Isnin, Ogos 11, 2014

Resepi Ayam Kari Tumis Bercili

Satu lagi resepi mudah untuk dicuba!

Ayam Kari Tumis Bercili


Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 1/2 ekor ayam (potong kecil, kunyit dan garamkan)
  • 4 siung bawang putih (cincang halus)
  • 1 biji bawang besar (potong bulat)
  • 5 batang cili merah (tumbuk kasar) *Tukar dengan cili hijau pun tak apa.
  • 5 batang cili padi (tumbuk kasar) *Jika tak mahu pedas, tidak perlu letak.
  • 7 biji belimbing buluh (belah dua)
  • 1 - 2 sudu besar serbuk kari
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 1/2 sudu teh gula
  • 100ml air
  • 100ml santan
  • 2 sudu besar minyak masak utk menumis

Cara Penyediaan:
  1. Panaskan minyak, goreng ayam hingga masak. Tetapi jangan sampai garing. Ketepikan.
  2. Tumis bawang besar, bawang putih diikuti dengan cili yang telah ditumbuk. Masukkan serbuk kari, serbuk lada hitam dan gula. Tumis seketika.
  3. Kemudian masukkan ayam. Kacau hingga semua bahan sekata.
  4. Masukkan air dan santan diikuti dengan belimbing buluh. Masak sampai meresap. 

Nota Senyum: Boleh juga buat lauk ni untuk makan dengan roti jala :)


Jom Buat Kerepek Biji Durian

Pernah makan kerepek biji durian tak? Sedap tau. Rasanya macam kerepek ubi cuma lebih lemak. Rangup! Kalau makan tu memang tak boleh berhenti. Awas, jatuh dagu tu nanti!

Kerepek Biji Durian

Inilah rupanya kerepek biji durian. Tak susah pun nak buat. Yang penting, biji-biji durian perlu dikumpul terlebih dahulu. Hmmm, untunglah bagi yang suka makan durian tu. Baru berbaloi buat sebab banyak sikit kerepek yang dapat dihasilkan. Kalau macam saya ni, setakat makan dua tiga ulas, buang jelah bijinya.

OK, berminat dengan Resepi Kerepek Durian? Jemput singgah entri 2011 saya. Sila klik pautan di bawah ye :)








Ahad, Ogos 10, 2014

Ini yang lambat sebab pakai kasut bola tu,...

Buat kesekian kalinya saya terserempak dengan Si Lipan! Huhuhu suka naik rumah nak jadi kawan eh! Alhamdulillah, Si Lipan tu dah jadi bangkai. Penangan garam kasar yang saya tabur. Itu petua orang dulu-dulu untuk hindar lipan yang mesra dengan julukan 'tulang lauk'. Selain daripada guna belerang, kita boleh guna garam kasar. Tak bahaya sangat kalau nak ditabur di dalam rumah yang ada anak kecil dan haiwan peliharaan.

Sebut tentang lipan, saya teringat satu kisah lucu masa kami adik beradik masih kecil. Dulu-dulu, apabila Baba tak outstation, saya, Cekengah dan Uje akan duduk keliling Baba dan main teka-teki. Kitorang kecik lagi, belum sekolah pun. Selalunya teka-teki, memang Baba yang jawab sendiri! Saya sebagai yang sulung, bilamana datang time geliga otak tu,..berjayalah jawab sekali-sekala. Dulu, kalau dapat luangkan masa dan main teka-teki dengan Baba dah kira hebatlah. Yelah, mana ada internet, Astro, Playstation ni bagai,...

Antara teka-teki yang saya ingat sampai sekarang ialah tentang Si Lipan.

Pada suatu hari, haiwan-haiwan di dalam hutan mengadakan perlawanan bola sepak. Si Lipan terpilih menjadi penjaga gol salah satu pasukan yang akan bertanding. Pada hari pertandingan, semua haiwan berkumpul dan bersedia untuk bertanding. Tetapi, perlawanan tidak dapat dimulakan kerana Si Lipan tidak sampai-sampai. Akhirnya, setelah menunggu beberapa ketika barulah Si Lipan muncul.

Kenapa Si Lipan lambat tiba?

Haaa,..masa ni saya 'bijak' sedikit. Saya pun jawablah sebab kaki dia banyak,..ambil masa untuk pakai kasut bola! Hehehe. Kebetulan kitorang ada kamus bergambar. Siap buka kamus untuk tunjuk gambar lipan pada Uje, yang ketika itu terpinga-pinga tak tahu lipan tu apa. Kaki dia banyak sangat ke?

Nak dijadikan cerita, beberapa hari selepas tu, kami main di tingkat bawah rumah. Uje sibuk main lori kuning kesayangan dia. Standardlah zaman-zaman dulu, budak lelaki sure akan ada lori yang boleh angkat-angkat body tu. Tengah-tengah main lori, lalulah seekor lipan depan kami. Selamba je Uje cakap, 

"Long, ini yang lambat sebab pakai kasut bola tu. Betullah kaki dia banyak!" 
"Banyakkan!"
"Eh,..mesti banyak kasut bola yang dia kena beli!"

Mak Tina, pengasuh kami yang ketika tu sedang masak, terdengarlah 'sembangan bersahaja' kami. Apa lagi, tak cukup tanah dia buka langkah besar nak dapatkan kitorang bertiga. Tak pasal-pasal, bila balik rumah Baba kena lecture. Mak Tina dengan loghat jawa pekatnya, "Kau main teka teki dengan anak pasal lipan, tapi kau lupa pesan lipan tu bahaya! Berbisa!

Hahaha! Saya dah cukup besar dah rasanya untuk faham yang insiden tu kelakar ;)