Buat Roti Canai Tanpa Perlu Tebar
Rabu, November 25, 2020
Assalamu'alaikum. Hai semua!
Hari ini bersiaran dari dapur. Kita buat roti canai. Saya tidak pandai bab tebar-tebar roti ini. Jika kalian seperti saya, usah bimbang. Kita buat versi roti canai tanpa perlu tebar. Mudah dan hasilnya tetap umphh! Melalui entri ini, saya kongsikan secara ringkas ya bahan dan cara pembuatannya.
Resepi Roti Canai
Bahan-bahan yang diperlukan:
300g tepung gandum
1 biji telur gred A
50ml minyak masak
150ml air suam
1 sudu teh gula
1/2 sudu teh garam
mentega/marjerin/mentega bawang putih secukupnya
parutan keju secukupnya
1 sudu besar tepung gandum (untuk digunakan ketika menguli doh)
minyak masak secukupnya (untuk rendam dan rehatkan doh)
Langkah-langkah penyediaan:
- Satukan tepung gandum, gula dan garam di dalam sebuah mangkuk sederhana besar. Gaul rata.
- Pukul telur bersama air suam dan minyak. Tuangkan ke dalam tepung.
- Gaul dengan spatula atau tangan sehingga menjadi doh.
- Pindahkan doh ke atas permukaan rata yang telah ditabur dengan sedikit tepung gandum. Uli doh menggunakan bahagian bawah telapak tangan hingga tekstur doh tidak lagi melekat di tangan.
- Bahagikan doh kepada bahagian-bahagian kecil.
- Masukkan minyak masak ke dalam mangkuk, agak-agak sahaja biar cukup untuk saluti doh.
- Rendam doh di dalam minyak dan rehatkan selama satu jam.
Saya suka roti canai yang nipis. Jadi, satu adunan ini saya bahagikan kepada dua belas bahagian. Jika kalian ingin portion yang lebih besar dan tebal, bahagikan doh kepada 8 bahagian.