Jumaat, Mac 05, 2021

Jambu Batu Cecah Kuah Cuka

Setiap kali pergi beli barang dapur, saya pasti akan cari buah jambu batu. Kalau ada, memang akan belilah. Rezeki saya, baru-baru ini harga jambu batu murah. Buahnya pula segar-segar. Mungkin stok baru sampai kot.

Saya memang suka jambu batu dan buah ini biasa jadi sebahagian daripada menu harian saya. Lazimnya untuk snacking antara dua waktu makan. Jambu batu merupakan buah yang mengandungi banyak serat. Makan setengah biji, bolehlah perut tu bertahan sehingga ke waktu makan seterusnya. Tak adalah nanti kerja asyik nak mencari something to munch sahaja.

Bagi yang berdiet atau yang ingin mengawal paras gula dalam darah, ini antara buah yang rendah indeks glisemiknya (Low G.I). Apabila rendah indeks glisemik, makanan dicerna dan diserap ke dalam tubuh dengan perlahan secara berperingkat. Jadi, paras gula dalam darah tidak akan spike. Kita pun tak cepat rasa lapar.

OK, cukuplah serba sedikit tentang manfaat jambu batu dan sifatnya yang low G.I tu. Kadangkala, petang-petang apabila angin mengidam datang, teringin pula nak makan jambu cecah atau jambu colek. Makanya, buatlah kuah cuka pedas begini. Cuka, gula, garam dan hirisan cili api.


Rabu, Mac 03, 2021

Resepi Air Fryer - Tauhu Gejrot

Hari ini saya ingin kongsi resepi tauhu gejrot versi saya yang disediakan menggunakan air fryer. Apa itu tauhu gejrot? Tauhu gejrot merupakan sejenis hidangan masakan Indonesia yang berupa potongan tauhu goreng, dimakan dengan kuah  bercili yang masam-masam pedas.

Ikut resepi asal, kena pakai tauhu Sumedang. Susah nak jumpa tauhu Sumedang ni. Kali terakhir saya beli di pasar tani. Sekarang ini tak tahulah ada lagi ke tidak produk tauhu Sumedang dijual di sana. Tetapi tak mengapa, pakailah apa-apa jenis tauhu pun. Tauhu keras biasa boleh. Tauhu kering pun boleh. Ini saya pakai tauhu keras biasa.

Penyediaan resepi ini ada dua proses. Satu kita mengulek. Tumbuk kasar bahan-bahan yang ada. Satu lagi, di sinilah peranan air fryer - kita hendak goreng tauhu tanpa menggunakan minyak. Jangan risau, bagi yang tidak miliki air fryer, kalian goreng sahaja tauhu seperti biasa ya.