahagian daripada kad-kad tahniah untuk pengantin yang saya buat sepanjang tahun lepas. Tahun ni punya, cuma ada dua tiga tempahan je rasanya. Itu pun tak dan ambil gambar. 

Jom tengok! Mana tahu boleh jadi inspirasi 😊


Explosion box - Wedding dress & Tuxedo

Explosion box ini sejenis kad dalam bentuk empat segi sama. Apabila kita angkat penutup kotak, dinding kotak akan collapse. Bahagian dalaman kotak dihias dengan gambar-gambar dan pelbagai hiasan yang mengangkat tema perkahwinan. 

E-book Budak Ipoh Selipar Putus - Syameen Khalili

Selasa, November 17, 2020

Assalamu'alaikum.

Hari ini saya ingin kongsi tentang e-book yang saya baru baca. Ok, pembetulan ... yang telah saya baca pertengahan Oktober yang lalu. Tetapi, disebabkan sikap tangguh-tangguh saya, lambat kisah e-book ini jadi entri.

Jika kalian perasan, saya jarang tulis ulasan atau resensi mengenai buku-buku yang telah saya baca. Ini kelemahan saya. Saya tidak pandai tulis review. Kalau ada entri tentang buku pun, lebih berkisar tentang pengalaman seronok saya yang ingin saya kongsi bersama kalian. Benda baik kena kongsi sama-sama!

Sama juga seperti 'Budak Ipoh Selipar Putus' ini. Sebuah karya oleh Syameen Khalili, seorang penulis yang saya kira miliki magis dalam kebolehannya menyusun aksara.  

Saya mula membaca karya penulis ini (Jejaka Jelmaan Jemala, Gadis Penyelamat dan Kadir Kadariah) ketika mula berjinak-jinak dengan aplikasi Wattpad beberapa tahun yang lepas. Selepas tu saya ke mana, Wattpad ke mana. Sekarang inilah baru nak aktif membaca dan menulis semula.

OK, berbalik kepada e-book ini, apa kata kalian baca sinopsis terlebih dahulu?

ebook, 170 halaman

Diterbitkan 2020 oleh Siti Syameen Md Khalili

ISBN139789671802915

Resepi Kuih Bom Mentega Kacang | Kuih Bijan

Isnin, November 16, 2020

Assalamu'alaikum,

Kuih Bom Mentega Kacang. Kuih Bijan Mentega Kacang. Bebola Mentega Kacang. Sebenarnya tidak ada nama spesifik untuk kuih ini. Ini kuih musim PKP. Lama peram dalam draf. Baru hari ini sempat terbit entri. 

Waktu tu, saya teringin sangat hendak makan kuih bom. Tidak kiralah yang intinya kelapa parut manis atau inti kacang, janji kuih bom. Tetapi, manalah nak cari. Zaman PKP beberapa bulan dahulu kan gerai-gerai kecil ni tidak boleh berniaga.

Makanya, saya cuba buat sendiri. Dah nama pun kuih musim PKP, guna bahan apa yang ada dalam pantri sahajalah. Yang penting, dapat menikmati tektur kuih bom yang kenyal-kenyal dengan inti manis.

Tanpa bijan putih, inilah kuih bom togel saya. Berintikan lepa kacang. Kebetulan, mentega kacang saya ini dah nak tamat tempoh. Kita jadikan kuih supaya tidak membazir. OK, jom intai resepi.