Memaparkan catatan dengan label Aneka Sambal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aneka Sambal. Papar semua catatan

Rabu, Mac 26, 2014

Ayam Masak Sambal Taucu

Mula-mula mohon maafkan cili tumbuk tak berapa nak lumat boleh buat tampal seluar berlubang tu. Biasalah, saya bab tumbuk-tumbuk sambal ni, jenuh sedikit! Tangan cepat lenguh hahaha Tapi, percayalah, sambal ini memang sedap! Ada pedas-pedas cilinya, masin taucu ... lawan dengan ayam goreng garing ... memang tak pandang kiri kanan dah!

Resepi Ayam Masak Sambal Taucu


Bahan-bahan:
  • potongan ayam (Lumur dengan kunyit dan garam, goreng sehingga masak. Ketepikan.)
  • 5-7 cili merah
  • 4 butir bawang putih
  • 2 sudu besar taucu
  • 1 - 2 sudu besar air perahan jus limau
  • gula secukup rasa 
  • sedikit air masak
  • 2 sudu besar minyak untuk menumis

Cara Penyediaan:
  1. Tumbuk cili merah dan bawang putih.
  2. Panaskan kuali. Tumis pes yang ditumbuk tadi.
  3. Masukkan sedikit air. Kemudian masukkan taucu.
  4. Perasakan dengan perahan jus limau dan gula.
  5. Gaulkan dengan ayam goreng. Sedia untuk disajikan.


Selamat Mencuba!

Ahad, Februari 23, 2014

Resepi Mudah Sambal Minyak Bali

Sambal ni mudah sangat! Bagi yang suka makan pedas-pedas, pasti akan kena dengan selera kalian. Senang sangat nak disediakan sebab kita hanya perlu gaul rata semua bahan. Saya di rumah, apabila teringan hendak makan pedas dan hari itu bukan menu sambal, memang akan buat sambal minyak ni. Buat jentik selera. Bertambah-tambah makan dibuatnya!



Resepi Sambal Minyak Bali

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 15 - 20 tangkai cili padi (potong halus)
  • 1 labu bawang merah (potong dadu)
  • 2 - 3 sudu besar minyak kelapa. Guna minyak kelapa baru autentik. Jika tiada, gunakan minyak masak lain seperti minyak canola atau minyak bunga matahari. Tidak disarankan guna minyak zaitun sebab nanti lari pula rasanya.
  • secubit garam

Cara penyediaan:
Gaul rata semua bahan di atas dan perasakan dengan garam. Boleh makan dengan nasi panas bersama lauk-pauk lain atau hidangkan bersama nasi goreng atau bihun goreng.


Boleg juga cuba resepi ini - Sambal Matah Bali. Yang ini memang betul-betul sambal Bali autentik!



Selamat Mencuba!

Rabu, Januari 22, 2014

Sambal Hijau Ikan Bilis dengan Biji Cempedak

Belakangan ni ibu murah rezeki cempedak. Kawan-kawannya yang ada dusun dan kebun rajin beri ibu buah cempedak. Beraya sakanlah kami sekeluarga makan cempedak goreng. Tak cukup dengan itu, biji-biji cempedak yang tak dimakan kitorang pakat simpan. Tak buang tau! Untuk apa?

Tattadaaaa! Untuk buat lauk. Di bawah ini salah satu menu menggunakan biji cempedak.


Biji cempedak tu direbus terlebih dahulu. Then, dikupas kulitnya. Buat sambal ikut citarasa sendiri. Saya buat sambal hijau. Teringin nak makan pedas-pedas sikit. Dah siap sambalnya, gaulkan dengan ikan bilis goreng dan biji cempedak yang telah dipotong. Bayangkanlah makan sambal yang pedas menyengat bersulam dengan kerangupan ikan bilis dan rasa lemak-lemak biji cempedak. Fuhhh! Terangkat!!

Selasa, Mac 12, 2013

Sambal Tempe Mudah

Saya memang suka sangat dengan tempe. Tak kisahlah dimasak dengan cara apa sekalipun. Tempe goreng biasa ke....berempah ke...gulai tempe ke....semua saya suka! Hari ni kita story tentang Sambal Tempe lah ye.


Bahan-bahan:
  • 2 - 3 paket tempe 
  • Minyak masak (untuk goreng tempe dan tumis cili)
  • 25 tangkai cili kering
  • 2 labu bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 sudu besar cuka makan
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:
  1. Kisar cili kering, bawang besar & bawang putih. 
  2. Tempe dipotong nipis. Gaulkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Kemudian goreng sehingga rangup. Ketepikan.
  3. Tumis bahan yang dikisar hingga garing dan pecah minyak. Masukkan cuka. Perasakan dengan garam dan gula. Apabila sambal sudah masak, masukkan tempe dan gaul rata.
  4. Sedia untuk dimamam!

Selamat Mencuba!

Isnin, Oktober 17, 2011

Sambal Tempe Kering

Resepi sambal ni senang dan ringkas. Cuma nak keringkan sambal tu la makan masa sikit.

Bahan-bahan:
  • Kacang Tanah
  • Suun
  • Tempe
[Bahan-bahan kat atas ni ikut suka nak guna banyak mana - digoreng, kemudian ketepikan. Tempe dipotong nipis-nipis dan goreng lama sedikit sehingga garing.]

  • 6 biji bawang merah
  • 4 biji bawang putih
  • 4 - 6 sudu besar cili giling
  • Sedikit belacan (tak guna pun - 1 isi rumah allergic belacan)
  • Air asam jawa
  • Garam 
  • Gula
  • Sedikit minyak untuk menumis.

Cara-cara:
  1.  Blender bawang merah dan putih. Panaskan minyak dan tumis kedua-duanya sekali.
  2. Masukkan cili giling. Tumis sehingga cili masak. Masukkan air asam jawa dan belacan. Perisakan dengan garam dan gula.
  3. Biarkan hingga sambal kering.
  4. Apabila sambal dah kering, biarkan sejuk. Kemudian barulah digaulkan dengan kacang, suun dan tempe yang dah digoreng tadi.

Sedap makan dengan nasi panas! Ratah macam tu pun okay...makan dengan roti pun boleh :) Sambal ni tahan lama sebab jenis kering. So, bolehlah buat sekali banyak-banyak dan simpan.

Sambal Ikan Bilis Kering

Pagi ni mari jamu mata dengan semangkuk sambal ikan bilis kering. Ini antara lauk kesukaan aku nih. Dulu time-time belajar & duduk asrama, suka bawak bekal banyak-banyak dari rumah. Time lapar, makan dengan roti. Syokkkkk!



Ahad, November 01, 2009

Resepi Sambal Ikan Bilis Belimbing Buluh | Sambal Hitam

Saya cukup geram setiap kali melihat pokok belimbing buluh yang lebat berbuah. Dahulu di belakang rumah arwah nenek ada sepohon. Memang penuhlah bakul setiap kali 'menuai' belimbing.

Belimbing buluh


Ada belimbing buluh tetapi tidak tahu hendak buat apa? Selain dimasukkan ke dalam juadah gulai atau lauk asam, belimbing ini sangat sedap dibuat sambal. Ada banyak versi sambal menggunakan belimbing buluh. Salah satu daripadanya sambal hitam, sebuah resepi tradisi dari negeri Pahang.

Jika ikut resepi sambal hitam yang betul-betul autentik, belimbing buluh ini direbus di dalam tin biskut sehingga airnya kering dan buah belimbing bertukar kehitaman. Air belimbing buluh ni tajam, jadi tidak sesuai guna kuali atau periuk kerana akan nanti akan bocor dan berlubang. Setelah itu, belimbing ini boleh disimpan atau dibuat sambal hitam.

Cara Mudah Membuat Sambal Hitam

Di bawah ini dikongsikan cara mudah yang lebih ringkas untuk membuat sambal belimbing buluh.

Bahan-bahannya:

  • 100 g ikan bilis
  • 10 - 20 cili padi (lebihkan atau kurangkan ikut cita rasa)
  • 10 - 15 biji belimbing buluh
  • 1 labu bawang besar - potong dadu/hiris nipis
  • garam
  • minyak secukupnya untuk menumis

*Ada juga resepi yang letak sedikit kicap pada sambal ni, tetapi biasanya saya tidak letak.


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Rebus belimbing yang telah dibersihkan hingga empuk dan bertukar warna. Angkat, tuskan dan kemudian tekan atau lenyek belimbing sehingga hancur.
  2. Seterusnya, tumbuk cili padi sehingga lumat. Kemudian, tumbuk ikan bilis hingga pecah-pecah. Tidak perlu terlalu hancur. Tekstur ikan bilis yang kasar-kasar lebih baik.
  3. Panaskan minyak. Tumis bawang dan masukkan cili padi, ikan bilis dan belimbing.
  4. Goreng atas api perlahan hingga sambal mengering, bertukar warna gelap. Masukkan kicap atau serbuk perasa jika mahu.
  5. Perasakan dengan garam.

Senang, bukan? Sambal hitam ini boleh dijadikan pembangkit selera. Bolehlah buat banyak-banyak sekali gus. Simpan di dalam peti sejuk supaya tahan lebih lama. Selain makan dengan nasi panas, makan dengan bubur pun sedap tau.