Khamis, Mac 25, 2021

Beli Cap Getah Preloved

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini saya ingin bercerita tentang pembelian cap getah preloved untuk koleksi barang dan peralatan kraf saya. Selain daripada menjual kertas, hiasan kraf untuk jurnal dan planner di Carousell, saya rajin juga intai listings penjual-penjual lain. Terutamanya yang menjual barang-barang untuk kraf dan jurnal. Mana tahu ada yang berkenan, bolehlah beli. Sebab sekarang ni, andai hendak sewenangnya membeli barang-barang kraf tanpa rasa bersalah memang tak boleh dah. Kena jaga bajet heheheh.

Tengah cuci-cuci mata tu, salah seorang seller kegemaran saya muat naik listings baharu untuk cap getah (rubber stamps). Hendak terjojol biji mata ni tengok sebab teruja sangat! Cap getah yang hendak dijual tu rekaannya sesuai untuk junk journal saya. Saya memang sedang cari cap getah yang ada corak bunga-bunga dan mesin taip lama. Tengok harga memang cantiklah. Tak menunggu lama, terus tekan butang 'Make An Offer'.

Selang sehari selepas buat pembelian, barang sampai. Inilah cap getah pembelian saya! Ada 5 jenis kesemuanya.

Rabu, Mac 24, 2021

Piza Terung Bulat

Buat piza terung air fryer lagi. Kali ini guna terung bulat. Menghabiskan stok terung di dalam peti ais. Kebetulan keju dan bahan-bahan lain yang hendak dijadikan toppings pun ada. 

Saya pernah kongsi resepi piza terung sebelum ini di sini. Terung dibakar sehingga isinya lembut. Kemudian, ketika masih panas, isi terung dicarik-carik untuk dijadikan base atau doh piza.

Langkah-langkah Penyediaan Piza Terung:

Mula-mula bersihkan terung. Tanpa perlu dipotong, masukkan terung ke dalam oven atau air fryer dan bakar dalam 5 - 10 minit sehingga terung bertukar lembut. Masa untuk membakar bergantung kepada saiz terung ya. Sekiranya, dalam 5 - 7 minit tu terung masih anjal apabila ditekan dari luar, tambahlah lagi 2 - 3 minit.

Setelah dikeluarkan, belah terung kepada dua bahagian. Disebabkan saya guna terung bulat, saya potong terung hingga terbelah habis. Tetapi, sekiranya saya guna terung biasa, saya tidak akan potong sampai habis. Cukup untuk kita belah dua dan ratakan permukaan terung supaya dapat jadi base piza yang lebih besar.