Isnin, Julai 26, 2021

Donut Holes untuk Minum Petang

Ingat lagi mengenai Donat Maaf Aku Tak Sempurna saya sebelum ini? Semasa mengerjakan donat tersebut, saya memang sengaja asingkan donut holes (lebihan doh yang diambil dari bahagian donat yang dilubangkan) dan tidak gabung dengan baki doh yang ada. Saya biarkan donut holes ini mengembang sama-sama dengan donat yang lain, kemudian saya bakar sekejap di dalam penggoreng udara (air fryer). Cukup-cukup sahaja untuk bagi ketulan-ketulan kecil ini masak dan kekal bentuknya.

Setelah sejuk, saya simpan di dalam bekas dan dinginbekukan. Donat holes kita jadikan stok dan simpan untuk minum petang hari-hari kemudian.

Dua tiga hari belakangan ini 'kan memang cuaca panas. Mulalah mulut tu asyik mencari benda hendak dimakan. Jadi, kita gorenglah donat holes.

Sabtu, Julai 24, 2021

Tak Beli Double-Sided Tape, Tapi ...

Ini kisah dua minggu yang lalu. Saya sedang sibuk menguruskan material untuk kelas di bilik kerja. Tiba-tiba Bott masuk tanya kenapa saya beli double sided tape lagi sedangkan masih ada banyak pita tersebut dalam stok barang kraf saya. Ketika itu dia sedang buka bungkusan-bungkusan pembelian online kami yang baru sampai.

Double-sided tape? Pelik. Saya tidak beli sebarang bentuk gam atau pita pelekat pun. Setelah dibuka bungkusan berkenaan betul-betul dan diteliti, ini yang saya terima.

Memang double-sided tape. Tapi, bukan yang baharu. Ini gelung double-sided tape yang telah digunakan.


Di dalam gelungan itu baru barang yang saya beli. 😎

Saya beli satu tiub kecil Advocate Cat Flea & Tick Spot-On Solution untuk Yuri. Yuri pakai ubat kutu ni tiap-tiap bulan untuk perlindungan jangkitan kutu dan earmites. Sebenarnya, dalam simpanan kami ada satu kotak yang mengandungi 3 tiub ubat kutu. Malangnya, simpan punya simpan, sampai tak jumpa letak di mana.

Mujur ada kedai pet online yang jual satu tiub secara berasingan. Jadi, saya belilah satu unit sementara hendak menjejak kotak ubat kutu yang terlampau disimpan itu. 

Kreatif penjual ini, kan? Sedaya upaya lindungi produk yang kecil cenonet dengan menggunakan bahan terpakai. Boleh beri markah lebih di situ. Barang selamat sampai tanpa cela. Dah selamat calit pada tengkuk Yuri pun.

Tuan punya badan tengah terkedang, seronok tinggalkan DNA atas permaidani.

Tengok gelung double-sided tape teringat pada satu cerita yang saya baca sebelum ini. Seorang pelanggan ni beli alat sparepart secara online. Apa yang menariknya, penjual telah bungkus sparepart yang dibeli menggunakan sabut kelapa. Memang kalahlah bubble wrap, inflatable air packaging tu semua. Betul-betul berfikir di luar kotak. 😂

Terhibur saya dapat barang dibungkus unik sebegini. Penjual-penjual macam ni layak untuk dapat ulasan yang baik kerana mereka berusaha cuba untuk pastikan barang sampai kepada kita dalam keadaan sempurna. 

Ada juga segelintir penjual yang bikin panas hati, bungkus produk tanpa ambil sebarang langkah berjaga-jaga. Asal boleh sahaja. 

Saya pernah beli chia seeds. Pek chia seeds diletakkan di dalam sebuah kotak yang dibuat sendiri (ada lubang di sana sini dan tidak dibungkus dengan sebarang plastik tambahan atau bubble wrap). Hendak dijadikan cerita, plastik chia seeds itu sendiri tidak di-seal dengan betul. Bayangkan, menjelang sampai kepada saya produk yang beratnya 250g dah tinggal 80g! Selebihnya, buat jejak dari kedai - fasiliti logistik - kereta adik Ninja - rumah saya.

Bila saya hubungi penjual, hanya sebaris sahaja ayat - So sorry dear. Lepas tu, siap lampirkan dasar tak boleh return atau refund. Saya pun kalau ikutkan memang tak adalah nak bersusah-payah keluar rumah semata-mata nak refund barang. Lagi-lagi chia seeds tu harganya sekitar RM6 - 7. Cuma geram dengan sikap tak bertanggungjawab si penjual. Paling tidak, boleh je dia guna plastik flyer biasa tu. Sekurang-kurangnya, apabila seal plastik chia seeds terbuka, biji-biji chia kekal dalam flyer.

Kalian pula bagaimana? Ada pengalaman menarik (atau yang kurang baik) tak dari segi pembungkusan melalui sebarang pembelian online? Kongsi-kongsilah di sini.










Khamis, Julai 22, 2021

Klip Besar untuk Hiasan Jurnal dan Planner

Bulan lalu, sewaktu saya sibuk beli barang untuk Projek Soldadu saya, saya terjumpa klip kertas besar berwarna bronze. Saiz  klip lebih kurang 12 x 2.5 cm. Tidak pernah saya jumpa klip kertas sebesar ini. Apabila dilihat keterangan produk, produk merupakan clearance item dan harganya cuma RM1.95 sepek. Satu pek ada 4 klip kertas. 

Terus saya beli. Dalam kepala memang fikir untuk buat hiasan jurnal dan planner. Sempatlah guna satu klip dalam bullet journal saya. Puas hati dapat tanda muka surat pakai klip besar.

Baru-baru ini saya kemas bilik kraf. Nampak baki klip kertas terus tergerak hendak hias sedikit apa yang perlu. Kebetulan saya memang ada crafts charms lama-lama yang tidak digunakan. Sesuai dijadikan hiasan juntai-juntai letak pada klip kertas.

Rabu, Julai 21, 2021

Salam Aidiladha 1442H

Assalamualaikum. 

Salam 10 Zulhijjah.

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha buat semua teman blogger. Diharap kalian diberkati dengan kesihatan yang baik dan keceriaan dalam meraikan hari penting ini.

Jangan sedih-sedih jika tidak dapat balik kampung. Situasi semasa tidak mengizinkan. Insya-Allah, selepas keadaan pulih kelak, bolehlah kita beraya seperti dahulu.