Assalamualaikum. Salam 2 Januari! Setakat ini 2022 okey?
Di tempat saya, semalam hujan sepanjang hari. Sekejap lebat, sekejap gerimis. Gusar kalau hujan tidak berhenti, nanti kawasan yang rendah naik air lagi. Alhamdulillah, hari ini tidak hujan. Tetapi, dari pagi sehinggalah menjelang tengah hari cuaca sejuk sangat. Kedinginan saya dibuatnya.
Dah kesejukan tu, mulalah mencari kopi. Siap cakap dengan diri sendiri, sejuk-sejuk begini kena buat kopi istimewa. Extra lemak berkrim, extra sedap.
Secangkir kopi labu.
|
Kopi labu untuk cuaca dingin |
Abaikan contengan sos coklat yang saya lukis di atas kopi tersebut. Semasa hendak ambil gambar, saya terima panggilan telefon. Terabailah kopi saya sebentar. Buih kecil surut, sos coklat tu pun dah tenggelam sedikit apabila saya kembali.
Kopi labu ini mengandungi puri atau pes labu. Sebelum ini saya ada beli sebiji buah labu yang boleh tahan besar saiznya. Macam-macam hidangan dah saya hasilkan, masih ada baki lagi. Jadi, saya buat puri labu, masukkan ke dalam kiub ais dan dinginbekukan. Lebih kurang cara saya bekukan cili kisar yang saya kongsikan di sini.
Mudahlah nanti hendak guna kiub puri labu jika ingin bancuh kopi atau masak hidangan pasta labu.
Pernah cuba kopi avokado? Kopi avokado atau kopi alpukat pun sedap tau. Nak cuba? Lihat resepi di sini.
Resepi Kopi Labu Tahun Baharu 😊
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 1 cawan susu pilihan. Kali ini saya guna susu badam.
- 2 sudu besar puri labu
- 2 sudu teh sirap mapel atau madu
- 1/2 sudu teh ekstrak vanila
- 1/2 sudu teh rempah pai labu. Jika tiada rempah pai labu, boleh juga tukar kepada serbuk buah pala atau serbuk kayu manis. Tetapi, untuk serbuk buah pala saya sarankan guna 1/4 sudu teh dahulu. Bimbang terlalu kuat rasanya untuk kopi yang dibancuh.
- 1/2 cawan kopi yang telah dibru. Ini saya bru pakai mesin kopi biasa. Perlukan setengah cawan sahaja kerana nanti kita hendak gabungkan dengan campuran susu dan labu.
Langkah-langkah penyediaan:
- Masak susu, puri labu, sirap mapel, ekstrak vanila dan rempah pai labu di atas api sederhana selama beberapa minit. Kacau hingga semua bahan larut sekata. Tidak perlu tunggu sehingga campuran susu mendidih membuak-buak. Memadai dengan buih-buih kecil halus di permukaan susu.
- Pindahkan campuran susu hangat tadi bersama kopi ke dalam pengisar. Kisar seketika supaya bancuhan tergaul sebati dan lapisan froth dapat dihasilkan. Tuang ke dalam kole, sedia untuk dinikmati.
Jika miliki milk frother, lakukan langkah 1 menggunakan milk frother. Setelah itu masukkan ke dalam kole yang berisi kopi panas.
Selamat mencuba!
Psstt! Terima kasih kerana sudi datang jenguk blog saya. Nanti perlahan-perlahan saya balas kunjungan kalian ya.