Isnin, Oktober 18, 2021

Beli Rosie's Studio Diecut Shapes Pack di Mr. DIY

Assalamualaikum.

Minggu lalu sewaktu keluar melunaskan urusan, saya sempat singgah ke Mr. DIY. Lama benar tak jalan-jalan keliling kedai tengok barang-barang. Seperti biasa, bahagian alat tulis dan kraf yang saya tuju dahulu.

Jumpa dua pek die cut shapes Rosie's Studio ini. Teruja saya. Pek hiasan Vacay dan Clover Lane. 

Ahad, Oktober 17, 2021

Nasi Kuning dan Cucur Kembung Viral

Assalamualaikum. Selamat Hari Ahad! Bagaimanakah hujung minggu kalian setakat ini? Meriah? Ada sebarang perancangan istimewa ke hari ini?

Di kawasan kediaman saya memang macam musim raya. Anak-anak semua pakat balik kampung. Jalan raya, kedai runcit, gerai jual sarapan, pasar pagi semua sibuk! 

Saya dan Bott duduk diam-diam jelah di dalam rumah. Sebenarnya, dua tiga hari ini kami dah dapat ‘notifikasi’ awal daripada jiran dan saudara-mara. 

“Farrah, Ahad tak payah masak!” 

“Long, Ahad nanti kitorang hantar makan tengah hari.”


Sebagai anak jati kampung yang tinggal seorang di sini (Cekebon dan adik-beradik saya semua jadi orang bandar), saya dijaga baik oleh orang kampung hahaha. Apabila kaum keluarga di rantauan masing-masing balik merentas negeri, mestilah teruja masak-masak makan-makan, kan? Alhamdulillah, ada terselit rezeki sepinggan dua untuk saya dan Bott. Kira hari ni hari gantung periuk kuali. 


Pagi kami diceriakan dengan nasi kuning. 

Sepinggan lengkap nasi kuning.

Sabtu, Oktober 16, 2021

Nasi Kandar Balik Klinik

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Ada rumah ke tu? Ke dah mula merentas negeri pulang ke kampung atau cuti-cuti?

Saya tiada sebarang rancangan besar setakat ini. Kalau keluar pun, jalan dekat-dekat je. Bukan apa, cuaca panas terik sekarang buat saya cepat penat. Dengan kena pakai mask, dengan kena tahan panas ... silap hari bulan bersesak-sesak dengan orang ramai pula. Mana enjoy, kan? Baiklah saya duduk berehat lepak santai di rumah dahulu. 

Semalam, pagi Jumaat saya ada temujanji di klinik kesihatan untuk pemeriksaan rutin asma dan hipertiroid + review ujian darah. 


Sekarang pergi klinik memang seronok. Tak ramai orang. Setiap kali ke klinik kesihatan untuk temujanji, setiap kali itu ada pembaharuan dari segi sistem untuk memastikan keselamatan kakitangan dan pesakit. Gembira je saya masuk klinik untuk temujanji pukul lapan, pergi makmal tuntut laporan ujian darah, pergi bilik saringan check berat, tekanan darah, (ujian tiup tiub untuk asma tak buat sejak Covid) tahu-tahu dah duduk bersandar di ruangan menunggu. Tak selisih dengan orang sangat.

Pembaharuan kali ini ialah - pesakit yang datang temujanji untuk follow up di Unit Non Contagious Disease (NCD), setelah disaring di bilik saringan, fail atau buku kesihatan mereka akan diserahkan kepada doktor untuk diperiksa. Jika upon review keadaan terkawal (hasil keputusan ujian darah okey), tiada apa-apa masalah, pesakit tidak perlu jumpa doktor pun. Doktor akan terus prescribe ubat susulan dan tetapkan tarikh temujanji yang seterusnya. Jimat masa. Jimat tenaga. Efisien!

Saya pandang result tiroid, saya tahu yang saya tidak akan tergolong dalam kategori itu. Confirm kena mengadap! Tidak menunggu lama, saya dipanggil masuk bilik doktor. 


Alhamdulillah, semua okey ... semua cemerlang kecuali hormon tiroid je yang tunggang-langgang. Dari hiper jadi hipo pula. Hahaha itu bukan perkara baharu. Tetapi, kena juga pergi makmal buat ujian darah untuk tengok ada abnormalities pada darah tak. 


Baik-baik sahaja :)

Rabu, Oktober 13, 2021

Kad Semoga Cepat Sembuh - Healing Hugs

Salah satu kad yang saya buat baru-baru ini. Kad ucapan Semoga Cepat Sembuh.


Kad ini jenis kad poket. Maksud saya, kad ini jenis kad sekeping tanpa lipatan (seperti poskad) diletakkan di dalam poket khas yang berperanan sebagai sampul. Kiranya kad ini tidak menggunakan sampul surat biasa sebaliknya poket yang dibuat senada dengan tema dan warna pilihan.

Saya menggunakan kertas bercorak damask berwarna coklat dengan tona latar belakang yang lebih cair. Lebih ke arah warna krim. Kemudian, saya gunakan kad berwarna coklat gelap untuk wujudkan sedikit elemen kontra. 

Tidak perlu hias banyak-banyak kerana corak kertas sudah sarat, ada kemasan jalur emas (gold foil) pula. Sudah cukup cantik bagi saya.