Assalamu'alaikum! Selamat Pagi Khamis! Cepat betul masa berlalu...sedar-sedar dah nak hujung minggu. Minggu pertama November pun dah nak habis. Bagaimana November kalian setakat ni? Oh, semalam 'tuai' pegaga dari taman herba saya. Banyak jugalah yang dapat! Ada kerisik kering dalam peti sejuk. Apa lagi,...saya buat urap! Jamu mata dulu ye...Insya Allah petang nanti saya sertakan resepinya.
Urap Pegaga |
OK. Jom intai resepinya!
Resepi Urap Pegaga
Bahan-bahan:
- 2 - 3 genggam/ikat daun pegaga (dibersihkan)
- 1/4 - 1/2 biji kelapa parut yang disangai terlebih dahulu (Saya gunakan stok kerisik kering yang ada.)
- 3 biji bawang merah (mayang)
- Halia lebih kurang sebesar ibu jari (hiris halus memanjang)
- 7 tangkai cili padi (hiris). Kalau tak makan pedas, boleh kurangkan atau tak perlu letak langsung.
- sedikit serbuk kunyit
- sedikit garam
- sedikit minyak untuk menumis
Cara-cara:
- Tumiskan bawang merah, belacan dan halia hingga naik bau. Tambahkan sedikit serbuk kunyit.
- Masukkan daun pegaga. Masak hingga daunnya layu.
- Masukkan kelapa parut dan cili padi. Kacau hingga semuanya sebati. Perasakan dengan garam.
- Sedia untuk dihidang!