Rabu, Oktober 21, 2020

Buat Coffee Dyed Paper untuk Jurnal

Assalamu'alaikum. Hari ini entri kraf. Saya ingin kongsi cara saya buat coffee dyed paper. Dalam bahasa mudahnya kertas celup kopi hahahah. Kertas ini saya gunakan untuk buat junk journal. Tekstur  kertas yang dah berkedut sana sini dengan kesan kopi yang tidak seragam bersesuaian sangat dengan konsep junk journal.

Ingin tahu apa itu junk journal, boleh baca di sini.

Inilah antara kertas dengan kesan kopi yang saya dah buat. Selalunya saya akan guna kertas kosong tanpa garis. Kadang-kadang, saya celup juga kertas petak atau bergaris satu. Tengok apa yang adalah.

Ini pula contoh kertas yang sudah dimasukkan ke dalam jurnal. Nampak macam kitab kuning lama, kan? Hehehe itulah yang mahal.


Ada banyak cara untuk buat kertas dengan kesan kopi ini. Bergantung pada ruang yang kalian ada, masa dan bahan-bahan. Apa yang penting ialah serbuk kopi. Serbuk kopi yang saya maksudkan di sini ialah instant coffee powder. Yang mudah larut seperti Nescafe, IndoCafe ... apa-apalah. Janganlah pula guna kopi premium untuk celup kertas kalian. Sayangggggg. 

Cara pertama
Isikan air panas (tidak perlu terlalu panas, cukup untuk larutkan kopi sahaja) di dalam bekas yang boleh muatkan kertas. Masukkan serbuk kopi secukupnya, ikut tahap kepekatan yang kalian inginkan. Setelah itu, celup kertas ke dalam bancuhan kopi, biarkan seketika. Angkat dan keringkan. Kaedah ini agak makan ruang kerana kertas-kertas perlu dikeringkan di atas permukaan yang rata.


Cara Kedua
Buat bancuhan kopi seperti dalam cara pertama. Celupkan kertas dan bakar dalam oven sehingga sehingga kertas kering. Tidak perlu tinggi sangat suhunya. Ini kena bereksperimentasi. Berapa suhu berapa lama bergantung kepada oven masing-masing. Sesudah siap dibakar, anginkan seketika kertas sebelum disimpan. 


Saya lebih gemar guna cara yang kedua. Saya tidak perlu ruang yang banyak, kertas cepat kering dan saya boleh tindan semua sekaligus. Cuma kerja kita asyik ulang-alik ke oven sahajalah. Biasanya untuk sehelai kertas saya akan bakar sekitar 3 minit. Tersengih-sengih macam orang psiko intai oven sebab masa ini seluruh dapur saya akan dipenuhi aroma kopi. Kertas kopi dapat, bau kopi pun dapat! 


Isnin, Oktober 19, 2020

Buat Puding Roti Mini

Baru-baru ini, semasa mengemas peti dingin beku, saya jumpa roti. Di rumah ini, mood makan roti ada pasang surutnya. Kalau time suka makan roti rasa macam baru je beli tetapi tahu-tahu dah habis. Bila time tak hendak, elok je roti tu tersadai atas meja sampai tarikh luput.

Untuk atasi masalah ini, memang selalu saya akan masukkan roti ke dalam freezer tanpa fikir panjang. Sekurang-kurangnya tidak membazir. Rasa nak makan roti, boleh bakar balik dalam oven atau toaster. Tidak pun, kita gunalah untuk buat puding roti :)

Inilah puding roti mini saya. Kenapa cenonet-cenonet? Alkisahnya, saya sudah lama tidak baking. Kebetulan awal tahun dahulu saya banyak jual barang-barang saya yang saya rasa saya tak akan guna termasuklah beberapa peralatan membakar kek dan kuih. Habis semua loyang kek saya kecil dan besar saya jual. Dalam fikiran tak terfikir langsung pun nak simpan barang sebiji dua.

Alih-alih apabila hendak membakar puding, barulah perasan yang loyang empat segi saya tiada. Mulalah muka terkulat-kulat. Mujur ada loyang mufin 20 lubang dan cawan kertasnya sekali. Jika tidak, jenuh pula nak melengser setiap lubang mufin tu. Makanya, jadilah puding roti mini!