Isnin, Mac 15, 2021

Ginnva Bopp Tape

Minggu lepas saya ke pejabat pos untuk urusan pengeposan barang. Alang-alang sudah keluar tu, saya ajak Bott singgah ke Mr. DIY. Saya hendak beli bopp tape buat bungkus barang pelanggan. Bopp tape saya dah habis. Tiada stok dalam simpanan pula tu.

Alhamdulillah, mujurlah jenama Ginnva yang biasa saya gunakan ada di Mr. DIY. Tengah pilih-pilih, ternampak pula hand-tearing bopp tape keluaran Ginnva juga. Saiznya lebih kecil. Menarik! Selama ini, saya tidak pernah jumpa bopp tape yang senang untuk kita carik guna tangan. Yalah, bopp tape ni kan kita selalu guna untuk shipping, seal kotak  dan bungkus barang, jadi tekstur pita ini lebih kuat berbanding cello tape. Setahu saya cello tape jenama Sellotape tu je yang mudah dikoyak pakai tangan dan cantik kesan carikannya. Jenama lain agak sukar juga.

Jadi, atas dasar ingin tahu, saya pun belilah dua gulung kecil. Sekiranya produk ini tidak seperti yang digambarkan pun, saya tetap boleh gunakan kerana saya miliki tape dispenser. Harga bopp tape yang besar dalam tiga ringgit lebih manakala yang kecil tu seringgit lebih.


Betulkah boleh koyak pakai tangan sahaja? Boleh memang boleh. Tetapi, carikan tape akan jadi tidak cantik. Kurang kemaslah hasilnya. Selain itu, saya perlu gunakan lebih daya untuk mengoyakkan bopp tape ini. Senang cerita, tidak semudah koyak Sellotape lah. Secara peribadi, saya lebih selesa menggunakan tape dispenser berbanding koyakkan pita ini pakai tangan. 

Okey, dah ada bopp tape, barang-barang keperluan untuk bungkus jounal accessories and embellishments tempahan pelanggan sudah lengkap. Bolehlah bungkus barang dengan senang hati. 


Bagi yang tercari-cari bopp tape tu, boleh cari jenama Ginnva ni di Mr. DIY. Harga berpatutan, kualiti pun okey. 




Sabtu, Mac 13, 2021

Pahit Kopi Pahit Hidup

Assalamualaikum. Salam santai Sabtu! Hari ini saya ingin kongsi salah satu petikan kata-kata (quotes) tentang kehidupan yang saya suka. Bertambah-tambah suka sebab kata-kata ini berkaitan kopi! Hahaha hantu kopi seperti saya, baca sesuatu tentang kopi pun boleh terbau-bau aromanya. 😂


Mengada tiba-tiba pos status speaking bahasa Jawa. Rasanya masa ni tengah teringin nak makan sambal dadak. 😄  

Jumaat, Mac 12, 2021

Mazhab Cinta Mengenang Kehebatan Cinta Rasulullah

Hari ini saya ingin kongsi tentang lagu Mazhab Cinta dendangan artis-artis Tarbiah Sentap Records. Pertama kali dengar lagu ini sebenarnya ketika saya sedang tidur. Saya kalau tinggal seorang diri memang akan pasang radio malam-malam biar tak sunyi sangat. Dalam mamai-mamai tu, masa dengar muzik intro dah tertanya-tanya dah lagu apa. Dah dengar, terus jatuh hati! Berusaha saya buka mata dan bangun untuk pergi cari kertas dan pen, catat bait-bait lagu supaya esoknya boleh google. Sebelum ini pernahlah juga masa tidur dengar lagu best dan saya hafal dua baris liriknya sebelum sambung tidur. Agak-agak sendirilah apa yang berlaku keesokan harinya 😆

Mazhab Cinta mengajak kita untuk mengenang kehebatan cinta Rasulullah kepada umatnya. Cinta baginda tidak terbatas kepada umat pada zaman baginda sahaja, tetapi merangkumi kita, umatnya hari ini yang tidak pernah baginda temui, terpisah dek dimensi masa. Cinta baginda juga teruntuk buat hidupan-hidupan lain di muka bumi ini.

Lagu yang melibatkan artis-artis Tarbiah Sentap Records - Rabithah, Aniq Muhai, Syed, The Truth, Areef dan Norhafiz (Autotune Band) dilancarkan pada penghujung Oktober 2020 bersempena dengan Maulidur Rasul. Ada tiga kisah yang diketengahkan melalui lagu ini yang boleh kita jadikan pengajaran; kisah unta menangis mengadu nasib kepada Rasulullah; kisah gunung Uhud yang meragam dan pohon tamar yang menangis kerana rindu akan baginda. Bayangkanlah, Gunung Uhud sudah ada tempat di syurga... bagaimanakah kedudukan kita?

Saya suka semua tentang lagu ini. Gubahan melodinya, liriknya yang jelas, sampai dan meninggalkan kesan. Progression lagu pun berjaya menarik kita untuk terus mendengar. Jika ingin dengar, cari di Youtube ya.

Khamis, Mac 11, 2021

Salam Israk Mikraj | Penawar Buat Muhammad




Assalamu’alaikum w.b.t.



Terjemahan: 


Maha Suci Allah Yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.


Surah Al-Isra’, ayat 1


Selamat mengenang peristiwa Israk Mikraj, peristiwa yang membawa kepada titik tolak bermulanya kita sebagai hamba Allah diperintahkan dan diwajibkan bersolat.

Sambil itu, renungkanlah peristiwa-peristiwa yang dilihat baginda semasa kembara israknya yang diiringi oleh malaikat Jibrail:

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, apabila dituai, hasil yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. 


👉 Itulah kaum yang berjihad Fisabilillah, pahala mereka digandakan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.



2. Tempat yang berbau sangat harum. 


👉 Itulah bau kubur Mashitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah.