Isnin, Jun 23, 2014

Persiapan Menyambut Ramadhan - Menu Planner untuk Ramadhan

Beberapa hari je lagi kita nak sambut ketibaan Ramadhan. Saya pasti dalam kepala ibu-ibu dan isteri-isteri sudah mula berfikir macam-macam. Nak masak apa untuk berbuka puasa? Sahur nanti lauk apa? Biskut raya apa nak cuba buat tahun ni? Bawa bertenang. Jangan berselirat sangat otak tu. Nanti stress! 

Gunakan 'menu planner' di bawah ini untuk rancang lebih awal apa yang hendak dimasak. Ambil masa (disarankan pada hujung minggu/bila free) untuk duduk sekejap dan 'plan ahead' juadah-juadah yang akan disediakan dalam minggu seterusnya. Kemudian, senaraikan terus bahan-bahan yang diperlukan supaya bila pergi shopping barang dapur, kita tahu apa yang nak kena beli :)

Jadi, sepanjang minggu tu kita dah relaks. Dah tahu nak masak apa. Bahan-bahan semua dah ready. Teratur sikit perjalanan Ramadhan kita. Nak buat lebih exciting, letakkan 'Menu Planner' ini di peti sejuk/ notice board keluarga. Biar setiap isi rumah teruja tengok menu yang bakal dihidangkan sepanjang minggu terutamanya si kecil. Apatah lagi kalau makanan kegemaran mereka tersenarai sebagai sajian berbuka puasa hari itu.



Selamat Menyambut Ketibaan Ramadhan!


Sabtu, Jun 21, 2014

Resepi Biskut Raya - Tart Beri Biru Berkeju



Blueberry Cheese Tart saya :)


Resepi Biskut Tart Beri Biru Berkeju

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 200g mentega/marjerin
  • 1 biji telur
  • 100g susu tepung
  • 50g tepung jagung
  • 300g tepung gandum
  • 50g serbuk keju parmesan
  • 50g gula ising
  • 250g jem beri biru (boleh dapatkan di kedai menjual bahan-bahan kek)
  • sebarang jenis manik hiasan
  • acuan tat bunga

Langkah-langkah penyediaan:

  1. Gentel/bentuk jem beri biru menjadi bebola kecil.
  2. Ayak tepung gandum, tepung jagung dan susu tepung. Masukkan serbuk keju. Gaul rata. Ketepikan.
  3. Pukul mentega dan gula ising hingga kembang. Masukkan telur. Kacau hingga sebati.
  4. Masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang boleh diterap.
  5. Terap tat menggunakan acuan tat pilihan. Susun di atas dulang pembakar yang telah dilengser.
  6. Ambil jem yang telah digentel bulat. Letakkan di atas permukaan. Tekan sedikit untuk leperkan jem biar memenuhi ruang tengah tat.
  7. Tabur manik hiasan.
  8. Bakar pada suhu 180 darjah celcius selama lebih kurang 20 ke 25 minit. (Oh, jangan lupa panaskan oven terlebih dahulu!)



Jumaat, Jun 20, 2014

Dari Kebun - Pokok Belalai Gajah


Selama ini saya hanya dengar tentang pokok belalai gajah tetapi tak pernah tengok bagaimana rupanya. Inilah pokok baru yang 'menghuni' taman herba saya :) Err, tak nampak macam belalai gajah pun! Tapi, pokok ni banyak khasiatnya tau.

Selalunya orang ambil daun belalai gajah, rebus airnya dan minum. Boleh turunkan darah tinggi, turunkan paras kolestol, turunkan kadar gula dalam darah dan buang toksin dalam badan. Ada yang ambil pucuknya untuk dimakan sebagai ulam. Saya dah cuba. Sedap juga tapi kat hujung-hujung ada rasa pahit sedikit.

Pengambilan daun belalai gajah turut digunakan sebagai rawatan alternatif untuk penyakit kanser dan buah pinggang. Sejauh mana keberkesanannya, saya kurang pasti. Lain orang, lain tindak balasnya terhadap pengambilan daun-daun ni.

Oh, nak tanam pokok belalai gajah senang sangat! Ambil keratan batangnya dan cucuk je dalam pasu. Tak susah langsung nak jaga. Nanti, bila pokok ni dah bertumbuh sihat, buatlah keratan batang dan tanam dalam pasu lain pula.